- 3.3KShare sekarang!
- Email64
- Facebook3.2K
- Share
Mungkin sejak beberapa tahun lepas, kita jarang dengar nama Razak Baginda yang pernah dapat liputan luas media suatu masa dahulu. Tapi baru-baru ni, nama Razak Baginda naik balik bila media melaporkan yang dia didakwa di Perancis, atas tuduhan menerima rasuah hasil dari pembelian kapal selam Scorpene pada 2002.
Kes pasal pembelian kapal selam Scorpene ni pernah menggemparkan negara pada suatu masa dulu. Mana taknya, kerajaan Malaysia habiskan berbilion ringgit untuk beli beberapa buah kapal selam. Lepas tu, muncul pulak dakwaan yang adanya unsur-unsur rasuah dari perjanjian pembelian kapal selam ni.
Jadinya, mungkin baik jugak untuk kita ingat dan fahamkan balik apa yang terjadi dalam kes pembelian kapal selam ni. Ini kerana, kes ni jugak dikaitkan dengan pembunuhan seorang model dari Mongolia.
Berbilion ringgit untuk beli 3 buah kapal selam
Sebelum kita mula bercerita, lebih baik untuk kita kenal dulu watak-watak penting dalam kes ni:
- Datuk Seri Najib Tun Razak – Perdana Menteri Malaysia sekarang dan pernah jadi Menteri Pertahanan dari 1999-2008 ketika perjanjian pembeliaan kapal selam ni berlaku (pada 2002).
- Abdul Razak Baginda – Bekas penganalisis politik dan bekas Pengarah Malaysian Strategic Research Center. Merupakan orang rapat Najib Razak dan juga penasihat kepada Najib Razak ketika dia menjadi Menteri Pertahanan.
- Altantuya Shaaribuu – Terlibat dalam perjanjian pembelian kapal selam sebagai penterjemah. Dia juga dikatakan sebagai perempuan simpanan Razak. Dia ditemui mati dibunuh.
- Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar – Kedua-duanya adalah anggota polis yang dituduh terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Kedua-duanya dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah.
Ok baiklah ceritanya bermula macam ni. Pada tahun 2002, pihak kerajaan Malaysia dengan diwakili Kementerian Pertahanan ada membuat perjanjian untuk membeli dua buah kapal selam kelas Scorpene dan sebuah kapal selam kelas Agosta dari syarikat Perancis DCNS International (DCNI) yang ada kaitan dengan sebuah syarikat pertahanan Perancis, Thales.
Najib yang masa tu sebagai Menteri Pertahanan telah menyelia pembelian ini dengan nilai sebanyak EUR1 bilion (kira-kira RM5 bilion). Tapi pada 2010, Menteri Pertahanan ketika itu, Zahid Hamidi mengatakan kerajaan menggunakan EUR1.34 bilion (RM 6.7 bilion) untuk pembelian kapal selam tersebut.
Bagaimanapun, kontroversi mula timbul bila ada pihak yang mempersoalkan nilai RM6.7 bilion tu, sedangkan kerajaan Thailand cuma keluarkan RM 770 juta untuk membeli 6 buah kapal selam (walaupun akhirnya kerajaan Thailand membatalkan hasrat itu).
Jadinya, pada 2010 siasatan mula dijalankan terhadap urus janji ni apabila ia disuarakan oleh kumpulan hak asasi Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
“Sebahagian dari urus janji itu, DCN (anak syarikat DCNI) bersetuju membayar EUR30 juta (RM 151.81 juta) kepada unit Thales di Asia, Thales International Asia (Thint Asia). Siasatan juga mendedahkan sebuah syarikat lain, Terasasi yang mana pemegang saham utamanya adalah Razak Baginda, menerima bayaran untuk kerja perundingan, tapi penyiasat percaya ia adalah sebenarnya sogokan.” – Dipetik dari The Straits Times.
Syarikat Terasasi ni bukan ada kat Malaysia pun, tapi kat Hong Kong. Selain tu, pengarah syarikat ni sebenarnya dua orang iaitu Razak dan bapanya Abdul Mulim Baginda. Menurut tinjauan Asia Sentinel, punca perniagaan syarikat ini juga tak diketahui.
Selain itu, ada juga dakwaan yang mendakwa EUR144 juta (RM576.86) telah dibayar kepada Perimekar, sebuah syarikat kosong (shell company) yang berpangkalan di Malaysia. Syarikat ni dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd yang juga dimilki oleh Razak dan isterinya.
Bayaran itu dipercayai untuk ‘sokongan dan perkhidmatan penyelarasan’ dalam perjanjian pembelian kapal selam tersebut. Tapi masalahnya, syarikat tu hanya ditubuhkan pada 2001, beberapa bulan sebelum perjanjian ditandatangani. Bagaimanapun, kes ini menjadi perbualan ramai pada tahun 2006, apabila seorang wanita Mongolia ditemui mati akibat dibunuh.
Pembunuhan seorang model yang dikaitkan dengan perjanjian pembelian kapal selam
Pada 7 November 2006, seorang model dan penterjemah dari Mongolia, Altantuya Shaaribuu telah ditemui mati dibunuh di kawasan hutan Puncak Alam, Shah Alam. Siasatan mendapati yang Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4.
Bagaimanapun, Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah pernah berhujah yang pihak pendakwaan tak pernah mengatakan bahan-bahan yang ditemui di tempat kejadian sebagai bahan letupan C4. Tapi tentang bahan letupan C4 ni ada disebut di Mahkamah Rayuan. Oleh itu, menurut Abdul Majid Mahkamah Rayuan nampaknya terkhilaf dalam hal itu.
Jadinya, apa kaitan Altantuya dalam kes Scorpene? Sebenarnya, ada yang mengatakan Altantuya menjadi penterjemah masa perundingan dan perjanjian pembelian kapal selam tu. Tapi, menurut laporan Utusan Malaysia, Altantuya sebenarnya tak terlibat langsung dalam urus niaga ini. Perkara itu disahkan sendiri oleh arkitek urus janji kapal selam Scorpene, Jasbir Singh Chahl.
“Saya bersedia bersumpah atas buku suci (agama) saya, Guru Granth Sahib bahawa saya tidak kenal orang ini, bahawa dia tidak pernah menjadi sebahagian daripada pasukan, tak pernah jumpa dia, bahawa dia tidak pernah berada di Perancis semasa keseluruhan masa kami cuba untuk memuktamadkan urus janji itu…Saya hanya tahu tentang dia apabila membaca akhbar pada 2006 bahawa mereka telah menjumpai mayatnya.” – Jasbir Singh Chahl, arkitek urus janji kapal selam Scorpene. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Ceritanya dikatakan bermula, bila Altantuya tahu EUR114 juta dibayar kepada Perimekar (syarikat Razak), dia pun datang ke Kuala Lumpur dan bagi tekanan kat Razak supaya bayar dia USD500,000. Sebabnya, dia pun ada peranan dalam perjanjian tersebut. Altantuya jugak kata kalau wang tu tak dibayar, dia akan dedahkan segalanya kepada isteri Razak, anak perempuan Razak, TV3 dan wartawan.
Jadinya, pada 26 Oktober 2006 Cif Inspektor Azilah dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman ditangkap untuk membantu kehilangan Altantuya. Tak lama lepas tu, Koperal Sirul Azhar pula ditahan, diikuti oleh Razak Baginda. Azilah dan Sirul seterusnya didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh Altantuya. Razak pula didakwa sebagai bersubahat.
Setelah beberapa tahun kes ni dibicarakan, di Mahkamah Tinggi sampailah ke Mahkamah Persekutuan, akhirnya mahkamah putuskan Azilah dan Sirul bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Razak pula dibebaskan tanpa membela diri.
“Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu selepas perbicaraan berlangsung selama 151 hari.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Tapi, kes ni juga ada kaitkannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun, Najib menafikan dakwaan tu dengan kata dia tak kenal pun siapa dia Altantuya dan tak terlibat dalam kes tu secara langsung atau tak langsung. Tapi, mendiang PI Bala yang mengeluarkan dakwaan ni ada kata yang dia pernah diugut sebelum ini.
Disebabkan takde tindakan dari kerajaan, NGO bawa kes ni ke Mahkamah Perancis
Disebabkan banyak keraguan dalam perjanjian pembelian kapal selam ni. Pihak Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), telah melancarkan kempen Ops Scorpene, yang bertujuan menuntut pihak kerajaan bertanggungjawab atas penyalahgunaan wang pembayar cukai. Ini kerana, pembayaran komisen haram adalah salah dan bercanggah dengan undang-undang Malaysia, Perancis dan antarabangsa.
Bagaimanapun, Razak dalam satu kenyataan tahun lepas mengaku yang dia terima bayaran EUR30 juta (RM137 juta) untuk perkhidmatan konsultansi dalam urusan pembelian kapal selam ni. Tapi dia nafikan yang duit tu sebagai rasuah.
Disebabkan tak ada jawapan yang memuaskan dari pihak kerajaan Malaysia dalam isu ini dan tak adanya tindakan undang-undang yang diambil. Pihak SUARAM dah membawa perkara ini ke Mahkamah di Perancis pada April 2010.
Menurut SUARAM lagi, kes ini bukan hanya melibatkan pegawai atasan dari Malaysia, tapi jugak melibatkan pegawai atasan dari Perancis. Hasilnya, 4 eksekutif industri pertahanan Perancis dilaporkan dah didakwa. Mereka adalah 2 bekas Pengerusi DCN International serta 2 bekas ketua Thales International Asia. Bagaimanapun, keempat-empat mereka menafikan sebarang pertuduhan.
Sekarang dilaporkan pulak yang Razak Baginda juga disiasat dalam hal yang sama. Tapi tak lama lepas laporan tu keluar, Razak keluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut. Dia juga dakwa laporan tu sebenarnya dah disalahtafsir.
“Laporan berita Perancis pada 19 Julai dan 1 Ogos lalu menyatakan individu terbabit dalam urusan jual beli itu telah ‘didakwa’. Laporan itu disiarkan dalam media massa dan disalahtafsir. Istilah ‘didakwa’ dalam konteks siasatan bermaksud meletakkan individu berkenaan di bawah siasatan rasmi.” – Abdul Razak Baginda, dipetik dari The Star.
Razak juga bagitahu yang sistem proses perundangan Perancis berbeza dengan Malaysia. Kalau kat Malaysia, suspek jenayah akan disiasat dan jika ada bukti dia akan didakwa di Mahkamah. Tapi nampaknya, sehingga sekarang Razak masih lagi belum dituduh kat mana-mana mahkamah di Perancis.
Ini kerana, Perancis ada sistem mahkamah dua peringkat, dan siasatan kes Scorpene ni masih berada di peringkat pertama iaitu seorang majistret sedang siasat kes ni. Jadinya, bila siasatan selesai, majistret tadi akan cadangkan pendakwaan ke atas mereka yang dituduh.
Tapi…lain pulak yang dikatakan oleh Peguam hak asasi manusia Perancis, Wiliam Bourdon, dalam hal ni dia mengesahkan yang Razak memang dah didakwa (indicted) kat Paris atas dakwaan sogokan. Bagaimanapun, dia tak nak bagi komen bila Razak akan dibawa ke mahkamah.
Sementara orang sibuk pasal Scorpene, pesalah hukuman gantung larikan diri
Sementara pihak Perancis terus menyiasat kes Scorpene, kita jangan lupa, ada satu lagi kes yang berkaitan iaitu kes pembunuhan Altantuya. Seperti yang kita tahu, Azilah dan Sirul dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah. Tapi, satu perkara dah terjadi, apabila salah seorang pesalah tak ada masa hukuman dijatuhkan. Sirul disahkan melarikan diri ke Australia beberapa bulan sebelum tu.
“Menurut sumber yang mengenali Sirul Azhar, berdasarkan perbualan telefonnya dengan Sirul Azhar pada Rabu lalu, lelaki itu memberitahunya, dia sudah menjangkakan tidak mungkin terlepas daripada sabitan hukuman mati di tali gantung.” – Dipetik dari Utusan Malaysia (14/01/2015).
Tindakan Sirul yang lari ke Australia juga didakwa terjadi akibat dari kecuaian Jabatan Peguam Negara. Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa mempersoalkan kenapa jabatan tu tak buat permohonan segera meletakkan Sirul di bawah waran tangkap untuk kekalkannya dalam tahanan atau melepaskannya dengan jaminan sementara.
Selain itu, ada juga yang bagi bayangan tindakan Sirul ni sedikit sebanyak menambahkan lagi kesaksian baru. Ini juga menunjukkan komplot pembunuhan tu masih tak selesai dan tak mustahil banyak lagi perkara akan dibongkarkan.
“Ia tidak seperti pembunuhan Presiden Amerika John Kennedy. Selepas suspek pembunuhnya ditahan, dia ditembak pula oleh orang yang kononnya kecewa atas pembunuhan Presiden yang disayangi itu. Dengan pembunuhan itu, tidak semua di sebalik pembunuhan dapat diketahui. Mengapa pembunuh itu membunuh Kennedy tidak diketahui kerana kesaksian terpenting telah hapus.” – Subky Latif, dipetik dari Harakah Daily.
Tapi, ada jugak yang kaitkan pembelian kapal selam ni dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir
Seperti yang kita tahu, kes tentang pembelian kapal selam ni selalu saja dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tapi ada juga yang mengatakan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika dan sebelum itu juga terlibat sama. Ini kerana, ada yang mengatakan perjanjian ini telah dirangka sejak di zaman pentadbiran Dr Mahathir lagi dan bukannya Perdana Menteri sekarang, Najib Razak.
Malah perkara itu direkodkan dalam hansard sidang Dewan Rakyat pada tahun 2002 lagi. Tindakan Dr Mahathir yang mengatakan dirinya tak terlibat dalam pembelian kapal selam tersebut juga disangkal oleh bekas Pegawai Penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Haniff.
“Mahathir boleh memperbodohkan pemuda seperti Ketua Amanda (Armada) Pribumi Syed Sajat (Syed Saddiq). Mereka yang lebih matang mengetahui perkara sebenar. Lampu hijau bagi pembelian Scorpene diberikan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sejak 1995 lagi. Saya biarkan anda teka nama mereka. Rundingan dilakukan mengikut prosedur kontrak perolehan pertahanan.” – Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Haniff, Dipetik dari Seademon Says.
Rahmat juga mendedahkan yang anak Dr Mahathir dan Tun Daim (Bekas Menteri Kewangan) juga terlibat sama dalam urusan kapal selam tersebut.
“Penyokong asal program kapal selam Malaysia adalah Mokhzani Mahathir dan Ibrahim Mohd Noor (pada ketika itu CEO syarikat yang baru disenaraikan BERNAS, bertindak bagi pihak Daim Zainuddin).” – Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Haniff, Dipetik dari Seademon Says.
Hal ini juga dibangkitkan oleh pemerhati politik, Rosman Bistamam yang mengatakan Dr Mahathir telah sedia tahu tentang pembelian kapal selam berkenaan. Ia termasuklah oleh para menteri kabinet dan seluruh ahli parlimen. Rosman juga kata adalah tidak logik untuk pembelian yang melibatkan aset besar negara dilakukan secara rahsia oleh Najib.
“Pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi masih menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Tidakkah salah seorang daripada mereka mengetahui secara terperinci butiran perjanjian jual beli tersebut? Persoalannya mengapakah mereka seperti menutup mata dan buat macam tidak tahu apa-apa?
…Keadaan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila pembelian kapal selam Scorpene seolah-olah dilakukan secara rahsia antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pihak Perancis. Peliknya Najib telah diminta menjelaskan butiran pembeliannya seperti hanya beliau seorang sahaja yang tahu.” – Rosman Bistamam, dipetik dari KL Express.
Persoalan jugak timbul, kenapa tak tubuhkan RCI untuk Scorpene?
Sebenarnya, ada jugak yang dakwa kapal selam yang dibeli ni sebenarnya tak boleh menyelam. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan mengatakan memang ada kerosakan teknikal kat kapal selam KD Tunku Abdul Rahman yang membuatkan ia tak boleh menyelam.
Bagaimanapun, kerosakan tu dah pun diatasi dan kini kapal-kapal selam tersebut dah pun boleh menyelam. Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga pernah dipelawa untuk menaiki kapal selam tersebut. Pada Disember 2011, Lim Guan Eng sendiri masuk ke dalam KD Tun Razak dan rasa kapal selam tu menyelam.
Baru-baru ni, pihak kerajaan bersetuju untuk tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1990-an dulu. Kes ni jugak dikenali sebagai Skandal Forex atau Skandal Bank Negara. Tapi timbul jugak persoalan tentang macam mana dengan kes-kes lain. Macam kes Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV), 1MDB dan skandal Scorpene ni.
Tapi kalau nak tengok RCI ditubuhkan untuk kes Scorpene ni buat masa sekarang memang mimpi la kot. Sebabnya, kerajaan sejak tahun 2012 dah keluarkan kenyataan yang RCI tak perlu ditubuhkan.
Oleh itu, kes pasal skandal Scorpene ni memang agak sukar untuk kita tahu siapa yang bersalah atau tak bersalah. Mungkin apa yang kita boleh harapkan adalah siasatan dari pihak penyiasatan Perancis. Sejak mula-mula kes ini dibawa ke Perancis pada 2010, nampaknya dah ada perkembangan yang positif tentang siasatan kes tersebut.
- 3.3KShare sekarang!
- Email64
- Facebook3.2K
- Share