- 364Share sekarang!
- Email7
- Facebook357
- Share
Perkataan BABI ni tak pernah lekang dalam kehidupan ramai orang yang suka mencarut dan menyumpah. Dari rumah sampailah ke Dewan Undangan Negeri Melaka. Selain tu, perkataan babi juga dah jadi isu sampai peringkat antarabangsa, sebab ada antara kita yang terjumpa artis luar negara guna perkataan tu.
Contohnya macam ahli kumpulan Fly With Me dari Korea yang menggunakan nama Babi. Habis IG-nya diserang netizen Malaysia untuk dijadikan bahan lawak. Sampai dia sendiri marah dekat orang Malaysia. Benda ni bukan juga benda baru, ia pernah berlaku kepada penyanyi terkenal Dua Lipa. Sebabnya dia memanggil bapanya dengan gelaran BABI. Maka, netizen Malaysia masuk dah jadikan bahan lawak.
Disebabkan isu-isu ni, perkataan babi bertambah-tambah penggunaannya di media sosial walaupun memang dah banyak digunakan. Dan korang tahu tak, ada kajian kata perkataan babi ni perkataan asli untuk Bahasa Melayu? Bukan pinjaman atau dicedok.
Babi antara perkataan asal Bahasa Melayu Asli?
Bila tulis atau sebut babi, ia boleh datang dengan pelbagai intonasi. Sebab dia membawa banyak maksud. Antaranya:
- Sejenis binatang mamalia yang berbadan gemuk, berkaki pendek, berkulit tebal, dan bermuncung (diharamkan bagi orang Islam);
- Kata makian yang digunakan kerana marah (sangat benci akan seseorang, sesuatu, dan sebagainya);
- Nama kartu (dalam permainan ceki);
Kebanyakan dari kita akan gunakan definisi kedua sebab suka gaduh-gaduh kat media sosial. Dan kadang-kala kita jadikan ‘babi itu bersayap’ atau boleh terbang untuk menyamakan maksud sembang tapi tak buat apa-apa. Contoh ayat, “kalau sembang, babi pun boleh terbang.”
Apa yang menarik, dalam beberapa pendapat kajian mengatakan bahawa perkataan Bahasa Melayu Asli adalah perkataan padi, besi dan BABI. Namun, ia disanggah kerana tiada bukti kukuh. Apa yang pasti perkataan Bahasa Melayu Asli ada lebih banyak daripada itu dan terpakai di wilayah-wilayah Nusantara.
Pengaruh BABI dalam perkembangan masyarakat Tanah Melayu dan Borneo dahulu
Hari ni, dalam kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia. Selain penggunaan Babi untuk memaki orang lain. Haiwan babi itu sendiri menjadi makanan dan haiwan yang dipelihara untuk kaum tertentu di Malaysia walaupun sebelum merdeka. Dalam sebuah buku sejarah ini ada menceritakan mengenai Orang-orang Cina di Pulau Pinang dan Seberang Perai pada tahun 1786 hingga 1867.
Di Bagan Jermal orang-orang Cina mempunyai pemanas minyak yang besar dan tempat pemeliharaan babi. Babi-babi dipelihara dengan memberi makanan hasil dari buangan kelapa. – Muka surat 72, petikan dari buku Orang-orang Cina di Tanah Melayu
Namun, lama lagi sebelum itu, babi telah diperdagangkan hingga menimbulkan sedikit konflik di dalam Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Dalam buku 325 Sejarah Kerajaan Ming (1368-1643) menyebut bahawa pedagang Cina yang tinggal di Melaka hingga makanan seperti ayam, anjing, angsa, itik dan babi diimport dari luar. Ia dimakan oleh orang-orang Cina yang tinggal di situ.
“Mengikut adat resam penduduk tempatan Melaka, mereka diharamkan memakan babi dan apabila orang-orang Cina yang tinggal di sini memakan babi, maka ia akan menimbulkan kemarahan penduduk tempatan dan mereka akan mengatakan ia merupakan adat yang kotor…” – Petikan dari buku Orang-orang Cina di Tanah Melayu
Begitulah cerita mengenai babi pada zaman nenek moyang kita di bahagian Semenanjung. Di Borneo pula, babi juga mempuyai pengaruhnya tersendiri dalam kalangan masyarakat Iban. Selain menjadi makanan, masyarakat itu juga menjadikan babi sebagai alat penyucian bagi membuang badi dan sial yang digunakan dalam upacara menguruskan kematian, upacara perkahwinan terlarang upacara menguruskan anak luar nikah, upacara membersihkan pasangan berzina, dan upacara penyucian dalam pertanian.
“…masyarakat Iban pada zaman dahulu yang memelihara babi dengan cara membiarkannya hidup berkeliaran di persekitaran rumah panjang. Tindakan ini sebenarnya berkait rapat dengan upacara pengurusan kematian dalam masyarakat Iban.
Rasionalnya, bagi masyarakat Iban, babi yang dipelihara di persekitaran rumah memudahkan mereka untuk menangkap haiwan tersebut jika diperlukan dalam keadaan terdesak, terutama jika berlaku kematian pada waktu malam dan di luar kawasan rumah panjang.” – Petikan dari Representasi Tanda Babi Sebagai Penanda Penyucian Dalam Entelah Masyarakat Iban
Di negara lain, BABI bawa maksud mazhab kepercayaan dan juga binatang lain
Dalam sebutan Korea, perkataan babi atau 바비 membawa maksud sebutan barbie atau bobby. Kiranya macam patung barbie tu lah. Nama comel-comel gitu. Ada juga yang mengatakan sebutan perkataan babi kat Korea tak sama macam di Malaysia dan Indonesia. Ia disebut macam ni, Pabi.
Selain negara Asia, di negara Eropah seperti Albania ada menggunakan perkataan babi. Kalau kita ingat, Dua Lipa pernah gunakan perkataan ni sewaktu menyebut ‘Selamat Hari Lahir Ayah’ sebagai ‘Happy Birthday Babi’. Dalam bahasa Albania, babi ni maksudnya ayah.
Perkataan babi bukan je terhenti dengan makna-makan asas macam kat atas ni. Apabila sebut babi (bä(ˌ)bē ) ia juga membawa maksud satu mazhab iaitu Babism. Mazhab Babism ini adalah salah satu mazhab di Iran pada abad ke-19 yang berpendapat bahawa tiada wahyu yang muktamad. Selain itu, mazhab itu mengharamkan gundik, poligami, meminta-minta, penggunaan minuman keras yang memabukkan dan dadah serta pemerdagangan hamba.
Apa yang menarik, bila sebut babi, kita akan maksudkan haiwan berhidung besar itu lah. Tapi dalam kajian mitos Mesir, perkataan babi membawa makna haiwan lain iaitu seekor babun jantan serta dipercayai sebagai Tuhan babun yang sangat ganas.
“Babi dikatakan sebagai anak sulung Osiris, dewa orang mati di wilayah yang sama di mana orang mempercayai Babi.” – Petikan dari Definitions
Tak perlu perkenalkan bahasa kita kepada orang lain dengan cara yang kurang bijak
Zaman sekarang ni, kita ada budaya serta keinginan belajar bahasa asing untuk menambah kemahiran kita. Ada yang belajar tu sebab nak kerja jadi penterjemah atau untuk kerja lama di sesuatu tempat atau pun mungkin sebab nak mudah melancong. Untuk bahasa Melayu (termasuk Indonesia dan Malaysia) sekarang ini ada lebih kurang 199 juta pengguna menjadikan ia bahasa ke-10 di dunia yang digunakan.
Cara kita menjadikan sesuatu perkataan yang sama bunyi dengan perkataan negara lain untuk dijadikan bahan lawak dan ejekan, memang cara yang tak patut diketengahkan. Orang luar akan menyampah dan tak teringin pun nak belajar apabila kita mulakan dengan sifat kurang ajar. Kerana belajar bahasa sesuatu negara ini bukan sekadar belajar perkataan, ia juga belajar mengenai budaya dan adat negara tersebut.
- 364Share sekarang!
- Email7
- Facebook357
- Share