Rumah-rumah kat Masjid Subang Airport dirobohkan, tapi ia kuasa negeri atau persekutuan?

Bagi yang terlepas berita pada 4 Oktober lalu, berlakunya kes perobohan tiga buah rumah (kuarters) dan dua buah kedai di Masjid Lapangan Terbang Subang. Operasi perobohan itu dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dengan bantuan pihak Polis. Polis juga bertindak menahan beberapa orang yang terlibat dalam menghalang perobohan itu.

Suasana kecoh sebelum perobohan dijalankan. Imej dari aidcnews

Jadi, banyaklah pendapat dan pandangan yang muncul dalam kalangan masyarakat serta ahli-ahli politik. Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar dengan jelas mengatakan Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) sebagai zalim sebab tak selesaikan isu ini dengan baik. Tapi tak lama lepas tu, Azmin tuduh pulak Noh yang salah, sebab katanya hal yang jadi ni berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Jadinya siapa yang betul dan siapa yang salah? Oleh itu, jom tengok satu-satu, apa sebenarnya yang berlaku.

Setelah tinggal di situ selama lebih 20 tahun, mereka kini dituduh tinggal tanpa kebenaran

Antara watak utama dalam kes ni sudah pasti penghuni rumah dan kedai yang dirobohkan. Mereka adalah En. Razak dan En.Yaakob. Menurut Razak, dia mula-mula datang ke Subang Airport pada tahun 1993 dan dia dilantik sebagai siak di Masjid Subang Airport itu. Manakala, Yaakob pula dah ada lebih awal iaitu sejak tahun 1980-an lagi.

Jadinya, Razak pun tinggal di kuarters masjid dengan mendapat kebenaran dari nazir masjid ketika itu. Dia juga dapat surat kebenaran dari nazir tersebut. Dalam masa yang sama, diorang mula menambah baik (tambah rumah) kuarters itu dengan gunakan duit mereka sendiri.

Kedai makan Sup Gadai Nyawa, milik En. Razak. Tapi sekarang dah dirobohkan. Imej dari adisarahberkisah.blogspot

Tapi persoalannya, tanah kuarters tu milik siapa? Untuk pengetahuan, tanah tu sebenarnya milik kerajaan persekutuan. Tapi, tanah tu jugak dah dipajakkan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selama 60 tahun. 

Jadinya pada 28 September 2016, Razak dan Yaakob dapat surat notis dari pihak MAHB yang minta mereka berdua mengosongkan tanah tersebut. Selain tu, diorang juga dituduh tinggal di situ secara tak sah dan tanpa kebenaran yang sepatutnya.

“MAB selaku pemilik pajakan hartanah berkenaan dengan ini memberikan tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penerimaan surat ini kepada pihak tuan untuk mengosongkan tanah tersebut bagi mengelakkan tindakan selanjutnya diambil terhadap pihak tuan.” – antara isi surat tersebut.

Imej dari A.Sivarajan.

Bagaimanapun, ada yang tak kena dengan surat ini. Sebabnya, beberapa tahun sebelum itu (pada 2011) pihak MAHB ada bagi satu surat kepada nazir Masjid Subang Airport. Dalam surat tu kata:

“…hasil dari lawatan dan perbincangan antara tuan (nazir) dengan Malaysia Airport Subang pada 14 Oktober 2011, didapati masih ada kakitangan masjid yang menduduki bangunan kediaman yang lama dan laporan dari pihak tuan, nama-nama kakitangan masjid tersebut adalah seperti berikut…” – Kandungan surat MAHB kepada Nazir masjid.

Ada nama Razak dan Yaakob dalam surat ini. Imej dari Sivarajaan

Jadinya, menurut Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A. Sivarajan, ia jelas menunjukkan MAHB mengesahkan yang Razak dan Yaakob merupakan kakitangan masjid dan tak timbul dakwaan yang mengatakan mereka sebagai penceroboh.

“2011, Malaysia Airport sahkan mereka ini kakitangan masjid yang duduk di kuarters lama. Kalau itulah isunya, mengapa kamu panggil mereka penceroboh? Tak timbul isu (seperti) kita tak kenal mereka (atau) mereka masuk tanpa kebenaran. Tak timbul isu ini, sebab kamu (MAHB) sudah tahu mereka duduk di sana dan mereka adalah kakitangan masjid.” – A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM. Katanya di Forum Robohan Subang – Mimpi Ngeri Sebuah Kerajaan Peduli Rakyat.

Adoi…Imej dari Giphy.

Penghuni rumah sebelum ini dapat pampasan RM100,000, tapi Razak dan Yaakob hanya ditawarkan RM5,000

Sebenarnya ada dua kawasan rumah yang berdekatan dengan Masjid Subang Airport. Kedua-dua kawasan kediaman tu terletak di kiri dan kanan masjid. Seperti yang ada dalam gambar di bawah:

Bagaimanapun pada tahun 2009, pihak MAHB nak buat kuarters pegawai masjid yang baru (seperti yang ada dalam gambar). Tapi masa tu, ada dua rumah kat kawasan tu. Maka, berlakulah perbincangan di antara pihak MAHB dengan penghuni dua rumah terbabit.

Hasilnya, MAHB bersetuju bagi pampasan sebanyak RM100,000 seorang. Dua rumah tersebut kemudiannya dirobohkan pada tahun 2014 dan seterusnya kuarters baru dibuat seperti mana yang kita boleh nampak sekarang. Tapi bila MAHB berbincang pula dengan Razak dan Yaakob pada awal tahun ni, lain pula tawarannya.

“Perbincangan pernah dibuat dengan pihak MAHB sekitar awal tahun ini dan mereka hanya bersetuju untuk memberikan kepada kami RM5,000 seorang yang mana RM1,000 adalah untuk kos perpindahan manakala, RM300 dibayar secara ansuran bagi sewa rumah. Kami tidak setuju.” – Abdul Razak, penghuni rumah yang dirobohkan. Dipetik dari Berita Harian.

Kalau tadi gambar masa belum roboh, ni gambar masa dah roboh. Imej dari aidcnews

Disebabkan diorang nampak pemberian wang itu tak setimpal, maka diorang pun tolak tawaran itu. Mungkin ada yang tanya, masa tahun 2009 tu, MAHB tak berbincang ke dengan Razak dan Yaakob seperti mana yang MAHB buat dengan penghuni rumah yang dapat pampasan RM100 ribu tu? Jawapannya tak, Razak menegaskan dia dan Yaakob tidak dilibatkan sama sekali dalam perbincangan tu. 

Mungkin antara sebab kenapa Razak dan Yaakob tak dapat pampasan (seperti yang diminta) adalah kerana mereka dikatakan tinggal di situ secara tak sah dan tanpa kebenaran (merujuk kepada surat MAHB yang diceritakan tadi).

Tapi siapa sebenarnya yang ada kuasa meroboh? Negeri atau persekutuan?

Inilah yang menghangatkan suasana, apatah lagi bila berlakunya pertikaman lidah antara orang-orang politik. Dalam hal robohan rumah ni, Pengerusi UMNO Selangor dan juga menteri kabinet, Noh Omar ada melabelkan Azmin Ali (MB Selangor) sebagai zalim atas apa yang berlaku.

“Dia (Azmin Ali) yang sepatutnya hentikan tindakan itu sebab dia ialah pemimpin dan dia hanya perlu buat satu panggilan…Patutnya sebagai Menteri Besar buat panggilan minta hentikan, kemudian kita selesaikan rumah dulu.” – Tan Sri Noh Omar, Pengerusi UMNO Selangor. Dipetik dari Malaysiakini.

Imej asal dari The Malay Mail Online.

Bagaimanapun, seperti mana yang diceritakan awal tadi, Azmin bangkit menyanggah dakwaan itu. Bagi Azmin pula, apa yang terjadi tu sebenarnya adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, sebab tanah tempat rumah yang diroboh tu milik persekutuan.

“Suruh dia (Noh Omar) patuh undang-undang. Tanah tu tanah kerajaan persekutuan. Patutnya dialah yang buat panggilan itu.” – Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Besar Selangor. Dipetik dari Malaysiakini.

Memorandum ke-2 kepada MB Selangor. Imej dari A.Sivarajan.

Disebabkan pertelingkahan dan saling tuduh menuduh ni, ia nampaknya dah mengelirukan masyarakat. Jadinya, untuk mencerahkan pemahaman tentang siapa yang benar-benar berkuasa dalam hal-hal tanah, hendak atau tidak kita kena rujuk Perlembagaan Persekutuan (fail PDF) yang menjadi undang-undang tertinggi di negara ini. Kami juga bertanyakan perkara ini kepada pakar undang-undang Dr Hazmi Rusli dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Tanah adalah berada dalam bidangkuasa kerajaan negeri mengikut Artikel 74 Perlembagaan Persekutuan. Makanya, adalah perkara yang jelas urusan mengenai tanah diuruskan oleh kerajaan negeri dan bukannya kerajaan persekutuan.” – Dr Hazmi Rusli, Fakulti Undang-undang dan Syariah USIM. Katanya kepada SOSCILI.

Selain itu, Dr Hazmi menambah, undang-undang tanah di Malaysia semuanya termaktub dalam Kanun Tanah Negara 1965, yang berasaskan kepada Sistem Torrens. Apa itu Sistem Torrens?

“Sistem Torrens diperkenalkan oleh British sewaktu zaman penjajahan di Tanah Melayu yang mana sistem yang bermula di Australia ini amat mementingkan sistem pendaftaran hak milik tanah. Sekiranya seseorang itu adalah pemilik berdaftar sesuatu tanah, pemilikannya tidak boleh dicabar dan ini disebut sebagai ‘indefeasibility of title’.” – Dr Hazmi Rusli, Fakulti Undang-undang dan Syariah USIM. Katanya kepada SOSCILI.

https://www.youtube.com/watch?v=f5vEseQMUmE

Jadinya, dalam hal di Masjid Subang Airport ni, jelas menunjukkan pihak kerajaan negeri yang berkuasa. Hal yang sama juga dikatakan oleh A.Sivarajan (Setiausaha Agung PSM):

“Persekutuan tidak boleh mengarah dan tidak boleh menurunkan penguatkuasa. Tapi persekutuan boleh memohon kepada negeri. Kerana itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (bidang kuasa tanah bawah negeri)…” – A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM. Katanya di Forum Robohan Subang – Mimpi Ngeri Sebuah Kerajaan Peduli Rakyat.

Bukti permohonan Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Negeri (Pelaling). Imej dari A.Sivarajan.

Bila dah runtuh, baru kerajaan negeri dan persekutuan tawarkan nak bagi rumah

Menurut Razak, sebelum ni dah ada perbincangan antara pihaknya dengan MAHB. Dalam perbincangan tu, MAHB ada bagi cadangan untuk Razak berpindah ke kuarters yang baru dibuat tu (ada dalam gambar kat atas).

“Mereka menawarkan saya untuk tinggal di kuarters itu sebagai bilal. Pertama kalau tuan dan puan ingat, rumah yang MAHB buat itu adalah rumah kuarters untuk pegawai masjid. Tapi saya minta keizinan sebab saya dah berniaga lama di situ. Jadi saya minta supaya rumah yang saya duduki ini kenalah diberikan pampasan.

Sebab apa? Saya berpegang kalau saya pindah ke rumah pegawai itu, maknanya selama saya bertugas, maka selama itulah saya boleh tinggal di situ. Kerana apa, kerja dengan JAIS setiap 3 tahun sekali akan ada perpindahan semula. Jadi, saya minta pampasan yang sewajarnya masa tu…Saudara Yaakob pula bukan pegawai masjid, tapi ahli jawatankuasa masjid, jawatankuasa masjid tak boleh duduk di kuarters.” – Abdul Razak, penghuni rumah yang diroboh. Katanya di Forum Robohan Subang – Mimpi Ngeri Sebuah Kerajaan Peduli Rakyat.

Disebabkan masalah yang dikatakan itulah, mereka berdua menuntut pampasan. Tapi nampaknya, pampasan yang ditawarkan taklah seperti mana yang diharapkan. Jadinya, sampailah pada 4 Oktober apabila rumah dan kedai mereka dirobohkan.

Buat sementara, penghuni rumah yang diroboh dibenarkan tinggal sementara dekat sebuah homestay hasil bantuan PAS Kawasan Subang. Imej dari Harakah Daily.

Lepas je kecoh rumah dirobohkan dan ada beberapa pihak yang mula menyalahkan kerajaan negeri Selangor, terutamanya Azmin. Maka pada hari itu juga keluarnya kenyataan rasmi dari Menteri Besar.

“Saya telah mengadakan perbincangan segera dengan Sr. Nazmi Bin Osman, Pengurus Besar Perumahan & Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) berhubung hal ini. Hasil daripada perbincangan tersebut, PHSSB telah bersetuju untuk membuat penawaran unit-unit kediaman di PPR Seksyen 8 Kota Damansara kepada dua buah keluarga yang terlibat.” – Kenyataan rasmi MB Selangor. Dipetik dari Selangorkini.

Kerajaan Selangor juga bersetuju untuk membiayai kos sewa rumah itu selama enam bulan. Tapi nampaknya, tawaran itu ditolak oleh Razak, kerana dia mahukan rumah yang lebih selesa dan membolehkan dia menjalankan balik perniagaan kedai makan.

“Punca pendapatan saya dan keluarga bergantung kepada kedai makan diberi nama ‘sup gadai nyawa’ yang dirobohkan ini…Jika kami pindah ke PPR itu, bagaimana kami nak berniaga, siapa nak bagi kami duit untuk tanggung kehidupan.” – Abdul Razak. Dipetik dari Sinar Harian.

Razak (kanan) serahkan memorandum membantah tindakan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor pada 7 Mac lepas. Imej dari Utusan Malaysia.

Tapi tak lama lepas tu, pihak kerajaan persekutuan melalui Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Noh Omar pula menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang 2. Tawaran ini akhirnya diterima oleh Razak dan Yaakob dalam satu majlis penyerahan kunci.

“Saya diberikan sewa rumah RM250 sebulan dan satu lagi sewa kedai RM550 sebulan. Tapi dia (Noh Omar) tanya saya, mampu ke saya bayar dan dia tahu saya dalam keadaan sesak sekarang ni. Jadinya, dia bagi sewa RM300 sebulan.

Dia lebih cekap dan prihatin. Kerajaan negeri pula seorang pun tak pernah berjumpa dan diorang main ‘tawasul’ (perantara). Tak ada hitam putih, berbeza dengan Noh yang ada bagi borang dan pejabat perumahan juga telefon saya… Kerana itu saya pilih tawaran kerajaan pusat.” – Abdul Razak. Katanya di Forum Robohan Subang – Mimpi Ngeri Sebuah Kerajaan Peduli Rakyat.

Dari kiri: Yaakob,Razak & Noh Omar. Imej dari Sinar Harian.

Bukan kali pertama kejadian macam ni berlaku

Sebenarnya, kejadian di Masjid Subang Airport ini bukan kali pertama yang terjadi di Malaysia. Ini kerana, sebelum ini ada juga perobohan yang berlaku seperti di Kampung Chubadak dan Kampung Berembang. Dalam kes kampung Chubadak, hal ini dah dibawa ke mahkamah, tapi nampaknya diorang kalah dan digelarkan sebagai penduduk setinggan.

Bagaimanpun ia tak berakhir di situ je, sebab kes ni kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan pula. Akhirnya Mahkamah Rayuan membuat keputusan dengan mengarahkan pemaju untuk bagi pampasan.

Opah Wahida salah seorang penduduk yang berusaha mempertahankan Kg Chubadak. Imej dari The Malay Mail Online.

Dalam kes Kampung Berembang pula, ia telah menjadi satu isu yang cukup kontroversi dan beremosi dalam sejarah perobohan setinggan di negara ini. Pada 20 November 2006, penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), telah datang untuk merobohkan lebih kurang 60 buah rumah di kampung itu, tapi ia dihalang oleh penduduk kampung, aktivis dan NGO.

Akhirnya, pada 30 November 2006, MPAJ merobohkan surau di kampung itu, yang juga menjadi satu-satunya bangunan yang masih tinggal selepas semua rumah penduduk dah dirobohkan seminggu sebelumnya.

Penduduk tetap mempertahankan kampung mereka. Imej dari magtrafficexchange.blogspot

“Pada 14 Disember 2007, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan menolak permohonan Pemaju Perspektif Masa Sdn Bhd untuk mendapatkan pemilikan terus kawasan Kampung Berembang di Ampang dan jika pemaju berkenaan masih mahu menuntut pemilikan kawasan tersebut satu perbicaraan penuh perlu diadakan.

Perintah mahkamah sebelah pihak yang diperolehi oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 27 Februari lalu untuk mengosongkan tanah tersebut diisytiharkan tidak sah dan dibatalkan dengan kos. Hakim juga mengarahkan PNSB membayar ganti rugi dan kos-kos lain yang terbabit akibat kerja-kerja merobohkan rumah penduduk.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mazlan Ali, Junaidi Awang Besar & Mohd Fathi Yusof.

Pemimpin kena bercakap berlandaskan undang-undang, supaya tak kelirukan rakyat

Menurut kajian Savills Malaysia Research terhadap bandar-bandar utama di Asia Tenggara, ia mendedahkan bahawa berlakunya lambakan kondominium mewah di Kuala Lumpur pada akhir tahun 2014. Dalam waktu yang sama, orang KL pula dalam dilema sebab kebanyakannya masih tak ada kemampuan untuk beli rumah sendiri.

Imej dari beritasemasa.com

Di satu sudut lain pula, kita juga berhadapan dengan isu-isu seperti mana yang berlaku di Masjid Subang Airport ini. Makanya, jalan penyelesaiannya perlu difikirkan oleh setiap pihak berkenaan (khususnya setiap kerajaan negeri). Kita tidak pernah menolak pembangunan, tetapi biarlah pembangunan itu hadir tanpa menyakitkan mana-mana pihak.

“Untuk selesaikan isu-isu seperti ini adalah kena buat polisi yang jelas. Contohnya di Selangor ada satu polisi, sebelum roboh rumah ibadat (seperti kuil), PBT tak boleh terus roboh sebab sensitif. Jadinya, ia kena rujuk guideline yang jelas dan guidline itu bagus. Tetapi itu bukan undang-undang.

Jadi, kerajaan negeri boleh buat guidline yang jelas untuk mana-mana isu berkaitan peneroka bandar. Contoh, kalau mereka telah duduk lebih beberapa tahun seperti dalam kes ini 26 tahun, mereka tak boleh dipanggil sebagai penceroboh. Kena ada polisi-polisi jelas dan ia dikuatkuasakan.” – S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM. Katanya di Forum Robohan Subang – Mimpi Ngeri Sebuah Kerajaan Peduli Rakyat.

Akhirnya, para pemimpin juga sepatutnya bercakap dengan berlandaskan undang-undang supaya kata-kata diorang tak akan mengelirukan rakyat. Seperti yang dikatakan tadi, di negara ini kita ada membahagikan kuasa di antara persekutuan dan negeri. Makanya, jadikanlah Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan dan bukannya berkata dengan sesuka hati.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.