Sambutan Deepavali macam mana? Kami tanya member-member kami.

Deepavali Valthukkal bagi pembaca-pembaca kami! Memandangkan sambutan Deepavali tahun ni jatuh pada hari Ahad… yeay cuti tiga hari!

Tiap-tiap kali bos kami jadualkan meeting hari Isnin minggu ni. Gif asal dari Tenor.

Bagi yang tak sambut Deepavali pula, mungkin korang pun terfikir… eh, Deepavali diorang buat apa je? Kunjung mengunjung? Makan tak hengat? Ziarah pusara? Ada angpau ke? Macam orang Melayu sambut Hari Raya jugak ke macam mana?

Untuk merungkai persoalan di kalbu kami ini, kami kepoh dengan lima orang kawan baik kami yang sambut Deepavali. Dan soalan pertama yang kami tanya ialah, “Korang buat apa sebenarnya bila Deepavali?”

Malam sebelum sambutan Deepavali

Hasil sembang sambil pepah muruku yang dibawa, nampaknya tiap-tiap keluarga ada cara sendiri nak sambut Deepavali, tapi ada beberapa elemen yang lebih kurang sama.

Sebelum Deepavali, selalunya akan ada masa diluangkan untuk ingat atau doakan ahli-ahli keluarga yang dah meninggal. Ini selalunya dibuat pada malam sebelum Deepavali, tapi ikut keluarga juga: ada yang buat dua tiga hari sebelum Deepavali, dan ada juga yang buat pagi Deepavali. Terpulang pada bila mereka rasa masa yang terbaik.

Contoh altar peribadi dalam rumah. Foto ihsan Reena.

Kalau ahli keluarga mereka dikebumikan, mereka akan pergi ke tanah perkuburan dan mungkin tinggalkan makanan atas daun pisang untuk memperingat keluarga mereka. Tapi bagi kebanyakan orang lain, upacara ni dilakukan di rumah sendiri, di altar peribadi keluarga mereka.

Sesetengah keluarga juga akan lukis kolam atau rangoli di lantai dari tepung beras. Kolam atau rangoli ni biasanya dibuat berdekatan pintu masuk rumah, dan tujuan dia berbeza mengikut orang: sama ada sebagai perhiasan, menjemput dewa-dewi masuk, menghalang benda tak baik dari masuk, atau sebagai sedekah kepada semut dan burung-burung yang makan tepung beras tersebut.

Kolam yang dilukis keluarga Elil. Yang warna-warni tu selalunya rangoli.

Selain tu, ada yang akan berjaga hingga tengah malam untuk main mercun dan bunga api sebelum masuk tidur, untuk menandakan mulanya sambutan Deepavali.

Sambutan Deepavali di hari kejadian

Kebanyakan yang kami temubual akan bangun awal pagi di hari Deepavali, sebelum matahari naik. Sungguhpun begitu, ada sesetengah keluarga yang rasa bangun lambat sedikit adalah lebih afdal. Apapun, perkara pertama yang dilakukan ialah mandi minyak.

Yang paling tua akan tuangkan sedikit minyak ke atas kepala semua orang dalam keluarga. Bagi lelaki, minyak ni akan diurut ke seluruh badan, manakala bagi yang perempuan hanya rambut yang diurut. Selain menyejukkan badan, mandi minyak ni dipercayai membantu rambut tumbuh lebih tebal dan lebat.

*mencatat nota* Gif dari Cosmopolitan.

Sesetengah keluarga yang lebih tradisional akan sapu juga serbuk siyaka (mungkin nama tempatan bagi shikakai) pada badan. Minyak ni dibiarkan selama lebih kurang setengah jam sebelum mandi macam biasa.

Lepas mandi, semua ahli keluarga akan pakai baju tradisional baru dan berkumpul. Yang paling tua akan agihkan lagi baju baru dan mungkin duit raya pada ahli keluarga lain, manakala yang muda akan mintak restu pada yang lebih tua dengan tunduk dan sentuh kaki mereka.

Masa ni juga, altar keluarga akan dihias dengan bunga dan manisan, dan sesetengah keluarga akan asingkan sedikit masakan pagi tu untuk dewa-dewi. Lepas semua setel di rumah, mereka mungkin akan pergi ke kuil untuk sembahyang.   

Ada tema warna jugak! Imej ihsan Reena.

Balik dari kuil, selalunya mereka akan makan sarapan yang istimewa sikit dari kebiasaan, disulam dengan kuih-muih dan manisan tradisional. Lepas makan dah aktiviti bebas: makan-makan, kunjung mengunjung, lepak tengok TV, ambil ootd keluarga dan sebagainya.

Jadi tulah apa yang diorang buat semasa Deepavali lebih kurang. Untuk lebih mendalami pengalaman Deepavali diorang, kami ada tanyakan beberapa soalan tambahan. Enjoice!

“Apa yang korang rasa paling best tentang sambutan Deepavali tiap-tiap tahun?”

“Berkumpul dengan keluarga dan kawan-kawan, dan juga main mercun. Juga hias rumah, pergi membeli-belah, beli baju – tradisional, macam sari, baju Punjabi, semua tu.”

-Reena, bekas Cilisos.

“Paling best tentang Deepavali ialah jumpa kawan-kawan dan keluarga. Selalunya kami sembang-sembang, minum-minum… ni masa paling seronok bagi kami, lagi lagi bila jumpa kawan masa sekolah, member satu dorm, sepupu sepapat. Sebab sekarang semua busy, jadi jarang sangat nak jumpa. Bila Deepavali, boleh jumpa semua sekali, kan?”

-Mogan, member penulis

“Mungkin main games dengan keluarga, sebab waktu selain Deepavali rasanya susah nak himpun semua untuk duduk makan semeja. Jadi dari makan bersama dan lepak bersama… itu yang paling saya tunggu. Saya cuma nak semua balik rumah, lepak sekali, sembang kosong, dan habiskan masa bersama.”

-Dee, kepala video Cilisos

“Untuk seseorang yang suka glam-kan diri, itu yang paling saya tunggu. Pakai baju tradisional dengan bunga jasmin kat rambut dan nampak lawa sambil makan snek dan biskut kegemaran (muruku, nei urundhai, achi muruku, palkova). Tapi tentulah habiskan masa dengan keluarga sendiri, terutamanya sepupu-sepapat, saya takkan lepaskan walau apa sekalipun. Kegembiraan dan kasih sayang yang saya rasa pada hari istimewa tu tak boleh diganti.”

-Shiebna, medsos Cilisos

“Dulu angpau dengan makanan. Tapi bila dah dewasa dan bekerja ni angpau dah sikit dan jarang dapat. Jadi makanan je la kot. Adik nenek saya memang terer buat kari kambing. Kebelakangan ni ayah saya pun dah makin terer.”

-Elil, penulis Cilisos

“Korang rasa Deepavali sekarang beza tak dengan 10 tahun dulu?”

“Memang ada. Ada ahli keluarga tak boleh balik masa Deepavali… dulu, semua orang pastikan yang kita semua ada dalam satu rumah untuk beraya. Tapi sekarang, mungkin seorang dua akan hilang, ada kerja la, ada tempat lain diorang kena pergi la, tak boleh balik la, kat negara lain la…

“Dan mungkin ada tradisi yang dah berubah, macam sebelum ni rasa lagi asli, tapi sekarang rasa macam Deepavali versi moden,”

-Reena, bekas Cilisos

“Saya rasa ya. Rasanya dulu saya lagi enjoy Deepavali. Sekarang saya masih suka Deepavali, tapi tak sama macam dulu. Tak tahulah kenapa. Mungkin 10 tahun lepas saya masih muda, tak bimbang tentang dunia, kerja, beban-beban lain. Mungkin dulu saya lagi bebas. Saya masih enjoy Deepavali, tapi dalam enjoy masih kena fikir kerja, keluarga, benda lain.

“Juga dulu saya dapat angpau, tapi sekarang saya yang kena bagi angpau.

-Mogan, member penulis

“Sangat. Sekarang umumnya saya rasa yang orang sambut untuk hype masa keluar jalan-jalan dan terlebih fokus kat baju hari pertama, apa nak pakai, nak post kat Insta, kan? Tapi mungkin saya rasa kena lebih fokus pada masa yang diluangkan dengan keluarga.

Kepentingan yang diletakkan kat keluarga dulu memang lebih dari sekarang. Dulu masa Deepavali, hampir semua benda berkait dengan keluarga terdekat. Tapi sekarang saya rasa cuma keluar, tangkap gambar, havoc sana sini, benda camtu. Tak berapa ikhlas untuk keluarga camtu.”

-Dee, kepala video Cilisos

“Semestinya. 10 tahun lepas maknanya bila saya 13 tahun. Masa tu memang takde tanggungjawab, cuma kena hadir je.

“Tapi sekarang saya terlibat dengan tugas membeli belah, persiapan Deepavali macam menghias, tolong kemas rumah, dan sebagainya. Dan kalau tanya saya soalan ni 10 tahun lagi, mungkin saya akan rasa sebal sebab masa tu umur saya dah kena bagi angpau atau kena keluar duit beli barang (gurau je, jangan ambil serius).”

-Shiebna, medsos Cilisos

“Mesti la. Masa tu semua ada usaha nak balik kampung, tapi sekarang semua dah besar dan kat merata tempat jadi susah nak jumpa. Tambah lagi nenek saya dah tak ada, jadi tak tahulah. Memang berbeza.”

-Elil, penulis Cilisos

“Akhir sekali, apa maksud Deepavali bagi korang?”

“Gembira, dan kongsi rezeki dengan keluarga.”

-Reena, bekas Cilisos

“Enjoy.”

-Mogan, member penulis

“Keluarga”

-Dee, kepala video Cilisos

“Meraikan budaya sendiri dengan orang tersayang.”

-Shiebna, medsos Cilisos

“Keluarga kot? Hanya ni masa untuk jumpa pak cik mak cik dan sepupu sepapat semua. Walaupun sekarang dah tak ada perjumpaan keluarga besar-besaran, mak ayah saya masih usaha supaya kami (saya dan adik-beradik) bersama.

-Elil, penulis Cilisos