Penyanyi lagu Kamen Rider puji pelaksanaan PKP Malaysia di TV Jepun. Ini sebabnya…

Siapa sangka, sepanjang PKP yang nampaknya seperti apa-apa operasi di negara ni tak bergerak, sumbangan negara kita tetap diiktiraf di peringkat dunia. Bermula dengan Malaysia dipilih oleh WHO untuk menguji ubat klinikal bagi pesakit COVID-19. Kemudiannya pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham diiktiraf sebagai tiga doktor terbaik dunia oleh saluran TV antarabangsa dari China, CGTN.

Dalam situasi begini, mungkin ramai yang tak perasan bahawa cara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diuruskan Malaysia dibincangkan di TV Jepun. Dalam rancangan tu siap bandingkan lagi pendekatan Malaysia yang jauh lebih cepat dan efektif berbanding Jepun.

Apa yang menarik, dalam rancangan tu, tindakan Malaysia diterangkan secara terperinci oleh penyanyi Kamen Rider yang juga artis terkenal dari Jepun iaitu Gackt.

Gackt mengkritik keadaan Jepun sebagai gila, perlu belajar dari negara seperti Malaysia

Itu penerangan PKP di Malaysia, termasuk satu rumah, satu wakil keluarga

“Jika saya katakan tanpa berlapik, apa yang berlaku di Jepun gila … sangat gila. Kesedaran terhadap bahaya sangat kurang. Negara luar seperti New York, Itali dan sebagainya terdapat banyak negara yang menjadi keadaan yang tidak terkawal.

Kalau Jepun berterusan begini, keadaan akan menjadi lebih teruk. Sesiapa yang melihat pun akan faham.” – Gackt, petikan dari Viral Video Updated

Ini adalah salah satu jawapannya ketika membandingkan situasi di Malaysia dan Jepun di dalam temu ramah di sebuah saluran TV Jepun, Fuji TV. Selain tu, dia turut berkongsi secara terperinci bagaimana Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Dia mengatakan,

“Jika pergi membeli barang keperluan harian rumah, seorang wakil rumah yang akan keluar membeli. Di pasaraya dan famasi juga, mereka kawal had bilangan pelanggan masuk ke dalam kedai. Dengan cara ini kita dapat kawal penyebaran penyakit.” – Gackt, petikan dari Viral Video Updated

Khusyuk pemberita tu dengar. Imej dari Fuji TV

Apa yang Gackt cakap memang betul, memang kerajaan dah tetapkan seorang wakil rumah sahaja untuk keluar rumah jika mahu membeli barang. Kita pun boleh tengok sendiri kat kedai-kedai ada kawalan jumlah pelanggan dalam satu satu masa, serta ada garisan untuk kekalkan jarak ketika beratur. Selain tu, Gackt juga yakin cara Malaysia ni mampu kawal penyebaran.

“Sudah semestinya terkawal. Hanya 10 km kita boleh pergi keluar. Dalam sehari untuk makan malam, sudah menjadi rutin saya untuk makan di luar. Tetapi sekarang, saya perlu makan malam di rumah. Selain itu, kebanyakan aktiviti saya lakukan di rumah. Jadi, bagi saya, tiada masalah dan tidak rasa sukar.

Untuk roadblock, pada mulanya polis sahaja yang melaksanakannya. Kini askar juga terlibat dalam roadblock.  Jika ada yang melanggar perintah, dia akan diberi amaran. Jika orang yang melanggar perintah melampaui batas, dia akan ditangkap.” – Gackt, petikan dari Viral Video Updated

Ini pun masuk TV sana. Imej dari Fuji TV

Di Jepun, kerajaan di bawah pimpinan Shinzo Abe baru sahaja mengumumkan darurat di negara itu pada 16 April 2020. Menurut satu poll, 75% rakyat Jepun berpendapat Shinzo Abe mengambil masa terlalu lama untuk isytihar hal tersebut. Jepun waktu ni mempunyai hampir 11,000 kes positif serta lebih 200 kematian.

Jadi … siapa sebenarnya Gackt dan kenapa dia berada di Kuala Lumpur?

Jambu gak si Gackt ni. Imej dari Asia One

Bagi yang tak berapa kenal Gackt ni, maknanya korang tak layan sangat Kamen Rider Decade. Gackt ni lah sebenarnya yang nyanyi lagu tema Kamen Rider Decade. Jadinya, dia ni sebenarnya pemuzik, penyanyi, penulis lirik, penerbit muzik dan pelakon. Dia dah pun memulakan kariernya dalam muzik sejak 1993 lagi hinggalah sekarang.

Untuk keseluruhannya, dia mempunyai 9 album, 40 single serta memegang rekod sebagai penyanyi lelaki solo dengan 10 single berturut-turut dalam sejarah Jepun. Selain Kamen Rider tadi, dia juga adalah penyanyi lagu tema Final Fantasy VII dan beberapa filem Anime termasuk Mobile Suit Zeta Gundam. Selain tu, dia ada berlakon beberapa filem dan menjadi suara latar bagi filem animasi.

Pada tahun 2016, Gackt bekerjasama dengan rakannya, Satoshi Ikeda menubuhkan syarikat hartanah bernama Gackt & Ikeda Asia Bridge Partnerz. Pejabat syarikatnya pula terletak di Kuala Lumpur. Bukan baru dia menetap di sini, tetapi sudah lebih 5 tahun. Dia juga memilih untuk menetap di Kuala Lumpur kerana sebab tertentu.

“Sehingga berumur 30-an, saya telah bekerja sepanjang masa, dan pada masa itu, saya mengenang kembali, saya tidak mempunyai kenangan mengenainya, dan saya semakin tua tanpa mencipta kenangan, dan sebaik sahaja saya memikirkannya, saya mula pergi melancong ke pelbagai negara.” – Gackt, petikan dari Gacktitalia

Gackt dan rumah agamnya di KL. Imej dari Gacktitalia

Setelah beberapa negara dijelajah, dia jatuh cinta kepada Malaysia dan menganggap bandaraya Kuala Lumpur sebagai ‘bersih dan rapat dengan alam semulajadi‘. Selain itu, dia juga mempunyai sakit belakang yang teruk apabila terkena cuaca yang sejuk, maka dia memang berkeinginan nak berpindah kat satu kawasan yang cuacanya lebih panas.

Sekarang ni, dia menetap di sebuah rumah agam dengan keluasan 1,700 meter persegi di satu kawasan perumahan mahal di KL. Dikatakan juga, setiap tahun, dia menghabiskan 60% kehidupannya di Malaysia.

Tindakan Malaysia dipuji orang luar, orang dalam negara sendiri perlu buktikan perkara tu

Walaupun Gackt ni bukan orang Malaysia, tapi dia faham dengan jelas sekali arahan yang kerajaan buat untuk membendung COVID-19. Ketika ini kita sudah pun berada dalam Fasa ketiga PKP. Polis dan tentera semakin tegas terhadap orang awam. Namun, masih ada sebahagian orang yang masih tak patuh dan berdegil untuk melanggar arahan PKP.

Kita juga sangat kecewa apabila bukan sahaja orang awam, tetapi pemimpin-pemimpin di negara kita sendiri tak patuh arahan PKP dengan majlis makan dan sebagainya. Namun, pihak polis dah pun buat siasatan dan diharapkan ia tak berulang lagi. Tak kiralah siapa pun, kita mesti lawan COVID-19 secara bersama-sama.

 

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT