5 pelari pecut Malaysia yang pernah jadi manusia terpantas Asia dan Asia Tenggara!

*Artikel ni pada asalnya disiarkan pada 25 Julai 2017

UPDATE 9/12/2019: Sekalipun, temasya Sukan SEA Manila dipenuh dengan #seagames2019fail, namun ini tak menghalang Malaysia untuk terus unggul memegang gelaran Raja Pecut Asia Tenggara. Semuanya berlaku atas kejayaan Muhammad Haiqal Hanafi yang berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara lumba lari 100 meter.

Apa yang menakjubkan, dia dah kalahkan rekod Khairul Hafiz Jantan sebelum ni (10.38 saat), manakala lariannya hanya parlu 10.35 saat sahaja.

Imej dari Team Malaysia

Jadi, kali ni kami di SOSCILI nak kongsi sejarah jaguh-jaguh lumba lari yang pernah pegang rekod negara dalam acara larian ni sebelum dipecahkan Haiqal Hanafi Dan ianya dimulakan oleh…

1) Dato’ M. Jegathesan, atlet terpantas Asia yang membawa pulang pingat Emas pertama negara

Pada tahun 1962, negara kita menerima berita yang sangat ajaib apabila pelajar perubatan iaitu Mani Jegathesan berjaya memecahkan rekod Sukan Asia dengan catatan masa 21.30 saat dalam acara 200 meter.  Sekaligus mendapatkan pingat Emas pertama negara di Sukan Asia.

Pada tahun 1966 pula, dia adalah antara atlet Malaysia yang berjaya ke temasya British Empire & Commonwealth Games (sekarang Sukan Komanwel) di Jamaica. Tapi dia tak menang sebarang pingat selepas gagal di pusingan akhir dalam acara 100 meter dan 200 meter.

Pada tahun yang sama juga berlangsungnya Sukan Asia di Bangkok. Di temasya itulah dia menjadi satu-satunya pelari dari Malaysia yang berjaya memungut pingat emas dalam tiga acara sekaligus (100 meter, 200 meter dan 4 x 100 meter lari berganti). Kemenangan tu menjadikan dia atlet terpantas di benua Asia. Macam Usain Bolt kot dapat triple medalist.

Jegathesan atlet terpantas Asia zaman 60-an. Imej dari The Straits Time.

Kehebatan dia memang terbukti sebab dapat masuk Olimpik tiga kali iaitu Olimpik Rome (1960), Tokyo (1964) dan Mexico (1968). Di temasya sukan Olimpik Mexico-lah dia berjaya masuk ke peringkat separuh akhir acara 200 meter dengan catatan masa 20.92 saat yang menjadikan dia pemegang rekod kebangsaan hinggalah Khairul Hafiz pecahkan baru-baru ni. Namun begitu, belum ada lagi atlet tanah air yang boleh pergi sejauh separuh akhir Olimpik seperti dia. Kehebatannya ni menyebabkan dia menerima gelaran The Flying Doctor.

Selain gelaran, dia juga mendapat banyak anugerah. Sewaktu Anugerah Olahragawan diperkenalkan pada 1966 buat pertama kalinya, dia adalah orang yang menerimanya. Pada tahun 2015 pun dia dapat Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sebab belum ada yang pecahkan rekod dia.   Selain dapat anugerah dalam bidang sukan, dia juga menerima Anugerah Sains Negara pada tahun 1995. Sebabnya dia berjaya menemui sejenis bakteria baru yang dinamakan olehnya sebagai Bacillus Thuringiensis Sorovar Jegathesan.  

Bacteria kalau masuk lumba lari. Sumber dari Giphy

2) Rabuan Pit, satu-satunya penyumbang pingat emas negara di Sukan Asia 1982

Larian emas Sukan Asia 1982. Imej dari Malay Mail

Siapa sangka, sewaktu Sukan Asia 1982 di New Delhi, satu-satunya atlet yang menyumbang pingat emas ketika tu datang dari acara pecut 100 meter?

Dalam acara itu, dia menghabiskan larian dengan catatan masa 10.68 saat mengalahkan pelari dari Korea Selatan dan Thailand, masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Kemenangannya ini dah menjadikannya menerima gelaran ‘manusia terpantas Asia’ pada era itu.

Kejayaan Rabuan Pit juga tak terhenti di situ, pada tahun 1983, dia dah terpilih untuk bersaing dalam acara lumba lari terkemuka, kejohanan dunia IAAF di Helsinki. Ketika tu, dia berpelung berlumba dengan pelumba lari legenda US yang merupakan juara Olimpik sembilan kali, Carl Lewis.

Imej dari Pinterest

Sumbangannya terus mendapat pujian dengan membantu Malaysia mendapatkan pingat perak di Sukan SEA Bangkok 1985 dalam beberapa acara. Jauh sebelum tu, dia menyumbang pingat emas bagi acara 100 meter ketika temasya Sukan SEA Jakarta 1979.

“Saya telah layak ke Olimpik Moscow, tapi terlepas peluang kerana boikot. Ia sangat sedih kerana terlepas Olimpik, tapi pencapaian saya di Sukan Asia Delhi menjadi bukti kejayaan,”- Rabuan Pit, petikan dari Malay Mail

Selepas mengalami kecederaan tumit yang menyebabkan dia berhenti berlari. Namun impak yang diberikan sepajang karier pendeknya dari 1979 hingga 1985 membuktikan bahawa, anak dari keluar penoreh getah pun mampu mencapai kejayaan jika berbakat dan bersungguh melatih diri demi negara.

3) Watson Nyambek 0.07 saat lagi laju dari Dato’ Jegathesan

Kita pun tahu, rekod kebangsaan dipegang oleh Dato’ Jegathesan dalam kedua-dua acara dengan catatan masa 10.38 saat (100 m) dan 20.92 saat (200m). Pada tahun 1996, rekod 100 meter Dato’ Jegathesan yang yang tidak dicabar oleh sesiapa sejak 1966 ni telah dipecahkan oleh seorang atlet berbangsa Iban iaitu Watson Nyambek di Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Kuantan dengan catatan 10.31 saat. Maknanya 0.07 saat lagi laju dari Dato’ Jegathesan.

Kalau di peringkat benua Asia, kejayaan paling gemilangnya adalah memenangi pingat Perak di Kejohanan Trek & Padang Asia 1998 di Jepun. Kiranya dia boleh beat jugaklah jaguh-jaguh Asia yang dah makin ramai masa tu. Kehebatan dia juga telah melayakkannya ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu Atlanta (1996) dan Sydney (2000). Walaupun macam tu, dua-dua acara dia terkandas di pusingan pertama.

Walaupun pakai spec hitam, tapi dia lari laju. Imej dari The Star.

Kalau dulu Jegathesan dapat masuk pusingan akhir Komanwel, Watson Nyambek hanya berpuas hati bila sampai ke peringkat suku akhir je dalam acara 100 meter di Komanwel 1998 KL. Walaupun begitu, dia tetap pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter sehinggalah dipecahkan oleh Khairul Hafiz Jantan 17 tahun kemudian. Kehebatannya  menyebabkan dia mendapat gelaran The Flying Dayak.

Setelah bersara di usia 29 tahun, dia dilantik menjadi jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak setelah mengikut kursus kejurulatihan. Selain menjadi jurulatih, dia juga turut menubuhkan Kelab The Flying Dayak yang mana merupakan kelab untuk pelari pecut. Kelab itu kini mempunyai 30 ahli yang mana dia akan latih untuk capai tahap terbaik.

Apa yang menyedihkan, pernah tersebar berita yang Watson Nyambek diisytihar muflis kerana tidak berjaya melangsaikan hutang bank. Dia buat pinjaman tu untuk menampung kos rawatan ayah dia yang kena barah telinga sebelum ayahnya meninggal dunia. Malangnya, hutang tu tak berjaya dilangsaikan sebab gaji dia pun kecil.

Dapat jugalah rumah. Imej dari The Star.

Beberapa bulan kemudian, kerajaan Sarawak support balik Watson Nyambek dengan melangsaikan semula hutang-hutangnya tu. Selain tu jugak, dia dianugerahkan sebuah rumah teres satu tingkat yang berniali RM 350 000.

Selepas Watson Nyambek bersara, tak lagi kedengaran kehebatan atlet pelari pecut negara sampailah munculnya…

4) Nazmizan Muhammad dinobatkan raja pecut Asia Tenggara walaupun hampir dibatalkan penyertaan

Pencapaian atlet pelari pecut negara tiba-tiba dikejutkan dengan kemenangan dua pingat emas dalam acara 100 meter dan 200 meter yang dimenangi oleh Nazmizan Muhammad di Sukan SEA Hanoi 2003. Kemenangan ni juga telah menamatkan penantian 36 tahun negara untuk dapat pingat emas dalam acara ni. Di sebalik kemenangan ni sebenarnya, Nazmizan bukanlah pilihan utama sebab sebelum tu, dia gagal untuk melepasi had kelayakan untuk sertai. Namun setelah dibuat rayuan, akhirnya dipilih juga untuk bertanding.

Kejayaannya di Sukan SEA telah memberi peluang untuk dia ke Sukan Olimpik Athens 2004 atas tiket sebagai atlet jemputan dalam acara 200 meter.  Waktu menjadi juara di Sukan SEA Hanoi, catatan masanya adalah 21.05 saat. Waktu di Olimpik dia hanya berpuas hati dengan catatan masa 21.24 saat di pusingan pertama. Kiranya kalah awallah. Mana taknya, berlari sekali dengan Asafa Powell kot (pemegang rekod dunia sebelum Usain Bolt). Memang nervouslah.

Nazmizan pun senyum jugak. Power! Imej dari pgoh13.

Sepanjang kariernya,dia telah terpilih untuk berlatih dengan jurulatih yang juga merupakan bekas juara pecut Olimpik, Michael Johnson di Amerika Syarikat. Walaupun begitu, kejayaannya di Sukan SEA Hanoi (2003) tak berjaya dia ulangi di Sukan SEA Manila (2005) kerana mengalami kecederaan tulang kering kakinya.

Setelah bersara dari menjad atlet, dia bekerja sebagai Pegawai Tadbir di Pusat Sukan UniMap. Walaupun lepas tu dah tak kedengaran lagi nama Nazmizan, tapi tiba-tiba nama dia naik lagi. Sebabnya anak didik dia berjaya jadi Juara Olahraga Kebangsaan iaitu Mohd. Izuddin Yahaya yang menyebabkan dia layak untuk beraksi di Sukan SEA Singapura (2015). Namun begitu, Izzudin gagal mendapatkan sebarang pingat dalam temasya tersebut.

Perangai bila dah jadi jurulatih. Sumber dari Giphy

Walaupun tiada kejayaan di luar Asia Tenggara, nama Nazmizan tetap terpahat sebagai pemegang rekod Sukan Malaysia (SUKMA) dalam acara 200 meter hinggalah dipecahkan oleh Khairul Hafiz Jantan. Selain pecah rekod SUKMA, dia juga telah memecah rekod kebangsaan 100 meter milik Watson Nyambek dan 200 meter milik Dato’ Jegathesan. Tiga rekod dah dia pecahkan. Siapa dia ni?

5) Khairul Hafiz Jantan remaja terpantas Asia yang memecahkan rekod kebangsaan

Setelah dunia olahraga suram tanpa sebarang kejutan oleh mana-mana atlet, pada SUKMA 2016 di Sarawak kejutan telah berlaku. Khairul Hafiz Jantan menamatkan larian dengan pingat emas bersama catatan masa 10.18 saat dalam acara 100 meter. Maka leburlah rekod kebangsaan yang  dipegang Watson Nyambek selama 18 tahun.

Keesokkan harinya pula, dia berjaya menamatkan saingan 200 meter di peringkat separuh akhir dengan catatan masa 21.14 saat. Sekaligus meleburkan rekod SUKMA yang dipegang oleh Nazmizan Muhammad selama 14 tahun. Hari ni pecah rekod, esok pun pecah rekod lagi. Pada pusingan akhir dia berjaya mendapatkan pingat emas dengan catatan masa 21.03 saat sebagai rekod baru SUKMA. Tapi belum mampu lagi memecahkan rekod Dato’ Jegathesan dalam acara 200 meter.

Ni lah yang pecahkan segala rekod tu. Imej dari Sarawak Voice.

Kita pun tahu, tiada siapa yang dapat memecahkan rekod 200 meter milik Jegathesan selaju 20.92 saat ni. Tapi nampaknya tak sampai setahun, dia berjaya memecahkan rekod 49 tahun milik Jegathesan dalam acara 200 meter. Keajaiban ni terjadi di pusingan akhir Olahraga Terbuka Malaysia Ke-94 di Stadium Bukit Jalil. Kiranya dia 0.02 saat lagi laju dari Dato’ Jegathesan.

Kehebatannya ini telah menyebabkan dia berjanji akan cuba medapatkan tiga pingat emas di Sukan SEA KL yang akan berlangsung tak lama lagi. Kalau menang dia akan jadi atlet termuda (18 tahun) yang menang pingat emas di dalam ketiga-tiga acara (100 m, 200 m & 4×100 m). Lepas tu dia target untuk layak ke Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik Tokyo 2020.

Apa yang pasti, dia yakin yang dirinya boleh lari laju lagi sebenarnya.

“Saya terlalu gembira dengan kejayaan ini dan yakin boleh berlari dengan lebih laju lagi daripada hari ini. Kejayaan ini adalah tunjuk ajar jurulatih serta sokongan berterusan keluarga dan rakan.” – Petikan dari Berita Harian.

Kejayaan Speedy Jantan hingga ke tahap ni bukanlah datang bergolek. Usahanya dah bermula sejak dia terlibat dalam olahraga ketika berumur 10 tahun lagi. Kemudiannya, dia terpilih masuk ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar. Apa yang mengejutkan adalah sokongan dari keluarganya. Sebagai contoh ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sanggup bercuti untuk pergi tengok anak dia bertanding dan bagi semangat.

Cara bagi moral support yang paling tenang sekali. Sumber dari Giphy.

Selain memecahkan rekod-rekod kebangsaan, Khairul Hafiz ketika ni merupakan pelari pecut remaja terpantas di Asia. Dia telah berjaya menjuarai pingat emas di Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Vietnam dengan mengalahkan atlet dari Jepun dan Arab Saudi.

(UPDATE 23/8/2017: Khairul Hafiz Jantan berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017 dengan catatan masa 10.38 saat)

Jadi orang Asia bukan penghalang di acara pecut

Seperti yang kita tahu, acara lumba lari ni banyak dikuasai oleh atlet dari benua yang bertubuh lebih sasa tak seperti orang Asia. Jadi usaha kita dalam sukan seperti ni sentiasa dipandang rendah. Sebabnya negara hebat dari Asia macam China dan Korea Selatan pun banyak tumpukan acara bukan balapan untuk menang pingat.

Tapi nampaknya Jepun berjaya membuktikan yang tubuh fizikal Asia bukanlah penghalang. Ianya terbukti di Olimpik Rio 2016 baru-baru ni. Dalam pusingan akhir acara 4×100 meter lari berganti, pasukan Jamaica yang diketuai Usain Bolt hampir dikejutkan oleh team Jepun yang beberapa saat sahaja dibelakang. Kejutan ni menyebakan Jepun memenangi pingat Perak yang mengetepikan pasukan US dan Kanada. Ia juga menjadi ‘The most shocking moment of the Rio Games’.

Terkejut beruk stadium malam tu tengok Jepun dapat Silver. Imej dari The Japan Times.

Begitu jugalah harapan kita kepada Speddy Jantan dan pelari muda yang lain. Acara lumba lari mampu menghasilkan kejutan satu hari nanti sebab kita ada remaja terpantas Asia buat masa ni.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT