- 286Share sekarang!
- Email6
- Facebook280
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Pernah tak korang mulakan borak-borak korang dengan ayat – sejauh mana universiti awam kat Malaysia ni dipengaruhi oleh ahli politik?
Melainkan korang ni adalah aktivis mahasiswa atau para professor kat negara ni, agak mustahil korang akan bincang benda ni. Selalunya korang akan bincang – nak makan kat mana nanti? Lepas tu korang akan cakap aku ikut jeeee…Sampai tak sudah tak jumpa tempat makan. Bercakap pasal universiti ni, mesti korang pernah dengar ada mahasiswa protes sebab nak mansuhkan AUKU kan?
Baru-baru ni kerajaan kita selamber je mansuhkan Majlis Professor Negara yang dikatakan selalu sokong Barisan Nasional dulu. Berbalik pada soalan kami tadi, universiti awam kita ni memang dikawal oleh ahli politik ke?
Kerajaan dan universiti awam kat Malaysia adalah teman tapi mesra
Korang pernah dengar tak lagu Teman Tapi Mesra? Tapi lagu ni korang tak boleh dengar time tengah puasa sebab sexy sikit. Bos utama sesebuah universiti awam kat Malaysia ni adalah Canselor, tapi diorang ni selalunya ada untuk majlis-majlis rasmi je. Bos sebenar dekat universiti ni – Naib Canselor. Naib Canselorlah yang akan tadbir dan uruskan universiti. Macam pengetua kat sekolah korang dululah. Kalau dia lalu je, kira rasa cuak.
Masalahnya ada dakwaan yang kata Naib Canselor ni adalah lantikan politik – dilantik daripada kalangan orang-orang yang pro-UMNO masa diorang jadi kerajaan dulu. Kalau kat negara lain, Naib Canselor ni akan dilantik oleh badan bebas yang dihormati. Berbeza kat Malaysia, Naib Canselor ni dipilih oleh Menteri Pendidikan. Cuba bayangkan kalau korang jadi Menteri, kemungkinan besar korang akan lantik member-member korangkan?
Ramai je sebenarnya yang dapat kerja kat universiti ni sebab diorang guna kabel, sebab kat Malaysia budaya kabel-mengebel ni memang popular. P Ramasamy bekas pensyarah yang pernah berkhidmat selama 25 tahun pernah bangkitkan isu ni jugak.
Dia juga kata – lantikan politik macam ni macam kanser kat sistem pendidikan kat negara. Ya lah, cuba bayangkan kalau bos-bos kat universiti ni orang parti politik, mesti keputusan-keputusan yang diorang ambil akan memberi keuntungan kepada parti.
“Semua universiti awam di Malaysia menderita akibat kepimpinan Umno yang buruk. Saya tidak menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melakukan keajaiban, tetapi mereka boleh mula mengambil langkah untuk menyingkirkan keadaan monoetnik dan politik Umno di universiti awam. Pengambilan pensyarah berdasarkan merit mestilah menjadi keutamaan dalam pembaharuan baru.”- P Ramasamy, untuk FMT
Tapi kenapa Naib Canselor ni dilantik oleh kerajaan…
Mesti korang terfikir kenapa pula kerajaan ni letakkan member diorang kat tempat yang akan bentuk masa hadapan generasi muda negara kita? Kalau korang nak tahu benda ni ada kaitan dengan demonstrasi mahasiswa yang kerap berlaku dulu, dan ada kaitan jugak dengan masalah rusuhan kaum 1969.
Universiti pertama yang ada kat Malaysia muncul pada tahun 1962, ada je yang boleh kata Universiti Malaysia ditubuhkan pada tahun 1905. Apa-apa pun, kalau korang nak tahu – pada zaman awal penubuhan universiti ni, orang-orang yang pegang jawatan penting kat universiti adalah orang yang siap lawan kerajaan lagi. Masa tu kerajaan cuma bagi duit kat pentadbir universiti dan lihat bagaimana diorang akan belanjakan wang tersebut.
Universiti kedua kat negara kita Universiti Sains Malaysia dapat autonomi yang lebih kurang sama. Maksudnya pentadbir-pentadbir yang dilantik bukanlah lantikan politik, sebab memang diorang layak. Tapi macam yang korang tahu, pada tahun 1969 ada peristiwa hitam yang melanda negara, Rusuhan Kaum 1969. Sebab tengok keterlibatan mahasiswa yang terlalu aktif dengan politik, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pun diperkenalkan.
Walaupun kerajaan setuju dengan konsep kebebasan akademik, namun perlu sentiasa ingat bahawa seperti kebebasan lain ia tidak mutlak. Untuk mengekalkan piawaian akademiknya, sebuah universiti memerlukan sejumlah besar dana awam dan dalam proses itu ia harus selalu mengingat aspirasi dan keperluan negara sebagaimana yang ditafsirkan oleh Kerajaan. “- Tun Hussein Onn, dipetik dari IDEAS
AUKU ni terkenal kerana menyekat mahasiswa daripada terlibat dengan aktiviti politik, selain tu akta ni juga benarkan kerajaan untuk campur tangan dalam urusan universiti, ni menyebabkan universiti tak bebas lagi macam awal-awal dulu.
Pindaan AUKU 1975 menetapkan yang Naib Canselor perlu dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dengan nasihat Menteri Pelajaran. Kalau korang pernah jumpa ayat macam ni, maksudnya Menteri akan cadangkan orang yang layak dan nanti YDPA tinggal lantik.
AUKU yang halang mahasiswa daripada beraktivisme
Kalau korang nak tahu, perlawanan menentang AUKU ni memang dah berlaku sejak zaman 1970-an lagi. Beberapa bulan lepas, sekumpulan aktivis mahasiswa siap berkumpul kat hadapan Parlimen untuk AUKU segera dihapuskan.
Untuk universiti kita terus menjadi hebat dan memunculkan idea-idea baru, kebebasan akademik yang mengandungi dua perkara perlu dilaksanakan;
- Kebebasan institusi untuk membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh kuasa luaran, dan
- Kebebasan akademik individu untuk mengajar, mengkaji, mengatakan atau bersekutu dengan sesiapa sahaja dan apa yang dikatakan oleh akademik.
Walaupun tujuan asal kerajaan perkenalkan AUKU untuk pastikan mahasiswa tak cetuskan huru-hara, tapi sebenarnya dah banyak kali kerajaan gunakan AUKU untuk halang diorang terlibat dengan aktiviti menentang kerajaan. Contohnya, mahasiswa dikasari dan digantung pengajian sebab terlibat dengan gerakan reformasi 1998.
Kawalan kat universiti awam kita ni bukan level biasa-biasa – sampai tahap kajian kat universiti pun kena pantau oleh kerajaan. Contohnya masa para pengkaji kat Malaysia yang nak buat kajian pasal jerebu yang dikaitkan dengan pembakaran hutan kat Indonesia, diorang kena dapatkan kebenaran kerajaan dulu.
Tapi kawalan yang paling jelas berlaku masa Professor Mohamad Redzuan Othman diminta berhenti daripada menjadi pengarah UM’s Center for Democracy and Elections (UMCEDEL) dan dekan Fakulti Seni dan Sains Sosial UM sebab keluarkan kajian yang tak memihak kepada UMNO masa tu. Paling tak boleh bla, lepas tu ada dua Timbalan Naib Canselor diganti sebab tak sokong UMNO.
Kalau budaya macam ni diteruskan, hancurlah sistem pendidikan kat negara kita…
“Semakin banyak pergantungan universiti dengan institusi lain, semakin mudah dipersoalkan integriti ilmu bakal dihasilkan. Untuk melindungi kebebasan akademik, autonomi sebenar adalah cara terbaik untuk universiti di Malaysia.
Apabila universiti mempunyai hak untuk mentadbir sendiri, ahli akademik akan dilindungi daripada dipengaruhi oleh kepentingan pihak luar. “- Ali Salman, pengarah penyelidikan IDEAS, dipetik dari FMT
Kebebasan berakademik memang ada masalah yang teruk kat Malaysia, ada dakwaan – kajian yang melibatkan isu rasuah tempatan atau isu yang bagi nampak dasar kerajaan ni tak bagus, kerajaan larang daripada dilakukan. Maksudnya, kajian tu tak bolehlah kritik isu rasuah atau dasar kerajaan sangat, kang jadi macam Dr Mohamad Redzuan tadi. Tak pasal-pasal kena pecat.
Kebanyakan pensyarah kat universiti tempatan tahu yang diorang sebenarnya dipantau, dan atas sebab ni kebanyakan pensyarah akan senyap dengan isu-isu yang memang diorang nampak tak adil. Tapi kalau diorang bersuara, dah tentu-tentu akan dihukum atau dipaksa melepaskan jawatan.
Walaupun dulu ada universiti yang pernah mendakwa dapat autonomi, menurut Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS), pada hakikatnya diorang tetap pegawai kerajaan dari segi kenaikan pangkat dan gaji. Diorang tak boleh tetapkan duit untuk kajian diorang sendiri.
“Universiti selalu berpendapat bahawa untuk menjadi baik, mereka mesti mempunyai autonomi dan tidak terikat dengan kerajaan. Oleh itu, pemberian autonomi adalah untuk memastikan tidak ada lagi alasan bagi universiti untuk mencapai kecemerlangan, “- Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, bekas Menteri Pengajian Tinggi, dipetik dari Sun Daily
Setelah tukar kerajaan, moga-moga budaya ni pun ditukar
Masih terlalu awal lagi kalau kita nak ukur apa-apa kerajaan yang baru ni, alaa tak sampai sebulan pun lagi. Tapi diorang dah lakukan beberapa langkah untuk sentuh isu ni – contohnya diorang dah janji nak mansuhkan AUKU dan bubarkan Majlis Professor Negara yang macam dah nak jadi parti politik.
Ini bolehlah kita katakan sebagai satu langkah yang baik untuk universiti dapat semula autonomi diorang, kita harap lepas ni takdelah ahli akademik yang kena lepaskan jawatan atau dihukum sebab nyatakan pendirian yang berbeza dengan kerajaan. Moga sistem pendidikan negara kita akan gempak macam negara Korea Selatan, Jepun dan Finland supaya jadi sebutan orang di serata dunia.
- 286Share sekarang!
- Email6
- Facebook280
- Share