- 670Share sekarang!
- Email6
- Facebook664
- Share
Setiap manusia mempunyai kecantikan dan keunikan tersendiri. Perbezaan kewujudan kaum dan etnik di seluruh dunia memang jelas dari sudut budaya dan bahasa. Tak terlepas juga, setiap kaum dan etnik ini memiliki penampilan fizikal yang berlainan sama ada mata, hidung, dan lain-lain.
Kalau korang pernah pergi melancong atau pun tengok filem, kita boleh sedar akan perbezaan ini. Orang putih ada bentuk mukanya yang tersendiri. Begitu juga, orang Asia seperti Jepun dan Korea Selatan dalam drama yang hari-hari korang layan tu.
Daripada semua anggota fizikal, bahagian hidung adalah yang paling banyak mengambil perhatian. Ini kerana terbukti pembedahan mengubah bentuk hidung sangat banyak dengan memilih prosedur pembedahan rhinoplasty.
Pada tahun 2006, lebih 307,000 orang di Amerika Syarikat melakukan pembedahan hidung rhinoplasty. Nampaknya, pembedahan hidung jenis ni bukan je popular di negara benua lain. Ini kerana di rantau kita seperti negara Indonesia, sebanyak 40% pembedahan akan melibatkan rhinoplasty di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta dari tahun 2005 hingga 2006.
Dalam rantau kita yang dikira Nusantara ini, nampaknya hal bentuk fizikal hidung menjadi satu aset yang penting bagi seseorang. Maka sebab tu lah elok kiranya kita membincang hal bentuk hidung kaum Melayu di Nusantara ini berdasarkan kajian yang pernah dilakukan.
Bahagian tertentu hidung keturunan wanita Minangkabau, Jawa, Aceh, Sunda, Riau dan Bugis sama bentuk dengan orang Cina
(Sub topik ini banyak merujuk kajian bertajuk Morphometry of Deutero Malay Female Nose)
Di negara saudara kita Indonesia, mereka terdiri daripada dua bangsa utama (sub races) iaitu Melayu Proto dan Melayu Deutero. Melayu Proto dipercayai sebagai bangsa Melayu pertama yang memasuki kawasan yang kini dikenali Indonesia melalui semenanjung Asia. Ia mengikuti gelombang migrasi di antara tahun 2500 hingga 1500 BC.
Pada migrasi kedua yang berlaku lebih kurang tahun 300 BC, datang pula Melayu Deutero. Ia kemudian berkembang menjadi orang Aceh, Jawa, Sunda, Minangkabau, Bugis dan sebahagian Tamiang, Melayu Deli, Jambi, Bengkulu, Palembang, Makassar, Bali dan Sasak. Meskipun orang Melayu Deutero berselarak menjadi bahagian berbeza di Nusantara, namun mereka semua mewarisi ciri-ciri fizikal nenek moyang yang sama.
Oleh sebab itu, Melayu Deutero perlu dilihat sebagai keseluruhan dalam menentukan bentuk ciri fizikal mereka termasuk hidung. Dalam satu kajian, seramai 131 orang wanita telah dipilih untuk diukur saiz hidung mereka. Mereka terdiri dari etnik yang pelbagai di bawah Melayu Deutero.
Beberapa ukuran pada bahagian hidung telah diambil kira. Ini termasuklah bahagian lebar interchantal dan lebar alar seperti di bawah.
Kiraan dari bahagian tepi hidung turut diambil kira untuk melangkapkan lagi ciri-ciri fizikal hidung Melayu Deutero.
Bahagian depan dan tepi sudah. Tak lupa juga bahagian tapak hidung yang hanya boleh dikira apabila seseorang itu mendongak seperti di bawah.
Setelah diukur kesemua 131 orang wanita dari etnik di bawah Melayu Deutero itu tadi, maka saiz secara purata pun dapat direkodkan untuk semua bahagian hidung yang diukur.
Maka, disimpulkan bahawa ukuran hidung wanita Melayu Deutero pada bahagian tertentu seperti lebar intercanthal, lebar alar, panjang hidung (length of the nose), pronasion projection, and tip angle sama dengan orang Oriental/Cina. Manakala pada bahagian nasofrontal angle, nasofacial angle dan nasolabial angle, ia lebih lebar berbanding orang Cina. Serta mempunyai nasion projection yang lebih pendek.
Hidung wanita suku Bugis lebih kecil berbanding wanita suku Jawa
(Sub topik ini banyak merujuk kajian bertajuk Analisis Ukuran Dan Bentuk Hidung Wanita Suku Melayu)
Sebenarnya, memang dah dibuktikan bahawa jelas terdapat perbezaan pada bentuk hidung orang Asia dan orang putih (Caucasian). Dan di antara orang Asia sendiri pula juga, ada sedikit perbezaan mengikut kaum dan etnik tertentu. Contohnya macam orang Melayu di Malaysia sendiri yang mempunyai pelbagai suku seperti Bugis, Jawa, Minangkabau dan lain-lain.
Suatu kajian telah dibuat oleh para pengkaji Universiti Sains Malaysia (USM) melibatkan seramai 20 orang peserta wanita dari negeri Johor untuk dikaji bentuk hidung mereka. Sepuluh orang dari keturunan Jawa dan sepuluh orang lagi dari keturunan Bugis berumur di antara 18 hingga 40 tahun.
Antara syarat lain adalah peserta tidak mempunyai kecacatan kraniofasial, tidak ada pembedahan plastik atau rekonstruktif sebelumnya dan tidak ada trauma besar pada wajah.
Keputusan kajian ni menunjukkan hidung wanita Bugis lebih kecil dan mancung berbanding wanita Jawa.
“Hasil kajian ini lebih dipercayai kerana bergantung pada pendekatan analisis morfometri geometri yang kuat. Disimpulkan bahawa hidung wanita Bugis lebih kecil daripada hidung Jawa, terutama di kawasan hidung atas dan bawah.” – Petikan dari kajian
Meraikan perbezaan semua sama ada fizikal, adat dan budaya
Kalau bentuk hidung orang benua lain memang dah semestinya berbeza, inikan pula hidung sesama etnik dalam negara sendiri. Sebab itulah selain dari bahasa dan dialek, bentuk muka adalah contoh yang membezakan etnik-etnik dalam negara ini.
Kita sendiri pun tak sedar akan perbezaan ini kadang-kadang kerana kita dah biasa hidup bersama. Hidup aman damai dan harmoni. Kalau korang nak tahu, dalam sejarah dunia, pernah je perbezaan fizikal memisahkan dua kaum dalam satu negara hingga berlaku pembunuhan beramai-ramai.
Sebenarnya, mereka (Hutu dan Tutsi) bertutur dalam bahasa yang sama, Kinyarwanda, makan makanan yang sama, pergi ke sekolah yang sama, mencari pasukan bola sepak yang sama, dan dalam banyak kes, berkahwin dan membesarkan anak-anak bersama-sama. – Petikan dari National Geographic
Di Rwanda, kaum Hutu dan Tutsi telah berperang sesama mereka hingga berjuta orang mati atas faktor kuasa dan politik. Namun, apa yang mengejutkan, dua kaum ini dibezakan dengan hanya bentuk fizikal pada badan. Contohnya, “kau kaum Hutu kalau hidung lebar”.
Oleh sebab itu, di negara kita yang berdaulat ini, keharmonian dan kesepaduan kita meraikan perbezaan sama ada bentuk fizikal, adat dan budaya adalah sangat penting. Biar pun ia diuji dari politik dan kekuasaan.
- 670Share sekarang!
- Email6
- Facebook664
- Share