Seorang kerabat diraja pernah failkan saman untuk tuntut takhta. Apa hasilnya?

“Ala la la latok, ala la la latok jangan saman!” – mungkin ramai yang pernah dengar lagu ni. Tapi fokus utama lagu ni adalah pasal rayuan korang kepada polis yang saman korang sebab langgar peraturan traffik. Buat masa sekarang ni, saman untuk takde road tax adalah RM100 untuk kesalahan pertama, langgar lampu merah (RM100), guna hand-phone masa bawa kereta (RM200) dan tak pakai tali pinggang keledar (RM300).

Tapi kadar saman yang kitorang nak cerita ni lebih tinggi dari saman trafik. Saman tu adalah saman fitnah! Sebabnya, kalau korang kalah saman fitnah ni, memang menangislah korang nak bayar. Tengok je macam Papagomo yang terpaksa bayar ganti rugi sebanyak RM951,260.30 kat Anwar Ibrahim sebab kalah dalam saman fitnah yang dikemukakan Anwar.

Tak lama lepas tu, kita dengar pulak yang Presiden PKR (Wan Azizah) dan dua yang lain diarahkan mahkamah untuk bayar RM2 juta kepada FELDA sebab kalah dalam saman fitnah. 

Sabar ye Kak Wan~~~ Imej dari mStar.

Tapi kita faham ke apa yang dimaksudkan dengan saman?

Tak wujud saman malu dalam undang-undang

Sebenarnya, perkataan saman tu berasal dari perkataan ‘summon’ iaitu seru. Maknanya, menyeru orang ke mahkamah.

“Saman hanyalah dokumen untuk menyeru/memanggil seseorang datang ke mahkamah bagi tujuan menghadiri prosiding sivil… Saman adalah cara untuk memulakan prosiding sivil (undang-undang tort) di mahkamah.” – Dr Hazmi Rusli, Universiti Sains Islam Malaysia.

Menurut Dr Hazmi lagi, kita juga kena ingat yang prosiding sivil bukan prosiding jenayah. Sivil adalah kes yang libatkan dua individu (plaintif dan defenden) untuk kesalahan tort kebiasaannya. Manakala, prosiding jenayah pulak melibatkan kes di antara tertuduh (defendan)  dengan pihak pendakwaraya. Saman polis, JPJ atau sebagainya tu pulak bukan saman sebenarnya, tapi lebih tepat dipanggil sebagai kompaun. 

Imej asal dari beetify.com

Selain saman fitnah, mungkin kita juga biasa dengar pasal saman malu. Sebenarnya kalau ikut undang-undang, tak wujud apa yang disebut sebagai saman malu. Tapi yang ada cuma saman fitnah.

Secara mudahnya, saman fitnah ni boleh jadi bila nama baik seseorang atau sesebuah organisasi tu dicemarkan dengan fitnah. Jadinya, saman fitnah difailkan untuk bersihkan nama baik. Fitnah juga adalah kesalahan jenayah yang membolehkan seseorang pemfitnah tu dipenjara dua tahun atau didenda.

“Secara ringkasnya, dalam mempertimbangkan saman fitnah, mahkamah akan melihat tiga perkara. Pertama, plaintif haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa ungkapan yang dikeluarkan oleh defendan adalah fitnah.

Kedua, fitnah tersebut perlulah disiarkan kepada pihak ketiga. Perkara terakhir, plaintif harus menunjukkan bahawa beliau telah mengalami kerugian akibat daripada kenyataan fitnah tersebut.” – Fatihah Jamhari, pengamal undang-undang. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Imej dari dululainsekaranglain.com

Tapi bukan semua benda tak betul yang dikatakan kepada kita tu fitnah. Contohnya, kalau kita pakai baju warna merah dan ada orang kata kita pakai baju warna biru, walaupun tu salah tapi ia tak dianggap sebagai fitnah. Sebabnya, ia masih lagi tak jejaskan maruah atau nama baik kita.

Jadinya, kami cuba senaraikan beberapa kes yang pernah jadi kat Malaysia ni. Dan macam mana kes ni diselesaikan. Sebabnya, sekarang ni kita pun kadang-kadang tu keliru sama ada sesuatu perkara tu betul atau hanya fitnah.

Sebab tu lah orang kata, kerja kena ikhlas. Imej dari Giphy.

Seorang kerabat diraja failkan tuntutan saman untuk tuntut takhta Terengganu

Mungkin hal ni agak sensitif sikit untuk diceritakan. Tapi itulah yang berlaku kat Terengganu apabila Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim memfailkan tuntutan saman bagi menuntut takhta Sultan Terengganu. Tengku Sulaiman adalah cucu sulung kepada Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman.

Menurut Tengku Sulaiman, pada 26 September 1942, Tengku Ali menduduki takhta kerajaan Terengganu disebabkan kemangkatan ayahanda baginda – Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Tengku Sulaiman (tengah) berbincang sesuatu dengan peguamnya T Mura Raju (kanan). Imej dari Sinar Harian.

Tapi nampaknya, Tengku Ali diturunkan takhta pada 5 November 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu. Seterusnya, bapa saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah dilantik sebagai Sultan Terengganu.

“Menurut pernyataan tuntutan itu, anak sulung Tengku Ali, Tengku Abdul Halim Tengku Ali, yang ketika itu berusia 11 tahun, sepatutnya menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu. Tengku Sulaiman mendakwa sebagai cucu sulung kepada Tengku Ali, beliau mempunyai hak ke atas takhta Terengganu.” – Dipetik dari mStar.

Imej dari tahamas.blogspot

Tapi nampaknya, Mahkamah Tinggi membatalkan permohonan Tengku Sulaiman untuk diisytiharkan sebagai pewaris sah takhta Terengganu. Pada November lepas pula, Mahkamah Rayuan menolak rayuan beliau supaya kes tuntutan saman ni dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Kes saman fitnah terhadap media, ada yang menang saman sampai RM7 juta!

Dalam hidup kita ni, untuk dapatkan sesuatu berita atau informasi, antara yang jadi rujukan adalah berita-berita yang disiarkan oleh akhbar, TV, portal berita dan sebagainya. Tapi kadang-kadang tu, maklumat yang disampaikan, bukanlah selalunya tepat atau memuaskan semua pihak.

Jadinya, ada di antara pihak-pihak tertentu yang saman pihak media. Jadi, ada yang kalah dan ada yang menang. Antara kes yang popular adalah:

Mat Sabu kalah dalam kes saman Utusan

Pada 2 Mei lepas, mahkamah tolak saman Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Mat Sabu)  terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. Mat Sabu sebelum tu dakwa yang Utusan terbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya berkaitan dengan isu serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

“Hakim Datuk Seri Zakaria Sam (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan menolak saman tersebut dengan kos RM70,000 perlu dibayar oleh Mohamad atau Mat Sabu selaku plaintif terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak yang dinamakan sebagai defendan pertama dan UMMB defendan kedua.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Imej dari pemudaselempangmerah.blogspot

Tapi tak lama lepas kalah saman ni, Mat Sabu menang pulak dalam kes berasingan yang mendakwanya memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong. Mahkamah Rayuan dalam kehakimannya mendapati Mat Sabu tak bersalah dan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie (bukti yang munasabah). 

Nizar menang dalam kes saman Utusan dan TV3

Tapi pada tahun 2013, mahkamah dah putuskan yang Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak) menang dalam kes samannya terhadap Utusan. Utusan juga diarahkan bayar ganti rugi sebanyak RM250 ribu kepada Nizar.

Sebelum tu, Utusan Malaysia ada siarkan artikel pasal kritikan Nizar terhadap Sultan Johor yang beli nombor plat WWW1. Tapi nampaknya mahkamah dapati Utusan dah gagal amalkan etika kewartawanan yang bertanggungjawab dalam melaporkan berita itu.

“Kita mungkin boleh mempersoalkan kewajaran tindakan plaintif yang mengkritik baginda Sultan Johor dalam pembelian nombor plat WWW 1, tetapi ini tidak bermakna defendan dibenarkan oleh undang-undang untuk memesong dan membuat laporan tidak benar yang bersifat fitnah ke atas plaintif.” – Hakim Rosnaini Saub, dipetik dari Sinar Harian.

Imej dari imgflip.com

Dalam kes yang sama, Nizar juga saman TV3, sebab dakwa TV tu dah memfitnahnya. Nampaknya Nizar menang sekali lagi, bila mahkamah arahkan TV3 bayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Nizar.

Tapi mungkin ada di kalangan korang yang dah tak berapa ingat dengan Nizar ni. Pada tahun 2009, namanya jadi popular bila terjadi ‘krisis politik Perak’. Dalam krisis tu, Nizar dah tersingkir dari jawatan MB Perak lepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Perak bertindak keluar parti dan jadi bebas.

Diorang ni pulak lepas tu isytihar sokong BN. Jadinya, Pakatan Rakyat tak dapat sokongan majoriti dalam DUN dan menjadikan BN menguasai DUN Perak. Zambry Abdul Kadir dari BN kemudiannya dilantik sebagai MB yang baru.

Ini dulu, sekarang AMANAH. Imej dari waktusolat.net
Vincent Tan menang saman RM7 juta, terhadap sebuah majalah

Siapa yang tak kenal dengan jutawan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang juga Pengerusi Eksekutif Berjaya Corp Bhd (BCorp). Tapi bila dah jadi jutawan ni, tak bermakna korang akan terlepas dari fitnah. Itulah yang dihadapi oleh Vincent Tan.

Imej dari Daily Star.

Pada tahun 2000, mahkamah dah mengarahkan ganti rugi sebanyak RM7 juta kepada Vincent, kesan dari samannya terhadap sebuah majalah yang siarkan empat artikel berbaur fitnah. Artikel-artikel tu disiarkan oleh majalah Malaysian Industry pada tahun 1993 dan 1994.

“Mahkamah telah mengarahkan pencetak membayar RM2 juta kepada Tan sebagai ganti rugi am dan teruk, dua wartawan pula membayar RM3 juta sebagai ganti rugi am, dan penerbit membayar RM2 juta sebagai ganti rugi am.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Pada tahun 2006 pula, Vincent setuju untuk selesaikan satu kes saman fitnah bernilai RM450 juta di luar mahkamah. Sebelum itu, Vincent dah memfailkan saman fitnah terhadap Star Papyrus Printing sebanyak RM200 juta, manakala terhadap Prof Jomo Kwame Sundram (pakar ekonomi) sebanyak RM250 juta.

Masa kat majlis birthday Dr Mahathir. Imej dari tv14.my

Mungkin ada yang perasan, banyak kes saman fitnah ni ditujukan kepada Utusan dan TV3. Tapi sebenarnya bukan dua media ni je, ada juga media-media lain yang pernah kena saman. Macam Harakah yang pernah kena saman dengan Ummi Hafilda (adik Azmin Ali) dan saman fitnah Perdana Menteri – Datuk Seri Najib Razak terhadap Malaysiakini.

Kes saman fitnah antara ahli politik – ada yang sampai RM100 juta!

Dekat Malaysia ni, antara kes saman yang popular adalah kes saman antara ahli-ahli politik. Sebabnya, kes macam inilah yang selalunya dapat perhatian media dan masyarakat. Sebenarnya banyak kes saman antara ahli politik ni, jadinya kitorang tak dapatlah senaraikan satu-satu. Oleh tu, kitorang hanya cerita yang terpilih je macam:

Difitnah terlibat dalam kes nahas kapal terbang, bekas Ketua Menteri Sabah fail saman fitnah

Pada tahun 1976, dah berlaku satu tragedi yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan beberapa orang lagi menteri kabinet Sabah. Tragedi itu dikenali sebagai tragedi ‘Double Six’ iaitu apabila sebuah kapal terbang yang membawa Tun Fuad dan beberapa menteri terhempas masa menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Imej dari frednk.blogspot

Selepas kejadian itu, jawatan Ketua Menteri Sabah diberikan kepada Tan Sri Harris Salleh. Tapi kontroversi mula muncul bila Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mengaitkan Harris dalam kes itu.

Disebabkan perkara tu, Harris failkan saman fitnah terhadap Yong Teck Lee. Pada tahun 2012, Harris menang dalam saman tu dan Mahkamah Tinggi arahkan Yong supaya bayar ganti rugi sebanyak RM1 juta.

“Katanya beliau (hakim) mendapati perkataan “jenayah” dan “pembunuhan” yang digunakan oleh Yong adalah satu fitnah terhadap Harris, yang mencetuskan spekulasi kononnya Harris tahu lebih awal bahawa sesuatu yang buruk akan menimpa pesawat jenis Nomad itu dan beliau (Harris) membiarkan Tun Fuad mati agar beliau dapat menjadi Ketua Menteri Sabah.” – Dipetik dari mStar.

Harris Salleh (kiri). Imej dari classicbookshelf.com

Tapi kes ni tak selesaikan kat sini je, sebab ia kemudiannya dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Walaupun begitu, Mahkamah Persekutuan tetap kekal dengan keputusan Mahkamah Tinggi, bahawa Yong dah memfitnah Harris. Bagaimanapun, jumlah ganti rugi dikurangkan kepada RM600 ribu. 

Tuduh Anwar ‘main belakang’, Khairy disaman RM100 juta!

Pada 29 September lepas, Mahkamah Tinggi mendapati Khairy Jamaluddin bersalah kerana memfitnah pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim. Hal ni jadi bila Anwar failkan saman fitnah sebanyak RM100 juta terhadap Khairy yang kata – “Anwar main dua-dua ikut belakang….” pada tahun 2008.

Imej dari thesundaily.my

Tapi jumlah saman tu taklah sampai RM100 juta, sebab mahkamah hanya arahkan Khairy bayar ganti rugi sebanyak  RM150 ribu kepada Anwar. Khairy juga diperintah bayar kos sebanyak RM60 ribu kepada Anwar. Bila dicampurkan, Khairy kena bayar RM210 ribu kepada Anwar.

Dua orang bekas pemimpin PAS, menyaman sesama sendiri

Mungkin ada yang masih ingat dengan nama Datuk Dr Hassan Ali yang pernah jadi Naib Presiden PAS suatu masa dulu. Disebabkan pergolakan politik di Selangor, Hasan akhirnya dipecat dari PAS pada 2012.

Pada tahun 2015, mahkamah telah memutuskan Hasan menang dalam saman fitnahnya terhadap MP Pokok Sena, Mahfuz Omar yang juga bekas Naib Presiden PAS. Dalam perbicaraan tu, Mahfuz dah diarahkan bayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Hasan. Hal ni jadi lepas, Hasan tuduh Mahfuz memfitnahnya dengan tuduhan keluarkan kenyataan yang berniat jahat.

Hassan Ali bagi ucapan lepas dipecat dari PAS. Turut ada Ibrahim Ali (Perkasa) & Nasharuddin Mat Isa (bekas Timbalan Presiden PAS). Imej dari bigdogdotcom.wordpress

Pada tahun ni pula, bekas pemimpin PAS dan MP Shah Alam pulak menang dalam satu kes saman terhadap Hasan. Kali ni Hasan pulak kena bayar RM200 ribu kepada Khalid Samad. Sebabnya, mahkamah dapati yang Hasan dah keluarkan kenyataan fitnah terhadap Khalid dengan tuduhnya sebagai menggalakkan penjualan arak dan kewujudan rumah-rumah urut di Selangor.

Nampaknya, RM200 ribu yang Hasan dapat dari Mahfuz terpaksa dibagi pulak kepada Khalid Samad. Hmmmm…

Hassan Ali & Khalid Samad suatu masa dulu. Imej dari gelombang-rakyat.blogspot

Akta Fitnah di negara ni perlu diperbaharui

Menurut Prof Salleh Buang (penganalisis undang-undang), Akta Fitnah yang diamalkan di negara ni dah lapuk dan perlu diperbaharui. Ini kerana, banyak negara-negara dunia hari ni dah buat pembaharuan dalam Akta Fitnah mereka. Seperti mana yang jadi kat Kanada.

“Mahkamah Rayuan (Kanada) itu juga menyatakan sekiranya warga media bertindak secara bertanggungjawab bila menyiarkan satu berita atau cerita yang orang awam berhak mengetahuinya, ia masih menikmati pembelaan ini walaupun ada sebahagian faktanya yang tidak betul (ada kesilapan).” – Prof Salleh Buang. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Ingat tu…Imej dari mgflip.com

Selain tu, saman fitnah juga tak boleh jadi penghalang yang besar dalam kebebasan bersuara dan media. Bagaimanapun, kita juga masih kena ingat, walaupun kita ada kebebasan bersuara dan ia dilindungi Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10), tapi ia masih ada lagi sempadan. Kerana itulah, kita kena nikmati kebebasan tu dengan etika dan tanggungjawab.

“Di negara kita, nampaknya sukar bagi pengamal media menikmati perlindungan yang sama dalam tahun-tahun yang mendatang ini… Jika tidak ada apa-apa perubahan, kita akan terus melihat pihak-pihak tertentu yang sambil lantang bersuara memperjuangkan kebebasan akhbar atau kebebasan bersuara

…mereka jugalah orang yang pertama menyaman media bila apa yang disiarkan dalam media dilihat sebagai tidak menyokong atau mendewa-dewakan mereka.” – Prof Salleh Buang, dipetik dari Utusan Malaysia.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.