- 262Share sekarang!
- Email11
- Facebook251
- Share
Suhu politik negara dah pun berkurang. Segala teka-teki mengenai kabinet dah pun terjawab apabila Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan kabinet yang akan bekerja dengannya. Apa yang menarik, senarai kabinet ini telah pun ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ada beberapa nama lama dan baru yang telah pun mengisi kabinet kali ni. Turut tersenarai dua orang bukan ahli politik seperti CEO CIMB Group Holdings Berhad, Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan) dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri Hal Ehwal Agama).
Kali ni, kami nak senaraikan enam orang nama ahli kabinet yang mungkin ramai korang tak tahu. Tapi, sebenarnya, dah lama berkecimpung dalam pentadbiran dan politik di tanah air ini.
1. Alexander Nanta Linggi – Cucu kepada Temenggung Jugah Anak Barieng
Salah satu parti yang mencukupkan jumlah kerusi untuk mengangkat Perikatan Nasional sebagai kerajaan adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) – terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Sekalipun GPS dikatakan tidak ghairah untuk merebut jawatan kabinet di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tapi nampaknya ada beberapa ahlinya dipilih untuk menjadi menteri. Salah seorangnya adalah Alexander Nanta Linggi dari PBB yang dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Mungkin ramai yang baru dengar nama ni, sebenarnya dia adalah cucu kepada nama besar pemimpin politik Sarawak iaitu Temenggung Jugah Anak Barieng. Pengaruhnya cukup kuat di kerusi Parlimen Kapit, sehingga tak pernah kalah selama lima kali PRU dari tahun 1999 hingga 2018.
Dia juga mempunyai pengalaman menjadi ahli kabinet sebelum ini di bawah kepimpinan Najib Razak selepas PRU 2013. Jawatan yang dipegangnnya adalah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar. Selain itu, dia juga merupakan ahli perniagaan dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi syarikat Swee Joo Bhd – syarikat pengangkutan dan logistik.
2. Rosol Wahid – Dikala BN tumbang di Terengganu, dia menang di kerusinya
Mungkin ramai yang jarang dengar nama Rosol Wahid ni. Dia telah pun diumumkan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Di mana menterinya adalah Alexander Nanta Linggi yang atas tadi.
Untuk orang Terengganu, nama Rosol Wahid memang selalu didengari kerana aktifnya dia di pentas politik negeri itu. Dia kini merupakan ahli parlimen Hulu Terengganu. Di kala nama-nama besar BN kalah di kerusi DUN dan Parlimen pada PRU-14, yang menyebabkan PAS menang besar hingga membentuk kerajaan, Rosol Wahid kekal menang di kerusinya – Hulu Terengganu.
Namun, pada Disember 2018, dia mengumumkan untuk keluar dari BN serta menjadi ahli parlimen bebas dan kemudiannya menyertai Bersatu. Keputusan ini dibuat kerana mendapati sukarnya untuk mendapat peruntukan dari kerajaan dan negeri bagi keperluan rakyat kawasannya.
Dari segi pentadbiran, dia pernah memegang dua jawatan di bawah dua Menteri Besar Terengganu yang berbeza. Sewaktu di bawah pimpinan Idris Jusoh, dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri Terengganu. Manakala di bawah pimpinan Ahmad Said, dia dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi.
3. Lim Ban Hong – Pernah dilantik Exco termuda kerajaan Melaka
Dalam kabinet yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin, nampaknya ada 6 orang senator yang dah pun mengangkat sumpah pada pagi 10 Mac 2020. Selain nama Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan) dan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri Hal Ehwal Agama), ada juga nama senator Lim Ban Hong.
Dia dilantik memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau mudahnya timbalan kepada Azmin Ali. Portfolio MITI kali ini diletakkan sebagai kategori salah satu Menteri Kanan termasuk Menteri Pertahanan, Menteri Kerja Raya dan Menteri Pendidikan.
Bagi yang tak tahu, Lim Ban Hong merupakan salah seorang Naib Presiden Malaysian Chinese Association (MCA). Dalam karier pentadbiran, dia pernah menjadi ADUN Klebang. Pada tahun 2014, dia telah dipilih menjadi Exco Melaka termuda yang memegang portfolio Pengangkutan dan Projek Rehabilisasi.
4. Marzuk Shaary – Pernah kena halau dari Dewan Rakyat sebab guna perkataan ‘pondan’
Kita kali ni nak berkenalan pula dengan timbalannya yang juga Ahli Parlimen Pangkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary. Dilahirkan pada tahun 1975, Marzuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Fiqh Islam dari Al al-Bayt University, Jordan. Dia juga ada Master dalam bidang hadis (dari Universiti Sains Malaysia) dan PHD dalam Tamadun dan Sejarah Islam (di Universiti Malaya).
Pada tahun 2011, dia dah dapat penghargaan dari Kerajaan Negeri Kelantan dengan Anugerah Ulama Muda Kelantan. Sepanjang kariernya dalam politik, Marzuk dah memegang bebarapa jawatan seperti Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri dan Exco Pemuda PAS Malaysia.
Dua tahun lepas tu, Marzuk dah diberikan kepercayaan menjadi calon PAS untuk kawasan Bachok dan menang. Pada PRU-2018 pula, dia menang di kawasan Pangkalan Chepa. Selain tu, kitorang dapat maklumat yang Marzuk ni juga pegang jawatan sebagai Pengarah Permodalan Kelantan Berhad.
Kalau dekat Parlimen, nama Marzuk ni pernah terkenal dulu sebab dia berdebat dengan MP-MP DAP sebab dakwa parti tu anti-Islam. Dia juga pernah kena halau dari Dewan Rakyat, sebab guna perkataan ‘pondan’ kepada Lim Guan Eng yang masa tu Menteri Kewangan. Akibatnya, dia digantung dari masuk Dewan Rakyat selama dua hari.
5. Ahmad Amzad Hashim – Dari ahli perniagaan ke Ahli Parlimen
Dalam perkembangan terbaru, nama Khairy Jamaluddin nampaknya diangkat kembali, apabila dia dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Tapi apa yang menarik perhatian adalah kali ni timbalannya datang dari PAS dan juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Ahmad Amzad Hashim adalah Naib Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu dan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat.
Sebenarnya, personaliti Amzad ni agak menarik sebab dia bukan saja seorang ahli politik, tapi juga seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sebabnya, berdasarkan maklumat – Amzad ni dah pimpin lebih kurang lima buah syarikat iaitu:
- MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd (Pengarah Urusan, 1995 – 2004)
- Crucial Malaysia Sdn Bhd (Pengarah Eksekutif)
- Norstar Technology Sdn Bhd (Pengerusi)
- MSET Engineering Corporation Sdn Bhd (Pengarah, 2006)
- Segar Ternak Sdn Bhd (Pengerusi)
Selain tu, dia juga terlibat aktif dalam badan khidmat kebajikan dan masyarakat seperti:
- Pengasas dan Presiden Pergerakan Profesional Muda Terengganu
- Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
- Timbalan Pengerusi Sekretariat Tuntutan Royalti Petroleum Terengganu
- Presiden Gabungan Anak Terengganu (GATE)
- Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Negeri Terengganu
Senang kata, Amzad ni memang dah diakui keupayaannya untuk memimpin sesuatu organisasi. Tapi untuk masuk dalam kementerian ni, kita tak tahu lagi dan biarlah dia membuktikan dirinya nanti. Amzad juga ada kata yang dia akan beri khidmat terbaik dan selesa berkerja dengan Khairy.
6. Dr Adham Baba – Punya rangkaian klinik dan pernah jadi Pro Canselor Universiti
Kalau dulu kita ada Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan, kali ni kita akan ada Dr Adham Baba. Berasal dari Batu Pahat, dia memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya dan pernah bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan pada 1988 hingga 1990. Lepas tu, dia masuk dalam sektor perubatan swasta dan mengasaskan rangkaian Klinik Adham Sdn Bhd.
Kalau korang nak tahu, dia juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi (2004 – 2008) dan Pegawai Khas (Pendidikan) pada 2000-2004. Selain tu, dia turut diberikan kepercayaan sebagai Pro Canselor Universiti Kuala Lumpur (2013-2018) dan Pengerusi UniKL Medical Services Sdn Bhd (2010 -2015).
Dia mula masuk dalam politik pada tahun 1991 apabila dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Senai sebelum bertanding di Parlimen Tenggara dalam PRU-11 dan menang. Nama Adham sebenarnya ada disebut-sebut sejak beberapa hari sebelum pengumuman kabinet sebagai Menteri Kesihatan. Nampaknya, tekaan tu betul bila Muhyiddin melantiknya untuk jawatan itu.
Dalam keadaan dunia dan negara yang berdepan dengan ancaman Covid-19, Adham berkata – dia akan meneruskan pendekatan tenang seperti bekas Menteri Kesihatan dulu.
“Saya kena tenang, sebagai doktor kita kena tenang merawat pesakit. Saya akan buat yang terbaik untuk kurangkan isu wabak Covid-19” – katanya kepada Malaysiakini.
Pelantikan kabinet baru ni dianggap positif oleh ramai pemerhati
Walaupun mungkin ada kata-kata yang kurang senang dengan pelantikan kabinet baru oleh Perikatan Nasional ni, tapi bagi ramai pemerhati ia dipandang secara positif. Ini kerana, tindakan tak melantik pemimpin tertinggi parti seperti Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dan Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) untuk jawatan menteri dilihat sebagai mengasingkan politik dengan fokus pembangunan kerajaan.
“Ketua atau ‘ayah’ dalam setiap parti politik ini kalau tidak dimasukkan dalam Kabinet bagus sebenarnya kerana mereka boleh memainkan peranan untuk mengingatkan ahlinya yang berjawatan supaya jangan lupa diri.” – Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Penganalisis Politik. Dipetik dari BH Online.
Bagi penganalisis politik, Dr Nur Ayuni Mohd Isa pula, Muhyiddin Yassin nampaknya menunaikan janji apabila melantik barisan kabinet yang ada ciri-ciri berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran. Hal tu termasuklah seperti pelantikan Dr Zulkifli al-Bakri dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Apa yang pasti, pelantikan barisan kabinet ni menampakkan ciri-ciri baru yang kita belum pernah lihat sebelum ni. Dan diharapkan para menteri ni dapatlah menjalankan tugas mereka dengan baik dan membentuk Malaysia yang lebih cemerlang. Selamat bekerja!
- 262Share sekarang!
- Email11
- Facebook251
- Share