Adanya ‘Pulau Syirik’ di Melaka, masih adakah yang buat hal-hal macam ni?

Bila cerita pasal pulau je, mesti korang terbayangkan angin sepoi-sepoi bahasa sambil minum air kelapa, golek-golek atas pasir rehatkan minda. Tapi bagi Pulau Besar di Melaka, ia lebih terkenal dengan “amalan yang menyimpang daripada agama Islam” seperti berdoa kepada kubur, perigi, dan pokok.

“…memang benar terdapat perkara-perkara berunsur syirik yang terkeluar daripada ketetapan syariah di Pulau Besar” – Imam Besar Masjid negeri Melaka, Datuk Mohamad Hashim. Dipetik dari Sinar Harian.

Sebenarnya Mufti Melaka sendiri dah ada buat kenyataan mengenai Pulau Besar (rujuk fail PDF), di mana banyak amalan-amalan di sana dikira sebagai khurafat. Menurut Ustaz Fathul Bari pulak, sekiranya ada unsur-unsur menyembah kubur, tawaf kubur, dan ia dilakukan dalam keadaan tak jahil, sedar dan tak dipaksa maka ia boleh jatuh kufur dan membawa pada syirik.

Persoalannya, apa yang membuatkan ramai sangat yang datang ke Pulau Besar sampailah sekarang? Kami cuba tengok…

1. Ada yang datang meminta ‘air penawar’ dari kubur yang dikatakan milik keturunan Rasulullah S.A.W

Orang ramai mempercayai kat Pulau Besar ni ada seorang ‘wali Allah’ yang sangat masyhur di seluruh dunia iaitu keturunan ke 18 Rasullullah SAW. Beliau dikenali sebagai Sultan Al-Ariffin atau nama sebenarnya As Sayyid Ismail.

Sebuah topik di forum Halaqah.net menyatakan ketika beliau sedang menziarahi Makam Rasul di Madinah, beliau mendapat arahan untuk berdakwah kat Alam Melayu. Oleh sebab itulah beliau dan beberapa rombongannya pergi ke Pulau Besar bagi mengembangkan ajaran Islam sehinggalah beliau meninggal dunia di sana.

makam sultan ariffin -signboard
Imej dari Artmelayu.com.

Oleh sebab tu lah makam ni menjadi tarikan utama kat Pulau Besar ni. Tapi apa yang kitaorang terkejut dan tak sangka bila tengok ada ramai orang yang berdoa memohon hajat kat depan makam ni dan meminta ‘air penawar.’

makam sultan ariffin-mohon hajat

Para pengunjung berdoa memohon hajat dan meminta air penawar . Image dari Youtube
Air penawar dari makam Sultan Al-Ariffin. Imej screenshot dari Youtube.

2. Ada yang meminta hajat di kubur dan perigi Nenek Kebayan

Bila cakap nenek kebayan je, mesti korang terbayang perempuan tua bongkok dengan muka berkedut-kedut. Tapi menurut blog Sejarah Pulau Besar Melaka, memang ada kubur nenek kebayan atau nama sebenarnya Nenek Fatimah. Tapi ada jugak yang kata ia makam Inang Sih yang dikenali sebagai Dang Wangi iaitu isteri kepada Laksamana Hang Jebat.

dang wangi
Imej dari cityturtle

Turut dikatakan tentang kubur ni adalah ia mempunyai kepala batu nisan ni perempuan tetapi di bahagian kakinya adalah batu nisan lelaki. Malah ada yang percaya kalau korang mengelilingi makam ni sambil jirus air dan berhajat di dalam hati, hajat tu akan termakbul.

Batu nisan lelaki berbentuk bulat/segi empat sama (kelabu). Manakala perempuan berbentuk leper (seperti pusara yang berwarna putih)
Batu nisan lelaki berbentuk bulat/segi empat sama (kelabu). Manakala perempuan berbentuk leper (putih).

Tak jauh dari kubur tu, ada perigi yang juga dikatakan kepunyaan Nenek Kebayan. Kalau nak mohon atau minta apa-apa, ada yang percaya korang kena turun dan kocak-kocak airnya. Paling kurang boleh jumpa syiling lama ye dok.

3. Ada yang percaya kewujudan kampung orang bunian

Menurut blog CintaMenora, ada 146 buah kampung orang bunian di Pulau Besar termasuklah di Marina Resort yang dikatakan tak lagi beroperasi sebab “tak dapat persetujuan bersama antara pemaju dan ‘penghuni asal’. Menurut Wikipedia, antara kejadian yang pernah berlaku adalah berkaitan sebuah jentolak yang meletup sewaktu kerja-kerja meruntuhkan tanah sehingga pemandunya meninggal dunia.

Marina Resort yang terbiar macam tu je. Image dari Cintamenora
Hotel dah cukup cantik dah tu. Imej dari Cintamenora

Macam kes Nenek Kebayan tadi, kat sini pun ada telaga bunian (ye time dulu-dulu JBA takde lagi). Masyarakat situ cakap telaga tu adalah telaga pertama kat pulau hasil dari munajat Pak Syeikh bagi mendapatkan bekalan air tawar sehingga kini. Ia digelar sebagai telaga bunian sebab dikatakan orang ramai selalu terdengar suara sekumpulan wanita sedang bersuka ria kat perigi tu.

air perigi bunian
Orang ramai kutip air daripada perigi. Imej dari Cintamenora.

Tasik kecil berdekatan juga dipanggil sebagai tasik bunian. Ada yang mendakwa kononnya dia ternampak Puteri Mayang Nilam Sari dan kekandanya menabur bunga di tasik tersebut.

Menurut blog Faez Ramly, ada pengunjung yang datang untuk mencari ikan. Pastu masa dia nak balik ke Jeti Umbai menaiki bot, bot yang dinaiki tu tetiba tak jumpa jalan balik. AllahuAllam.

Tasik Bunian yang tersangat gothic tempatnyer. Imej dari Panoramio.
Hijau habis. Imej dari Panoramio.
Imej dari Carianituini.com
Imej dari Carianituini.com.

4. Ada yang datang bertapa di Gua Yunus

Nama Gua Yunus ni diambil sempena orang pertama menjumpai dan menjadikan gua ni sebagai tempat pertapaan. Dan sampai sekarang ia masih digunakan sebagai tempat untuk bertapa. Daripada blog Sejarah Pulau Melaka ni, kalau nak masuk dalam gua ni bila time air pasang korang kena menyelam sebab pintu masuk dia kat dalam air.

pulau besar 059

Batu putih yang terdapat kat dalam gua
Batu putih yang terdapat kat dalam gua. Image dari Cintamenora.

Penduduk kampung cakap, sewaktu Syeikh Yunus tinggal dalam gua ni, seminggu sekali je dia akan keluar untuk dapatkan bekalan. Tapi oleh sebab dah terlalu lama sangat orang kampung tak nampak dia keluar dr gua, ramai-ramai pergi ke gua untuk tengok keadaan dia. Tapi bila penduduk kampung sampai je, tengok-tengok dia dah takde kat dalam gua tu, dan batu yang jadi tempat duduk dia kat dalam gua tu pun bertukar warna putih. Padahal sebelum ni ianya berwarna hitam.

Menurut blog Qul Amirul Hakim, ada yang sanggup bertapa kat sini sampai tiga hari semata-mata untuk dapatkan batu hikmat untuk tujuan dunia (perubatan, disanjung ramai, ilmu). Dorang kata batu tu, ‘Puteri’ yang bagi.

5. Ada yang datang kerana sebatang pokok

Mengikut sejarahnya, kat pokok ni dulunya ada pasangan kekasih tengah berdua-duanya bercengkerama kat bawah pokok ni. Di sebabkan dorang dah terlanjur, so dorang pun ditangkap dan di sula kat bawah pokok tu jugak.

pokok disuka

Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati tangan kiri lelaki tersebut sedang memeluk pasangannya di bawah pokok tersebut.

6. Ada yang datang mintak nombor ekor kat batu belah

Menurut cerita masyarakat setempat, dorang kata yang sebuah batu besar setinggi 3 meter dan mempunyai rekahan di tengah-tengahnya selebar lebih kurang 35 cm dengan kedalaman sejauh 1.5 meter adalah hasil belahan Panglima Lidah Hitam.

batu belah

Katanya pada ratusan tahun dulu, sekumpulan pendekar menunjukkan kehebatan ilmu masing-masing. Ada yang membelah pokok besar dengan sekali cantas, membelah bukit dengan sekali imbas. So Panglima Lidah Hitam ni rasa tercabar dengan kekuatan kawan-kawannya, lalu dia pun menjelirkan lidahnya yang hitam tu dan membelah batu tersebut.

Bermacam-macam cara dilakukan oleh peminat tegar nombor ekor ni. Hmmm Imej dari Cintamenora
Bermacam-macam cara dilakukan oleh peminat tegar nombor ekor ni. Hmmm Imej dari Cintamenora.

Tapi kebanyakkan orang yang datang sini semuanya berhajat mintak nak nombor ekor. Kadang-kadang dorang ni akan masuk ke dalam batu secara mengiring *korang boleh tengok kat gambar atas*

7. Ada yang datang berzikir di hadapan kubur tujuh beradik

Bekas tapak permakaman tujuh beradik. Imej dari wadahpanglima
Bekas tapak permakaman tujuh beradik. Imej dari wadahpanglima.

Tujuh beradik yang dimaksudkan ialah tujuh orang bersaudara seperguruan yang dikatakan mempunyai ilmu yang sangat tinggi (dunia dan akhirat). Difahamkan dorang ni asal dari Palembang dan datang ke Pulau Besar dengan satu tujuan, mengembangkan ilmu persilatan dan dorang ni mempunyai ramai pengikut dari seluruh nusantara.

Menurut blog Wadah Panglima, dorang ni merupakan pahlawan Sumatera yang menyerang Melaka. Dorang telah tewas dan mati dalam pertempuran dan dikebumikan kat Pulau Besar bersama-sama.

Ramai pengunjung tak kiralah Melayu, Cina dan India sangat yakin yang makam kat Pulau Besar ni mempunyai kuasa ajaib yang luar biasa sehingga ada yang memuja dan berzikir dihadapan makam!

Imej dari gambar-gambar pelik.com
Imej dari gambar-gambar pelik.

Jadi kenapa amalan-amalan ini masih lagi berleluasa?

Kalau korang nak tahu, sebenarnya banyak makam-makam kat sini dah dialihkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka dan dimakamkan kembali di tempat lain bagi mengelakkan pemujaan ni terus berleluasa. Tapi tindakan tu seolah-olah tak beri kesan pun sebab bekas tapak-tapak lama masih lagi orang datang untuk bakar colok, kemenyan, memohon hajat dan sebagainya.

“Sebenarnya kawasan makam tidak lagi mempunyai kubur kerana kesemuanya telah kami pindahkan berdekatan Makam Sultan Ariffin tetapi beberapa pihak yang sering melakukan pemujaan telah membina semula kubur berkenaan” – Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani. Dipetik dari Kosmo.

Dan yang paling rare, siap ada yang bina dua kubur baru bersebelahan tapak kubur tujuh beradik tu.

Kakitangan MBMB merobohkan khemah-khemah haram yang didirikan berdekatan Makam Tujuh Beradik di Pulau Besar. Imej dari Kosmo.
Kakitangan MBMB merobohkan khemah-khemah haram yang didirikan berdekatan Makam Tujuh Beradik di Pulau Besar. Imej dari Kosmo.

Malah menurut Mufti Melaka, kebanyakan tempat-tempat ‘keramat’ ni sebenarnya adalah mitos semata-mata (rujuk fail PDF) kerana kebanyakannya diceritakan secara lisan sering berubah-ubah.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah memutuskan bahawa perbuatan memohon hajat, berdoa dan bertawassul di sisi kubur-kubur yang ada di sekitar Pulau Besar merupakan amalan yang boleh membawa kepada syirik.

“Dan janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya Engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau daripada orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”-  Surah Yunus 10:106, diambil daripada Mufti Melaka, klik untuk baca fail PDF.)

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)