Perlu ke naikkan cukai perkhidmatan? Pakar ekonomi terangkan.

Seperti yang kita semua sedia maklum, baru-baru ini kadar cukai bagi sesetengah perkhidmatan telah naik sebanyak 2% bermula 1 Mac bagi beberapa sektor dinaikkan kepada 8%, namun tidak melibatkan makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi, dan perkhidmatan letak kenderaan.

Gif dari Giphy.

Pelbagai reaksi terhadap kenaikan ini dapat dilihat, dan selain menjadi bualan rakyat biasa, isu ni juga menjadi perbincangan hangat di kalangan ahli politik.

Namun menurut Yeah Kim Leng, pakar ekonomi daripada Universiti Sunway, isu ini tak sepatutnya dipolitikkan, kerana ia mungkin mendatangkan kesan buruk pada ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“…isu tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan kerana akan beri kesan buruk pada keyakinan pelabur dan prospek pertumbuhan negara,”

– Yeah Kim Leng, kepada FMT.

Walaupun tidak ramai yang gemar apa-apa cukai pun dinaikkan…

Kenaikan ini perlu memandangkan keadaan ekonomi negara

Yeah Kim Leng. Imej dari FMT.

Menurut Yeah, amat penting bagi semua pihak benar-benar faham kenapa langkah ni dilakukan. Malaysia memerlukan hasil yang lebih tinggi untuk mengurangkan defisit tahunan dan meningkatkan perbelanjaan bagi menambahbaik kualiti kesihatan, pendidikan, perumahan, dan perkhidmatan penting.

Dalam kata lainnya, kerajaan memerlukan dana untuk memperbaik kewangan negara dan untuk pembangunan, tapi tak cukup dana kerana kutipan hasil selama ni boleh dikatakan sedikit.

“Tahap percukaian di Malaysia pada masa ini berbanding negara-negara setara adalah dianggap rendah, malah berbanding dengan trend masa lalu.”

– Yeah Kim Leng, kepada FMT.

Negara sekarang mengalami defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan) yang besar, dan perbelanjaan yang tak cukup ditampung dengan pinjaman. Defisit ini terjadi kerana perbelanjaan awam ditingkatkan bagi menangani wabak Covid-19 tempoh hari, yang diikuti dengan kemerosotan ekonomi selepas pandemik.

Memandangkan tahap hutang yang ditanggung negara adalah tidak mampan untuk jangka masa yang panjang, Yeah mengatakan yang kenaikan cukai ini, yang dianggarkan akan menambah RM3 bilion kepada dana negara, akan membantu kerajaan mengurangkan defisit tahun ini kepada lebih rendah dari tahun lepas (5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2023).

Pertumbuhan KDNK beberapa negara sekitar semasa pandemik. Imej dari OECD.

Walaupun mungkin tidak disenangi umum, selain mengukuhkan pembiayaan awam, langkah ini juga dijangka akan membolehkan kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat serta kesejahteraan masyarakat, di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Sungguhpun begitu…

Tak semua kadar cukai dinaikkan, jadi pencatutan tak wajar berlaku

Sungguhpun ada keperluan bagi meningkatkan kutipan hasil, kenaikan kali ini tidak melibatkan beberapa perkhidmatan penting terpilih seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, dan logistik. Menurut Yeah, ini adalah bagi mengurangkan impak negatif yang tidak adil ke atas kumpulan berpendapatan rendah.

“Meskipun peningkatan kadar cukai akan memberi kesan pada semua pengguna tanpa mengira paras pendapatan, segmen masyarakat yang tidak mewah boleh akses pelbagai program bantuan sosial termasuk pemberian tunai bagi menampung kenaikan kos sara hidup.”

– Yeah Kim Leng, kepada FMT.

Mengulas kemungkinan berlaku pencatutan pula, Yeah berkata ia membimbangkan jika pedagang dan perniagaan mengambil kesempatan meningkatkan harga untuk menambah margin untung.

Tindakan itu akan mengakibatkan inflasi meningkat, terutama jika “cost-pass-through expenses” (bayaran dikenakan pihak ketiga kepada sesuatu syarikat yang dipindahkan kepada pelanggan) mengatasi kenaikan 2% yang dilevikan ke atas kos perkhidmatan dan input lain.

“Walaupun inflasi keseluruhan dijangka meningkat sikit antara 0.1% hingga 0.2%, pencatutan bersekali dengan jangkaan inflasi luar kawalan, mungkin meningkatkan inflasi mengatasi trend jangka masa panjang 2-2.5% negara.”

– Yeah Kim Leng, kepada FMT.

Sungguhpun ada kenaikan cukai, Yeah berkata yang memastikan inflasi rendah dan stabil akan memanfaatkan semua pihak, kerana kuasa beli tak akan terjejas sementara menunggu pertumbuhan berterusan dan kenaikan pendapatan mengatasi inflasi.