- 1.9KShare sekarang!
- Email85
- Facebook1.8K
- Share
Umat Islam tak kira sunni atau syiah percaya suatu hari nanti imam Mahdi akan muncul untuk membawa Islam ke era kegemilangan. Kepercayaan ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w tanpa dinyatakan bilakah imam yang ditunggu tu akan muncul.
Yang pasti, imam Mahdi akan muncul di hadapan Kabah yang berada dalam kawasan tanah haram. Antara sebab kota Makkah digelar tanah haram adalah kerana Allah mengharamkan pertumpahan darah berlaku di kota Makkah walaupun orang tu jahat macam Abu Jahal.
Tapi 37 tahun lepas berlaku tragedi taboo yang jarang diceritakan bila sejumlah besar jemaah di dalam Masjidil Haram mati terbunuh depan Kabah! Ini gara-gara kumpulan ‘imam Mahdi’ yang nak rampas kuasa kerajaan Arab Saudi gunakan cara paling radikal iaitu menawan Masjidil Haram di Makkah al Mukarramah.
Juhaiman mendakwa abang iparnya, Muhammad Bin Abdullah al-Qahtani adalah Imam Mahdi
Tawanan Kabah ni diketuai oleh Juhaiman bin Muhammad Saif al-Utaiby yang mendakwa dia telah bermimpi bahawa abang iparnya, Muhammad Abdullah al-Qahtani tu adalah imam Mahdi. Lalu Qahtani pun percaya dengan ‘mimpi’ adik iparnya tu dan mengaku dia sebagai imam Mahdi sebab dia memang nasab keturunan Quraisy dan nama dia pun sama dengan nama Rasulullah s.a.w.
Tapi siapa sebenarnya Juhaiman ni…
Juhaiman berasal dari etnik bani Arab badwi padang pasir yang pernah terlibat dalam beberapa siri peperangan menentang penubuhan negara Arab Saudi oleh keluarga al-Saud dan dia merupakan seorang pegawai tentera kebangsaan Saudi selama 18 tahun sebelum berhenti kerja untuk mendalami ilmu agama.
Dia berpindah ke Madinah dan berpeluang berguru dengan ulama tersohor di Saudi secara rapat seperti Syeikh Abdul Aziz Bin Baz dan beberapa ulama lain. Disebabkan kredibilitinya yang bagus, dia berjaya ambil alih pertubuhan dakwah yang dikenali sebagai Al-Da’watul Muhtasibah@Al Salafiyya al Muhtasibah (JSM) yang telah mendapat pengiktirafan ramai ulama serta para pendakwah yang masyhur.
Tapi lama kelamaan Juhaiman mula sentuh isu politik dan amik keputusan keluar dari JSM untuk asaskan kumpulan baru bernama Ikhwan yang lebih politikal (takde kaitan dengan Ikhawnul Muslimin di Mesir ye). Oleh kerana dia mempunyai pengaruh yang kuat, ramai yang mengikut Juhaiman sertai kumpulan baru Ikhwan.
Faktor politik Arab Saudi dan kefahaman Islam yang terpesong punca ideologi ganas Juhaiman
Arab Saudi yang dulunya sebuah negara orang badwi padang pasir tiba-tiba berubah jadi kaya gila bila hasil minyak diorang ditagih kuasa-kuasa barat terutamanya Amerika Syarikat (AS). Juhaiman telah menyaksikan banyak perkara-perkara yang dianggap sebagai maksiat dan bidaah semakin tersebar di Saudi antaranya ialah:
• Pemerintahan keluarga al-Saud yang menggunakan agama demi kepentingan dunia.
• Skandal rasuah dan korupsi pentadbiran Kerajaan.
• Materialisme dikalangan rakyat Saudi semakin meningkat.
• Hubungan diplomatik yang baik antara Saudi dengan AS.
• Pengiktirafan Saudi terhadap fahaman Syiah sebagai mazhab Islam.
• Polisi Kerajaan Saudi yang cenderung untuk memodenkan negara dengan pengaruh ‘westernization’ (barat).
• Perkara-perkara yang dianggap bidaah dan haram macam gambar Raja Saudi kat duit kertas dan kat pejabat-pejabat kerajaan.
Kebanyakkan pengkritik kerajaan Saudi menyalahkan ajaran salafi/wahabi sebagai punca fahaman ekstremis Juhaiman dan pegikutnya. Sebenarnya majoriti ulama Saudi yang beraliran salafi tak galakkan, bahkan ada yang siap haramkan orang Islam sertai politik walaupun dalam sistem demokrasi.
Juhaiman ni berfahaman salafi tapi ideologi eskstrem dia sama macam kumpulan militan lain macam Hezbollah, Al-Qaeda, dan Taliban yang tak salafi. Situasi politik yang tak menentu dan asyik bertelagah sama sendiri menjadi penyebab ideologi radikal kat Saudi ni makin popular. Malah Juhaiman dan kumpulan Ikhwan jadi makin lantang kondem kerajaan Saudi termasuk menuduh Syeikh Bin Baz dah ‘dibeli’ kerajaan.
Level Juhaiman bukanlah noob dalam ‘menunggang agama’, dia ada kelebihan dari segi kepetahan berhujah dan pandai menulis hal-hal agama hingga berjaya mempengaruhi ramai pelajar Universiti Islam Madinah jadi pengikut setia dia. Selain tu, pengalaman Juhaiman sebagai askar jadi faktor utama ramai pegawai tentera jadi pengikut dia dan diorang nilah yang tolong seludup senjata untuk kumpulan Ikhwan.
Tawanan dibuat pada permulaan tahun 1400 Hijrah sebagai tanda era baru kegemilangan Islam
Pada akhir tahun 1979, Masjidil Haram telah diserang dan ditawan oleh kumpulan Ikhwan yang diketuai oleh Juhaiman. Dia sengaja pilih tarikh 20 November sebab tarikh tu bersamaan dengan 1 Muharram 1400 Hijrah untuk menandakan era baru kegemilangan Islam (kononnya lah) sedangkan bulan Muharram adalah bulan yang Allah haramkan manusia dari berperang.
Nak dijadikan cerita, waktu tu ada kerja naik taraf kat Masjidil Haram dan ada banyak bilik bawah tanah untuk simpan alat-alat pembinaan. So dia guna ‘orang dalam’ untuk seludup masuk senjata dan bekalan makanan ke dalam bilik bawah tanah tu. Malah dia jugak turut membawa masuk senjata dengan menggunakan keranda-keranda kononnya dalam tu ada mayat nak buat solat jenazah.
Tawanan bermula jam 5.25 pagi lepas habis solat subuh. Waktu tu, Juhaiman yang solat dekat dengan imam terus rampas mikrofon sementara pengikut dia halang pengawal keselamatan yang bertugas. Qahtani pula standby di antara hajar aswad dan maqam Nabi Ibrahim a.s. sebab dalam hadis ada diberitahu oleh Rasulullah s.a.w bahawa imam Mahdi akan dibaiah di situ oleh orang Islam semasa kemunculannya.
Lalu Juhaiman pun buat pengumuman bahawa ‘imam Mahdi’ dah menjelma iaitu Muhammad Bin Abdullah dari bani Qahtan dan dia suruh semua orang Islam berbaiah (bersumpah taat setia) kepada abang iparnya itu.
“Abang iparku adalah imam Mahdi yang dijanjikan, nyatakan sumpah taat setia kalian semua kepadanya!” – Juhaiman al-Utaiby. Dipetik dari ceramah Dr Yasir Qadhi.
Semua orang waktu tu terkejut dan ramai jemaah cuba lari nak keluar dari situ lepas terdengar bunyi tembakan dilepaskan. Tapi pintu pagar Masjid dah ditutup dan dikawal, yang cuba melawan semua mati kena tembak. Tapi disebabkan dorang tak mampu nak kawal orang yang sangat ramai dalam masjid tu akhirnya diorang bebaskan para jemaah beberapa hari selepas tawanan bermula tapi lebih kurang 30 orang kena tahan sebagai tebusan.
Polis yang datang dari arah luar jadi sasaran sniper yang dah ready atas kubah-kubah Masjidil Haram. Sudahnya polis kepung dari luar masjid je.
Selain buat tekanan politik, terdapat banyak lagi gesaan lain dari kumpulan ni
Bila dah berjaya kawal Masjidil Haram, Juhaiman guna speaker muazzin umumkan permintaan diorang. Antara demand diorang ialah:
- Berikan baiah kepada Muhammad al Qahtani
- Keluarga al-Saud mesti turun takhta diRaja dan kerajaan baru perlu ditubuhkan.
- Hentikan kerjasama dengan AS serta tutup semua kedutaan barat.
- Peranan perempuan dihadkan dari segi pendidikan, pekerjaan dan perempuan tak boleh jadi pembaca berita.
- Tutup semua kedai hiburan dan larang penjualan alat muzik.
Juhaiman turut gunakan peluang tu untuk mengutuk putera-putera monarki Saudi yang suka mabuk, berfoya-foya, lantik wanita kerja pejabat dan banyak lagi benda yang dia anggap tak selari dengan Islam. Malah dia turut tuduh Gabenor Makkah, Putera Fawwaz bin Abdul Aziz suka berjudi dan minum todi.
Setelah rundingan tak menjadi, akhirnya kerajaan Saudi ambil tindakan drastik
Raja Arab Saudi pada waktu tu sedang sakit, segala keputusan diserahkan kepada putera-putera Saudi yang menjawat posisi tinggi dalam pentadbiran kerajaan. Namun disebabkan Juhaiman dan kumpulannya tetap enggan menyerahkan diri walaupun dah diberi peluang, ini beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan Saudi:
1. Kerajaan Saudi minta pandangan ulama
Disebabkan nak jaga kesucian Kabah, pihak berkuasa tak boleh nak bertindak sembarangan lebih-lebih lagi peranan ulama sangat mempengaruhi kerajaan. So perkara pertama sekali yang Raja Saudi buat ialah mintak nasihat majlis ulama Saudi.
Tapi bukan senang nak keluarkan fatwa tau, malah siap ada ulama yang sokong tindakan Juhaiman tu sampai ada yang percaya bahawa imam Mahdi dah muncul kerana raut wajah abang ipar Juhaiman tu mirip dengan gambaran hadis!
Tapi disebabkan banyak sangat kriteria imam Mahdi yang tak selari dengan hadis, maka jelaslah kumpulan yang berada di dalam Masjidil Haram itu adalah sesat, maka ulama Saudi digesa supaya segera keluarkan fatwa untuk tentera bertindak.
Bila dah beberapa hari kumpulan Ikhwan tu masih tak menyerah, akhirnya ulama Saudi yang diketuai Syeikh Bin Baz telah keluarkan fatwa seterusnya; membenarkan pihak berkuasa menyerang kumpulan tu guna apa cara sekalipun.
“Tiada kumpulan yang sanggup buat jenayah seperti ini melainkan mereka adalah musuh Baitullah… Tiada syak lagi serangan ini datang dari golongan yang seolah-olahnya tak percaya dengan Tuhan!” – Syeikh Abdul Aziz Bin Baz. Dipetik dari muslm.
2. Saudi dapat bantuan tentera Perancis dan Pakistan
Tentera Saudi terpaksa minta bantuan askar Pakistan (SSG) dan pakar anti keganasan GIGN dari Perancis untuk serang hendap ke dalam Masjidil Haram.
Tentera buat serangan besar-besaran guna kereta kebal rempuh pagar, tembak peluru berpandu ke arah sharpshooter yang berkawal kat atas menara-menara masjid dan guna skuad payung terjun masuk dari atas masjid.
Bila dah bertempur dengan tentera negara dah tentulah kumpulan Juhaiman akan kalah. Lagi sadis untuk Juhaiman dan geng bila imam Mahdi diorang tu mati katak je dalam hari keempat/kelima diorang tawan Masjidil Haram.
Lebih menghairankan bila ada laporan bercanggah mengenai bagaimana terbunuhnya Muhammad al Qahtani dengan ada laporan mengatakan dia mati dibunuh oleh tentera, tapi menurut Yasir Qadhi, kemungkinan besar ‘imam Mahdi’ tu mula ragui ‘kemahdian’ dia hingga dibunuh oleh Juhaiman sendiri!
Walaupun imam Mahdi dah kena bunuh dan Masjidil Haram dah pun berjaya dirampas semula pada 4 Disember 1979, namun saki baki anggota Ikhwan yang masih hidup tetap tak nak serah diri. Malah diorang semua berkubu kat bilik bawah tanah.
Disebabkan tak nak rosakkan masjid, so tentera nak biar diorang kebulur kat dalam bilik tu tapi sebaliknya diorang ni boleh bertahan sebab bekalan buah kurma dan air zam zam ada banyak lagi dengan diorang.
Tapi bila dah tunggu lama sangat dan dah takde cara lain, akhirnya tentera Saudi bakar tayar pastu campak kat dalam bilik bawah tanah tu tapi itu pun tak menjadi juga, sudahnya bilik tu dibanjirkan dengan air yang banyak pastu diorang campak kabel lektrik bervoltan tinggi yang akhirnya berjaya buat Juhaiman dan geng serah diri. Sebab tu kalau tengok gambar-gambar pengganas yang kena tangkap tu hitam semacam je muka-muka diorang.
3. Ahli Ikhwan yang kena tangkap dihukum pancung
Juhaiman dihukum pancung pada 9 Januari 1980 kat Makkah. Lagi 67 orang pengikutnya pula diasingkan jadi beberapa kumpulan untuk dibawa ke lapan bandar Arab Saudi untuk dipancung depan orang ramai. Ini memang amalan biasa Saudi selain nak bagi amaran kat mana-mana pihak yang ada niat cuba buat benda yang sama. Tapi warganegara asing yang terlibat dengan Juhaiman dihantar balik ke negara masing-masing.
Polisi negara terpaksa diubah untuk mengelak perkara ini berulang lagi
Kota Makkah adalah destinasi wajib bagi umat Islam. Keselamatan para jemaah di sana adalah tanggungjawab kerajaan Arab Saudi, justeru bagi mengelakkan insiden berdarah macam ni berulang lagi kerajaan Saudi terpaksa ubah banyak polisi negara.
Antara kesan-kesan daripada insiden Juhaiman ialah:
1. Penguatkuasaan agama kat Saudi jadi lebih ketat lepas insiden rampasan Masjidil Haram
Kalau baca laporan dari barat diorang memang kritikal terhadap kerajaan Saudi. Malah diorang siap persoalkan Saudi sengaja guna insiden ni sebagai alasan untuk memperketatkan penguatkuasaan agama kat rakyatnya seperti polis agama Saudi makin diberi kuasa, peranan perempuan dalam kerajaan semakin dihadkan, penggunaan alat muzik diminimumkan, kedai-kedai hiburan kena tutup dan banyak lagi aktiviti yang dilihat tak sesuai dengan syarak telah disekat.
Lagi satu kalau korang nak tahu, dulu sesiapa pun boleh bawak jenazah untuk disolatkan di Masjidil Haram tapi disebabkan insiden ni, Saudi terus letak syarat birokrasi yang ketat.
Selain tu, Saudi turut tempatkan banyak pengawal keselamatan berlegar-legar kat dalam Masjidil Haram. Kawalan imam masjid dah macam presiden negara, waktu solat jemaah tengah berlangsung para pengawal tak solat sekali sebab diorang akan perhatikan kalau ada apa-apa berlaku. Dan pada tahun 2008 haritu ada seorang lelaki cuba serang imam Masjidil Haram tapi berjaya dihalang pengawal.
Baru-baru ni pulak, Saudi ada tunjuk yang diorang dah pasang 5000 CCTV dan siap ada 10000 pengawal bila tiba musim haji.
2. Kes ni dianggap berprofil tinggi, Saudi tak nak fakta-fakta kes dihebohkan di media
Insiden ni jadi isu taboo kat Saudi sebab tulah sumber rasmi kes tu tak diuar-uarkan Saudi dan kebanyakan cerita insiden tu adalah dari mulut ke mulut saja. Arab Saudi guna polisi yang ketat gila dan media tak dibenarkan untuk buat liputan waktu tu. Malah orang awam yang tinggal kat Makkah diarahkan keluar sementara bagi memudahkan operasi ketenteraan.
Walaupun Kerajaan Saudi cuba sembunyikan banyak fakta pasal kes ni, ramai orang cuba dedahkan apa yang mereka tahu termasuklah kajian dari universiti barat yang cuba rungkaikan fakta insiden ni. Antara yang banyak dedahkan latar belakang Juhaiman adalah bekas pengikut dia sendiri, Nasir al-Huzaymi yang keluar dari kumpulan Ikhwan sebelum insiden di al-Haram tu berlaku.
Dalam laporan rasmi Saudi, diorang dakwa hanya sekitar 500 orang yang mati tapi laporan bebas lain kata kadar orang yang terbunuh sebenarnya mencecah lebih dari 2000 orang (termasuk orang awam).
Selain laporan CIA bagi pinjam gas pemedih mata, penglibatan tentera GIGN Perancis pon jadi misteri sebab ada laporan dakwa tiga komando Perancis yang tolong operasi menggempur Juhaiman dah masuk Islam tapi secara sementara saja sebab orang bukan Islam tak boleh masuk Makkah. Tapi laporan lain kata tiga komando tu hanya beri kelengkapan dan tunjuk ajar sahaja mengenai serangan tanpa berada di Makkah dan tak masuk Islam pun.
3. Reaksi orang Islam seluruh dunia
Mana ada orang Islam yang tak sayangkan kota Makkah, dah tentulah orang Islam dari luar mengamuk bila dengar berita tu. Tapi disebabkan media waktu tu tak macam hari ni dan Saudi pula tak beri penjelasan terperinci, maka banyaklah khabar angin dan cerita yang direka-reka telah tersebar kepada umat Islam di tempat lain.
Iran yang baru je berjaya buat revolusi jatuhkan kerajaan Shah Iran tahun yang sama guna insiden tu salahkan AS (sahabat baik kerajaan Shah Iran). Ayatullah Khomeini keluarkan kenyataan menuduh AS sebagai dalang insiden tu, dia cakap;
“Tak syak lagi ini adalah kerja jenayah si penjajah Amerika dan gerakan Zionis antarabangsa.” – Ayatullah Khomeini, Pemimpin Agung Iran. Dipetik dari buku Sacred Rage: The Wrath of Militant Islam
Khabar angin tu berjaya mengapikan ribuan orang Islam di negara-negara lain sampai banyak demonstrasi dibuat termasuklah menyebabkan kedutaan AS kat Pakistan dan Libya kena serang dan dibakar termasuklah ada pegawai kedutaan AS yang dibunuh.
Disebabkan takde laporan pihak berkuasa Saudi menyalahkan AS (sebab memang diorang bukan dalang kejadian ni), khabar angin oleh Ayatullah Khomeini tu tak lagi kedengaran. Hubungan diplomatik antara dua negara tu berjalan baik seperti biasa sampai Saudi benarkan tentera AS berpengkalan di negara diorang waktu perang Iraq dan Kuwait pada tahun 1990 yang jadi kontroversi sampai lah ke hari ni.
Allah dan Rasul jamin keselamatan Kota Makkah sampai kiamat
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata : “Ya Rabb-ku, jadikanlah negeri ini (Makkah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.” – Surah Ibrahim ayat ke-35.
Sejarah membuktikan sesiapa saja yang berniat jahat pada kota Haram ni akan berkahir dengan kegagalan yang dasyat macam tentera bergajah yang cuba runtuhkan Kabah seperti dalam surah al-Fil. Walaupun kejadian buruk boleh terjadi di Tanah Haram, Allah s.w.t jamin kota Mekah adalah tempat yang aman, selain memberi ancaman keras terhadap sesiapa sahaja yang cuba melakukan kerosakan di Tanah Haram ini.
Sebab tulah kes macam Juhaiman ni atau insiden kemalangan jiwa seperti kren runtuh dan sebagainya memang tak mustahil berlaku kat dua kota suci tu. Tapi keamanan dua kota suci tu tetap utuh dan Insyallah sampai kiamat. Hadis mengenai kesucian kota Makkah sangat masyhur dan Rasulullah s.a.w sendiri jamin yang dajjal takkan berjaya masuk ke Makkah dan Madinah.
Semoga kita tak termakan dengan pancingan hujah batil penunggang agama yang sanggup memanipulasi nas-nas Islam sehingga sanggup mencemar nama agama kita yang suci ini.
- 1.9KShare sekarang!
- Email85
- Facebook1.8K
- Share