Status Projek ECRL: Batal ATAU tangguh ATAU diteruskan? Kami semak…

Negara kita ni ada macam-macam jenis keretapi termasuklah KTM, LRT, Monorail, MRT dan yang belum siap dibina ECRL. Sepanjang korang naik semua keretapi ni, pernah terfikir mana satu yang paling panjang? Mengikut laporan, ECRL adalah projek laluan rel negara terpanjang sejauh 688 km.

Ni kalau hari Jumaat, sempat lagi nak dengar khutbah.

Laluan rel ni bermula dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor dan berakhir di Pengkalan Kubur, Kelantan. Kalau dulu nak balik Pantai Timur adalah dalam 8 jam nak ke 12 jam, tapi perjalanan menaiki ECRL hanya memakan masa kurang dari 4 jam. Memang seronoklah lepas ni ya orang Pantai Timur. Tapi, apa sebenarnya status projek ECRL ni. Jadi ke idok?

Projek ECRL menggunakan duit pinjaman bank dari China untuk bayar kontraktor China?

Sebelum bincang pasal status, jom reviu balik kenapa ada yang tak setuju dengan projek ni? PM Najib ada mengatakan bahawa 85 peratus pembiayaan projek ini adalah pinjaman dari Export-Import Bank of China (Exim Bank). Pinjaman ni tadi akan dibayar kepada CCCC. Kiranya duit ni berpusing-pusing dalam kalangan syarikat China. Prof Jomo Kwame mengatakan yang penjamin bagi pinjaman besar ni adalah pembayar cukai Malaysia.

Keuntungan pula hanya akan diterima oleh syarikat-syarikat China macam CCCC. Syarikat ni juga dah dapat tawaran projek ni secara rundingan langsung tanpa ada tender terbuka. Padahal, ada je syarikat Malaysia yang pernah menjayakan projek kereta api.

Imej dari Reddit.

Tapi, ada juga yang tak bersetuju projek ni dibatalkan sebab ia akan bantu menaikkan ekonomi Pantai Timur. Menurut Prof Jomo Kwame, projek gergasi ECRL takkan bantu naikkan ekonomi pantai timur. Ini kerana ECRL ni bukan kereta api biasa, tapi kereta api laju. Maka, harga tiket semestinya mahal untuk rakyat pantai timur. Dan kat Eropah, China dan Jepun, belum ada bukti menunjukkan akan ada peluang pekerjaan dan perniagaan yang tetap sepanjang landasan kereta api laju kalau dah siap.

Menurutnya, projek ni hanya bagi keuntungan pada pihak tertentu. Adalah lebih baik, jika pembiayaan kerajaan persekutuan yang sebelum ni disekat, diberi semula kepada negeri-negeri pantai timur untuk pembangunan. Termasuk menggunakan landasan keretapi Kemaman-Kuantan dan kereta api pantai timur dari Gemas yang sedia ada dengan sebaiknya.

Sembang pun tak guna, apakah status projek ni kalau betul ianya akan membebankan rakyat?

Kos pembinaan bawah BN bernilai RM55 bilion dan fasa pertama sudah bermula

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah cadangan pentadbiran Perdana Menteri, Najib Razak. Pada 21 Oktober 2016, kabinet dah meluluskan projek ini. Perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan dah ditanda tangani dengan China Communication Construction Company (CCCC) pada 1 November 2016 sebagai kontraktor utama.

Lagi pun, CCCC ni adalah kontraktor antarabangsa ketiga terkemuka di dunia. Mestilah boleh dipercayaikan? Manakala, pemilik projek ini diserahkan kepada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah (Setiausaha Kementerian Kewangan).

Gurau je Tan Sri. Jangan marah kalau tengah baca Soscili.

Kos pembinaan ECRL kemudiannya diumumkan mencecah RM55 bilion. Semua dah selesai, perasmian majlis pecah tanah dirasmikan oleh PM Najib Razak pada 9 Ogos 2017. Itu hanya sekadar simbolik sebab projek pembinaan dijadualkan bermula awal pada Julai 2017. Kerja-kerja pembinaan fasa pertama dimulakan dahulu merangkumi 600.3 km dari Wakaf Bharu ke ITT Gombak.

Manakala fasa kedua pula dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang.  Dah nama pun terpanjang di Malaysia, jadinya tarikh jangkaan siap adalah pada tahun 2024. Kiranya 4 tahun lepas tahun 2020 yang kita ingat ada kereta terbang tu.

Status projek: Pembinaan fasa pertama dah bermula, 13% kerja permulaan ECRL sudah siap pada Mac 2018

https://www.facebook.com/KongsiTVproduction/videos/1715450758547318/

Kerajaan bertukar, kos sebenar ECRL didedahkan

Macam yang kita semua tahu, Barisan Nasional dah pun kalah pada PRU-14 waktu projek ECRL tengah berjalan. Maka ramai yang tertanya-tanya, apakah status projek ini di bawah Pakatan Harapan (PH)? Sebelum PRU-14, PH tak menolak kemungkinan untuk menghentikan projek ECRL kalau menang pilihan raya. Projek ECRL akan dikaji sama ada diperlukan atau tak. Kalau tak perlu, akan dihentikan setakat mana yang dah siap.

Rakyat pun semua dah celup jari kat dakwat hitam untuk mengundi. Akhirnya, PH pun menang dan membentuk kerajaan. Pada Mei 2018, isu mengenai ECRL pun naik balik apabila Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mengumumkan bahawa kos pembinaan ECRL bukanlah RM55 bilion. Angka tu sama sekali tak tepat.

Lain orang, lain kalkulatornya. Imej dari Me.me.

Kos sebenar adalah RM66 bilion setelah dicampur projek fasa pertama (RM 55 bilion) dan fasa kedua (RM11 bilion). Walaupun macam tu, Tun Daim hanya akan menyerahkan kepada pihak kerajaan untuk mengumumkan keseluruhan kos tu. Pada Jun 2018, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa projek ECRL akan diteruskan sehingga perbincangan mengenai kosnya diputuskan.

Nak mansuhkan terus tak boleh sebab kerajaan terdahulu dah bayar RM20 bilion dan perlu dibuat rundingan semula. Pada Julai 2018, Lim Guan Eng mengumumkan kos sebenar pembinaan ECRL memakan belanja RM81 bilion. Ianya selepas mengambil kira kos pembinaan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain. Mak aih! Makin mahal pulak.

Status projek: Masih berjalan, tapi kos sebenar dikira semula serta didedahkan…

Projek ECRL digantung, kalau tak kerajaan kena tanggung lebih kurang 1 bilion setahun

Selepas dah diumumkan kos sebenar tu, keesokannya pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dah memberi notis kepada kontraktor utama projek, CCCC untuk menggantung semua kerja projek ECRL. Pihak CCCC agak kesal tapi tetap menghormati dan mematuhi undang-undang negara ini. Manakala pihak MRL mengatakan penggantungan berterusan hingga diberitahu balik nanti. Turut diingatkan penggantungan ini tak bermakna projek ini dibatalkan.

Untuk rundingan dengan China, utusan khas PM iaitu Tun Daim dah dihantar terlebih dahulu untuk menemui Menteri Luar China, Wang Yi. Misi Tun Daim itu adalah untuk mengadakan rundingan semula kos projek mega di Malaysia yang melibatan China termasuk ECRL yang dianggap berat sebelah. Dalam bulan yang sama, serbuan dah dibuat oleh pihak SPRM terhadap dua syarikat di sekitar Lembah Klang termasuk yang mengendalikan projek ECRL.

Utusan khas PM sampai dulu sebelum PM. Imej dari Edge Prop.

Lim Guan Eng mengatakan bahawa kalau projek pembinaan ECRL ni tak ditangguhkan, kerajaan perlu menanggung kos operasi antara RM600 juta hingga RM1 bilion setahun. Waktu ini Malaysia dan China belum putuskan sama ada untuk meneruskan projek ECRL atau tak, namun Lim Guan Eng mengakui hubungan Malaysia-China makin rapat selepas lawatan Tun Daim.

Status projek: Jadi dalam tempoh ni kita tahu yang projek ECRL tengah ditangguhkan sebab nak buat rundingan semula…

Kerajaan Malaysia melawat China, ECRL dibatalkan atau tidak?

Pada 17 Ogos 2018, kerajaan Malaysia yang diketuai Tun Mahathir dah buat lawatan 5 hari ke China. Sebelum lawatan ni, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah mengatakan lawatan ni akan membincangkan mengenai status projek ECRL. Jom tengok laporan pasal lawatan ni.

Apa yang pasti, lawatan ni dah menyaksikan lima MoU dipersetujui antara dua negara termasuk pertukaran mata wang, berkaitan pengeksportan buah durian sejuk beku, biofeul yang dihasilkan dari minyak sawit Malaysia, teknologi bitumen dari getah untuk jalan raya dan kerjasama perakaunan serta audit. Mesti korang tertanya-tanya, mana perbincangan pasal projek ECRL?

Mahathir test SUV Proton yang guna arahan suara. Imej dari NST.

Dari lawatan tersebut, dilaporkan status projek ECRL adalah dibatalkan selepas menyampaikan perkara ni kepada pemimpin China. Keputusan pembatalan ni akan menyebabkan Malaysia kena bayar pampasan mengikut rundingan kerajaan terdahulu. Jadi, rundingan akan diteruskan untuk mencari jalan keluar dari projek berkenaan pada kos paling rendah.

“Sepatutnya mesti ada klausa keluar yang adil bagi kedua-dua pihak dalam semua perjanjian. Tetapi dalam hal ini, jika kita batal, kita kena bayar jumlah wang yang banyak,”- Tun Mahathir, petikan dari BH Plus.

Status projek: Batal tapi cari jalan macam mana nak bayar pampasan rendah…

Kenyataan yang mengelirukan, tapi ini jawapan sebenar!

Kalau macam tangguh tadi ada notis penangguhan yang dikeluarkan kepada pihak CCCC. Tapi, untuk pembatalan ni tak ada laporan berita pasal pihak CCCC menerima notis pembatalan. Jadinya, betulkah ianya dah dibatalkan secara rasmi? Nampaknya, walaupun ada kenyataan dibatalkan, projek ECRL belum dibatalkan. Itulah yang disebut oleh Tun Mahathir waktu ditanya wartawan selepas dia selesai merasmikan Townhall bersama Ketua Bahagian BERSATU.

“Jika boleh, kita ingin menggugurkan projek terbabit atau menangguhkannya buat sementara atau kita mencari kaedah lain dengan menyerahkan projek itu kepada pihak lain.

Buat masa ini, kita masih mengkaji sama ada tangguh semua dan cari jalan lain yang tidak akan membebankan kewangan negara.”- Tun Mahathir, petikan dari Harian Metro.

Lukisan kenangan atau jadi kenyataan? Imej dari NST.

Status projek: Masih ditangguhkan. Kaji sama ada boleh bagi pada pihak lain yang lebih menjimatkan…ada yang tawarkan RM10 bilion

Maka, jangan pening-pening. Projek ECRL masih lagi ditangguhkan dari kerja-kerja sebab masih dikaji semula. Nak batal kena bayar pampasan. Nak teruskan kena cari kos yang paling berpatutan. Jadi, sekarang korang undi. Nak ke tak nak projek ECRL ni. Atau nak ke tak nak, lepak mamak…

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT