- 871Share sekarang!
- Email2
- Facebook869
- Share
Kalau sebut FELDA je mesti kita fikir pasal ladang sawit, tak pun team bola Felda United. Tapi tiba-tiba nama FELDA dikaitkan dengan hotel. Aik? Apa kaitannya hotel dengan FELDA? Rupanya baru-baru ni syarikat Felda Investment Corporation (FIC) dikatakan telah membeli hotel di London dengan harga yang tak sepatutnya hingga dilaporkan mengalami kerugian. SPRM telah mengarahkan beberapa individu ditangkap, sebab takut melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.
Pengerusi FELDA waktu zaman hotel ni dibeli iaitu Tan Sri Isa Samad cakap tujuan FIC beli sebab nak pelbagaikan aset dan banyakkan lagi hasil pelaburan syarikat. Tapi akhirnya rugi pulak. Kesian orang FELDA. Tapi ni bukan kes pertama berkaitan aset FELDA yang jadi isu. Sebab sebelum ni…
1. FELDA beli saham dari syarikat minyak sawit Indonesia guna dana kerajaan
Pada tahun 2016 dulu, FELDA melalui anak syarikatnya FIC berjaya membeli saham dari syarikat minyak sawit terbesar Indonesia iaitu PT Eagle High Plantations Tbk (EHP). Jumlah pembelian tersebut adalah RM 2.26 bilion. Kejayaan pembelian ni akan bagi peluang kat FIC untuk menggunakan tanah perladangan di Indonesia yang dikatakan luasnya lebih kurang 4.4 kali ganda saiz negara Singapura. Pembelian ni jugak dikatakan bertepatan dengan matlamat untuk menjadi antara syarikat minyak sawit terbesar di dunia.
Sebelum ni, satu lagi syarikat berkaitan FELDA iaitu Felda Global Venture (FGV) pernah cuba nak beli saham dari syarikat yang sama. Tapi dibatalkan sebab pemegang saham dalam syarikat tu cakap mahal sangat. FGV ni kalau nak beli saham kena dapatkan persetujuan pemegang saham diorang dulu. Sebabnya syarikat tu ada dalam senarai Bursa Saham Malaysia.
Tapi untuk FIC pulak, tak perlu minta persetujuan pemegang saham sebab diorang tak ada dalam senarai Bursa Saham Malaysia. Sebab tu lah dikatakan diorang beli melalui FIC ni. Lagi pun dapat jimat 30% berbanding beli guna FGV.
Walaupun mendapat potongan 30%, ianya tetap mendapat kritikan. Antara yang mengkritik adalah:
- Nazir Razak (Adik PM yang merupakan Pengerusi CIMB Group): Dia mengatakan FELDA kena buktikan kewajaran membeli saham dalam syarikat tu.
- Mazlan Aliman (Pengerusi Persatuan Anak Felda Kebangsaa, ANAK): Dia dan persatuannya risau kalau FELDA terpaksa membuat pinjaman untuk membeli saham tersebut.
- Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan): Dia cakap kalau FELDA teruskan juga beli saham tu, Barisan Nasional akan hilang undi rakyat FELDA (penduduk Felda mewakili 54 kerusi Parlimen)
Namun begitu, FELDA telah mengeluarkan beberapa respon daripada kritikan tersebut. Felda cakap yang pembelian ni takkan menggugat kepentingan golongan peneroka sebab ia dilabur dengan pembiayaan syarikat tu sendiri.
“Urus niaga ini tidak akan menjejaskan komitmen sedia ada dan program-program Felda untuk meningkatkan kesejahteraan peneroka.” – Petikan dari The Malay Mail Online.
Selain tu, nilai bayaran juga dikatakan antara yang rendah kalau nak dibandingkan dengan urus niaga lain. Apa yang menarik, tekaan Mazlan Aliman yang risau kalau Felda kena buat pinjaman, nampaknya macam betul. Felda telah menggunakan dana kerjaan sebanyak AS 500 juta untuk membeli saham tersebut seperti yang diakui Tan Sri Shahrir Samad (Pengerusi Felda sekarang).
Ni kira ok lagilah sebab pelaburan untuk tanah ladangkan? Tapi ada juga benda yang tak berkaitan pertanian yang dilaburkan sebelum-sebelum ni. Macam…
2. FELDA membina stadium bernilai hampir RM 100 juta
Pada tahun 2011, PM Najib Razak telah mengumumkan pembinaan Stadium FELDA Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang. Pada tahun 2013, pengumuman pula dibuat oleh Tan Sri Isa Samad pengerusi FELDA masa tu. Perbelanjaan pembinaan tu dikatakan akan bernilai di antara RM 80 juta hingga RM 100 juta yang boleh memuatkan 30 ribu penonton.
Tujuan Stadium FELDA tu dibina adalah untuk memberi tempat khas bagi pasukan Felda United untuk bermain di stadium bertaraf antarabangsa. Ini kerana sebelum ni Felda United hanya berkongsi stadium dengan pasukan Sime Darby di Stadium Selayang. Selain tu, ia dikatakan bakal menjana ekonomi FELDA melalui urus niaga berkaitan sukan, kedai makan dan hotel untuk pengunjung yang hadir.
Setelah stadium tu siap, nilai perbelanjaannya adalah RM 92 juta yang hanya boleh memuatkan 20 ribu penonton. Dalam masa yang sama, FELDA dibawah pimpinan Tan Sri Isa Samad turut berusaha untuk mengumpulkan generasi muda Felda bagi membentuk pasukan penyokong atau Ultras bagi Felda United.
Pembinaan stadium ni turut mendapat kritikan kerana ia dianggap satu pembaziran di kala peneroka Felda sedang menghadapi macam-macam masalah contohnya:
- Kes tanam semula yang tidak sempurna
- Proses tanam semula yang lewat
- Ladang peneroka bersemak samun
- Hutang peneroka yang tinggi dengan FELDA
- Pertikaian Kadar Perahan Gred (KPG) kelapa sawit
Sewaktu pembinaan stadium ni juga, turut diungkit adalah kes Felda yang dilaporkan telah meminjam RM 6 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tempat duit EPF kita tu. Kenapa pinjam duit kita pulak ni?
3. FELDA pinjam RM 6 bilion duit KWSP
Ramai yang mempersoalkan tujuan FELDA meminjam duit dengan nilai yang banyak dari KWSP. Menurut Presiden ANAK, Mazlan Aliman ada dakwaan mengatakan yang perbelanjaan tersebut telah digunakan oleh FELDA melalui FGV untuk membeli sebuah kilang bernilai RM 1.5 bilion milik Tan Sri Robert Kuok.
Bagi Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid, dia mempertikaikan pinjaman tersebut kerana Datuk Ahmad Maslan pernah cakap FELDA dapat keuntungan sebanyak RM1.197 bilion tahun sebelum itu. Tapi, kenapa tiba-tiba buat pinjaman pulak?
Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi FELDA waktu tu telah memberi respon dengan mengatakan pinjaman dari KWSP tu adalah satu penghormatan untuk Felda. Baginya membuat pinjaman adalah satu perkara biasa .
“Jadi pinjaman yang kita (Felda) buat kepada KWSP itu seperti satu penghormatan kepada Felda kerana mereka (KWSP) yakin kita (Felda) mampu membuat bayar balik pinjaman itu.” – Tan Sri Isa oSamad (Pengerusi FELDA sebelum ni), petikan dari Utusan.
Jadi tak tahulah apa tujuannya kan. Walaupun masih tak tahu lagi apa tujuan Felda buat pinjaman ni sampai sekarang, kita selaku orang yang menyimpan dalam KWSP mesti tertanya-tanya Felda dah bayar ke? Sebab pinjaman ni berlaku pada 2011. Pada 22 Disember 2016, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP ada mengeluarkan kenyataan rasmi melalui website-nya (klik PDF) dengan menyatakan:
“KWSP mengesahkan bahawa RM6.5 bilion pinjaman oleh FELDA Holdings (Felda) adalah tidak tertunggak dan Felda masih membuat bayaran pinjaman mengikut terma dan syarat yang dipersetujui.” – Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP.
Aik, RM 6 bilion ke RM 6.5 bilion ni? Tak tahulah. Aset dah banyak tapi masih buat pinjaman? Seperti yang diisytiharkan Pengerusi Felda sekarang, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bahawa FELDA akan jual aset-aset yang ada di dalam dan luar negara secara agresif tahun ni (2017). Dah beli, jual pulak?
4. Jual aset bermasalah untuk kembalikan kewangan FELDA
Felda telah mengeluarkan kenyataan untuk menjual aset-aset yang ada terutamanya hotel. Tujuan semua ni adalah untuk menstabilkan aliran tunai, membiayai aktiviti lain dan memulihkan ‘aset bermasalah’ di bawah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC). Jadi kita tertanya-tanya juga, sebelum ni beli saham di syarikat terbesar minyak sawit Indonesia dan pinjam duit KWSP apa hasilnya?
Seperti diterangkan Pengerusinya, Felda ni dah bebas dari pembiayaan kerajaan sejak beberapa tahun yang lepas sebab dikatakan boleh berdiri sendiri. Tapi,
“Selepas 18 tahun, masih ada defisit dalam aliran tunai dan rizab kami berikutan ada di antara pelaburan itu yang tidak menyumbangkan aliran tunai seperti yang kami jangkakan.”- Petikan dari Mstar.
Jadi Felda jual aset-aset tu untuk dapatkan tunai supaya boleh kembalikan kewangan FELDA yang seimbang. Selepas tu, pengumuman penjualan hotel dibuat yang mana sebuah hotel di London bernama Hotel Kensington akan dijual dengan harga di antara RM 500 juta hingga RM 1 bilion. Akhirnya, hotel tu dijual dengan nilai RM 543 juta seperti yang diterangkan Pengerusi FELDA sekarang.
Kalau korang nak tahu, di London dikatakan ada dua hotel yang dibeli Felda sama ada melalui FELDA atau anak syarikatnya FIC. Dua hotel tu adalah:
- Grand Plaza Serviced Apartments di Byswater milik Felda
- Grand Plaza Kensington milik FIC
Harga Grand Plaza di Byswater tak tahulah berapa tapi Grand Plaza Kensington ni menurut Utusan harganya adalah bernilai RM 495.88 Juta (98 juta pound) yang dibeli pada tahun 2014. Kalau ikut laporan akhbar yang kami dapat ni maknanya RM 543 juta (jual) – RM 495.88 juta (beli) = RM 47.12 juta (untung). Tapi nilai matawang pound dulu masa beli dengan masa jual lain kan. Jadi mungkin ada kerugian. Sebab baru-baru ni SPRM buka kertas siasatan berhubung pembelian hotel ni.
“Menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.” Petikan dari Metro.
Beberapa orang saksi juga akan dipanggil untuk mendapatkan bukti yang kukuh sebelum tindakan seterusnya. Dah beli jual pulak. FELDA dan kerugian sebenarnya tak boleh dipisahkan sangat kebelakangan ni. Sebabnya…
5. Selain kerugian hotel, banyak projek lagi yang rugi menurut Laporan Audit Negara
Kerugian FELDA ni nampaknya telah dibuktikan lagi melalui Laporan Audit 2015 yang mana FELDA telah kerugian jutaan ringgit. Laporan audit menyatakan yang kebanyakan pengurusan projek FELDA tak capai objektif. FELDA juga disarankan mengambil tindakan disiplin kepada mana-mana pegawai mereka yang ada langgar undang-undang.
“Jika anda teliti Laporan (Ketua Audit Negara), anda boleh nilai berapa banyak wang yang terlibat dalam kesemua pelaburan bermasalah itu… kami sebenarnya sudah membelanjakan wang yang banyak namun sebaliknya tidak mendapat pulangan,” Tan Sri Shahrir Abdul Samad, petikan dari Mstar.
Dalam laporan tu menurut Mstar ada menerangkan beberapa projek yang rugi contohnya:
- Projek usahasama penternakan ikan: RM 45 juta rugi
- Empat anak syarikat dan syarikat dibawah kumpulannya yang ditubuhkan tanpa kelulusan Menteri Kewangan: RM 28 Juta rugi
Selain tu, Felda juga kerugian RM 108 juta melibatkan projek yang dipanggil Transnovasi. Wah! semua nak rugi. Macam mana pulak lah nasib peneroka FELDA kalau rugi-rugi ni?
Peneroka FELDA cuba saman FELDA sebab pecah amanah
Dalam keadaan FELDA yang tak seimbang tu, nampaknya ada beberapa kes yang mana peneroka cuba saman FELDA dan anak syarikat yang berkaitan. Contohnya 577 peneroka dari Felda Chini dan Chini Timur cuba saman FELDA dan Felda Palm Industries kerana penipuan dan pecah amanah.
“Mendakwa kedua-dua pihak menggredkan hasil minyak sawit lebih rendah daripada sepatutnya sejak 17 tahun lalu.” – Petikan dari Berita Harian.
Pada tahun 2017 pula, 492 peneroka Felda gugusan Bera turut menyaman FELDA dan anak syarikat yang sama dengan alasan yang serupa. Tapi kalah juga, peneroka terpaksa bayar ganti rugi sebanyak RM 405 500. Kiranya peneroka Felda dah mula tak percaya pada Felda lah ni kan.
Tapi ada je sebenarnya yang peneroka FELDA dapat. Kalau ikut apa yang disebut Pengerusi FELDA sekarang, FELDA ada dapat dividen sebanyak RM 6 bilion (ratus juta) hasil tersenarainya Felda Global Venture (FGV) dalam Bursa Saham. Di mana jumlah RM 1.7 bilion telah dibelanjakan kepada peneroka Felda yang menerima RM 15 000 setiap keluarga. Namun ada yang mempertikaikan mengenai bakinya.
Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Pengerusi sekarang) mengatakan baki RM 4.3 bilion telah digunakan untuk pelaburan jangka panjang di dalam dan luar negara. Ok. Melabur lagi. Baru-baru ni, kerajaannya nampaknya tolong FELDA dengan mengumumkan 6 insentif untuk peneroka Felda sempena Hari Peneroka FELDA. Antaranya:
- Bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.
- Seramai 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman saham FGV akan dilupuskan baki pinjaman mereka dengan kadar ringgit ke ringgit
- Insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda
Kira kerajaan bantu FELDAlah ni. Sebab sepatutnya kalau ikut sejarah, FELDA dah boleh berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan seperti tujuan asalnya. Sebab FELDA ni memang terbukti bagus dan jadi ikutan dunia.
Model ekonomi FELDA jadi ikutan beberapa negara di dunia ni
Mungkin semua tahu yang idea FELDA telah dicetuskan oleh Tun Abdul Razak. Tujuannya untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif membasmi kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah. Pada tahun 1994, FELDA ni dah dapat kepercayaan kerajaan untuk menjana pendapatan sendiri untuk perkembangan ekonominya. Jadi kerajaan tak salurkan lagi peruntukan. Sebab tu FELDA tubuhkan beberapa anak syarikat untuk aktiviti perniagaan lain macam pelaburan. Kira masa ni makin kukuhlah.
Tapi sejak beberapa tahun ni memang terbukti FELDA tak boleh berdiri sendiri sebab kurang kekuatan. Jadi bantuan kerajaan diperlukan. Benda ni pun memang diakui Pengerusi FELDA baru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang telah menggantikan Tan Sri Isa Samad.
“Kita tak lagi menerima peruntukan daripada kerajaan. Kita berdiri sendiri dan kita dah ada kekuatan. Kita punya kemampuan kewangan. Hari ini masuk umur 60, dah mula kita mintak kerajaan tolong sikit. Tetapi kita masih ada aset-aset yang terkumpul.” – Tan Sri Shahrir Abdul Samad, petikan dari Sinar Harian.
FELDA sekarang juga dikatakan sedang cuba memperbaiki imej dan integriti organisasi tersebut supaya ianya tak merugikan generasi baru FELDA. FELDA dan anak syarikatnya memang diakui berada dalam situasi yang buruk tapi tak sampai tahap bankrap. Langkah seperti siasatan SPRM terhadap kepimpinan FELDA dan anak syarikatnya juga sedang dilaksanakan. Beberapa aset bermasalah telah dijual dan mudah-mudahan bagi kebaikan kepada peneroka FELDA.
Kalau korang nak tahu, model ekonomi FELDA ni dilaporkan menjadi ikutan beberapa negara seperti Sierra Leone, Columbia, Laos dan Myanmar. Memang negara lain pun nampak FELDA ni bagus. Cumanya, ia jadi buruk atas dakwaan kes-kes pecah amanah melibatkan kepimpinan tertinggi serta kerugian melibatkan wang. Moga-moga pengerusi dan kepimpinan baru dapatlah kembalikan FELDA untuk tujuan asalnya serta kembalikan semangat peneroka FELDA.
“Sedarlah! Bangunlah! Awak boleh buat ini semua, Felda ada kepakaran, ada kekuatan, bangunlah!” Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Pengerusi FELDA), petikan dari Sinar Harian.
- 871Share sekarang!
- Email2
- Facebook869
- Share