Ramai sebut pasal Keris Siamang Tunggal. Tapi kita ada Pendekar Siamang Gagap!

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

Sejak beberapa hari ni, pawagam Malaysia nampaknya penuh dengan kanak-kanak. Semuanya sebab nak menonton filem terbaru Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Dengar cerita, sambutan filem ni sangat menggalakkan dan menjadi tanda baru industri animasi di Malaysia.

Walaupun macam tu, ada juga berita tak berapa sedap didengar bila filem ni jadi mangsa rakam cetak rompak. Sebenarnya, benda macam ni sangat menyedihkan sebabnya, nak menghasilkan sesebuah filem, lebih-lebih animasi bukanlah mudah.

Macam filem ni sendiri yang menelan belanja RM20 juta, ambil masa lima tahun untuk disiapkan dan menggunakan 100% kepakaran anak tempatan. Oleh tu, dah tiba masanya untuk kita semua, tak kiralah siapa supaya sedar dan ambil tanggungjawab untuk elakkan perkara tak beretika ni berlaku kembali.

Baru 4 hari ni. Imej dari Oh Media

Tapi disebalik kehebatan filem Upin & Ipin ni, ada satu perkara menarik yang boleh kita ketengahkan. Ia adalah pasal Keris Siamang Tunggal. Sebabnya, kalau korang masih ingat, zaman sekolah dulu kita ada belajar pasal seorang tokoh yang namanya agak sama dengan keris ni.

Tokoh tu adalah Pendekar Dato’ Siamang Gagap. Korang pernah dengar tak dengan nama tokoh ni? Kalau pernah alhamdulillah, tapi kalau tak pernah, belum terlambat untuk kita sama-sama mengenalinya.

Kenapa dia digelarkan Siamang Gagap?

Bagi yang tak tau apa itu siamang. Imej dari Hamilton Zoo

Mungkin ada di antara kita yang rasa pelik, kenapa pulak ada orang dinamakan sebagai siamang. Bukan ke siamang ni sejenis haiwan macam monyet tu. Sebelum kita timbulkan apa-apa spekulasi, mari kita telusuri dulu sejarah di sebalik kejadian.

Nama sebenar Dato Siamang Gagap adalah Kahar bin Hj Mukmin dan dia dilahirkan di Kampung Repah, sebelum berpindah ke Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Berdasarkan legenda, pada masa dulu wujud seekor siamang yang gagap bila berbunyi di kampung Seri Menanti. Walaupun macam tu, penduduk kampung anggap siamang ni sebagai ‘keramat’ sebab dia selalu menjadi pelindung kepada penduduk kampung.

Caranya adalah, bila ada musuh datang nak menyerang, Siamang Gagap ni akan berbunyi sebagai tanda amaran. Jadinya, bila penduduk dengar amaran tu, diorang akan bersiap sedia dan hasilnya kampung mereka terselamat dari serangan.

Larilah kalian semua ke Kampung Pasir Berdengung

“Setelah Siamang Gagap itu mati maka penduduk kampung seperti kehilangan pelindung dan mereka tidak lupa jasa seekor haiwan bernama Siamang Gagap.” – Dipetik dari sejarah.my

Berbalik kepada kisah Kahar Hj Mukmin, beliau sebenarnya terkenal sebagai pendekar yang berani dan menggentarkan musuh. Dikisahkan, pada ketika itu Kampung Seri Menanti selalu je diserang oleh orang – orang Rawa. Dikatakan setiap malam orang-orang Rawa ni akan menyerang penduduk kampung dengan merampas padi dan harta benda penduduk.

Penduduk ada mengadu kepada pihak istana pasal hal ni, tapi istana tak buat apa-apa sebab takut ramai yang akan jadi mangsa kalau berlakunya peperangan dengan orang-orang Rawa.

“Akhirnya, Kahar memberanikan diri mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri.

Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan.” – Dipetik dari sejarah.my

Lakaran wajah Dato’ Siamang Gagap. Imej dari Wikipedia

Kahar berjaya memperdaya dan mengalahkan orang-orang Rawa. Keberanian dan kepahlawanan Kahar tu dah mendapat perhatian masyarakat dan istana. Akhirnya, Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran “Dato’ Siamang Gagap” kepada Kahar dan dia seterusnya dilantik sebagai pembesar (jawatan macam menteri sekarang).

Dato’ Siamang Gagap menentang British

Salah satu sumbangan besar Dato’ Siamang Gagap adalah menjadi salah seorang tokoh terawal di Negeri Sembilan yang menentang Inggeris dalam ‘Perang Bukit Putus’. Peristiwa tu menjadi titik mula terhadap kes campur tangan Inggeris di Negeri Sembilan.

Dikatakan, campur tangan Inggeris ni jadi berpunca daripada krisis pergolakan takhta kerajaan negeri, antara Tengku Laksamana Antah dengan Tengku Ahmad Tunggal pada 1872 iaitu selepas kemangkatan Yamtuan Imam.

“Kemangkatan Yamtuan Imam menyebabkan berlaku krisis mencari pengganti baginda dan Tengku Ahmad Tunggal, putera sulung Yamtuan Radin dikatakan menuntut hak supaya dirinya dilantik menjadi Yamtuan.

Namun, atas sebab-sebab tertentu, pembesar istana dikatakan enggan melantiknya dan Dato’ Siamang Gagap secara tegas mengangkat Tengku Ampuan Intan, yang juga isteri kepada Yamtuan Radin sebagai pemangku takhta kerajaan.” – Dipetik dari Berita Harian.

Istana Seri Menanti simbol kerajaan Melayu Negeri Sembilan. Imej dari Jabatan Penerangan

Tapi lepas tu, Tengku Laksamana Antah pula dilantik sebagai Yamtuan, walaupun mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal. British yang datang ke Sungai Ujung (sekarang Seremban) pun mula nampak peluang dan tawarkan sokongan kepada Tengku Ahmad Tunggal untuk rebut takhta kerajaan.

Akhirnya jadilah peperangan antara Sungai Ujung dan Seri Menanti yang dikenali sebagai “Perang Bukit Putus”.

“Dalam peperangan itu, penduduk Seri Menanti yang berdiri teguh di belakang Yamtuan Antah diketuai oleh Datuk Siamang Gagap sementara penduduk Sungai Ujung diketuai Kapten Murray, seorang pegawai tentera Inggeris.

Pada peringkat awal, pasukan Datuk Siamang Gagap berjaya mengundurkan lawan hingga ke Paroi tetapi pihak Inggeris kemudian menambah kekuatan dengan membawa askar sepoi dari Melaka untuk membantu.” – Dipetik dari Berita Harian.

Askar bantuan dah sampai!

Akhirnya British menang dalam peperangan tu, dan Yamtuan Antah melarikan diri ke Johor dan Dato’ Siamang Gagap tetap cuba menentang Inggeris di Seri Menanti. Tapi lepas tu, Dato’ Siamang Gagap dapat tahu yang Yamtuan Antah dah berdamai dengan British.

Bagaimanapun, tindakan itu dikatakan terus mendapat bantahan dari Dato’ Siamang Gagap, sehinggalah British cuba menenangkan suasana dengan tawarkan beliau menunaikan haji ke Mekah.

“Ketika pemergian Datuk Siamang Gagap ke Makkah, Inggeris dikatakan mengambil kesempatan memeterai perjanjian dengan Yamtuan Antah dan apabila pulang beliau akhirnya terpaksa mengalah sebaik mengetahui perjanjian itu sudah ditandatangani.” – Dipetik dari Berita Harian.

Tidak mahsyur, tapi perlu dikenang

Lepas adanya perjanjian tu, maka pentadbiran British mula bertapak di Negeri Sembilan dengan lebih kukuh. Dato’ Siamang Gagap dikatakan terus menentang perkara ini sehingga dia meninggalkan jawatan sebagai pembesar istana. Dikatakan Dato’ Siamang Gagap seterusnya pergi ke Pahang, selepas penjajah mula campur tangan sepenuhnya di Negeri Sembilan.

Menurut satu sumber, Dato Siamang Gagap dah pergi ke Mekah dan kemudian menetap di Kg Terusan Juasseh dan meninggal dunia di sana.

Sekurang kurangnya, bila lalu jalan ni. Boleh cerita ke anak cucu. Imej dari Sejarah.my

Walaupun sumbangan Dato’ Siamang Gagap taklah semahsyur pejuang-pejuang penentang British yang lain, tapi peranannya dalam perjalanan sejarah tanah air tak sepatutnya dilupakan begitu saja.

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.