MY5G Ericsson Malaysia Pioneers: kursus online AI dan 5G percuma

Bak kata TokTi suatu masa dahulu: IT agenda baru negara, Malaysia melangkah ke Cyberjaya. Teknologi hebat, penyebar maklumat, mencipta satu bangsa berjayaaaa.

Bagi yang sempat dengar lagu tu kat televisyen, IT pada zaman tu mungkin hanya kenal mana tetikus mana papan kunci, Microsoft Office dan Paint, dan mungkin Internet melalui Jaring atau TMNet.

Kitaorang dulu tak merasa. Imej dari 3Web.

Tapi zaman sekarang IT memang keras mat. Seringkali kita dengar benda benda macam kecerdasan buatan (AI/artifical intelligence), Internet Benda-Benda (IoT/Internet of Things), dan kalau korang pernah terjebak NFT dan kripto, juga blok rantai (blockchain).

Tambah lagi dengan kemunculan 5G, telah wujud banyak teknologi hari ni yang mungkin tak tercapai dek akal sepuluh tahun lepas. Tapi dalam cabaran ni, banyak peluang baru yang terbuka sebenarnya, jadi kalau korang berminat nak tahu lebih lanjut tentang teknologi-teknologi baru ni…

Ericsson ada sediakan kursus AI dan teknologi secara percuma!

Ya, Ericsson yang syarikat telefon tu. Hasil kerjasama dengan Digital Nasional Berhad (BHD), pemacu 5G kat Malaysia, wujud kursus online yang mempersiapkan pelajar-pelajar kolej dan universiti untuk hadap teknologi-teknologi baru ni yang dinamakan MY5G-Ericsson Malaysia Pioneers Program.

Tapi walaupun laman web diorang kata untuk pelajar uni, kami yang dah tua bangka ni pun boleh je daftar. Asalkan korang ada laptop/telefon pintar, capaian internet, dan masa lapang lebih kurang 42 jam, korang layak untuk turut serta. Cumanya kelas-kelas yang ditawarkan hanya dalam Bahasa Inggeris, tapi takdelah rumit sangat – kalau korang takde asas teknologi pun boleh faham.

Kursus ni ada 3 modul yang dibahagikan kepada beberapa bab, jadi korang boleh ikut masa sendiri untuk belajar.

Modul 1 lebih kepada pengenalan bagi servis-servis digital, macam mana ia berfungsi, apa yang diperlukan, dan apa kegunaannya.

Senarai bab dalam modul 1.

Dalam Modul 2, korang akan belajar lebih dalam mengenai rangkaian 5G, penggunaannya, Internet benda-benda (IoT), dan perihal data dalam kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin (AI-Machine Learning).

Senarai bab dalam modul 2.

Modul terakhir bertujuan tingkatkan kefahaman korang tentang kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, servis Cloud, blok rantai, sekuriti siber, dan extended reality (XR).

Senarai bab dalam modul 3.

Tiap-tiap modul ada penilaian, di mana korang kena jawab paling kurang 60% soalan dengan betul untuk lulus. Kalau korang berjaya tamatkan ketiga-tiga modul dengan jayanya, korang akan dapat lencana digital sebagai bukti. Lencana ni bukanlah sijil rasmi, tapi korang boleh masukkan dalam CV atau resume korang untuk tunjuk yang korang dah habiskan kursus ni.

Lebih kurang beginilah rupa lencana terbabit. Imej dari Ericsson.

Mungkin korang ada perasan ada bab assignment/tugasan dalam sesetengah modul. Walaupun korang boleh skip, ianya agak menarik sebab dalam tugasan-tugasan tersebut…

Korang boleh cari idea untuk produk korang sendiri

Dak dak epal siapa tak kenal Steve Jobs kan? Dicanang sebagai wira teknologi dengan produk-produk macam iPhone dan Mac, Jobs sebenarnya tak pernah tulis kod programming pun. Tapi pengetahuan teknikal beliau cukup bagus untuk bagi nilai tambah pada produk sedia ada, dengan bagi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi pengguna.

Imej asal dari Medium.

Tugas korang dalam program ni lebih kurang sama: fikirkan apa masalah yang wujud (atau mungkin akan wujud) dalam mana-mana industri kat Malaysia, dan fikirkan apa produk atau perkhidmatan yang mungkin korang boleh cipta untuk selesaikan masalah tersebut.

Korang tak perlu buat prototaip pun, cuma idea secara teori, jadi bebaskan imaginasi korang. Asalkan ada kaitan dengan AI dan berdasarkan teknologi sedia ada/baru nak naik, dah OK. Rakam video pembentangan produk/servis anda, muat naik, dah setel.

Idea ada di mana-mana. 10 tahun lepas, tiada siapa yang sangka bahawa kita boleh bayar pembelian dengan hanya imbas QR kod di telefon bimbit. Apatah lagi bagi seorang doktor untuk buat pembedahan dari jarak jauh.

Bukan bedah batin ya. Pembedahan jarak jauh kini tak mustahil dengan teknologi 5G dan robotik. Imej dari SCMP.

Jadi walaupun bidang korang sekarang mungkin tak ada kaitan dengan makhluk AI atau 5G ni, masih penting untuk korang ambil tahu, sebab mungkin satu hari nanti teknologi-teknologi ni akan berkembang ke bidang anda. Dan dengan program MY5G Ericsson Malaysian Pioneers ni, tak mustahil anda yang akan membawa pembaharuan tersebut.

Tak cuba, tak tahu. Jadi apa salahnya cuba? Pergi ke laman web Ericsson dan daftar sekarang!