Saya yang kena picit, kenapa tukang urut yang sendawa? 5 mitos pasal berurut

Mak abah korang selalu tak mintak tolong urut? Selalunya urut kat bahu dan leher tu yang syok. Kalau ada budak kecik kat rumah lagi best, boleh suruh diaorang pijak kat atas belakang.

Lukisan ShidiArt, diambil dari bubblynotes.com
Lukisan ShidiArt, diambil dari bubblynotes.com

Tu kalau ada budak kecik je lah, korang yang dah dewasa tu jangan pergi naik atas belakang mak jugak! Kalau tak nanti meniarap tak bangun-bangun dah. Tapi takpe, korang masih boleh belanja mak abah (atau bos kat pejabat) urutan first-class dengan… OSIM uJolly!

Mah aih OSIM sekarang ni ada pengurut mudah alih!

Sponsor kami OSIM baru keluarkan pengurut belakang mudah alih uJolly yang boleh diletakkan atas kerusi, atas sofa, dan kat mana-mana je la yang ada plug elektrik. Boleh la beli sebijik letak kat pejabat, mana tau boleh tingkatkan produktiviti korang berkali-kali ganda. Cuma member ofis korang kena tahan la bila korang start berderu-deru sendawa.

Eh tapi bercakap pasal sendawa kan, korang perasan tak bila pergi berurut, tukang urut sekali yang sendawa? Kadang-kadang sampai dia pulak yang lebih. Ada orang kata fenomena ni terjadi sebab angin tu berpindah dari pesakit ke tukang urut. Macam tu pulak… fakta ke auta?

Sebenarnya banyak lagi benda-benda pasal urut-mengurut yang kita dengar, tapi tak pasti akan kesahihannya. Sebab tu lah demi kesejahteraan bahu, leher dan belakang korang, SOSCILI dan OSIM buat penyiasatan pasal mitos ni satu-satu, bermula dengan…

1. Waktu berurut, memang kena picit sampai sakit ke?

Fakta atau auta: Auta!

Kadang-kadang tukang urut korang picit terlebih kuat sampai rasa nak terberanak. Nak tegur segan, nak lagi kalau korang jenis introvert, bermadah je la dalam hati: Eh memang kena sakit macam ni ke? Orang lain tak buat bising pun, aku je kot yang lembik. Kenapalah aku sering diperkotak-katikkan.

Melainkan kalau tukang urut korang The Hulk, korang tak semestinya kena merana waktu berurut. Kalau rasa sakit bagitau dia, kalau tak cukup kuat pun bagitau jugak. Barulah tukang urut boleh bajet untuk tahap keselesaan setiap pesakit. Tukang urut dari Elements Massage ni ada bagi penerangan panjang lebar:

“Bila dibuat dengan betul, urutan sepatutnya memberi kebaikan, tak kisahlah ianya menyakitkan atau tidak. (Contohnya) urutan ringan sangat membantu peredaran darah.

Kalau urut tu sakit, ianya tanda yang tisu badan tidaklah 100% sihat. Tapi perbezaan yang penting perlu dibuat adalah: Adakah ianya ‘sakit yang bagus’ atau ‘sakit yang tak bagus’? Sakit yang bagus kita adalah melegakan, tapi yang tak bagus tu boleh membawa kecederaan.” – Glenda P, dipetik dari Elements Massage.

So korang boleh mintak urut manja je.

Tapi macam mana pulak selepas kena urut? Kalau esok harinya korang rasa lenguh, biasanya itu memang normal. Macam exercise jugak la, kalau dah setahun tak pernah gerakkan tulang empat kerat korang tu dan tiba-tiba berjogging, esok harinya mesti sakit satu badan. Tapi rasa lenguh ni biasanya tak lebih dua hari, so kalau lama sangat mungkin ada yang tak kena dengan sesi urut tu.

 

Jadi ingat waktu berurut, pastikan korang berkomunikasi dengan tukang urut kalau rasa sakit, jangan pendam dalam hati, nanti badan yang merana.

2. Betul ke angin pesakit ‘dihantar’ ke tukang urut, sampai dia boleh sendawa?

Fakta atau auta: Er macam auta je…

Selain angin, kungfu juga mungkin boleh dipindahkan secara tidak sengaja.

Kalau yang kena urut tu sendiri yang sendawa dan kentut, memang biasalah. Ini kerana waktu berurut, badan korang bertukar dari mod sympathetic (sentiasa bersedia) kepada parasympathetic (rileks), dan waktu rileks la sistem penghadaman korang bekerja dan  keluar gas tanpa warna. Sebab tu la kat dalam bilik urut ada minyak wangi aromaterapi.

Tapi macam mana pulak kalau tukang urut yang sendawa? Kita selalu dengar yang angin daripada pesakit dihantar kepada tukang urut. Yang menariknya bila kami Google, benda ni banyak berlaku kat Malaysia dan Indonesia je, seperti review yang diberi oleh mat saleh ni tentang satu rumah urut kat Riau, marah betul dia:

“Semua tukang urut asyik sendawa dengan jijik! Saya terpaksa tegur tukang urut saya suruh dia berhenti, dia pun berhenti, tapi staff lain terus sendawa macam pertandingan minum beer pun ada.” – Andy F, review kat TripAdvisor.

Kami kecewa bila mengetahui ini bukanlah filem mengenai cara membuang angin ahmar.

Kami cuba cari penerangan saintifik tentang fenomena angin berpindah-randah ni, dan ini je antara yang paling dekat kami jumpa:

“Namun bila ditinjau dengan ilmu kedokteran, tidak seperti itu. Menurut Dr. Rifsia Ajani, proses transfer penyakit yang dialami oleh ahli terapis pijat seperti pada kasus sendawa saat memijat, tidak dikenal dalam dunia kedokteran.” – Dipetik dari asalasah.com.

Jadi kesimpulannya kat sini… transfer sendawa ni hanya ada dalam urut tradisional sekitar Malaysia dan Indonesia je, tapi bukan secara saintifik.

Malah kami tak jumpa pun fenomena ‘tukung urut sendawa’ kat negara-negara Barat. Perlu diingat yang sesetengah budaya macam kita takde la pelik mana bila orang sendawa, tapi kat Barat sendawa kuat-kuat ni kira macam takde adab. Jadi di Barat, mungkinlah wajah tukang urut mereka nampak ceria, tapi angin membuak-buak dalam perut siapa yang tahu.

3. Jenis urut yang lain-lain ni sebenarnya takde beza pun?

Fakta atau auta: Auta!

Teknik urut di zaman Kungfu. Imej dari Alam Perwira.

Ada yang kata… urut ni kan sekadar tolak tarik lemak je, apa yang susah sangat? Uih sebenarnya kami nak cerita pasal semua jenis-jenis urut ni memang tak cukup satu artikel, kat Wikipedia je ada 20 jenis urut yang berlainan! Dan ini antara jenis-jenis yang kita boleh jumpa kat Malaysia (tak termasuk urut batin ye, tu boleh cari artikel lain):

  • Urut Melayu tradisional: Yang ni macam biasalah, otot badan korang akan dipicit-picit macam mak uli tepung.
  • Deep tissue massage: Urut lebih kurang sama je dengan urut biasa, tapi pergerakannya biasanya lebih perlahan dan picit tu lebih kuat. Selalunya guna untuk betulkan lapisan otot korang yang dah tegang sangat tu, contohnya bagi orang yang kerap sakit tengkuk, sakit belakang, lenguh-lenguh dan sebagainya.
  • Thai massage: Korang mesti familiar dengan thai massage kan. Biasanya untuk teknik urut ni, badan korang akan dipulas sampai tonggang terbalik, tapi rasa puas gila.
  • Urut kaki (refleksologi): Bagi sesetengah orang, urut ni la yang paling syok sekali, tak kira la ia betul-betul berfaedah ke tak.
  • Urut ibu mengandungSeperti namanya, urut ni adalah khas untuk ibu mengandung termasuklah sebelum bersalin (prenatal) dan lepas bersalin (post-natal).
Bapa mengandung tak boleh join.

Malah jenis urut je yang berbeza-beza, setiap tukang urut pun lain-lain, seperti kata seorang therapist ni:

“Semua orang ada keperluan yang berbeza-beza. Semua therapist menggunakan kaedah yang berlainan. Anda kena cuba therapist yang berbeza sampailah kamu jumpa siapa yang kamu suka, sebab adalah sangat penting untuk cari yang sesuai.” – Kristen Sykora, tukang urut dan ahli American Massage Therapy Association (AMTA), dipetik dari WebMD.com

Cumanya kalau kat Malaysia ni, kita tak semestinya dapat tukang urut yang sama setiap kali. Kadang-kadang bila kita datang, pengurut favert kita tengah urut orang lain, kadang-kadang dia tengah cuti. (So kalau korang nak urut yang konsisten setiap kali… boleh la cuba uJolly!)

4. Dari segi saintifik, sebenarnya urut ni takde kelebihan pun untuk kesihatan?

Fakta atau auta: Auta!

Sesetengah orang agak skeptikal dengan khidmat urut. Memang la waktu kena urut tu rasa sedap, ada yang sampai tertidur sebab selesa sangat. Tapi memang ada faedah ke untuk kesihatan?

Mengikut Mayo Clinic, khidmat urut ni sepatutnya digunakan sebagai rawatan tambahan untuk apa-apa jenis penyakit, so make sure korang dapatkan rawatan yang biasa dulu la. Dan ada juga orang yang pergi berurut sebab rasa syok, tak semestinya untuk apa-apa penyakit.

Antara masalah yang boleh dikurangkan dengan khidmat urut adalah:

  • Kerisauan (anxiety)
  • Masalah penghadaman
  • Sakit kepala
  • Insomnia yang disebabkanstress
  • Kecederaan daripada aktiviti sukan
Urut yang ni kami tak tau apa pekdahnye.

Sebuah kajian telah diterbitkan oleh Archives of Physical Medicine and Rehabilitation yang mengatakan khidmat urut ni boleh melegakan lenguh kat otot dan membaiki peredaran darah.

Universiti Emory pulak menghantar beberapa orang pergi berurut sebanyak satu/dua kali seminggu, dan mendapati mereka mempunyai tahap hormon stress yang lebih rendah dan imuniti yang meningkat! Tambah Dr Rapaport lagi, dia menggalakkan korang pergi berurut selalu untuk agar faedah-faedah ni bertambah.

Tapi kan… kalau ada sugar daddy/mommy nak sponsor berurut dua kali seminggu macam universiti kat atas ni OK la jugak kan. Tapi kita rakyat marhaen ni mampu ke? Ini kami sembang dalam poin di bawah…

5. Urut cuma bagi golongan yang berkemampuan?

Fakta atau auta: Fakta! Kalau korang pergi tiap-tiap minggu la.

Kami cuba cari “massage Malaysia“, dan tempat-tempat kami jumpa memang bukan murah. Ini adalah pakej yang disediakan oleh sebuah spa kat KL:

  • Urut aromaterapi: RM 150 sejam
  • Hot stone massage: RM 190 sejam
  • Deep tissue massage: RM 180 sejam
  • Urut ibu mengandung: RM 180 sejam

Kat sebuah spa ala Thai pun lebih kurang jugak (harga termasuk GST):

  • Thai aromatherapy massage: RM 130.40 sejam
  • Thai traditional massage (yang sampai pulas tulang belakang tu): RM 109.20 sejam
  • Urut kaki: RM 77.40 sejam

Ada je rumah urut dengan harga murah, walaupun mereka tak ekslusif macam spa kat atas tadi, tapi servis dia lebih kurang sama je. Contohnya urut kaki, urut badan, dan urut bahu & belakang semuanya RM40 sejam.

Kira OK la tu kalau nak pergi sekali-sekala, setahun dua kali ke. Tapi kalau nak pergi tiap-tiap bulan memang kopak la wallet… baik la pergi beli barang dapur.

Memandangkan gaji median kat Malaysia adalah RM4,585 (statistik terakhir pada tahun 2014), serta macam-macam kos sara hidup yang kian meningkat, rasanya pergi ke pusat massage bukan keutamaan orang ramai buat masa ni, walaupun dah terbukti yang ianya memang bagus untuk kesihatan.

Tapi takpe, korang masih boleh berurut dengan murah. Hari-hari pun boleh!

Klik link untuk tengok promosi.

Dengan apa lagi, tentulah dengan OSIM uJolly! Huhu. Oleh kerana produk ni baru je keluar, harga dia masih lagi pada promosi iaitu pada ansuran RM66 sebulan. Korang boleh klik link ni maklumat lanjut.

Dan sekarang pun korang dah tau macam-macam mitos pasal berurut! So lepas ni kalau korang tak tahan bila tukang urut sendawa dan kentut secara selamba badak, boleh la tegur sikit, tak perlu diam membisu. (Kalau servis dorang first-class, jangan lupa bagi tips!)