Pulau Pisang: Rumah apinya Singapura kawal, tapi pulau Malaysia punya

Seperti mana yang kita semua tahu, pada tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dah memutuskan yang Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura. Keputusan ICJ ni sebenarnya muktamad, dan tak boleh dirayu. Bagaimanapun, ICJ masih bagi kebenaran untuk buat semakan dalam tempoh 10 tahun.

Maknanya, tahun 2018 adalah tahun terakhir. Disebabkan hal tu, Dr Mahathir baru-baru ni ada kata yang Malaysia terima kehilangan Batu Puteh kepada Singapura.

Selamat tinggi Batu Puteh… Imej dari NST.

Tapi dalam persidangan Parlimen kali ni, satu lagi isu pulau antara Malaysia dan Singapura dah dibangkitkan. Hal tu jadi lepas MP Pontian, Ahmad Maslan bertanya kepada Timbalan Menteri Luar – pasal status rumah api di Pulau Pisang yang masih dikawal oleh pihak berkuasa Singapura, sedangkan pulau tu milik Malaysia. 

Pelik juga dengar isu ni kan? Apa pasal pulak Singapura yang jaga? Jadinya, SOSCILI kali ni akan jelaskan sikit tentang sejarah pulau tu, dan apa kaitannya dengan isu yang dibangkitkan ni.

Rumah api tu Singapura yang jaga, sebab ada perjanjian dengan British dulu

Itulah kedudukan Pulau Pisang, dekat dengan Pontian, Johor. Imej dari Google Map.

Dari dulu sampai sekarang, laluan Selat Melaka dan Singapura memang penting – sebagai laluan perkapalan dan sekaligus sebagai laluan perdagangan dunia. Sebab tu jugalah, dari dulu lagi British nak sangat kawal dua selat ni. Tapi ada satu pulau di selat ni dan ia dikenali sebagai – Pulau Pisang.

Pada tahun 1914, British dah bina sebuah rumah api di puncak Pulau Pisang, yang digunakan sebagai instrumen bantuan pelayaran untuk kapal-kapal yang nak ke barat Selat Melaka dan ke Selat Singapura. Tapi sampai ke hari ni, rumah api ni tetap dijaga oleh Singapura melalui Lembaga Maritim dan Pelabuhan (MPA) negara tu.

Rumah api kawalan negara singa di atas kedaulatan Malaysia. Imej dari Lighthouse Digest.

Apa puncanya benda pelik ni terjadi? Sebenarnya, ia jadi kerana adanya perjanjian antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir James Alexander Swettenham pada tahun 1900.

Dalam perjanjian tu, British mengakui kedaulatan Johor ke atas Pulau Pisang, tapi dalam masa sama Johor bagi hak kekal selamanya kepada British untuk menguruskan rumah api tu.

“… tapi ia juga menandakan satu hal penting di mana Sultan Johor memberikan hak kepada British plot tanah di mana rumah api itu berdiri, serta lot tanah di mana jalan dari jeti menuju ke rumah api itu akan dibina.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (1873 – 1959). Imej dari Kesultanan Johor.

Kesannya, bila Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965, tanggungjawab menguruskan rumah api tu dah bertukar tangan kepada Singapura (bekas negeri Selat), sesuai dengan konsep undang-undang antarabangsa – uti possidetis juris.

Walaupun begitu, pada tahun 2003, Menteri Luar Singapura ada kata yang Singapura tak pernah mempersoalkan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang, tapi dalam masa sama, rumah api tu akan tetap kekal di bawah kawalan Singapura.

Tapi, masih ada kebimbangan bila…

Singapura mula memperluaskan kawasan rumah api Pulau Pisang

Solar di Rumah Api Pulau Pisang. Imej dari The Smart Local.

Sejak beberapa tahun menguruskan rumah api tu, pihak Singapura nampaknya dah memperluaskan kawasannya di puncak Pulau Pisang. Antaranya, negara jiran kita tu dah bina pagar kedua yang terketak 100 meter dari pagar lama. Singapura pun dah memperbesarkan jalan untuk memudahkan pergerakan kenderaan berat menuju je rumah api tu.

Menurut pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hazmi Rusli, para pengunjung Malaysia yang datang ke pulau tu pun tak dibenarkan dekati rumah api tu.

“Kehadiran pihak Singapura di pulau ini menunjukkan, secara tersurat atau tersirat, bahawa kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang belum sepenuhnya muktamad.” – Tulisnya di Utusan.

Jangan jadi macam ni sudah. Imej dari Giphy.

Malah katanya, Malaysia juga berisiko terhadap kedaulatan Pulau Pisang kalau ia dibiarkan macam tu je. Sebab…

Undang-undang antarabangsa merujuk kepada pihak mana yang uruskan wilayah

Untuk maklumat, amalan pemerintahan atau actual exercise of sovereignty merujuk kepada pihak mana yang aktif menjalankan kawalan, mengurus atau sewaktu dengannya dalam sesebuah wilayah.

Contohnya, dalam isu Pulau Sipadan dan Pulau Ligi­tan yang pernah jadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia dulu. Bila kes ni dibawa ke ICJ, mahkamah masa tu merujuk kepada – ‘amalan pemerintahan sebenar’ atau effective occupation, sama ada dah diamalkan secara berterusan oleh negara yang membuat tuntutan.

Akhirnya, disebabkan Malaysia dah lama buat amalan pemerintahan di dua pulau tu, ICJ putuskan Malaysia ada hak kedaulatan ke atas Sipadan dan Ligitan.

Keratan akhbar Utusan Malaysia 18 Disember 2002. Imej dari Institute of Land and Survey (INSTUN).

Manakala untuk kes Pulau Batu Puteh pula, Singapura sejak sekian lama dah buat kawalan di sekitar pulau tu dan ia tak dapat bantahan dari Malaysia. Malah, Malaysia juga ambil sikap berdiam diri bila Singapura pasang alat komunikasi atas Batu Puteh sejak tahun 1977 dan bila negara tu nak buat penambakan laut di Batu Puteh.

“… pada 1968, Malaysia membantah kita (Singapura) mengibarkan bendera kita di rumah api, bendera Singapura, di Pulau Pisang. Mereka membantah dan kita mencabutnya.

Tapi mereka tidak pernah membantah sebelum itu atau selepasnya untuk mengibarkan bendera Singapura di Pedra Branca (Batu Puteh).” – Prof S Jayakumar, Menteri Luar Singapura, katanya pada tahun 2003. Dipetik dari National Archives of Singapore

Disebabkan Singapura ada ‘amalan pemerintahan sebenar’ ke atas Batu Puteh, akhirnya ICJ putuskan Batu Puteh jadi milik Singapura. (Klik sini kalau nak baca lebih detail lagi)

Singapura menang yang besar tu, Malaysia dapat yang kecil (Batuan Tengah). Imej dari Astro Awani.

Makanya, menurut Dr Hazmi, dalam kes Pulau Pisang – Singapura nampaknya dengan aktif terlibat dalam pengurusan rumah api, dan ia dibuat tanpa bantahan dari Malaysia. Kalau hal ni berterusan, dibimbangi kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang mungkin akan dipersoalkan, terutamanya di kawasan tanah tempat rumah api tu didirikan.

“… jika Singapura berhasil menuntut sebahagian kecil wilayah di atas Pulau Pisang, negara tersebut juga berhak mendapatkan wilayah kelautan di Selat Melaka yang ketika ini hanya dikongsi oleh dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Utusan.

Jadinya, antara langkah yang Malaysia kena ambil adalah…

Semak balik perjanjian 1900, dan kukuhkan kedaulatan negara

Bagi Dr Hazmi, sejak kehilangan Batu Puteh, Malaysia tak boleh terima nasib sama dengan Pulau Pisang. Jadinya, dia mencadangkan Malaysia buat semakan semula Perjanjian 1900 dan pengurusan ke atas rumah api kena diserahkan kepada Jabatan Marin Malaysia.

Dia juga cadangkan Malaysia tempatkan boya-boya di kawasan Pulau Pisang, sebagai ganti rumah api yang mambantu pelayaran. Tambahan lagi, bila rumah api sekarang ni dah tak releven lagi dengan pelayaran zaman moden.

“Dengan adanya boya-boya ini, rumah api ini boleh dinyahfungsikan dan MPA Singapura tidak ada keper­luan untuk terus berada di Pulau Pisang yang diakui oleh pemerintah Singapura sendiri sebagai milik Malaysia.

Langkah ini pen­ting bagi memastikan penguasaan Malaysia sepenuhnya ke atas Pulau Pisang tidak dilecehkan. Pulau Pisang adalah sah milik Malaysia dan kita perlu memastikan agar pulau ini tidak terlepas ke tangan negara lain.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Utusan.

Inilah dia boya. Kadang-kadang jadi tempat anjing laut lepak. Imej dari Giphy.

Jadi, macam mana pula dengan pandangan korang? Cuba kongsikannya di bahagian komen.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.