Selain perli Najib dan Rosmah, ini 4 benda pelik dipersembahkan Drama Band

Persembahan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34, dah pun melabuhkan tirainya. Juaranya adalah Naim Daniel yang mempersembahkan lagu Sumpah. Disebalik kemenangan tu, nampaknya lebih banyak kontroversi yang diperdebatkan.

Antaranya persembahan Aina Abdul yang dikritik oleh Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA) kerana mempersembahkan konsep bunuh diri. Selain tu, kontroversi  persembahan AJL tak terhenti di situ sahaja apabila…

 

Macam kenal. Imej dari Malay Mail

Ya, persembahan kostum ini telah menyinggung pihak tertentu kerana dikatakan menyerupai bekas PM, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor. Ini ditambah lagi dengan latar suara ‘Can I Advise You Something’ yang terkait dengan pendedahan rakaman audio oleh SPRM.

Tapi, kami nak cerita empat perkara pelik yang korang tak bincang dengan lebih terperinci. Ia bermula dengan…

1. Bukan topeng, tapi SFX make up menggunakan karakter Ryuk Death Note

Proses mengenakan make up. Imej dari Gempak

Sebenarnya, vokalis Drama Band, Aepul tidak memakai topeng. Ia hanyalah SFX make-up yang dipakaikan oleh jurusolek bernama Aqira Azlah. SFX make up atau Special Effects Make-up adalah pembuatan efek atau impak yang diakibatkan oleh kejadian yang terjadi kepada tubuh manusia menggunakan make-up.

“Teknik solekan khas ini membantu untuk menampakkan seseorang itu lebih tua, muda, kesan luka, jadi makhluk asing dan sebagainya.

Dan ia berbeza dari yang normal. Sebenarnya ada beberapa jenis kesan khas termasuk lukisan tubuh, kesan khas, teater dan fantasi.” -kata jurusolek, Nor Asmawati yang SOSCILI pernah interviu dulu

 

Artikel terperinci pasal SFX make up. Untuk baca boleh klik pada gambar

Secara ringkasnya, SFX make up ini ada empat jenis iaitu:

  1. Evidence Case macam luka dalam asid burnt 1st degree sampai 3rd degree, parut lama, lebam akibat terkena tembakan
  2. Movie Character pada movie barat yang menggunakan acuan dari silikon, pros-aid, lateks prostethic terutamanya filem seram
  3. SFX airbrushing untuk high fashion dan fantasi
  4. CGI untuk make-up artist di lokasi set penggambaran filem

2. Apa kaitan karakter Ryuk dengan intipati lagu Drama?

Imej dari Twitter Florance Perin

Dan … make-up yang dikenakan kepada vokalis Drama Band itu adalah berdasarkan karakter Ryuk dalam cerita anime Death Note. Tapi, kurang jelas kaitan karakter Ryuk dengan lagu Drama yang dinyanyikan oleh Drama Band.

Sebabnya, karakter Ryuk di Death Note membawa sifat yang lain. Ryuk yang bermaksud ‘kebosanan’ membawa watak seorang dewa kematian (shinigami) yang merasa bosan dengan kewujudannya. Jadi, dia telah mencuri satu Nota Kematian, lalu meninggalkannya di dunia manusia untuk seseorang menjumpainya.

Manakala, lagu Drama ini pula isinya membawa cerita seseorang penuh drama serta hidup dalam penipuan. Jadinya, tak berapa nampak sangat kaitan penggunaan karakter Ryuk dengan lagu ini sebenarnya.

Watak sebenar Ryuk suka makan epal

Tapi bila difikirkan balik, mungkin watak Ryuk ini digunakan untuk mematikan drama-drama manusia yang membosankan ini? Atau ada simbolik lain?

3. Tapi … jika karakter Ryuk sebagai simbolik bintang rock, ia relevan

Pelukis karakter Ryuk. Imej dari Fandom

Kalau ramai yang belum tahu, pelukis watak Ryuk ini adalah Takeshi Obata. Sewaktu melukiskan karakter Ryuk dan watak dewa kematian lain dalam Death Note, dia memilih untuk mereka bentuk watak-watak itu dengan gaya bintang rock yang menarik.

Namun idea ini pada asalnya ditolak oleh penyuntingnya. Kerana Ryuk bakal menjadi watak utama Death Note yang bukan manusia. Tapi, dalam perincian lukisan Ryuk, elemen bintang rock masih digunakan apabila Ryuk dikenakan dengan pakaian rock heavy metal.

Kalau nak diikutkan, Drama Band memang ada buat lagu rock. Walaupun tak pernah menang Lagu Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM), tapi pernahlah karya mereka tercalon pada edisi 2013/2014 melalui lagu bertajuk Jiwa.

Sepanjang berkarya, memang ada lagu genre rock yang mereka cipta, namun kalau tengok pada gambar di atas, secara umumnya genre lagu yang dibawa adalah pop. Muzik pop memasukkan elemen rock, hip hop, reggae, tarian, R & B, jazz, elektronik, dan kadang-kadang muzik rakyat dan pelbagai gaya lain.

Jadi, kalau nak bawa simbolik bintang rock melalui karakter Ryuk, mungkin masih belum kesampaian lagi berdasarkan genre dan pencapaian lagu rock-nya.

4. Perli artis bernama Nabila Razali dalam video muzik, tapi tidak di AJL

Pada persembahan di AJL kali ke-34 ini, ada beberapa karakter yang dibawa di pentas persembahan. Dikatakan, antaranya karakter mirip artis Haqiem Rosli, seorang pemenang Dewi Remaja yang dilucutkan anugerahnya, PU Abu dengan isteri dan bekas isterinya, Da’i Farhan bersama isterinya serta bekas PM, Najib Razak dan isterinya.

Sebelum persembahan AJL ni lagi, sebenarnya, video muzik lagu Drama dah pun menjadi panas sewaktu dilancarkan di Youtube pada 15 Februari 2019. Bagi yang belum tengok, boleh tengok kat bawah ni.

 

 

Dalam video ini, dikatakan telah memerli tiga orang artis iaitu Haqiem Rusli, Nabila Razali dan Haneesya Hanee (Dewi Remaja). Kenapa?

Kalau dilihat pada video muzik itu, karakter seakan-akan Haqiem Rusli itu sedang menaip di google search “how to fake depression for dummies”. Sebelum ini, Haqiem Rusli pernah mengakui bahawa dia mengalami mild depression kerana beberapa faktor. Namun, ada yang mengaitkan ia sebagai gimik untuk dia mempromosi single berjudul Selamat Tinggal Sayang. Walaupun begitu, dia menafikannya.

Di dalam video muzik itu juga ada karakter seakan-akan Nabila Razali. Sebelum ni, dia pernah mengakui sengaja mencipta drama di media sosial dengan menulis kapsyen seakan-akan sedang mengenali seseorang. Ia bertujuan untuk memudahkan peminat memahami erti di sebalik lagunya Pematah Hati.

Dan seterusnya, karakter mirip juara Dewi Remaja Haneesya Hanee juga menjadikan video muzik ini kontroversi. Untuk yang tak tahu, memang pernah tersebar video Haneesya Hanee di sebuah kelab malam sambil memegang arak. Ini menyebabkan penganjur Dewi Remaja menarik balik gelaran itu kepadanya.

Haneesya memulangkan semula mahkota tersebut. Imej dari Kisah Artis

Daripada ketiga-tiga artis yang dikatakan diperli, hanya Haqiem Rusli dan Haneesya yang mengkritik video muzik Drama Band itu kerana dikaitkan dengan buli siber. Tapi tidak pula Nabila Razali.

Dan macam yang kita tengok, pada persembahan Drama Band di AJL, hanya karakter mirip Haqiem Rusli dam Haneesya Hanee sahaja yang dipersembahkan ditambah dengan beberapa karakter yang pada asalnya tiada pada video muzik itu.

Ada yang melihat ia seni satira, bagi sesetengah pihak ia melanggar sensitiviti

Selepas dipuji dan dikecam hebat oleh pihak tertentu, Drama Band telah pun membuat permohonan maaf. Namun vokalisnya, Aepul Roza mempertahankan persembahan itu sebagai kritikan sosial yang disampaikan dalam bentuk satira.

“Kepada yang tersinggung, ampunkan kami. Hanya jalan cerita kehidupan, yang kadangkala warnanya tidak kita gemar,” – Aepol Roza, petikan dari Malaysia Kini

Pihak penganjur sebenarnya tak dapat tapis persembahan live kerana mungkin masa raptai lain dan masa persembahan lain. Untuk pihak Media Prima, mereka masih merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menentukan kalau persembahan itu ada melanggar kod tertentu. Jadi, kita hanya boleh nantikan je lah.

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT