Ada sekolah agama ditubuhkan untuk jadi pusat homoseksual dan pedofilia rakyat Nigeria?

Sebelum ni, satu dunia tahu mengenai sebuah kem yang dibina kat Xinjiang, China untuk tahanan etnik Islam Uighur yang dikatakan sebagai kem latihan. Tapi hakikatnya, tahanan kat situ diseksa, didera dan tak bagi tahanan tu hubungi keluarga mereka.

Dan baru-baru ni, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa dan menyeru kerajaan China supaya bebaskan tahanan Uighur tu sempena ulang tahun ke-70 tahun republik tu. Selain tu, ABIM menyeru supaya seluruh dunia Islam berikan tekanan politik kat China supaya mereka bebaskan tahanan muslim tu secepat mungkin.

Tapi, bukan perkara tu yang kami nak bagitahu, sebenarnya ada banyak negara yang dah salah gunakan nama ‘kem’ ataupun ‘sekolah’ sebagai pusat penderaan. Antaranya, baru-baru ni yang terjadi kat ratusan kanak-kanak Nigeria yang ditempatkan di sebuah ‘sekolah agama’ untuk pemulihan tapi sebaliknya pulak yang jadi.

Luaran nampak okay, dalaman hanya mereka yang tahu. Imej dari NYPOST

Boko Haram: Punca banyak keganasan dan larangan berlaku?

Nigeria merupakan sebuah negera yang paling padat kat Afrika dengan penduduknya yang berpecah antara penganut agama Islam dan Kristian. Dan kat sana juga, banyak larangan keagamaan sebab mereka dikuasai dengan keganasan puak Boko Haram. 

Puak Boko Haram dikenali sebagai puak pemisah, ekstremis agama dan militan. Boko Haram ni dikenali sebagai gerakan Islam yang membawa prinsip dan maksud ‘Pendidikan ala Barat adalah Dosa’. Mereka ni akan menyerang dan membunuh orang Kristian yang ada kat Nigeria secara besar-besaran dan jugak menyerang gereja. Tapi, bukan je orang Kristian, malah orang Islam pun lebih banyak dibunuh sebabnya mereka rasa mereka lagi suci daripada orang Islam lain.

Puak militan Boko Haram yang merasakan mereka ni lebih suci. Imej dari Daily Post

Puak Boko Haram ni memang bertindak ganas dan ada kaitan dengan gerakan Al-Qaeda. Mereka jugak adalah gerakan yang akan membuat syarat-syarat tersendiri kat masyarakat yang bukan Islam untuk diterima sebagai orang Islam. Kalau ada orang yang tak patuh dengan syariat yang mereka cipta sendiri, orang-orang tu akan dibunuh. Dan Boko Haram banyak terlibat dengan pemberontakan Islam kat Nigeria. Sebab mereka rasa syariat mereka lagi betul.

Dan daripada situlah banyak kes-kes kontroversi berkaitan agama Islam selalu terjadi. Disebabkan itu, banyak serangan pengganas Boko Haram ni berlaku dan menyebabkan ribuan kematian orang Islam.

Kesan lepas serangan Boko Haram. Imej dari Merdeka.Com

Sebelum ni, Nigeria dah hangat dengan kontroversi yang tak membenarkan pelajar perempuan kat sana bertudung. Mereka mengatakan tudung bukanlah sebahagian daripada pakaian seragam sekolah. Tapi sekarang ni mahkamah dah putuskan supaya semua pelajar boleh bertudung semula berdasarkan hak perlembagaan yang termaktub dalam undang-undang kat sana.

Namun, ada isu lain pulak yang jadi. Baru-baru ni polis Nigeria ada buat serbuan kat satu premis yang menempatkan ratusan orang pelajar yang dikatakan sekolah tu macam ala ala sekolah agama. Ia dikenali sebagai Daru Imam Ahmad Bun Hambal yang dikatakan berfungsi untuk memberikan pendidikan pengajian Islam.

Selain tu, ia jugak dikatakan tempat tersebut merupakan sekolah pemulihan untuk kanak-kanak dan budak lelaki yang bermasalah. Sekolah ni secara fizikalnya dikawal ketat dan tembok-tembok kat situ dikelilingi dawai-dawai besi macam penjara.

Pintu masuk ‘sekolah’ tu. Imej dari FMT

Bila polis buat serbuan kat situ, ada ramai penuntut yang diseksa dan ada yang dirantai kakinya. Daripada serbuan tu, polis berjaya selamatkan lebih kurang 300 orang ‘penuntut’ dengan kebanyakannya kanak-kanak dengan keadaan kakinya dirantai.

Ramai mak ayah di situ ambil keputusan untuk hantar juga anak ke sekolah sebab mereka menaruh kepercayaan yang tinggi di atas nama sekolah Islam yang digunakan. Tapi bila dilaporkan tentang apa yang jadi kat anak mereka kat sana, ada sesetengahnya tak percaya dan ramai jugak sebenarnya yang tak sangka anak mereka didera. 

Kat sana semuanya okay je. GIF dari Giphy

Ibu bapa tak dibenarkan melawat anaknya sendiri dan dibiarkan mengemis

‘Penuntut’ kat situ yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki yang berumur seawal 5 tahun sehingga ke golongan dewasa lelaki yang berusia 50 tahun kebanyakannya didera dengan tahap yang berbeza. Bukan saja didera melalui sebatan dan juga dirantai menggunakan rantai besi, radiator dan tayar, malah mereka jugak jadi mangsa untuk penderaan seksual.

“Mereka mempunyai bekas luka dan beberapa bekas sebatan disebabkan penderaan dan seksaan yang kejam terhadap mereka. Mereka merayu dan meminta supaya mereka dikeluarkan dari tempat itu dan lepas tu mereka telah dipindahkan dari situ.”

“Mangsa didera. Sebahagian daripada mereka melaporkan yang mereka telah diseksa secara seksual oleh guru mereka sendiri.” – Yakubu Sabo, pegawai polis Kaduna, sumber dari New York Post. 

Waktu belajar pun kena rantai. Imej dari Daily Mail

Daripada serbuan polis kat premis tu hasil daripada aduan orang ramai yang mengatakan tempat tu macam buat aktiviti yang mencurigakan, ramai individu yang terus dikejarkan ke hospital disebabkan kecederaan serius dan kritikal yang berpunca daripada penderaan berterusan yang dilakukan. Sampai premis tu digelar sebagai ‘rumah neraka’ oleh tahanan kat sana.

“Waktu saya datang ke sini, ramai yang muntah darah dan ada juga yang tak boleh berdiri. Ada juga yang perlu dibawa ke hospital psikiatri” – Hafsat Baba, kerajaan negeri Kaduna, sumber dari BBC. 

Pusat pengajian ni dikatakan sah dan berdaftar, tapi bila pihak penguatkuasa buat serbuan dan periksa tempat tu, rupanya pusat pengajian tu tak berdaftar dan tak berlesen untuk menjalankan sebarang program reformasi ataupun pendidikan. Tapi, tenaga pengajar kat sana buat kutipan yuran kat ibu bapa yang hantar anak-anak  mereka dengan menyatakan pusat pengajian tersebut mengajar pengajian Islam dan jugak menyerupai pusat pemulihan untuk yang bermasalah. 

Kawasan sekolah yang tak berupa sekolah. Imej dari Daily Mail

Dan kat situ, ibu bapa tak dibenarkan jumpa anak-anak mereka untuk tiga bulan lepas budak-budak tu masuk semula institusi tu. Dan kalau mereka nak melawat anak mereka jugak, waktu lawatan adalah terhad dan berdasarkan ketetapan kat situ. Ada jugak yang sampai terputus hubungan dengan anak mereka.

Berdasarkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), walaupun Nigeria merupakan negara pengeluar minyak yang tinggi, tapi kewangan yang diperolehi dan dibawa masuk oleh kerajaan terjejas disebabkan rasuah. Kat sana, mereka hanya membelanjakan 0.5% daripada keluaran dalam negeri kasar untuk kesihatan dan 1.7% untuk pendidikan; yang merupakan paling rendah di dunia. Dan sebab tu lah, rakyat kat sana ramai yang miskin dan tak berkemampuan. Wujudnya sekolah-sekolah macam ni untuk beri perlindungan kat anak-anak tapi hakikatnya disalah gunakan.

Sekolah dan institusi pengajian Islam kat sana menggunakan sistem almajiri yang digunakan dan dipraktikkan kat sekitar wilayah utara Nigeria. Kawasan tu jugak merupakan kawasan termiskin kat negara tu yang kebanyakan penduduk kat situ berpendapatan kurang dari $2 sehari. Dan disebabkan tu, kebanyakan ibu bapa pilih untuk hantar anak mereka kat sekolah berasrama macam salah satunya kat institusi ni.

Mak ayah yang tunggu tahanan dibebaskan. Imej dari Daily Mail

Sistem pendidikan Almajiri memang popular kat Nigeria yang khas untuk pendidikan berbentuk Islamik. Almajiri diambil daripada perkataan Arab iaitu Al-Muhajirun yang digunakan untuk orang yang meninggalkan rumahnya demi mencari pengetahuan dalam ilmu Islam. Jadi samalah konsepnya macam budak-budak tu yang tinggalkan ibu bapa dan rumah mereka  untuk mempelajari Al-Quran serta patuh kat cikgu mereka.

“Golongan yang mendapat pendidikan Almajiri ni membesar di jalanan tanpa rasa kasih sayang, perlindungan dan bimbingan daripada ibu bapa mereka.

Perjuangannya untuk hidup mendedahkannya kepada penderaan (homoseksual dan pedofilia), dijadikan hamba, mengelirukan mereka dan merekrut mereka untuk aktiviti anti-sosial dan digunakan untuk aktiviti yang merosakkan, kejam dan ganas. Inilah gambaran keadaan yang menyedihkan bagi kanak-kanak Almajiri di Nigeria.” – Prof. Idris A. Abdulqadir, pensyarah Bayero University, Kano, sumber dari Medium. 

Kalau Superman pun dera budak kecil, maka nak harapkan siapa lagi? GIF dari Giphy

Tapi, malangnya, kebanyakan budak-budak yang dihantar ke situ didera oleh cikgu mereka kat sana. Dipaksa untuk buat kerja kotor dan mengemis untuk cari makan sendiri sampai ramai yang kebuluran.

Bekas hukuman dan rotan kat pelajar kat sana. Imej dari BBC

Tarkila: Penderaan yang kejam untuk kesalahan kecil

Mereka percaya sistem pendidikan yang digunakan kat sana boleh mengawal perangai dan disiplin pelajar ataupun tahanan mereka. Dan dalam serbuan tu, seramai 7 orang tenaga pengajar yang dipercayai mendera pelajar-pelajar kat situ dah ditahan. Berdasarkan siasatan pihak penguatkuasa kat sana, mereka bagitahu yang pusat pengajian tu dah lama beroperasi hampir sedekad kalau dilihat secara fizikalnya.

Pelajar kat sana yang baru je mendaftar pun dah dikenakan hukuman. Layanan kat sana sangat kasar. Bagi mereka penderaan dan seksaan yang diberikan digunakan sebagai salah satu bentuk pengajaran disiplin dan untuk pemulihan akhlak. Kalau kat Malaysia, ala-ala sekolah juvana gitu.

Tapi, pelajar kat sana dikenakan denda dan hukuman yang kejam. Sama ada mereka buat salah yang kecik ataupun besar ataupun tak buat apa-apa kesalahan langsung, mereka tetap akan didera. Ada pelajar kat sana bagitahu yang kakinya dirantai selama 3 bulan.

Keadaan mangsa yang dirantai kat situ. Imej dari The Guardian

Dan mereka dibiarkan kelaparan sampai ada yang mati. Walaupun mereka tidur, mereka dikejutkan dengan cara yang kasar iaitu dengan menggunakan rotan. Budak-budak kat situ seawal lima tahun dah kena rantai kakinya. Kalau mereka merancang untuk keluar dari tempat tu, mereka akan dikenakan hukuman yang lagi berat kalau kantoi.

Antara jenis penderaan yang selalu dikenakan kat pelajar-pelajar kat situ adalah penderaan jenis Tarkila. Iaitu dengan menggantung dan ikat pesalah tu macam kumbang. Dan kaki pesalah tak bergerak / tak aktif. Kepala dan badan pesalah tu akan berada kat siling. Dan pesalah dipusingkan dengan keadaan badan terikat macam tu. Selain tu, pelajar kat situ diberikan pilihan hukuman sama ada untuk dirotan ataupun didera secara seksual. 

“Guru-guru dan pengawas kat sana akan merogol kanak-kanak lelaki. Mereka yang dicabul secara seksual akan diberikan dan diumpan dengan makanan bertin. Siapa yang menolak akan dirotan. Mereka menggunakan kayu untuk memukul kami.” – Jibril, bekas pelajar, sumber dari Reuters. 

Ni lah cara penderaan Tarkila tu. Imej dari Daily Mail

Premis tu jugak macam bangunan yang terbiar dengan dipenuhi barang-barang yang bersepah. Bila mak ayah nak melawat anak-anak mereka kat situ, mak ayah tak dibenarkan masuk ke dalam premis sebab tempat tu memang sangat teruk secara fizikalnya. 

Pihak berkuasa Nigeria merangka tindakan ketat

Ekoran itu, ia mengejutkan pihak berkuasa dan mereka dah mula menyiasat sekolah-sekolah pengajian Islam yang kebiasaannya terletak kat kawasan kampung. Dan siasatan kat semua sekolah dijalankan untuk pastikan semua sekolah yang berfungsi kat sana tak melanggar perintah kerajaan. Dan kalau mereka jumpa kes macam ni lagi, sekolah tu akan diarahkan untuk ditutup sepenuhnya dan tindakan mahkamah dikenakan. 

Presiden Nigeria jugak mengutuk perkara tersebut yang selama ni pihak berkuasa tak tahu tentang kewujudan institusi dan premis yang macam tu.

“Pemimpin agama perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendedahkan dan menghentikan semua jenis penyalahgunaan yang diketahui secara meluas tetapi diabaikan dan tak dipedulikan selama bertahun-tahun oleh masyarakat kita”. – Presiden Muhammadu Buhari, Presiden Nigeria, sumber dari BBC.

 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)