- 300Share sekarang!
- Email73
- Facebook227
- Share
Selalu tak dengar cerita orang kena sihir? Korang rasa wujud ke benda-benda macam ni atau sekadar kepercayaan karut je :O
Sebelum cerita lebih lanjut, biar kami terangkan sikit apa tu sihir. Menurut pusat rawatan perubatan Islam Darussyifa‘, sihir ni merupakan satu ilmu yang berkaitan dengan perbuatan secara halus melalui pertolongan makhluk ghaib iaitu dengan bantuan syaitan atau jin bagi mencapai tujuan tertentu seperti menyakiti atau menjatuhkan kejayaan seseorang. Ia juga boleh memisahkan hubungan suami isteri.
Tapi macam mana sihir ni boleh wujud? Dari mana asal usulnya?
Ada riwayat menyatakan bahawa Malaikat Harut dan Marut telah mengajar manusia ilmu sihir
https://youtu.be/eUjbc1-ryhk?t=4s
Ustaz Asri ada menerangkan bahawa nama Harut dan Marut ada disebut didalam surah Al-Baqarah ayat 102 tentang Nabi Sulaiman. Harut dan Marut ni adalah malaikat yang diturunkan di Babylon, Iraq untuk mengajar dan memberitahu manusia tentang ilmu sihir.
Setelah Harut dan Marut mengajar mengenai ilmu sihir, mereka kembali semula ke langit. Tetapi, masyarakat Babylon langsung tak mematuhi peringatan Harut dan Marut iaitu:
“…sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir.
“…barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah:102)
Mereka (masyarakat Babylon) telah menyalahgunakan ilmu sihir yang diajar. Maka bermula dari situlah, ilmu sihir telah berkembang.
Siapa sebenarnya Harut dan Marut ni?
Kisah Harut dan Marut ni mempunyai banyak pendapat dari para ulama.
“Ada setengah ulama kata Harut dan Marut ni malaikat, ada setengah ulama kata dia wali. Wallahualam.” – Ustaz Azhar Idrus. Dipetik dari Youtube.
“Al-Quran sebut umum, tapi Riwayat Israiliyyat kata kononnya Harut dan Marut ni dua malaikat yang datang nak test (dia ada nafsu macam manusia). Lalu bila dia turun, dia gagal dengan nafsu tu dan kemudian akhirnya malaikat ni mengajar manusia sihir seumpamanya…” – Dr Mohd Asri Zainul Abidin,Mufti Perlis. Dipetik dari Youtube.
Jelas Ustaz Asri lagi, Harut dan Marut ni mungkin datang untuk mengajar kunci-kunci sihir sebagai cara bagaimana nak atasi sihir tu dan kita semua ni sebagai manusia jangan kufur.
“Siapakah detail Harut dan Marut? Banyak riwayat cerita macam-macam. Sedangkan Al-Quran cerita banyak tu sahaja. Kita tahu nama mereka, mereka ajar tentang sihir, mereka bagitahu jangan kufur kepada Allah, mereka bermula daripada Babylon.” – Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Youtube.
Sehingga kini, sihir masih lagi diamalkan oleh masyarakat kita dan ia mempunyai lebih daripada 10 jenis sihir. Antaranya ialah…
1. Sihir pemisah
Menurut Dr Asri, orang ramai (zaman dahulu) telah belajar dari Harut dan Marut tentang apa yang dapat pisahkan pasangan suami isteri iaitu Sihir at-Tafriq atau lebih dikenali sebagai sihir pemisah. Sihir ini akan membuatkan hubungan suami isteri bermasalah dan akhirnya membawa kepada penceraian.
Perkara ini jelas telah tertulis di dalam Al-Quran. Allah telah menerangkannya di dalam surah al-Baqarah ayat 102, yang bermaksud:
“…Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu melainkan dengan izin Allah…”
Bahan yang akan digunakan untuk sihir ni adalah dengan menggunakan barang-barang yang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian. Ada jugak yang menggunakan air serta minyak yang telah dijampi dan dicalit kepada mangsa. Namun menurut pusat Perubatan Islam Darussyifa ia jugak boleh menggunakan tahi besi lalu di taburkan di jalan yang dilalui oleh mangsa atau ditanam di kawasan rumah mangsa.
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah ada menyatakan bahawa pengamal sihir yang diupah ni akan menghantar jin belaannya untuk memasuki tubuh badan si mangsa dan mempengaruhi pemikiran, emosi serta nafsu mangsa seperti yang dikehendakinya tanpa disedari oleh mangsa.
Antara tanda-tanda orang yang terkena sihir pemisah ialah:
- Perubahan tiba-tiba dari sayang jadi benci.
- Berlaku keraguan antara suami dan isteri.
- Enggan meminta maaf.
- Cepat marah walaupun perkara yang kecil.
- Suami atau isteri melihat wajah pasangannya sangat hodoh sedangkan orang lain lihat biasa je.
- Benci dan tak suka bila pasangannya ada di rumah.
Namun Ustaz Azhar Idrus ada menyatakan bahawa penceraian yang berlaku akibat sihir adalah tidak sah kerana ia berlaku tanpa kesedaran dan tak mempunyai akal pada ketika itu.
https://youtu.be/WWQSzquk-hk
2. Pukau
Pukau turut dikategorikan sebagai ilmu sihir. Menurut Pusat Rawatan Islam Assyifa, antara tanda-tanda seseorang tu terkena sihir pukau ialah:
- Mangsa akan berasa kaku, kelu dan tak mampu bertindak balas samada melalui pandangan, pendengaran atau anggota badan yang lain. Mangsa berada di bawah penguasaan pemukau dan tindakannya semua mengikut arahan oleh pemukau.
- Menyebabkan mangsa tidur lena dan tak sedar apa yang berlaku disekelilingnya.
Pukau boleh berlaku melalui hembusan asap rokok, tenungan mata, perbualan, minuman dan untuk pengetahuan korang, pukau jugak boleh berlaku melalui telefon bimbit (percakapan dan sms).
Kalau korang perasan, ramai pengamal ilmu pukau ini menggunakan ilmunya bagi merompak, memperdaya orang sekeliling dan yang lebih malang lagi, mereka turut menggunakan ilmu tersebut bagi memuaskan nafsunya (merogol). Tapi apakah hukumnya bagi wanita yang dipukau hingga hilang maruah diri ?
“Ulama-ulama ada menyatakan hukum orang yang dipengaruhi sihir (mangsa) tanpa kesedarannya, ia tidaklah menanggung dosa. Ahli sihir (pelaku) tu yang akan menanggung dosa” – Ustaz Azhar Idrus, pendakwah bebas. Dipetik dari Youtube.
3. Sihir Santau
Santau merupakan salah satu sihir yang digunakan untuk meracuni musuh dengan menyeksanya sehingga membawa maut.
Menurut blog Perawat Islam.com yang diasaskan oleh Ustaz Abdullah, seorang pengamal perubatan Islam Ruqyah Syar’iyah telah menyatakan bahawa sihir santau ini boleh membawa kepada maut. Malah sebelum menemui ajal (dengan izin Allah), mangsa santau akan menderita penyakit yang kronik terlebih dahulu dalam masa yang panjang (sehingga bertahun-tahun).
Berdasarkan sumber dari Perubatan Islam Darussyifa’, sihir santau ini biasanya berlaku di bahagian negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan juga di bahagian selatan negara China.
Santau mempunyai pelbagai jenis, iaitu:
- Santau makan/minum – Ramuan santau dimasukkan ke dalam makanan atau minuman mangsa.
- Santau angin – Ramuan santau ‘dituju’ kepada mangsa secara jauh (pemujaan atau melihat mangsa dari jauh). Ia ‘dihantar dan dimasukkan’ ke dalam badan mangsa secara ghaib dengan bantuan jin.
- Santau tuju – Ia boleh membunuh mangsa dengsa serta merta atau mangsa boleh muntah darah serta merta. Biasanya ia dilakukan pada waktu tengah malam dengan menggunakan pemujaan terhadap pakaian, rambut atau barang peribadi mangsa.
- Santau langkah – Ia dikenakan kepada mangsa dengan menanam atau meletakkan ramuan santau yang telah dibacakan mantera di pintu rumah atau pejabat.
- Santau batuk – Mangsa mengalami batuk yang berterusan dan kadangkala diiringi sakit kepala. Ia merupakan peringkat awal bagi mereka yang terkena santau.
Ramuan yang digunakan untuk sihir santau ini adalah amat berbisa, kotor dan gatal apabila terkena kulit. Antaranya ialah air ulat sintuk, segala jenis miang (miang buluh, miang jagung), sumbu pelita minyak tanah, kaca, paku dan sebagainya.
Menurut Pusat Rawatan Islam Darussyifa’ lagi, sekiranya mangsa berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan X-ray, ia tak dapat dikesan tetapi biasanya di bahagian paru-paru mangsa tersebut akan menjadi gelap kerana bahan/racun telah masuk ke pembuluh darah lalu menyerap ke seluruh badan dan otak sehingga menyebabkan lidah mangsa menjadi pendek, tak boleh bercakap, mulut herot dan tangan menjadi merengkot.
4. Sihir pengasih/penunduk
Ada setengah orang panggil ianya sebagai sihir guna-guna.
“Sihir pengasih boleh datang dari ludah, makanan, gambar. Dari gambar dia boleh puja sampai kita jadi kasih kepada dia.” – Ustaz Kazim Elias, pendakwah bebas. Dipetik dari Youtube.
Ia juga boleh datang dari air mayat, abu mayat dan minyak mayat. Tambah beliau lagi, jika seseorang tu berkahwin hasil daripada minyak pengasih tersebut, bila mereka mendapat anak nanti anaknya itu akan menjadi degil dan suka kepada kemungkaran.
“…kalau suami isteri yang pakai minyak pengasih untuk berkahwin tetapi akhirnya telah bercerai, kebiasaannya si mangsa minyak pengasih tersebut takkan berkahwin dengan orang lain lagi kerana ia sudah ‘ditutup’ dengan ilmu pengasih melainkan ia ‘dibuka’ balik (berubat) – Ustaz Kazim Elias, pendakwah bebas. Dipetik dari Youtube.
Namun ada juga minyak pengasih yang boleh diamalkan dan tak syirik di sisi agama iaitu:
5. Sihir Perniagaan
Menceburi bidang perniagaan memang mengundang risiko tersendiri kerana ia ada pasang surutnya. Namun Rasulullah SAW ada menegaskan bahawa kedudukan perniagaan merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT :
“Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melaluli perniagaan” – Hadis Riwayat Tirmizi. Dipetik dari Laman Web Rasmi IKIM.
Berbalik semula pada point sihir perniagaan ni, ia mempunyai dua jenis iaitu:
i) Pelaris
Gunalah pelaris yang dibenarkan oleh Islam seperti:
- Mulakan perniagaan dengan solat hajat.
- Mulakan membaca Bismillah dan beri salam setiap kali tetamu datang.
- Makanan tak jual terlalu mahal.
- Kedai sentiasa bersih.
“…pelaris ni boleh digunakan, cuma kalau tak kena caranya, ia jadi syirik dan dilarang…” – Ustaz Azhar Idrus, pendakwah bebas. Dipetik dari Youtube.
“…ada setengah gantung gambar sultan tertentu, yang kononnya atas kepala sultan tu ada bulu burung cenderawasih. Kalau gantung di kedai, jadi laris. Benda tu syirik.” – Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Youtube.
ii) Penutup
Sihir ini biasanya terjadi apabila terdapat pesaing yang sakit hati bila tengok perniagaan seseorang tu semakin maju dan dari situlah timbulnya rasa iri hati. Maka sebagai tanda tak puas hati, ramai pesaing yang amik jalan pintas dengan menggunakan bantuan jin untuk menutup rezeki perniagaan orang tersebut.
Antara tanda-tanda bagi kedai makan yang terkena sihir penutup perniagaan ialah:
- Nampak kedai tutup – Pelanggan nampak kedainya tutup sedangkan perniaga tersebut bukak je kedai ketika itu.
- Pelanggan takde keinginan nak masuk kedainya – Pelanggan dah berenti depan kedai tetiba tak jadi pulak nak masuk kedai tu, terus pergi ke tempat lain.
- Sering sakit – Pengusaha sering sakit dan malas nak datang bukak kedai. Berada panas dan rimas bila ada kat kedai.
- Sering bergaduh – Pengusaha kedai jadi pemarah walaupun perkara kecik-kecik. Pekerja jugak sering bergaduh sesama sendiri.
- Juadah cepat basi – Makanan yang dimasak cepat basi walaupun baru berapa jam je masak.
- Nampak kelibat menakutkan – Pengusaha kedai atau pekerja sering lihat kelibat makhluk yang menakutkan.
Kenapa mudah sangat masyarakat kita terkena sihir? Macam sukar je nak percaya. Hmm betul ke?
Nabi Muhammad SAW turut disihir, apa ntah lagi kita
Mungkin ramai di kalangan masyarakat yang tak percaya kepada sihir kononnya ia adalah mengarut namun korang tahu tak yang Nabi Muhammad SAW juga turut terkena sihir?
“…disihir ini tak semestinya nabi dikuasai oleh syaitan. Tapi gangguan sihir yang menyebabkan nabi terlupa beberapa benda. Dia rasa didatangi isterinya, dia rasa tak didatangi. Bukan bererti nabi telah mengubah syariat atau syaitan masuk ke tubuh nabi…”- Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Youtube.
Menurut jawapan daripada Pusat Rawatan Islam Darussyifa’ yang memetik kata-kata dari Ustaz Haron Din di akhbar Harakahdaily ada menyatakan para ulama telah bersepakat berpandukan hadis sahih ini bahawa memang terdapat cubaan melakukan sihir oleh Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sam terhadap Baginda. Namun peristiwa ini tak boleh disamakan dengan manusia yang terkena sihir di zaman sekarang (hilang kewarasan dan menderita).
“Labid al-A’sam tanam sesuatu ke dalam telaga yang selalu Rasulullah gunakan. Apabila Rasulullah SAW mandi menggunakan air perigi tersebut, ketika itulah Rasullah terkena sihir lalu pengsan…” – Ustaz Sharhan Safie, pendakwah bebas. Dipetik dari rancangan Tanyalah Ustaz, Tv9.
Jelaslah daripada apa yang kita lihat, sihir ini memang benar dan ianya telah wujud sejak berabad lamanya sehingga ke hari ini. Menurut Ustaz Azhar Idrus, sihir ini akan terjadi dengan izin Allah sahaja. Ia syirik lagi haram dan berdosa besar.
Semoga kita semua terhindar dari perkara-perkara sebegini.
- 300Share sekarang!
- Email73
- Facebook227
- Share