- 1.2KShare sekarang!
- Email3
- Facebook1.2K
- Share
Kalau korang ada nenek yang hidup zaman perang dengan Jepun dulu, mesti dorang ada cerita macam mana dorang kena basuh baju pakai tangan kat sungai. Basuh baju sampai nak tercabut bahu. Baju tu pun nak tercabut bahu.
Tapi sekarang ni kita dah banyak ciptaan yang memudahkan hidup. Hampir setiap rumah ada mesin basuh, malah bagi yang mampu tu, siap ada dryer sekali, tak payah beriya nak libas dan jemur tengah panas.
Malah buat kawan kami kat General Electric (GE), inovasi adalah antara prinsip paling penting dalam setiap benda yang dorang lakukan.
Diinspirasikan daripada semangat ini, kami di Soscili nak ceritakan inovasi yang dah membantu ribuan masyarakat di seluruh dunia. Malah ada yang datang daripada rakyat yang biasa-biasa je pun. Antaranya ialah…
1. A Liter of Light yang menerangi rumah-rumah setinggan di Manila, Filipina
Di Filipina, ada lebih kurang 12 juta penduduk tinggal dalam rumah yang takde elektrik. Sebab rumah setinggan ni rapat-rapat, cahaya matahari pun tak boleh masuk waktu siang. Punyalah gelap, kalau berjalan dalam rumah sure terlanggar kaki katil. Jadi biasanya diorang kan buat kerja waktu siang dan balik waktu nak tidur je. Ada sorang nenek ni kata, dia tidur je sepanjang hari sebab gelap. (Tak tau la itu alasan ke apa)
Tapi ada sorang mamat di Brazil ni dengan nama Alfredo Moser telah membuat ciptaan yang sangat genius. Korang tau tak botol air mineral yang mak korang buat pasu bunga tu? Alfredo Moser ni menggunakan teori pembiasan cahaya. Isi dengan air dan bleach (ala macam Clorox tu) je, pasang kat atap rumah.
Jadi di Filipina, dorang gunakan inovasi daripada Alfredo ni untuk menerangi rumah-rumah dorang, nak lagi bila penduduk semua ni miskin, mana mampu nak bayar bil elektrik tinggi tiap-tiap bulan. Lagi teruk kalau tarif elektrik dorang naik.
So boleh dikatakan Alfredo Moser ini telah membawa cahaya mata kepada penduduk-penduduk di Filipina.
Illac Angelo Diaz, pengarah eksekutif Yayasan MyShelter di Filipina yang tertarik dengan inovasi ni kemudiannya menggunakan idea Moser pada tahun 2011. Dia tolong sebarkan idea ni sebab dalam masa yang sama, dia juga ada membina rumah yang menggunakan bahan kitar semula.
Setakat tahun ni saja, dah lebih daripada 350,000 lampu botol dipasang di 15 buah negara dengan bantuan idea daripada organisasi Liter of Light. Inovasi ni juga dah dapat pengiktirafan PBB dan turut digunakan di beberapa kem pelarian UNHCR.
2. Hippo Roller yang mengurangkan bebanan orang untuk angkat air di Afrika Selatan
Menurut laporan Unicef, ada lebih kurang 750 juta orang penduduk tak dapat akses mudah untuk keperluan asas seperti air. Kita mungkin ambil mudah pasal benda ni. Tapi cuba bayangkan kalau tiba-tiba korang takde air, macam mana nak mandi, nak berak, dan basuh pinggan. Bagi diaorang, macam mana nak minum!
Jadi wanita dan kanak-kanak kat sana terpaksa bawak baldi penuh dengan air kat atas kepala dan berjalan berjam-jam! Bila hari-hari kena buat kerja berat macam ni, tak ke sakit leher tu, malah boleh merosakkan tulang belakang.
Jadi, tiba-tiba ada satu kumpulan yang datang dengan idea yang tak pernah difikirkan sebelum ini, dan dorang dikenali sebagai projek Hippo Roller. Nak tau apa je inovasi yang diaorang buat? Daripada bawak tong atas kepala, kenapa tak golekkan je macam tayar?
Malah, tong ni boleh memuatkan 90 liter air, 5 kali ganda tong biasa yang diaorang bawak! Semenjak projek ini, ia telah meningkatkan tahap kesihatan dan kebersihan penduduk Afrika. Sebabnya, bekas ni datang dengan penutup sekali. Jadi, takde la air tu terdedah dan asyik tertumpah je.
Jadi walaupun lepas ni diaorang tak dapat train otot leher, at least boleh dapat tangan macam Dato’ Nicol Ann David.
3. Seabin Project untuk lautan yang lebih bersih
Sampah kat dalam lautan ni punyalah banyak sampai menyebabkan kematian pelbagai spesies? Dalam masa 40 tahun je, kita dah kehilangan lebih kurang separuh daripada kehidupan lautan kerananya. Korang mesti dah pernah tengok gambar penyu yang terperangkap dalam plastik.
Menurut kajian National Geographic pada tahun 2015, terdapat sebanyak 5.25 trilion serpihan plastik di lautan. Kalau yang terapung di permukaan laut ada 269,000 tan, manakala plastik dan microfibers yang tenggelam pula lebih kurang 4 bilion dalam satu kilometer persegi laut dalam. Wah, berganda-ganda besarnya daripada padang bola sepak!
Jadi, sekumpulan marine yang juga surfer buat satu ciptaan yang nampak macam simple, dipanggil sebagai Seabin Project. Kalau korang tengok gif kat bawah ni, nampak macam baldi kat rumah untuk tadah air hujan. Tapi ciptaan ni memang gempak sebab dia boleh tarik segala sampah sarap di lautan.
Sebijik Seabin ni boleh menampung sampai 12 kg sampah di lautan setiap hari, bersamaan dengan setengah tan setiap tahun. Selain sampah, minyak pun dia boleh serap!
Seabin dikuasakan oleh pam air yang ada kat bawah mesin tu sendiri dengan menggunakan kuasa sebanyak 110V atau 220V. Selain tu, mesin ni juga gunakan kuasa solar, angin, gelombang atau turbin.
Kalau ada mesin automatik yang boleh ‘serap’ sampah kat rumah kan bagus. Nak lagi bagi korang yang selalu selsema asyik baling tisu je.
4. Remaja dari Acheh yang berjaya menjana elektrik daripada pokok kedondong
Semua dah tau pasal Acheh yang dilanda tsunami besar sehingga daerah tu menjadi padang jarak padang terkukur selama beberapa tahun. Walaupun Acheh semakin membangun lepas tu, tapi daerah Indonesia yang sedikit terpencil ni masih menghadapi masalah elektrik.
Terkesan dengan perkara ni, seorang remaja bernama Naufal Raziq mula buat eksperimen. Cuba punya cuba, akhirnya dia berjaya menghasilkan aliran elektrik dengan menggunakan pokok kedondong di sekitar rumahnya. Ada kira-kira empat lubang di setiap batang pokok dan menggunakan kapasitor, kabel dan barangan lain yang berkaitan.
Tapi korang jangan ingat dia ni dua tiga hari je terus berjaya. Sebelum berjaya, dia buat 59 percubaan dengan pelbagai buah-buahan masam termasuklah limau, lemon, asam jawa, mangga, dan dahan pokok-pokok tersebut sejak 2014. Tak tahulah kebun mana yang dia panjat, tapi harapnya owner dia berterima kasihlah kat Naufal sekarang.
Dengan ciptaannya, elektrik yang terhasil berjaya menerangi kira-kira separuh daripada jumlah rumah kat kampung dia. Disebabkan pencapaian dia yang membanggakan ni, dia dibawa ke ibu negara Indonesia, Jakarta untuk bertemu Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Ignatius Jonan. Sebagai penghargaan terhadap pencapaian Naufal, firma minyak dan gas negeri Indonesia (Pertamina) kemudiannya memutuskan untuk membiayai pendidikan universiti Naufal.
5. Lelaki dari India yang bukan saja cipta tuala wanita murah, tapi peluang pekerjaan dan perniagaan di kampungnya
Di India, hal berkaitan haid adalah sesuatu yang dianggap sangat memalukan nak disembangkan secara terbuka. Dah lah harga dia mahal nak mampus, kebanyakan perempuan pakai kain buruk je bila datang bulan, serius weh.
Ada seorang lelaki bernama Arunachalam ni terkesan sangat bila tengok isteri dan adik-adik dia yang bersusah payah. Jadi dia berjanji untuk mengubah perkara ni. Janji dia ni bukan setakat azam tahun baru korang ok, dia punyalah pulun sampaikan dipulaukan orang kampung dan ditingggalkan isteri sendiri!
Oleh kerana payah nak carik volunteer, dia sampai cuba pad tu pada diri sendiri dan letakkan darah kambing sebagai ganti. Mana la orang kampung tak ingat dia ni macam pervert.
Lepas beberapa tahun bereksperimen, dia akhirnya jumpa jalan penyelesaian. Bukan saja berjaya buat tuala wanita yang lebih murah, malah dia jugak turut mencipta mesin membuat tuala wanita supaya semua perempuan boleh buat sendiri.
Bukan je buatkan harga tuala wanita lebih mampu dimiliki, malah dia telah memberi peluang pekerjaan sebab wanita ni semua boleh buat bisnes dorang sendiri! Dengan mesin yang dia cipta tu juga, dia berharap sekurang-kurangnya satu bilion orang boleh dapat kerja melalui 250 buah mesin membuat tuala wanita. Setakat ni, dah 1300 buah kampung daripada 23 buah negeri di India dah terima mesin ciptaan dia.
Disebabkan inovasi dia ni, Arunachalam juga telah diiktiraf oleh Majalah Time antara 100 orang yang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2014. Pada 2016 pula, dia telah dianugerahkan dengan anugerah Padma Shri iaitu salah satu anugerah tertinggi yang diberikan kepada orang awam sempena Hari Republik di India.
6. Pembinaan rumah menggunakan botol terpakai di Nigeria dan Ghana
Mana-mana negara pun banyak masalah tak cukup rumah. Tapi kat Ghana, masalah ni berkali-kali ganda teruknya. Jadi diaorang kena fikir macam mana nak buat rumah yang lebih murah.
Awal tahun ni, ada sorang lelaki yang jumpa jalan untuk mengurangkan kos sehingga tiga kali ganda lebih murah! Macam mana dia buat? Dia cuma gunakan botol terpakai yang berlambak kat Ghana, sebab negara tu takde kilang kitar semula macam negara-negara lain. Jadi, sambil menyelam minum air botol mineral tu pastu buat rumah.
Caranya, dia gantikan batu-bata dengan botol plastik. Botol-botol plastik tu pada mulanya akan diisi dengan pasir. Lepas tu, tukang batu akan gunakan tanah liat atau mortar untuk susun botol, sama la macam rumah biasa. Bila plastik botol penuh dengan tanah liat, botol pun lagi senang disusun secara selang-seli sebab berat dan padat. Rumah tu dikenali sebagai ToaHouse, dan diasaskan oleh Paul Coffie Bebobru.
“Inovasi ini adalah lebih kurang 33% lebih murah berbanding dengan bentuk bangunan yang dibina secara tradisional. Eksperimen yang telah dilakukan menunjukkan bangunan jenis ni adalah 20 kali lebih kukuh daripada menggunakan blok atau batu bata, dan pembinaannya juga lebih pantas”- Paul Coffie Bebobru, pengasas ToaHouse di Ghana
Idea ni bukanlah yang pertama sebab masa tahun 2011, Yahaya Ahmed dari Persatuan Pembangunan Nigeria dah buat dulu. Projek ni dimulakan oleh Persatuan Pembangunan NGO yang diasaskan di Kaduna untuk Tenaga Diperbaharui (DARE), dengan bantuan daripada pakar asing dari Afrika Community Trust, sebuah NGO yang berpangkalan di London.
“Struktur rumah ni ada banyak kelebihan tambahan contohnya macam kalis kebakaran, kalis peluru dan tahan gempa bumi, dengan suhu dalam rumah yang rendah dan tetap iaitu 18 darjah C (64 darjah F), yang baik untuk iklim tropika,”- Yahaya Ahmad, penyelaras projek rumah di Nigeria.
Projek ni bukan je dijadikan idea atau batu loncatan untuk membuat projek perumahan yang lebih besar, tapi dalam masa yang sama membantu kanak-kanak yang tak mampu ke sekolah dengan memberi peluang pekerjaan pada diorang. Malah diorang juga bercadang untuk membina sekolah setelah selesai projek pembinaan penempatan menggunakan botol tu.
Manusia akan sentiasa berinovasi untuk menambah baik hidup masing-masing
Kami memang kagum dengan ciptaan yang dorang semua ni buat, walaupun dengan sumber yang sangat terhad. Dengan dunia teknologi sekarang yang tengah berkembang pesat, ada macam-macam perkembangan baru yang kita dengar. Punyalah maju, sampaikan Facebook terpaksa berhenti projek AI sebab diaorang mula buat bahasa sendiri! Pergh.
Bukan sahaja di luar negara, kat Malaysia pun tak kurang hebatnya. Contohnya, kawan kami sendiri, General Electric, diorang pakai teknologi Ultrasupercritical dalam projek di Manjung, yang dah berjaya menerangi sebanyak lebih kurang 2 juta rumah di Semenanjung Malaysia! Teknologi Ultrasupercritical yang digunakan dikatakan terbaik disebabkan kecekapan pembakaran yang lebih tinggi dengan pelepasan gas karbon dioksida yang kurang, sekaligus mengurangkan pencemaran udara.
Sebenarnya, orang Malaysia pun tak kurang hebatnya dalam sains dan teknologi. Nak tahu apa dia? Mungkin kami akan ceritakan dalam artikel yang lain!
- 1.2KShare sekarang!
- Email3
- Facebook1.2K
- Share