- 299Share sekarang!
- Email6
- Facebook293
- Share
Sejak dua minggu lepas, kerajaan dah melaksanakan kuarantin wajib kepada semua rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke negara ni, tak kiralah melalui jalan darat, laut mahupun udara. Diorang yang baru sampai ni akan terus dibawa ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan. Antara pusat kuarantin tu termasuklah hotel tiga bintang hingga lima bintang.
Walaupun begitu, menurut Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob – tak ada mana-mana pihak yang didiskriminasikan, sebaliknya semuanya dilayan seperti biasa. Kerajaan pula hanya menanggung kos untuk bilik dan makan terhad RM150 sehari.
Tapi sebenarnya, kuarantin ni ada sejarah yang panjang dan dah dipraktikkan sejak zaman dulu lagi. Mungkin kita boleh mula dulu dengan…
Perkataan “kuarantin” sebenarnya bermaksud “40 hari”
Kalau korang nak tahu, perkataan ‘kuarantin’ sebenarnya berasal dari perkataan Itali – ‘quaranta giorni’ yang bermaksud 40 hari. Kenapa 40 hari? Kisahnya bermula pada abad ke-14 (1300 – 1400) apabila Eropah mula cuba melindungi bandar-bandar persisir laut diorang dari penularan wabak-wabak. Jadinya, mana-mana kapal yang tiba di Venice dari pelabuhan-pelabuhan yang dah kena wabak diminta untuk meletakkan sauh selama 40 hari sebelum boleh mendarat. Cara ni digunapakai secara meluas di dunia selepas itu sehingga akhir 1800-an.
Pada waktu sama, ada juga cara lain yang digunakan – contohnya di Milan. Masa tu, sesiapa yang disyaki atau dah dijangki wabak – diorang akan dibawa keluar dari kota, ditinggalkan di padang atau hutan untuk pulih atau mati. Menjelang tahun 1403, Venice dah membina sebuat stesen kuarantin maritim pertama dunia yang dikenali sebagai lazaretto di Laguna Venetian.
Dalam pada itu, penularan wabak juga nampaknya sampai ke New York, Amerika Syarikat menjelang tahun-tahun 1730-an. Keadaan tu kemudiannya membuatkan Majlis Berbandaran New York membina sebuah stesen kuarantin di Pulau Bedloe (tempatnya Statue of Liberty sekarang). Pulau itu menjadi stesen kuarantin untuk penumpang dan kru kapal yang datang.
Usaha menjadikan pulau sebagai stesen kuarantin pun kemudianya diikuti oleh Itali apabila negara tu menjadikan sebuah pulau kecil di Venice, Pulau Poveglia sebagai stesen kuarantin dari tahun 1793 hingga 1814. Tapi, ada satu lagi pulau yang menjadi pusat kuarantin dengan sistem saintifik pertama dunia menjelang tahun 1820-an.
Pulau Urla: Stesen kuarantin yang dibina oleh kerajaan Uthmaniyah
Seperti mana yang kitorang dah cerita tadi, macam-macam cara dah digunakan untuk mengekang penularan wabak dan antaranya adalah dengan kaedah kuarantin. Perkara itu jugalah yang pernah dibangunkan oleh sebuah empayar Islam – Empayar Uthmaniyah.
Menjelang tahun 1823, Uthmaniyah dah membina sebuah pusat kuarantin di atas sebuah pulau, yang terletak Izmir, barat Turki. Pusat kuarantin ni kemudiannya dikenali sebagai Stesen Kuarantin Urla atau Pulau Kuarantin Uthmaniyah/Urla. Bermula pada tahun 1865, pulau tu dah digunakan secara aktif sebagai stesen kuarantin dan ia menjadi salah satu tembok paling berkesan untuk memutuskan penyebaran wabak dari tersebar ke Uthmaniyah.
Menurut Pengarah Pulau Kuarantin Urla, Turgut Yilmaz, boleh dikatakan yang Urla adalah pusat kuarantin pertama yang dilaksanakan dalam sistem kuarantin saintifik dan ia tak ada banyak beza dengan sistem kuarantin yang kita boleh nampak sekarang. Ini kerana, setiap penumpang kapal yang berlabuh di pulau tu akan dibawa ke bangunan utama kuarantin. Kemudiannya:
- Pakaian peribadi mereka akan diletakkan dalam roda berputar, ditiup udara panas dan menjalani pembasmian menggunakan stim wap.
- Mereka lepas tu akan dibawa ke bilik mandi dan akan diperiksa oleh doktor
- Kalau berada dalam keadaan baik, orang tu akan dikuarantin selama 8 ke 10 hari
- Manakala, yang disahkan berpenyakit akan ditempatkan di bilik penjagaan khas untuk rawatan lanjut
- Kalau ada yang mati, mayat mereka akan ditanam dalam kubur yang kedalamannya lebih dari kebiasaan.
“…pada amnya ia digunakan sebagai stesen laluan oleh pelaut dan penumpang Perancis ke atau dari Izmir di zaman Uthmaniyah. Ia adalah salah satu pusat kesihatan yang utama pada masa itu, di mana penyakit terminal seperti wabak dan kepialu telah dineutralkan.” – Dipetik dari Hürriyet Daily News.
Bertitik tolak dari aturan ni, boleh dikatakan yang Pulau Kuarantin Urla ni sebagai salah satu pusat kuarantin bersistematik pertama di dunia. Ia juga menjadi lambang perlindungan kesihatan dunia Islam ketika itu.
“Ini adalah salah satu tempat terbaik yang menunjukkan pentingnya kesihatan dan kebersihan untuk orang Turki dan orang Islam.” – Bediha Türkyılmaz, Pengarah Kesihatan Izmir. Dipetik dari Hürriyet Daily News.
Stesen Kuarantin ni aktif sehingga tahun 1950-an, dan ia juga dikatakan digunakan oleh Turki, apabila negara tu menghantar tentera ke Izmir semasa Operasi Keamanan Siprus pada tahun 1974. Tapi selepas tu, stesen kuarantin dah tak beroperasi lagi dan bangunannya pun mula terbiar begitu saja. Menjelang tahun 2014…
Pulau Kuarantin Urla kini boleh dilawati dan jadi pusat pendidikan
Pada tahun 2014, dah muncul cadangan supaya pulau ni dipulihara dengan menjadikan bangunan-bangunan kuarantinnya sebagai museum. Kini, Pulau Kuarantin Urla dah membuka pintunya kepada para pelawat yang mahu melihat mesin pembasmi kuman berusia lebih 150 tahun dan menjadi bukti salah satu sumbangan Uthmaniyah kepada sistem kuarantin dunia.
Dalam masa sama, ia juga digunakan sebagai pusat pendidikan yang menawarkan latihan kepada kakitangan kesihatan Turki dan luar.
“Walaupun projek itu masih dalam pembangunan, jika ia direalisasikan pada tahun-tahun berikutnya, stesen ini akan melatih kakitangan kesihatan dari seluruh dunia, dengan simulasi menyampaikan pelbagai senario bagi mereka untuk menyelesaikannya.” – Dipetik dari Daily Sabah.
- 299Share sekarang!
- Email6
- Facebook293
- Share