Risau cukai bil elektrik? 85% pengguna domestik takkan kena pun sebenarnya

Mungkin korang dah dengar yang sejak 1 Mac, kerajaan dah naikkan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% ke 8%.

Cukai perkhidmatan ni cukai yang dikutip kerajaan bagi perkhidmatan yang tertentu, termasuk perkhidmatan yang diimport (B2B) dan perkhidmatan digital (B2C). Korang boleh semak senarai perkhidmatan yang kena cukai kat pautan ni, tapi antara perkhidmatan yang paling orang risau terjejas sebab kenaikan ni adalah bekalan elektrik domestik, atau dalam kata lainnya, bil elektrik rumah kediaman.

“Cabut! Cabut semua!” Gif dari Gifer.

Tak pelik pun orang risau, sebab semua orang pakai elektrik, kan? Naik cukai, makin mahal la harga bil elektrik nanti! Tak semestinya, sebab macam sebelum ni…

Korang hanya akan kena cukai kalau guna lebih dari 600kWj (kilowatt jam)

Nak lebih mudah faham, kalau bil elektrik bulanan korang biasanya kurang dari RM220, bil elektrik korang tak akan terkesan pun dengan kenaikan cukai ni. Sebelum ni pun cukai 6% ada dikenakan bagi bil melebihi 600kWh, cuma bezanya sekarang jadi 8%.

Imej Bernama, dari FMT.

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican,

“Kami tidak menukar peraturan untuk mereka yang dikenakan cukai perkhidmatan, kami hanya ingin menjelaskan bahawa pada masa ini, cukai perkhidmatan (enam peratus) dikenakan ke atas segmen ini (penggunaan elektrik lebih daripada 600 kWj sebulan), yang mana segmennya agak kecil,”

– Datuk Johan Mahmood Merican, dipetik dari Berita Harian.

Kecil mana segmennya? Menurut beliau, lebih 85% pengguna domestik menggunakan kurang 600 kWj, jadi kenaikan ni hanya akan memberi kesan pada kurang 15% pengguna.

Tapi kalau korang masih risau kena cukai…

Perlu bijak berjimat dan cari alternatif, kata CEO Fomca

Menurut T Saravanan, Pengerusi Persatuan Pengguna dan Tenaga Malaysia dan juga CEO kepada Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), pengecualian cukai eletrik kepada isi rumah yang menggunakan elektrik bawah 600 kWj melegakan kelompok itu.

Dah tak payah cabut mentol. Gif dari Tenor.

Jadi sekarang, beliau mengatakan yang pengguna perlu berjimat dan pastikan penggunaan elektrik tidak terlalu tinggi, dan kalau guna lebih sekalipun ‘mungkin hanya perlu bayar sedikit’.

“Perlu bijak contoh dalam cuaca panas sekarang yang mungkin menyebabkan penggunaan elektrik tinggi dengan penggunaan penyaman udara… boleh cari cara kurangkan dengan memastikan pengudaraan baik dalam rumah,”

– T Saravanan, kepada FMT.

Selain itu, beliau juga memandang pelarasan cukai ini sebagai peluang untuk rakyat mencari alternatif lain untuk menjimatkan elektrik, macam menggunakan tenaga solar dengan memasang panel solar, ataupun beralih kepada peralatan elektrik cekap tenaga.

“Kerajaan ada menyediakan insentif untuk pemasangan solar selain giat menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga yang mempunyai label lima bintang diperkenal Suruhanjaya Tenaga,”

– T Saravanan, kepada FMT.

Apapun…

Tak semua perkhidmatan dikenakan pelarasan cukai kali ni

Pelarasan cukai perkhidmatan bagi bekalan elektrik domestik ni dijangka hanya akan memberi kesan kat sesetengah pengguna sahaja, dan boleh dielakkan dari kena cukai kalau tahu caranya. Bagi kenaikan lain pula, dikatakan pelarasan ni hanya memfokuskan aktviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan.

Karaoke kini dah dikenakan cukai perkhidmatan. Gif dari Giphy.

Juga tak semua perkhidmatan dikenakan pelarasan ni: perkhidmatan yang dianggap banyak digunakan rakyat, contohnya makanan dan minuman, penghantaran makanan, logistik, telekomunikasi, dan parkir kenderaan kekal dengan cukai 6%. Untuk maklumat lebih lanjut tentang pelarasan cukai ni, boleh semak portal Kementerian Kewangan di pautan ni.

Dengan pelarasan-pelarasan ni, kerajaan menjangkakan hasil tambahan sebanyak RM3 bilion, dan dikatakan hasil ni akan membantu Putrajaya menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat dan juga menambah baik dan menyelenggara prasarana awam kritikal macam penjagaan kesihatan, sekolah, serta jalan raya.

Kita nantikan. Yang penting, bil air takde cukai perkhidmatan tau.