Sejak kebelakangan ni, banyak kes rogol yang kita dengar membabitkan golongan kanak-kanak, remaja dan wanita yang semakin membimbangkan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC), secara puratanya sebanyak 3,000 kes rogol telah dilaporkan pada setiap tahun.
“Setiap 35 minit terdapat seorang gadis atau wanita dirogol. Kebanyakan kes rogol melibatkan mangsa berumur bawah 16 tahun.” – Yap Soo Huey, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang. Dipetik dari Malaysian Digest.
Awal tahun ni, korang mungkin masih ingat lagi tentang seorang perogol bersiri berwarganegara Malaysia, S.K. Subbiah yang dikatakan melakukan serangan seksual terhadap hampir 1,000 wanita di Kanada. Menurut CBC News, sewaktu penyiasat pergi rumah Subbiah, dorang jumpa gambar dan jurnal, buku di mana S.K Subbiah bagi ‘markah’ kat mangsa-mangsa dia, dan ubat tidur Halcion. Kini lepas 24 tahun dudul dalam penjara Kanada, dia kena hantar balik ke Malaysia.
Tak taulah apa yang buat S.K Subbiah ni berani sangat buat jenayah kat negara orang lain. Tapi korang tau tak, satu masa dulu, ada perogol bersiri yang buat jenayah dalam Malaysia sendiri? Perkara ni berlaku sekitar zaman 90-an, dan nama perogol tersebut adalah…
Lee Chow Meng, penjenayah yang merogol seramai 18 wanita
Mungkin ramai yang tak tahu sebenarnya Malaysia ni pernah mempunyai seorang perogol bersiri yang paling kejam di negara ni pada sekitar tahun 90-an. Perogol bersiri tersebut ialah Lee Chow Meng yang berasal dari Mentakab, Pahang.
Menurut kenyataan Penolong Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia yang telah bertugas sebagai wartawan jenayah lebih dari 10 tahun, 18 orang wanita ni semua dirogol dalam masa setahun! (Nombor yang kami peroleh daripada dokumentari B:File oleh Bernama lain sikit iaitu 15 orang wanita.)
Kalau korang nak tahu wanita ni bukan je menjadi mangsa rogol, malah turut disamun dan lebih malang lagi ada antara dorang turut dibunuh. Ada jugak kes di mana dia mengugut mangsa rogolnya untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kalau tak nak gambar bogel mangsanya itu disebarkan.
Dia turut membunuh sekurang-kurangnya lima daripada mangsa rogolnya
Antara wanita yang menjadi mangsa rogol dan bunuh Lee ialah seorang akauntan Yong Siew Leng berusia 45 tahun (1996) dan seorang pekerja pusat kecantikan, Lim Phaik Lian berusia 33 tahun (1997).
“Its not only about jenayah rogol tapi dia adalah kasanova. Dia boleh rapat dengan perempuan, boleh menipu sana sini. Lepas tu dia rogol dan bunuh.” – Abu Bakar Mohd Juah, Bekas Pengarah Penjara Taiping. Dipetik dari B:File.
Antara sebab kenapa dia bunuh mangsa rogolnya adalah kerana dia takut perbuatan jenayahnya itu terkantoi. Dia fikir dengan membunuh, pihak berkuasa takkan dapat mengesannya. Tak cukup dengan merogol dan membunuh, Lee jugak turut mencuri barang peribadi mangsa.
Nama dia mula menjadi sebutan di berita apabila orang ramai menemui rangka salah satu mangsanya di berhampiran kawasan empangan kat Batu Caves Selangor. Tak lama lepas tu polis jumpa pulak mayat mangsa yang lain di ladang kelapa sawit kat Perak.
Sejak dari kes itulah Lee terus menjadi buruan pihak berkuasa. Punyalah susah nak kesan dia sehingga pihak berkuasa menawarkan habuan sebanyak RM20,000 kepada orang ramai yang dapat memberikan maklumat. Manakala lebih 40,000 poster lakaran wajahnya ditampal dibalai polis, shopping mall dan beberapa tempat tumpuan awam termasuklah kat sempadan Malaysia-Thailand.
Oleh kerana tiadamaklumat yang diterima oleh orang awam, akhirnya pihak berkuasa mengambil inisiatif menaikkan wang ganjaran kepada RM50,000. Kesian jugakla memikirkan yang orang ramai ni tunggu kena naik RM30K dulu baru buat report
“Dengan ganjaran RM50,000 itulah polis telah menerima banyak maklumat mengenai Lee.” – Minarni Mat Saad, wartawan. Dipetik dari KES.
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Lee berjaya ditahan dan ditembak di peha ketika cuba melarikan diri daripada kepungan pihak polis. Ketika itu dia baru je buat ugutan untuk menyebarkan gambar bogel mangsa rogolnya tu.
Minta pihak penjara masukkan sekali buku seks miliknya ke dalam keranda bila mati
Walaupun dia dah banyak lakukan jenayah rogol dan membunuh ramai mangsanya tapi rasa macam tak adil pulak sebab dia hanya didakwa dengan satu tuduhan je di mana hakim mahkamah hanya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya.
Lee dijatuhkan hukuman setelah mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang pendandan rambut. Apa yang memeranjatkan adalah kes-kes lain yang dikaitkan dengannya sebelum ni sukar nak dibuktikan kat mahkamah.
Walaupun dia terselamat daripada hukuman gantung, namun pada tahun 2001 dia jatuh sakit dan dimasukkan di Hospital Taiping Perak. Selepas 12 hari menanggung sakit kat hospital akhirnya dia di sahkan meninggal dunia akibat radang paru-paru setelah dijangkiti virus HIV.
Walaupun nyawa dah hujung-hujung tu dia sempat lagi fikir pasal seks dimana dia telah meminta Pihak Jabatan Penjara untuk memasukkan dua buah buku panduan seks didalam kerandanya bila dia meninggal nanti. Agak pelik jugak lah permintaannya tu tapi pihak penjara tetap menunaikannya.
Mesti korang tertanya-tanya macam mana dia boleh menjadi pembunuh dan perogol bersiri? Menurut Lee sendiri sebab utamanya ialah…
Kecewa dengan wanita sehingga membawa dendam
Pada tahun 1975, Lee telah jatuh cinta dengan sahabat penanya berbangsa Cina dari Kota Bharu Kelantan dan mereka telah tinggal bersama di negeri Cik Siti Wang Kembang itu.Tapi hubungan dorang tak kekal pun sebab sikapnya sendiri yang suka berpoya-poya kat Thailand. Oleh kerana dah tak tahan sangat dengan sikap Lee tu, teman wanitanya tu pun minta putus.
Tapi Lee masih sayangkan teman wanitanya itu dan taknak berpisah. Lalu dia pun lakukan lah pelbagai cara untuk memujuk tapi tindakan nya itu tetap tak berhasil sehingga membuatkan dia patah hati. Bermula dari situlah dia mula menanam sikap benci pada wanita.
“Latar belakang dia, dia educated. Tapi dia jadi begini (perogol dan pembunuh) bila girlfriend pertama dia tinggalkan dia.” – Amidon Anan, Bekas Timbalan Ketua Bahagian Jenayah Berat (D9) Selangor. Dipetik dari B File.
Untuk membalas dendam ni, Lee buat plan untuk menggoda mana-mana wanita yang mempunyai wajah iras-iras dengan bekas teman wanitanya.
“Dendam sebagai pencetus kemarahan dia yang menyebabkan dia bertindak balas melalui menghukum wanita lain.” – Datuk Dr. Mat Saat Mohamed Baki, Pakar Psikologi.
“Bagi dia wanita adalah orang yang tak boleh dipercayai dan wanita perlu ‘diajar’ dengan melakukan kekerasan.” – Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, Pakar Kriminologi.
Tapi dari mana dia dapat mangsa-mangsa ni? Lagi-lagi nak cari muka yang sama macam bekas teman wanitanya tu.
Lee mula mengumpan mangsa mangsa melalui iklan
Cara dia nak cari mangsa adalah melalui iklan di akhbar. Sebab tu kebanyakan mangsanya terdiri daripada penjual bunga, guru tuisyen dan ejen insurans yang selalu letak nombor telefon dorang dalam ruangan iklan.
“Dia ni pandai, ada strategi sendiri berbanding dengan perogol biasa. Perogol biasa akan bertindak secara spontan, takde perancangan melainkan isu dendam.” – Datuk Dr. Mat Saat Mohamed Baki, Pakar Psikologi. Dipetik dari B:File.
“Kebanyakkan mangsanya adalah orang yang professional. Ada akauntan, lawyer kerana golongan ini mempunyai duit.” -Minarni Mat Saad, wartawan. Dipetik dari KES.
Mula-mula dia ajak dating, lepas tu dia akan masukkan ubat khayal dalam minuman mangsa dan akan mencuri barang-barang bernilai milik mangsanya.
“Ini adalah benar. Ada perogol bersiri ni mempunyai kategori verbal skill yang bagus dimana dia boleh komunikasi dengan orang luar atau mangsa dengan baik.” – Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, Pakar Kriminologi.
Menurut Pakar Kriminologi ni lagi, verbal skill yang bagus pada penjenayah tu adalah sebagai umpan untuk membuat mangsa tertarik kepadanya. Jadi macam mana cara untuk wanita diluar sana mengelakkan diri dari terus menjadi mangsa jenayah rogol dan bunuh ni?
Jangan mudah percaya orang yang tak dikenali
Kalau korang perasan gejala rogol dan bunuh dalam masyarakat kita sekarang ni semakin kerap berlaku macam dah takde kesudahannya. Malah kes jenayah yanng paling kerap dilaporkan kat akhbar adalah kes rogol dan bunuh.
Kerajaan perlu melaksanakan hukuman yang lebih berat kepada perogol agar ia dapat memberi kesan kepada perogol-perogol lain. Selain tu, kerajaan juga perlu menjalankan satu langkah alternatif untuk mengelak perkara ni terus berlaku. Sebagi contoh, mewajibkan sistem butang panik bagi semua operasi e-hailing perkhidmatan Uber dan Grabcar untuk mengelak penumpangnya jadi mangsa jenayah rogol.
Sebagai persediaan untuk diri sendiri pulak, wanita boleh mempelajari seni mempertahankan diri kerana ia dapat membantu menjaga keselamatan diri. Selain itu, wanita jugak disarankan supaya tak terlalu percaya kepada orang yang baru dikenali dan sentiasalah berteman jika ingan keluar.
Menurut Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, wanita ni bukanlah golongan yang lemah tapi disebabkan kurangnya kesedaran terhadap langkah pencegahan tu yang membuatkan dorang sering menjadi sasaran jenayah.
“Golongan wanita perlu yakin dengan kekuatan yang ada seperti dengan memijak, menendang, mencakar atau menampar penjenayah.” – Saiful Hamiruzzaman, Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia. Dipetik dari Utusan.
Sekiranya antara korang telah menjadi mangsa rogol, mungkin korang berasa malu nak bagitau sesiapapun tentang apa yang berlaku. Tapi janganlah teragak-agak untuk membuat laporan polis supaya dapat melakukan penjenayah mengorbankan lebih banyak mangsa.