Sisi lain bandar Taiping yang ditinggalkan dan dilupakan

Mesti anda pernah dengar pasal Taiping kan? Kebanyakkan orang datang ke Taiping untuk bercuti ke Taman Tasik Taiping ataupun Zoo Taiping saja. Sebagai seorang yang membesar di bandar ini, penulis membawa anda melihat sudut lain bandar ini yang jarang dilihat oleh pelancong.

Taiping asalnya merupakan sebuah kawasan perlombongan yang dibuka oleh Long Jaafar dengan nama Klian Pauh. Selepas berlakunya Perang Larut dan temeterainya Perjanjian Pangkor, nama Klian Pauh ditukar kepada Taiping yang bermaksud ‘keamanan yang abadi‘ dalam bahasa Cina.

Walaupun usianya mencecah 150 tahun pada tahun ini, masih banyak tinggalan dari zaman awal Taiping yang masih dapat dilihat hingga sekarang, wujud seiring dengan bangunan-bangunan yang lebih baru.

Menara jam lama Taiping

Contohnya pemandangan menara jam yang pernah dijadikan balai polis dan balai bomba pada zaman British ni. Rumah-rumah kedai lama, bangunan tinggi, dan menara jam kelihatan tidak janggal bergabung dalam satu sudut pandang.

Sebagai saksi kaku perubahan Taiping selama lebih satu kurun, pasti banyak yang boleh diceritakan menara jam sekiranya ia dapat berkata-kata. Penulis sendiri, walaupun masih muda, dapat melihat sendiri perubahan di bandar Taiping sepanjang membesar di sini.

Contohnya…

Dengan peralihan zaman, stesen bas Taiping kini terbiar

Sebagai sebuah bandar lama, Taiping menyimpan banyak kisah bagi orang yang pernah membesar di sini dan bagi yang pernah bergantung pada perkhidmatan bas awam, terutamanya mereka yang sering ke perantauan, semestinya ada kenangan pahit manis di stesen bas Taiping.

Stesen ini dahulunya berfungsi sama seperti Hentian Amanjaya di Ipoh mahupun Terminal Bersepadu Selatan di Selangor yang mana menjadi hentian utama bagi bas-bas ekspress di samping bas awam. Dengan pembinaan Terminal Bas Kamunting Raya di Kamunting, operasi bas ekspress telah beralih ke sana dan tidak lagi masuk ke Taiping.

Walaupun bas ekspress kini dilarang untuk masuk ke bandar Taiping, perkhidmatan bas henti-henti dalam bandar masih ada, sungguhpun tidak sepopular dulu.

Bas-bas yang kini tersadai

Anda mungkin pernah nampak ‘Bas Merah‘ seperti dalam gambar ketika di Taiping. Bas ini sudah pasti menyimpan nostalgia bagi mereka yang lahir sebelum tahun 2000. Mereka yang menaiki bas ini mesti pernah berdiri berjam-jam menunggu ketibaan bas ini di tepi jalan sepanjang laluan yang dilaluinya.

Konduktor bas akan memberikan tiket kecil dengan harga yang berpatutan pada ketika itu. Mereka yang mahu turun boleh menekan loceng apabila tiba di lokasi yang hendak dituju. Boleh dikatakan bas ini sentiasa penuh dengan penumpang sepanjang masa terutamanya pada musim perayaan. Jika anda ingin mengimbau nostalgia atau mengetahui sejarah bas ini dengan lebih lanjut anda boleh baca di sini.

Dengan harga kereta yang mampu untuk dimiliki oleh orang ramai, kelibat bas merah ini semakin jarang dilihat di jalanan. Dahulunya ia menjadi pengangkutan utama warga Taiping dan kawasan sekitar kerana jangkauan perkhidmatannya sehingga ke pekan dan bandar berhampiran.

Walaupun bas ini telah ditukar kepada model baru yang lebih kecil, tapi dengan kurangnya penumpang, ‘bas merah’ ini kebanyakkannya tersadai di Stesen Bas Taiping.

‘Relik’ zaman 90an yang terbiar

Kini, stesen bas Taiping sepi tanpa pengunjung, namun saksi-saksi kaku zaman kegemilangannya masih setia di sini. Contohnya telefon-telefon awam yang menghiasi satu sudut di stesen bas ini.

Telefon awam yang tidak lagi digunakan

Kotoran dan kesan jari di dinding putih belakang telefon awam ini memberi bayangan betapa ramai yang pernah bergayut di sini dan betapa sibuknya sudut stesen ini suatu masa dahulu dengan pengunjung menelefon untuk bertanyakan jalan, untuk memberitahu yang mereka sudah selamat sampai, untuk mengucapkan selamat tinggal, dan mungkin juga melepaskan rindu.

Sungguhpun telefon-telefon awam ini kini terbiar dengan kemunculan telefon bimbit, ia tidak kelihatan terlalu diabaikan. Sawang dan debu kelihatan kurang, dan walaupun ada surat khabar lama terselit di atas satu telefon, kesan notis dan iklan yang dibersihkan dari dinding membayangkan ada yang masih menjaga ‘relik’ zaman 90an ini.

Peti lagu (jukebox) yang kini terbiar

Berhadapan dengan telefon awam di atas, terdapat sebuah peti lagu ataupun jukebox. Sekitar tahun 80-90an, alat ini ini sentiasa dikerumuni oleh golongan penggemar muzik sambil melepak dan menunggu bas mereka tiba. Dengan hanya 20 sen satu lagu, terdapat banyak lagu-lagu popular pada ketika itu dimainkan sambil-sambil menunggu waktu untuk bertolak ke destinasi masing-masing.

Kini, peti lagu ini tidak lagi digunakan malah mungkin saja tiada siapa lagi yang tahu kewujudannya terutamanya generasi muda. Keadaan peti lagu ini tidaklah terlalu teruk dan kelihatan masih lagi terjaga sama seperti telefon awam di hadapannya.

Mungkin ada diantara anda yang pernah mendengar lagu-lagu ini

Bangunan yang sepi tanpa pengunjung

Mungkin ada di antara anda yang pernah datang ke Taiping pernah makan Mee Combat, Satay Basri ataupun popia di Casual Market atau orang tempatan panggil bawah Supermarket Larut Matang.

Kenapa bawah supermarket? Sebab dulu, di bahagian atas bangunan ini terdapat sebuah pasaraya bernama Supermarket Larut Matang. Selepas pasaraya ini tutup, ia diubahsuai menjadi lot-lot kedai yang kebanyakannya menjual pakaian dan juga kedai jahit. Kawasan tangga bagunan ini juga pernah menjadi lokasi pengambaran salah satu babak dalam filem Rock Bro.

Lokasi ini pernah menjadi lokasi pengambaran filem Rock Bro
Salah satu babak filem Rock Bro

Jika bahagian bawah masih lagi ramai dengan orang yang datang untuk mencari makanan, bahagian atas bangunan ini kini sepi dengan bilangan pengunjung yang boleh dikira dengan jari.

Sekitar tahun 70an-90an di kawasan ini juga sangat meriah dengan pasar malam dan pasaraya. Boleh dikatakan lokasi ini seperti ‘Bukit Bintang’ pada zaman kegemilangannya. Lokasi ini juga berhampiran dengan stesen bas, arked MARA, dan juga pasaraya menjadi tumpuan golongan muda untuk melepak dan bersosial di hujung minggu.

Malah, McDonalds pertama di Taiping juga dibuka di bangunan pasaraya di kawasan ini.

Kawasan ini pernah meriah kerana berhampiran dengan stesen bas, pasaraya, arked MARA dan juga pusat penjaja.

Bazar raya yang diadakan setiap tahun juga tidak lagi semeriah dahulu. Mungkin tidak bagi pelancong tapi bagi mereka yang pernah melalui zaman itu, pasti akan merasai perkara tersebut. Setiap tahun, seminggu atau dua minggu sebelum hari raya Aidilfitri, akan ada sebuah bazar raya dibuka di sepanjang laluan ini yang menjual baju raya dan juga pelbagai barangan lain.

Waktu itu, dapat dilihat kemeriahan suasana orang ramai memilih baju dan kuih raya sambil lagu-lagu raya di mainkan melalui pembesar suara. Bazar ini selalunya menjadi pilihan utama penduduk di sekitar Taiping kerana banyak pilihan pakaian.

Tetapi, dengan harga pakaian yang agak mahal, pilihan yang terhad dan juga kewujudan kedai-kedai dalam talian, bazar raya yang dibuka di sini semakin kurang dikunjungi.

Bazar ini juga sebahagian daripada bazar raya yang diadakan setiap tahun

Dengan kewujudan beberapa buah pusat beli-belah yang lebih moden di sekitar Taiping mungkin menjadi punca mengapa kawasan-kawasan ini tidak lagi menjadi tumpuan penduduk terutamanya generasi muda. Golongan muda lebih memilih untuk pergi ke pusat beli-belah yang berhawa dingin dan berhampiran dengan kediaman mereka.

Bandar yang kini suram

Sebagai seorang yang membesar di bandar ini, penulis merasakan bahawa bandar ini semakin suram berbanding dahulu. Kawasan-kawasan yang dahulunya menjadi tumpuan orang ramai kini sepi, tiada lagi kelihatan orang berjalan di sekitar kawasan tersebut dan membuatkannya kelihatan tidak lagi bernyawa.

Bagi mereka yang membesar, tinggal mahupun pernah mengunjungi Taiping di era 70-an hingga awal 2000, mungkin anda dapat melihat perbezaan yang ketara antara waktu tersebut dan sekarang. Terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam masa beberapa tahun ini.

Lorong yang sepi walaupun pusat penjaja dibawah dipenuhi orang

Dengan ruang yang semakin kurang, banyak pembangunan baru kini beralih ke Kamunting. Kewujudan mall besar seperti Aeon di sana dan beberapa buah pasaraya besar, peranan Taiping sebagai pusat tumpuan mula diambil alih oleh Kamunting sedikit demi sedikit.

Mungkin sukar bagi Taiping untuk kembali meriah seperti dahulu dengan faktor populasi berusia yang semakin meningkat dan ramai golongan muda yang keluar mencari rezeki di negeri lain. Tetapi penulis yakin yang bandar ini masih mampu menempuh peredaran zaman tanpa dilupakan kewujudannya.