- 24.8KShare sekarang!
- Email138
- Facebook24.7K
- Share
Korang kalau buka YouTube atau Twitter je mesti ada iklan forex tu kan? Malas nak mention nama aplikasi tu, tapi memang annoying betul. Bercakap pasal forex ni, Malaysia dulu pernah juga la ada isu mengenai forex ni.
Kalau kita masih ingat lagi, sekitar 3 tahun lalu – Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Murad Khalid juga ada mendedahkan yang BNM rugi sebanyak USD10 bilion, kerana terlibat dalam aktiviti perdagangan mata wang dari tahun 1991 sampai 1993. Sebelum itu, isu sama juga pernah didedahkan oleh Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM, Dr. Rosli Yaakop dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Jadi, apa sebenarnya Skandal Forex ni? Dan sejak bila pula BNM mula main forex?
BNM dikatakan mula terlibat dalam forex sejak tahun 1985 lagi
Forex atau foreign exchange adalah aktiviti perniagaan/perdagangan tukar beli mata wang yang bertujuan untuk buat keuntungan. Pada zaman awal tahun 1990-an dulu, main forex ni agak asing di Malaysia dan tak sama macam sekarang yang dah jadi biasa bagi sesetengah orang. Cumanya, Majlis Fatwa Kebangsaan ada memfatwakan forex online ni sebagai haram.
Jadinya, perniagaan inilah yang dilakukan oleh BNM pada masa dulu. Tapi diorang tak lah main sikit-sikit macam korang. Menurut Dr Rosli Yaakob (Bekas Pengurus Kanan Jabatan Ekonomi BNM), BNM mula terlibat dalam perniagaan tukar beli mata wang sejak tahun 1985 lagi.
Gabenor BNM masa tu adalah Tan Sri Jaffar Hussien (allahyarham) dan gabenor sebelumnya pula adalah Tun Ismail Ali (allahyarham) dan Tan Sri Aziz Taha. Dikatakan Aziz Taha tak nak libatkan BNM dalam aktiviti spekulasi mata wang, sehingga dia akhirnya terpaksa meletakkan jawatan.
Menurut Rosli, isyarat awal BNM akan terlibat dalam spekulasi pasaran pertukaran mata wang asing mula-mula disebut dalam syarahan Tan Sri Jaffar di Delhi pada tahun 1989. Masa tu, Jaffar ada kata yang dia dah menambahkan dimensi ketiga dan keempat kepada pengurusan rizab BNM, iaitu dengan mengoptimumkan keuntungan dan membangunkan kemahiran berurusniaga dalam pasaran wang asing.
Sejak dari itu bermulalah penglibatan BNM dalam kegiatan spekulasi di pasaran wang asing dalam skala besar dengan tujuan menjana keuntungan maksimum…” – Dr Rosli Yaakop. Dipetik dari Harakah Daily.
Kata Dr Rosli lagi, bila ditanya kenapa BNM berspekulasi secara besar-besaran sedangkan takde mana-mana bank pusat buat macam tu, jawapan Jaffar masa tu adalah ‘untuk mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi’. Tapi nampaknya, hal tu tak menjadi bila nilai tukaran asing ringgit jatuh pada tahun 1997-1998 akibat diserang spekulator mata wang (yang dikatakan George Soros).
BNM dikatakan belanjakan berjuta-juta dalam sehari
Kalau pedagang-pedagang mata wang asing selalunya jual beli lot USD1 juta, USD5 juta atau yang paling tinggi pun USD10 juta, tapi BNM lain. BNM dikatakan berniaga dalam lot USD50 juta dan kadang-kadang tu boleh sampai USD1 bilion dalam sehari!
Tambah Dr Rosli, BNM berniaga dengan cara:
- Beli dulu sesuatu mata wang dalam jumlah beberapa bilion USD dan bila urusan tu selesai (selang beberapa minit je), BNM akan beli lagi beberapa bilion USD.
- Perkara ni seterusnya jadi kejutan dalam pasaran dan pedagang-pedagang mata wang mula jadi panik dan akan tergesa-gesa beli mata wang tersebut.
- Kesannya, harga akan naik dan masa tu lah BNM akan jual balik pegangannya dan buat keuntungan.
“BNM bermain dalam lot-lot besar ini setiap hari. Ertinya, BNM memang berjudi di dalam pasaran, satu aktiviti yang tidak ada kena mengena langsung dengan fungsi ‘mempertahankan nilai ringgit dan mengawal inflasi’.” – Dr Rosli Yaakop. Dipetik dari Harakah Daily.
Antara lawan utama BNM masa tu adalah spekulator mata wang dunia, George Soros. Berdasarkan cerita Dr Rosli, pada 1992 – BNM ada beli Paun British (GBP) dengan jangkaan nilainya akan naik. Dalam waktu yang sama, George Soros dah buat ‘short selling’ pada GBP (jual dulu dan beli kemudian) sebab jangka mata wang tu akan turun.
Malangnya, jangkaan Soros tu jadi kenyataan dan BNM rugi sebanyak USD5.5 bilion dan Soros pula untung USD1.7 bilion. Tak lama lepas tu, Jaffar Hussein (Gabenor BNM) umumkan yang BNM hanya rugi atas kertas sebanyak RM9.3 bilion. Tapi kebenaran terbongkar pada 1993, bila Jaffar mengaku yang BNM rugi sebanyak RM10.1 bilion.
“Pakar-pakar membuat anggaran bahawa kerugian sebesar itu hanya boleh terjadi kalau BNM berspekulasi dalam pasaran sebanyak USD27-33 bilion.
___
Jumlah ini 5 kali ganda jumlah rizab BNM pada masa itu dan lebih besar dari nilai asset BNM, iaitu USD20.7 bilion ketika itu, bermakna BNM sudah bankrap. Ini bukan hendak menjaga nilai ringgit dan mengawal inflasi, ini berjudi sakan.” – Dr Rosli Yaakop. Dipetik dari Harakah Daily.
Aktiviti ni juga dikesan oleh Bank Pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve Bank), apabila pengerusinya masa tu ada minta BNM supaya berhenti dari melakukan aktiviti tu. Tapi BNM buat tak layan dan teruskan juga sampailah ia rugi besar pada tahun 1993.
‘Forex Scandal Elite Club Masters’ – 4 nama yang didakwa bertanggungjawab
Kalau dah rugi banyak ni, mestilah orang akan tanya siapa yang terlibat dan bertanggungjawab kan? Maka, muncullah 4 nama (forex scandal elite club masters) yang selalu dikaitkan dengan skandal ni. Mereka adalah Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu), Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu), Jaffar Hussien (Gabenor BNM ketika itu) dan Nor Mohamed Yakcop (Penasihat BNM/Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi Kerajaan ketika itu).
Daripada keempat-empat nama ni, Dr Rosli menamakan Jaffar dan Nor Mohamed sebagai dalang terbesar. Nor Mohamed turut dikatakan bertanggungjawab sebab hanya dia seorang je yang diberi tugas untuk membuat pertaruhan mata wang tu. Malah, dia juga dikatakan menggunakan komputernya dan komputer kakitangan BNM lain untuk buat spekulasi tu.
“Yang sebenarnya, yang berjudi itu seorang sahaja, iaitu Nor Mohamed Yakcop. Khabarnya (berita yang hangat di kalangan kakitangan BNM), apa yang beliau buat ialah beliau berjual beli menggunakan komputer orang lain – pegawai-pegawai di bawah beliau.
___
Beliau akan bergerak dari satu komputer ke satu komputer sehingga pasaran melihat BNM mempunyai ramai pedagang mata wang asing yang agresif, walhal yang agresif hanya seorng sahaja.” – Dr Rosli Yaakop. Dipetik dari Harakah Daily.
Manakala, Dr Mahathir dan Daim Zainuddin pula dianggap perlu bertanggungjawab disebabkan diorang adalah orang yang paling berkuasa masa aktiviti tu berlaku. Jadinya, bila Anwar Ibrahim dilantik jadi Menteri Kewangan pada 1991, dia cuba nak dapatkan maklumat dalam kes ni. Anwar akhirnya memberhentikan Jaffar Hussien dan Nor Mohammad dari BNM pada 1994. Sejak itu juga, BNM dilarang sama sekali terlibat dalam spekulasi mata wang asing.
“Setelah saya dipenjarakan pada September 1998, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir).
___
Dan lebih serius lagi apabila beliau dilantik Menteri Kewangan Kedua pada 2008; walaupun ketika diberhentikan pada tahun 1998, Kementerian Kewangan telah mengemukakan syarat bahawa beliau tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana institusi kewangan negara.” – Anwar Ibrahim. Dipetik dari BH Online.
Akhirnya pada tahun 2017, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dah diadakan untuk menyiasat salah satu skandal penuh kontroversi ni. Akan tetapi, dalam RCI ni – nama Anwar pun naik apabila bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, mendakwa Anwar ada meminta supaya tak didedahkan kerugian yang dialami BNM kepada umum sebab bimbang kalau dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.
“Saya sudah memberi penerangan kepada Anwar (tentang kerugian BNM) dan beliau menyatakan faham akan masalah kerugian itu dan akan berbincang dengan Gabenor mengenai perkara berkenaan.
___
Selepas penerangan itu, Anwar juga memberi komen bahawa sekiranya kerugian sebenar urus niaga mata wang asing BNM didedahkan kepada umum, beliau sebagai Menteri Kewangan perlu meletakkan jawatan.” – Abdul Murad, katanya di pendengaran RCI. Dipetik dari Berita Harian.
Kerajaan sebelum ni putuskan ‘tiada tindakan lanjut’ ke atas dapatan RCI
Berdasarkan dapatan dari Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kesimpulan dah dibuat bahawa kerugian BNM sekurang-kurangnya RM31.5 bilion akibat skandal berkenaan. Nilai ni tak jauh beza dengan anggaran Anwar yang pernah mengatakan BNM rugi antara RM15 bilion hingga RM30 bilion dalam skandal tersebut.
Dalam masa sama, RCI menamakan Nor Mohamed Yakcop sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas urus niaga berkenaan. Suruhanjaya juga berpendapat yang insiden tu melibatkan pecah amanah di bawah Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan. Laporan RCI setebal 400 muka surat tu juga dah diserahkan kepada YDP Agong pada 13 Oktober 2017.
Polis kemudiannya menubuhkan satu pasukan khas untuk melakukan siasatan lanjut berkenaan dengan kerugian berkenaan. Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pun pada tahun lepas ada kata yang kerajaan mempunyai tanggungjawab melaksanakan cadangan RCI tu, seperti antaranya mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbabit secara langsung dan/atau tidak langsung.
Akan tetapi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong ketika itu dilaporkan berkata, penelitian ke atas cadangan RCI tu mendapati ada kekurangan keterangan dokumentari bagi membuktikan dakwaan. Jadinya, ‘tiada tindakan lanjut’ akan dibuat ke atas penemuan RCI itu.
Dengan saranan terbaru daripada Najib Razak dan disokong pula oleh Anwar Ibrahim kali ini – adakah korang rasa Jabatan Peguam Negara akan membuka kembali fail siasatan tentang skandal yang dah terjadi lebih 20 tahun lalu?
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 6 Julai 2017 dan telah diubah suai isi kandungannya mengikut perkembangan semasa.*
- 24.8KShare sekarang!
- Email138
- Facebook24.7K
- Share