Kejadian let0pan di Sungai Buloh dulu umpama tanah Hir0sh1ma yang d1b0m

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 8 Oktober 2018*

UPDATE: Dalam kejadian 6.30 petang semalam, sebuah tapak pelupusan mercun di Sentul semalam meletup sehingga berkepul-kepul asap naik ketika pembakaran mercun bernilai sehingga RM4.1 juta dilakukan.

Kes ni mengingatkan kitorang terhadap “Hiroshima Sungai Buloh” pada 1991…

________________________________________________________________________________

Tiada kejadian yang menyayat hati selain kematian orang yang tersayang. Kisah kematian pelajar tahfiz Ittifaqiyah. Kematian seorang bayi kecil di rumah pengasuh serta berita bencana tsunami yang meragut ribuan nyawa di Palu dan Sulawesi, Indonesia juga dah menjadi sebagai dari kisah sedih di rantau ni.

Begitu juga, kematian enam anggota bomba sekaligus ketika misi mencari mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas di tasik Taman Putra Perdana, Puchong. Insiden ni juga dah menimbulkan rasa sedih dan tanda tanya oleh ramai pihak. Dilaporkan bahawa punca kejadian adalah kerana tali yang digunakan dah terbelit hingga menjatuhkan segala peralatan keselamatan yang dipakai. Ditambah pula dengan arus deras yang datang.

Imej dari BERNAMA.

Dalam duka yang menyelebungi, ada sesetengah daripada kita mempertikaikan kemahiran keenam-enam anggota bomba tersebut. Ada juga yang mengutuk seolah-oleh anggota bomba ni tak pakar langsung. Namun, ramai juga yang mempertahankan supaya orang ramai mengenang kembali jasa-jasa anggota bomba sebelum ni yang ramai tak ambik tahu pun.

Jadi, kali ni kami dari SOSCILI nak berkongsi sikit pengorbanan anggota bomba dalam satu tragedi terbesar berlaku di tanah air. Mungkin ramai antara kita tak lahir lagi waktu tu. Ianya bermula apabila…

7 Mei 1991, Sungai Buloh umpama tanah Hiroshima yang dibom

Siapa yang tak pernah dengar nama Sungai Buloh. Orang yang selalu memandu akan biasa dengan kawasan rehat jejantas Sungai Buloh. Siapa sangkakan, suatu masa dulu, ia pernah menjadi penempatan bagi pesakit kusta yang terdiri dari orang Melayu, Cina, India, orang Eurasia dan Turki pada tahun 1930. Tahun demi tahun, kawasan ni terus membangun hinggalah maju seperti sekarang.

Dalam pembangunan saban tahun, ditengah-tengahnya tetap ada cerita menyayat hati dalam sejarah Sungai Buloh. Pada 7 Mei 1991, dah berlaku kebakaran besar melibatkan kilang mercun, The Bright Sparklers. Mesti ada yang akan terfikir, “kilang terbakar je pun”. Bagi korang, mesti kebakaran biasa yang berjaya dipadamkan macam biasa.

Masalahnya, media tempatan waktu tu panggil tragedi kebakaran ni sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’. Biar betul? Takkan Sungai Buloh jadi padang jarak padang terkukur waktu kebakaran ni? Jawapannya, ya, sebahagian kawasan Sungai Buloh pernah mengalami benda tu sebabnya…

Macam kena bom. Imej dari Wikipedia.

Kebakaran kilang The Bright Sparklers bukan hanya kebakaran biasa. Semuanya bermula pada jam 3.45 petang di dalam kawasan kilang tersebut. Seorang ahli kimia Hong Kong tengah jalankan ujian sejenis mercun.

“Apabila dia mencuba barang tersebut ditengah-tengah kawasan tu, tak semena-semena dengan takdir yang nak berlaku tu, sepatutnya benda tu meletup ke atas, tetapi sebaliknya benda tu tumbang, terus meluru ke tempat simpanan bunga api yang telah siap dikotakkan.“- Sarjan Mejar Selamat Mahfot, Ketua Balai Polis Damansara Damai, petikan dari Detik Tragik.

Tempat simpanan mercun ni juga dikenali sebagai Bazookas. Ianya bertukar menjadi bahan letupan yang menghancurkan kilang dan kawasan Kampung Baru Sungai Buloh. Bukan sekali je berlaku letupan, 10 minit selepas itu menyusul pula letupan kedua. Jam 4 petang, letupan ketiga berlaku dan ia merupakan letupan paling kuat hingga dirasai sejauh 4 kilometer. Seterusnya, berlaku lagi 20 kali letupan sehinggakan asap yang berkepul boleh dilihat dari jarak 8 kilometer.

Imej dari New Yorker & Wikipedia

Kebakaran dan beberapa siri letupan ni dah menghancurkan kilang dan merosakkan lebih 200 rumah di kawasan berdekatan. Teruknya letupan ni kerana dah melibatkan kesan letupan dari 200 tan belerang. Percikan bunga api dan serpihan-serpihan yang ada bertebaran jauh serta kesan gegaran dirasai sejauh 7 kilometer. Itulah sebab ianya digelar sebagai Hiroshima Sungai Buloh.

Begitulah serba sedikit kronologi Hiroshima Sungai Buloh yang pernah menjadi sejarah hitam buat negara ni. Mesti korang tertanya, apa jadi dekat penduduk sana? Apa yang anggota penyelamat macam bomba boleh buat masa tu? Inilah pengalaman bomba yang luar biasa…

Pili air terlalu jauh, letupan bunga api pula terlampau banyak

Memang dekat betul dengan perumahan. Imej dari Youtube Gabriel Pudun.

Selain beberapa anggota penyelamat lain, bomba adalah antara pasukan penting bagi misi menyelamat dalam tragedi ni. Lapan jentera bomba dah bergerak dan tiba dikawasan kejadian untuk memadamkan kebakaran. Dua jentera dari Kem Tentera Sungai Buloh, dua dari Wilayah Persekutuan, dua lagi dari Petaling Jaya dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam.

“Kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian, saya nampak kepulan asap besar dan terdetik dalam hati mungkin ada perkara dahsyat bakal kami tempuhi,”- Hamzah Buyok, Pegawai Bomba Kanan dan Penyelamat Shah Alam, petikan dari Harian Metro.

Menurut Hamzah lagi, benda pertama yang dia nampak waktu mendekati kawasan tragedi adalah mayat lelaki melintangi jalan raya. Ia dipercayai dilanggar kenderaan sewaktu menyelamatkan diri. Jentera bomba yang datang terpaksalah cari jalan alternatif lain untuk mengelak dari melanggar mayat-mayat yang ada.

“Biasa kami pergi, bangunan semua ada, ini kami sampai apa pun tak ada. Tinggal serupa macam kawah, berpasir je.“- Hamzah Buyok, Pengerusi Bomba Kanan Shah Alam, petikan dari Detik Tragik.

Macam kena bom. Imej dari Youtube Gabriel Pudun.

Lebih 50 orang anggota bomba terpaksa memadamkan kebakaran dengan penuh cabaran. Antaranya tekanan air terlampau rendah, pili air jauh, api merebak dengan cepat, angin kencang serta beberapa letusan yang menganggu tugas memadam api. Ketika bomba sampai juga, api dah pun merebak ke rumah yang ketiga berdekatan kilang.

“Bomba dan angkatan tentera pun datang. Jadi, diorang pun cuba nak padamkan. Memang tak boleh dah. Hos paip tu diorang letak dan himpitkan dengan batu je. Memandangkan bunga api tu terlampau banyak sangatlah.  -Mohd Othman Hj. Abd. Karim, penduduk kampung, petikan dari Detik Tragik.

Selama dua jam, pasukan bomba memadamkan api menggunakan air yang dibawa sendiri. Usaha ni berhasil apabila berjaya mengawal api dari merebak ke rumah lain yang berdekatan.

Hujan mula turun, anggota bomba sesak nafas, bengkak muka dan gatal-gatal

Gerakan mencari dilakukan oleh anggota bomba sehari selepas berlaku letupan. Usaha ni dah menemukan mayat-mayat yang terbunuh dalam tragedi ngeri ini. Keadaan mayat memang mengerikan, ada yang tinggal separuh badan, tidak berkepala dan tidak berkaki. 26 mayat yang ditemui semuanya rentung termasuk mayat ahli kimia yang buat eksperimen tu. Keseluruhan mangsa yang tercedera adalah seramai 83 orang. Operasi menyelamat ni diteruskan setiap hari selama 24 jam.

Muka depan akhbar yang cover tragedi ni.

Kesesakan jalan raya pada waktu tu juga menjadi faktor mangsa lewat untuk mendapatkan rawatan. Hampir 90 peratus mayat tidak dapat dikenal pasti. Suasana di beberapa hospital sekitar Kuala Lumpur ketika itu juga sedih dan memilukan dengan penantian dari keluarga mangsa yang tidak pasti dapat mengenal pasti mayat keluarga mereka sendiri. Kalau nak diikutkan, ada 200 orang pekerja kilang tersebut, namun agak sukar untuk mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang kerana majikan tak ada daftar kehadiran tugas harian.

Suasana di hospital yang menyedihkan, tidak menghentikan tugas-tugas anggota bomba di kawasan tragedi. Cabaran juga semakin tinggi pada hari-hari berikutnya. Pada hari ketiga gerakan mencari mangsa, hujan lebat turun selama sejam pada kira-kira jam 2.30 petang. Ini dah menimbulkan ancaman baru apabila tindak balas kimia berlaku serta menghasilkan gas beracun.

Lagi keratan akhbar pasal tragedi ni. Imej dari NST.

Penyebaran gas beracun dah memburukkan keadaan apabila lebih 50 anggota penyelamat mengalami kesesakan nafas, bengkak dan gatal. Ianya berlaku apabila gas beracun tadi terkena muka, tangan dan badan anggota penyelamat. Keadaan ini menyebabkan kira-kira 200 anggota penyelamat diarahkan untuk beredar dari kawasan tragedi. Takut-takut kesihatan diorang terganggu serta kejadian tak diingini berlaku.

Masih ada berpuluh tan bahan belerang bawah tanah yang bakal meletup

Selepas 11 hari, kebakaran dan gas beracun sudah pun tiada. Namun, operasi mencari mangsa tak dapat diteruskan kerana takut-takut akan ada letupan berlaku lagi. Api dah padam kot, takkan boleh meletup lagi? Rupa-rupanya ada 3 lagi tempat simpanan mercun di bawah tanah kilang tersebut yang belum ditemui. Sebelum ni, dua dari stor-stor simpanan yang ada dah meletup waktu kebakaran hingga menghasilkan kawah sedalam lebih kurang enam meter.

Jadinya, keadaan di tapak kilang tu terus dipantau oleh anggota bomba dan pasukan penyelamat sehinggalah ke malam. Ada sekali tu, tiba-tiba api menyala semula dan anggota bomba terpaksa sembur air semula untuk menghentikannya. Nasib baiklah tak berlaku apa-apa letupan sekali lagi. Bagi mengesan semula tapak stor simpanan yang masih berada di bawah tanah, pihak bomba dah meminta bantuan seorang pekerja kilang yang terselamat.

Biar pun masih dalam rawatan hospital dan trauma, Salimah Che Man berusia 19 tahun dah membantu pihak bomba mencari kawasan stor bawah tanah tersebut. Tapak belerang itu berjaya ditemui dalam masa 15 minit. Apa yang mengejutkan, kuantiti belerang yang mereka temui adalah sejumah 30 tan.

Walaupun belum sihat, dia tetap membantu. Imej dari Detik Tragik

Namun, pihak bomba dah bertanggungjawab menyejukkan simpanan belerang. Menurut Hamzah Buyok, keseluruhannya berjumlah 180 tan yang masih ada ketika itu. Tugasan diteruskan selama beberapa hari sebab bimbang bahan ni akan meletup semula. Usaha keras oleh pihak bomba dah berjaya menyejukkan semula simpanan-simpanan belerang tersebut sebelum dihantar pulang ke negara asal iaitu China.

Kerja bomba bukanlah hanya memadamkan api sahaja

Dari tragedi Hiroshima Sungai Buloh ni, dapatlah kita tengok pengorbanan bomba yang ramai tak ambil tahu. Padam api pun diorang, mencari mangsa dan menyejukkan bahan letupan pun diorang. Siap terkena gas beracun lagi tau. Itu baru satu tragedi besar yang melibatkan pengorbanan para anggota bomba.

Imej dari FB Wan Chot.

Kisah-kisah pengorbanan lain bolehlah korang tengok di beberapa tragedi kecil macam di patuk ular tedung dan besar seperti tragedi banjir Kelantan yang pernah menimpa negara kita ni. Sampai ada yang terkorban nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain kerana ada benda tak dijangka berlaku. Begitulah, kejadian yang menimpa terhadap enam orang anggota bomba di Tasik Taman Putra Perdana, semestinya ada benda diluar jangkaan terjadi. Sebagai orang awam, sentiasalah mengenang jasa anggota bomba yang tiada galang gantinya.

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT