5 wartawan seluruh dunia yang terkorban semasa membuat liputan

UPDATE 2/11/2018: Kes pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi nampaknya semakin menarik perhatian apabila pemimpin-pemimpin dunia mula bersuara supaya Arab Saudi mendedahkan pihak yang mengarahkan supaya Jamal Khashoggi dibunuh.

Agensi Akhbar Saudi melaporkan Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul, dan pihak yang ditemuinya di konsulat tersebut berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya.

________________________________________________________________________

Tugas wartawan ni bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Biasanya, diorang dah buat perancangan jangka masa panjang untuk membongkar sesebuah jenayah tu. Kalau tersilap langkah, nyawa diorang yang dipertaruhkan. Salah satu contoh ialah kisah sekumpulan wartawan R.AGE yang pernah membongkar kes pedofilia kat Malaysia tak lama dulu.

Kejayaan sekumpulan wartawan R.AGE ni adalah sesuatu yang boleh dibanggakan, bukan semata-mata pasal pembongkaran yang dilakukan, tapi sebab diorang juga berjaya membuka mata ramai pihak tentang realiti kehidupan Malaysia yang kurang diketahui selama ni.

Malah, part yang paling best sekali adalah bila Ahli Parlimen dari pihak kerajaan atau pembangkang ketepikan perbezaan masing-masing dan berganding bahu menentang pemangsa seksual kanak-kanak, dengan menandatangani Rang Undang-undang untuk kanak-kanak yang dah berkuat kuasa sejak pertengahan tahun ni.

Klik untuk baca pasal kisah ni. Imej dari The Star

Tapi itu cumalah satu kes yang berjaya diketengahkan oleh wartawan yang sanggup bergadai nyawa demi kebenaran. Tak kurang juga ada wartawan yang terkorban semasa menjalankan tugas diorang. Merekalah wira-wira yang tak didendang.

1. Daphne Caruana Galizia, wartawan Malta yang dibom (2017)

Daphne Caruana Galizia, wartawan Malta yang terkorban dalam kereta yang di letakkan bom. Imej dari euronews.com

Daphne yang berasal dari Malta, merupakan seorang wartawan penyiasat untuk Panama Papers. Selain daripada bertugas sebagai wartawan penyiasat di sana, kisah penyiasatannya tu juga dimuat naik di dalam blog sendiri, iaitu Running Commentary.

Kalau nak diikutkan, pembaca blog dia tu lagi ramai daripada pembaca akhbar negara tu. Disebabkan keberaniannya buat pembongkaran dan muat naik pula kat blog juga, dia digelar “One-woman WikiLeaks”.

https://www.youtube.com/watch?v=g-60RfBYJN4

Kebanyakan penyiasatan juga lebih terarah kepada salah laku kerajaan dan rasuah yang berlaku di Malta. Pembongkaran terbaru sebelum dia dibunuh adalah tentang Perdana Menteri Malta, iaitu Joseph Muscat dan dua pembantu terdekatnya yang juga menghubungkan syarikat luar pesisir berkaitan dengan penjualan pasport Malta dan pembayaran dari kerajaan Azerbaijan.

Selain tu juga, dia ada membongkar perihal mafia dan juga industri penggubahan wang haram. Malah 15 hari sebelum terbunuh, Daphne ada memfailkan laporan polis pasal ugutan bunuh yang diterimanya, tapi kes masih berada dalam siasatan.

Siapa sangka yang ugutan bunuh tu menjadi kenyataan akhirnya. Pada kejadian Isnin lepas, (16 Oktober 2017), Daphne memandu sebuah Peugeot 108. Kereta yang dipandu kemudiannya meletup dengan kuat sampai serpihan kereta tu jatuh beberapa meter daripada tempat letupan. Daphne Caruana Galizia berusia 53 tahun, maut di tempat kejadian meninggalkan suami dan tiga anak lelaki.

Pakar forensik mencari bukti selepas bom berkuasa yang meletup dan membunuh wartawan penyiasat, Daphne Caruana Galizia. Imej dari The Guardian

2. Noramfaizul Mohd Nor, wartawan Bernama TV yang ditembak (2011)

Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor. Imej dari wikipedia

Tak lama dulu, kita dikejutkan dengan berita seorang wartawan negara yang terkorban semasa seluruh umat Islam sedang merayakan Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 2 September 2011.

Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, 39, merupakan jurukamera BERNAMA yang bertugas untuk kerja-kerja kemanusiaan semasa membuat liputan misi bantuan kemanusiaan. Benda ni adalah anjuran Kelab Putra 1Malaysia, bertujuan untuk membantu rakyat di Benadir, Somalia yang terkesan dengan kemarau yang berlaku kat Afrika Timur. Kalau korang nak tahu, Somalia ni antara sebuah negara paling bahaya di dunia untuk wartawan.

Insiden tu berlaku semasa Noramfaizul dan seorang wartawan yang lain dalam perjalanan ke pangkalan mereka di lapangan terbang. Masa mereka berhenti di sebuah persimpangan di bandar Mogadishu,kenderaan yang mereka naiki ditembak, sampai menyebabkan Noramfaizul cedera parah. Selain itu, seorang lagi jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut tercedera.

Tembakan tersebut terkena bahu kanan Noramfaizul, kemudiannya menembusi paru-parunya. Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan, sementara Aji Saregar pula cedera di lengan.

Pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul dan jurukamera, Aji Saregar Mazlan ditembak dengan peluru sesat dan kemudiannya menyebabkan kematian jurukamera BernamaTV itu. Imej dari Bernama.

Berdasarkan siasatan Tentera Pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM), diorang sahkan yang tentera pengaman dari Burundi yang menembak kenderaan diorang tu. Allahyarham kemudiannya dibawa balik ke Malaysia untuk disemadikan.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor pada masa tu, Noh Gadut juga membuat kenyataan yang

“Pemergian Allahyarham boleh diibaratkan sebagai sesuatu yang patut dikenang semua lapisan masyarakat negara ini” – Noh Gadut

Allahyarham disambut sebagai wira negara, Imej dari duniaitu.blogspot

Selain daripada menjadi wartawan Malaysia pertama yang terkorban semasa membuat liputan, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor juga merupakan wartawan Malaysia pertama yang diberi penghormatan oleh sebuah muzium khusus wartawan seluruh dunia yang bertempat di Amerika Syarikat.

Selain menempatkan nama-nama wartawan lain di seluruh dunia, Allahyarham Noramfaizul turut diukir pada arca kaca di memorial Newsmuseum yang bertempat di Pennsylvania Avenue, berhampiran bangunan Kongres Amerika Syarikat di Capitol Hill. Kalau korang melawat US, jangan lupa untuk lawati muzium ni sekali ye!

3. Luis Emanuel Ruiz Carrilo, wartawan muda yang dibunuh kartel dadah Mexico (2011)

Luis Emmanuel Ruiz Carrillo, baru berumur 21 tahun semasa pembunuhannya. Imej dari nuestraaparenterendicion.com

Mexico adalah salah satu negara di mana dadah merupakan satu business yang serius. Kartel dadah yang berleluasa dan bos-bos dadah ni semua ada kawasan masing-masing. Luis Ruiz pula cumalah seorang pelajar kolej yang berumur 21 tahun, merupakan wartawan termuda yang pernah terbunuh.

Kartel dadah pun ada bahagian masing-masing. Imej dari bbc.com

Semasa kejadian berlaku, dia berada di tahun ketiga di Universidad Metropolitana de Monclova. Dia juga merupakan seorang jurugambar, dan berjaya menerima Anugerah Pelajar Negeri pada tahun 2010 untuk kerja-kerjanyanya. Luis bekerja untuk akhbar La Prensa de Monclova selama 7 bulan sebelum ditemui mati.

Luis sebenarnya terbunuh semasa dalam tugasannya iaitu untuk menemubual dan merakam seorang personaliti TV, iaitu Jose Cerda. Cerda merupakan personaliti TV yang pada satu masa dulu merupakan penagih dan juga bekas ahli kumpulan dadah sejak berumur 10 tahun lagi.

Tugasan Luis adalah untuk menceritakan macam mana Cerda berjaya pulih daripada ketagihan dadah dan berjaya bangkit daripada situ dan akhirnya menjadi personaliti TV. Dalam salah satu rancangan TVnya, Cerda melakonkan watak gangster jalanan dan selalu membuat isyarat tangan ‘clicka’, yang dikaitkan dengan kartel dadah Los Zetas.

Cerda (kanan) yang selalu buat isyarat tangan ‘clicka’, salah satu simbol yang digunakan ahli geng sebuah kartel di Mexico. Imej dari YouTube

Dalam kejadian bertarikh 24 Mac 2011 tu, Luis, Cerda dan sepupunya dalam sebuah kereta dalam perjalanan ke sebuah tempat. Tiba-tiba, kereta Cerda diberhentikan, dan mereka kemudiannya diculik oleh sekumpulan lelaki yang menutup muka dan memaksa mereka semua masuk ke dalam SUV. Ketiga-tiga mereka hilang selama 11 jam sebelum ditemui mati keesokan harinya.

Mayat Jose Cerda ditemui mati di Guadalupe, dengan sebuah tulisan di dinding sebelah mayat Cerda bertulis,

“Berhenti bekerjasama dengan Los Zetas”, dan ditandatangani sebagai DCG.

Memang tak boleh buat main. Imej dari radiarnoticiasmichoacan.blogspot.com

Manakala mayat wartawan tu, iaitu Luis ditemui bersama sepupu Cerda dengan beberapa cedera tembakan, 6 kilometer daripada tempat Cerda ditemui.

Pembunuhan ketiga-tiga orang tu adalah hubungan simbolik antara Cerda, pengamal media, dan Los Zetas, yang menjadi sasaran kartel dadah lain. Perang dadah nampaknya masih berleluasa di Mexico, dan telah membunuh lebih ramai orang pada tahun ini berbanding sebelumnya.

Geng kartel dadah ni kalau bunuh memang kejam. Ni antara gambar yang kurang seram sikt daripada yang lain. Imej dari univision.com

Dalam hari yang sama masa pembunuhan berlaku, sebuah gabungan media Mexico menandatangani “Agreement for News Coverage of Violence” , atau “Maklumat Perlindungan Keganasan Jenayah Terancang”.

Pakatan tu ditubuhkan bertujuan untuk menghalang penerbitan imej dan cerita ganas yang berlebihan. Selain tu juga untuk menjamin keselamatan wartawan yang mendedahkan diri diorang kepada keganasan masa berkerja, yang nampaknya semakin meningkat, iaitu lebih daripada 34,000 kematian dalam masa empat tahun.

“Pihak berkuasa Mexico mesti melancarkan siasatan menyeluruh terhadap serangan kejam ini supaya wartawan tak dibunuh sewenang-wenangnya lagi”- Carlos Lauría, penyelaras kanan CPJ untuk Amerika.

Malah editor Luis yang kesal dengan pembunuhan wartawannya juga berkata,

“Masa depannya cerah, dia mempunyai kualiti peribadi dan kualiti profesional yang membuatnya menonjol.”-Editor Luis iaitu Jesús Medina

The Cartel oleh Don Winslow yang menyenaraikan nama-nama wira tak didendang. Imej oleh penguinrandomhouse.com

Namanya diabadikan dalam sebuah novel bertajuk The Cartel oleh Don Winslow, yang menceritakan tentang perang dadah di Mexico. Novel ini didedikasikan kepada para wartawan Mexico yang terbunuh atau telah ‘hilang’ selama lima tahun. Selain Luis, ada 131 lagi nama wartawan lain yang terkorban, dan angka tersebut semakin bertambah.

4. Le Hoang Hung, wartawan Vietnam yang dibakar hidup-hidup! (2011)

Le Hoang Hung. Imej dari freedomforvietnam.wordpress.com

Salah seorang wartawan lagi yang terkorban kerana menegakkan kebenaran ialah Le Hoang Hung yang terbunuh di negaranya sendiri, Vietnam. Hung merupakan seorang wartawan penyiasatan, dan dikatakan dibunuh kerana membongkar rasuah yang berlaku dalam kerajaan Vietnam. Dia juga dikatakan diserang kerana pembongkaran yang dilakukan terhadap kerajaan, polis, ahli-ahli perniagaan yang telah menyebabkan mereka malu besar.

Le Hoang Hung ni, tugasnya adalah melaporkan jenayah dan rasuah di akhbar Nguai Lao Dong (The Worker). Jadi banyaklah kes salah laku yang dilaporkannya di kawasan Delta Mekong. Macam-macam kes besar dan kritikal dia cover, antaranya termasuklah kes penyeludupan rentas sempadan kat kawasan tu. Lebih kurang macam Kedah atau Kelantan seludup barang Thailand la.

Menurut Comittee to Protect Journalist, CPJ, Hung meninggal dunia 10 hari selepas dimasukkan ke hospital apabila rumahnya diserang. Semasa kejadian berlaku, Hung sedar daripada tidur apabila dia rasa badan dia disimbah sesuatu yang sejuk. Rupa-rupanya benda tu ialah petrol, dan dia kemudiannya dibakar hidup-hidup. Dia sempat diselamatkan oleh ahli keluarga yang membawanya ke hospital. Badannya mengalami kelecuran sebanyak 20%, yang kemudiannya menyebabkan punca kematiannya sepuluh hari kemudian.

Tempat Le Hoang Hung dibakar hidup-hidup. Imej dari bbc.com

Besar kemungkinan serangan yang dilakukan pada Hung tu adalah sebab kerja dan laporan Hung yang keras mengkritik kerajaan Vietnam dan rasuah yang berleluasa dalam parti Komunis. Hung ni macam-macam benda dia laporkan termasuklah isu perebutan tanah, polis, rasuah dalam kalangan pegawai dan ahli perniagaan.

Kiranya orang suspek serangan kepada Hung ni sebab keberanian dia membongkar kes-kes berprofil tinggi. Tambah pula isteri dia, Tran Thi Thuy Leung ada cakap yang penceroboh masuk rumah untuk bakar suami dia malam tu, susulan daripada beberapa SMS ugutan yang diterima sebelum kejadian. Sebab info tu jugalah, CPJ mulanya klasifikasikan kematiannya berkait dengan kerja, tapi dikemaskini selepas ada pengakuan.

Vietnam ni merupakan sebuah negara Komunis dan media kebanyakannya dikawal oleh Kerajaan Komunis negara tu. Jadi, ada tuduhan yang cakap pemimpin komunis ni upah ahli kongsi gelap untuk bunuh orang yang menentang atau mendedahkan salah laku dia.

Benda ni menjadi kes yang hangat juga di Vietnam sebab pembunuhan wartawan jarang berlaku di Vietnam. Tapi Reporters Without Borders menyenaraikan Vietnam di kedudukan ke-165 daripada 178 negara dalam Kebebasan Media pada tahun 2010.

Tapi kemudiannya semua terbongkar apabila isteri Hung, Lieu menyerah diri dan disiasat untuk pembunuhan itu. Akhbar Tien Phong melaporkan dia memberitahu polis bahawa dia bunuh suaminya sebab tidak setuju atas beberapa hal berkenaan duit dan isu keluarga.

Isteri Le Hoang Hung, yang kemudiannya mengaku membunuh. Imej dari sggpnews.org.vn

Media yang dikawal kerajaan (komunis) melaporkan bahawa Ms Lieu ada hutang judi sampai satu billion dong, yang bersamaan dengan  ($47,000, £29,000) selepas 22 lawatan ke Kemboja pada Disember! Jadi, persoalan juga sebab Vietnam ni negara Komunis, jadi betul ke Pn Lieu yang bunuh, atau dia dipaksa mengaku?

5. David Gilkey, jurufoto berita yang maut kerana periuk api di Afghanistan (2016)

David Gilkey, terbunuh di Afghanistan. Imej dari National Geographic

David Gilkey merupakan wartawan foto untuk National Public Radio (NPR), terkorban ketika membuat liputan di Afghanistan bersama dengan penterjemah Afganistan, iaitu Zabihullah Tamanna di zon konflik di selatan Afghanistan.

Semasa serang hendap berlaku, David dan rakan penterjemahnya berkonvoi dengan tentera Afghanistan, dan kenderaan mereka kemudiannya diletupkan oleh periuk api pada 5 Jun 2016.

David (kiri) bersama dengan penterjemah Afghanistan, Zabihullah (kanan). Imej dari npr

Menurut rakan-rakan sekerja David, dia adalah seorang yang pendiam, tapi sangat berani sebab sanggup pergi ke tempat-tempat peperangan. Malah, Afghanistan bukanlah tugas pertamanya, sebab dia pernah bertugas di pelbagai negara bergolak sebelum tu. Antaranya ialah peperangan dan konflik antara Israel dan Hamas, rejim apartheid di Afrika Selatan, gempa bumi yang dahsyat di Haiti, kebuluran di Somalia, serta wabak Ebola di Liberia.

David juga dianggap sebagai salah seorang jurugambar foto terbaik di dunia, di mana dia dianugerahkan dengan pelbagai anugerah termasuk Anugerah George Polk pada tahun 2010, Emmy News dan Dokumentari negara pada tahun 2007 dan pelbagai lagi dari White House News Photographers Association, termasuklah Still Photographer pada tahun 2011.

Setiap gambar yang diambil David mempunyai cerita tersendiri, yang selalunya bertemakan bukti kekejaman perang, kemusnahan alam semula jadi – dan yang paling penting, kesan peperangan terhadap orang awam.

Marine Lance Cpl. Anthony Espinoza menyapu peluh yang memasuki matanya lepas sehari suntuk membuat kawalan di Daerah Sangin, selatan Afghanistan pada Mei 2011. Dari kisah NPR. Imej dari National Geographic
Seorang gadis berdiri di tengah-tengah padang popi ketika askar membuat rondaan. Dari kisah “In Afghanistan, Flowers Call The Shots.”

Malah David sendiri faham dengan peranan yang dia bawa dalam tugasnya. David merupakan seorang penegak kebenaran yang menggunakan tugasnya sebagai wartawan untuk selalu mengingatkan kita dengan perkara sebenar yang berlaku, dengan harapan krisis yang berlaku dapat dihentikan.

“Berdepan dengan situasi yang pelbagai, apa yang kita mahukan ialah orang lain pun boleh menyumbang sesuatu. Ia bukan sekadar laporan, dan bukan sekadar mengambil gambar, tapi ia adalah sebuah produk, sebuah visual dan cerita. Adakah ia berjaya mengubah fikiran seseorang untuk mengambil tindakan daripadanya? Jadi kalau kita dah lakukan bahagian kita, kita juga berharap yang orang lain juga dapat menyumbang bahagian mereka sekali. Mudah-mudahan”- David Gilkey berkata tentang misinya pada NPR.

Ramai lagi wira-wirawati yang tak didendang

Berdasarkan laporan daripada Persekutuan Antarabangsa Wartawan, dalam tempoh 25 tahun yang lalu, ada seramai 2,300 pengamal media terbunuh hanya kerana mahu memaklumkan kepada dunia tentang peperangan, revolusi, jenayah dan rasuah. Tapi dalam setiap kes, hanya satu daripada sepuluh pembunuhan je yang disiasat, dan kebanyakannya terlepas disebabkan isu diplomatik.

Disebabkan perkara tu,  Persekutuan Antarabangsa Wartawan menerbitkan laporan diorang, iaitu “25 Years of Contribution towards Safer Journalism” bukan saja melaporkan kes wartawan terbunuh, tapi dalam masa yang sama mempromosikan perlindungan bagi para wartawan dan pentingnya mengurangkan risiko keselamatan para wartawan dari terus terkorban.

Kalau nak diikutkan, ramai lagi para wartawan yang mempertaruhkan nyawa diorang semata-mata mencari kebenaran dalam sesebuah kisah yang  terjadi. Sama ada yang dah terkorban atau masih hidup, kerjaya wartawan ni tak menjanjikan kekayaan, tapi lebih kepada usaha wartawan untuk mencari kebenaran.