- 15Share sekarang!
- Email2
- Facebook13
- Share
Baru-baru ni, heboh di medsos tentang suatu penyakit misteri yang dinamakan “Disease X”. Menurut sesetengah berita yang dikongsi, para saintis kat UK dah mula buat vaksin untuk memerangi pandemik yang bakal diakibatkan oleh penyakit ni.
Lagi merisaukan, kebanyakan tajuk berita pun ada mengatakan yang penyakit ni dijangkakan lebih dahsyat daripada Kobid 19 tempoh hari, dan mampu meragut sehingga 50 juta nyawa.
Jangan gelabah dulu! Hari ni, kami akan terangkan serba sedikit tentang apa sebenarnya Penyakit X ni dan sejauh mana kita semua harus menggeletis keresahan. Benda pertama yang korang kena tahu ialah…
Penyakit X ni belum wujud pun lagi sebenarnya
Dalam kata mudahnya, buat masa sekarang, Penyakit X ni hanyalah konsep, tak wujud pun lagi. Tapi ia berkemungkinan wujud pada masa hadapan.
Penyakit X (atau Disease X dalam bahasa omputeh) pertama kali disebut dalam kertas biru Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada tahun 2018 sebagai salah satu penyakit yang masih belum ada penawar atau vaksin, dan penting untuk kita selidik dan bangunkan penawar untuknya secepat mungkin. Turut tersenarai adalah penyakit macam Zika, MERS dan SARS, dan Nipah.
“Penyakit X melambangkan pengetahuan yang suatu epidemik antarabangsa serius boleh terjadi disebabkan oleh patogen yang kita masih belum tahu boleh menyebabkan penyakit kepada manusia…”
– terjemahan dari Kertas Biru WHO.
Pendek kata, pakar-pakar sedunia meramalkan yang akan ada penyakit berjangkit maha dahsyat muncul tak lama lagi, tapi buat masa sekarang diorang masih tak tahu apa penyakit tu, dari mana ia akan datang, dan apa jenis makhluk yang akan jadi penyebabnya (kuman ke? virus ke? dan sebagainya).
Untuk bersedia melawan wabak yang masih misteri ni, diorang gelarkan penyakit ni sebagai Penyakit X. Jadi itu je sebenarnya.
Dah tu, apa pentingnya konsep Penyakit X ni?
Tujuan mewujudkan konsep Penyakit X ni bukanlah lebih sudu dari kuah, tapi lebih kepada sediakan payung sebelum hujan. Cuma susah sikit sebab kita masih tak tahu hujan jenis apa yang akan turun, dari arah mana, dan bila. Jadinya, strategi yang digunakan sekarang ialah sediakan sebanyak mana jenis payung yang boleh, yang boleh menangani sebarang kemungkinan.
Contohnya macam dalam penyediaan vaksin. Walaupun kita masih tak tahu virus apa yang akan mengakibatkan Penyakit X, disebabkan kemungkinan tersebut penyelidik dah pun buat kajian dan mengenalpasti 25 keluarga virus yang berkemungkinan jadi ancaman pada masa hadapan.
Jadi kalau sebahagian penyelidikan vaksin untuk virus-virus ni dah dilakukan awal, kalau salah satunya jadi penyebab Penyakit X suatu hari nanti, vaksin akan dapat dihasilkan lebih cepat. Macam kedai tomyam sediakan bahan-bahan masakan awal, takdelah orang order nasi goreng nanti baru nak terkial-kial basuh beras.
“Kita bukan bercakap tentang 25 ancaman virus. Kita bercakap tentang 250 hingga 300 ancaman … Memang banyak kerja, tapi ada pengakhirannya, dan boleh dibuat … Bila semua penyelidikan awal dah siap, kita berkemungkinan akan beberapa langkah di hadapan mana-mana virus baharu yang muncul.
“Dan kalau kita habis selidik semua keluarga ni, kita lebih kurang sedia untuk apa-apa saja yang keluarga-keluarga ni boleh campak kat kita.”
– Kate Kelland, dari Pakatan Inovasi Kesediaan Epidemik (CEPI), diterjemah dari World Economic Forum.
Sediakah Malaysia untuk Penyakit X?
Bagi kerajaan-kerajaan dan khidmat kesihatan pula, kemungkinan Penyakit X boleh digunakan untuk memperkukuh sistem sedia ada untuk menangani pandemik. Lebih-lebih lagi berdasarkan pengalaman Kobid 19 yang lalu, yang dianggap sesetengah pihak sebagai Penyakit X yang pertama sejak pengumuman WHO.
Untuk Malaysia pula, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah menyatakan yang kita sedia untuk tangani sebarang pandemik di masa hadapan, termasuklah Penyakit X.
“Ia dinamakan X kerana kita tidak tahu penyakit apa tetapi kita di KKM sentiasa bersedia atas apa saja kemungkinan. Kita ada pemantauan dan pengawasan jika ada apa-apa kemungkinan penyakit baharu yang mungkin boleh menyebabkan pandemik pada masa depan,”
– Dr Zaliha Mustafa, dipetik dari Berita Harian.
Jadi kesimpulannya? Tak perlu gelabah lagi, sekurang-kurangnya sampai Penyakit X yang sebenarnya hadir.
- 15Share sekarang!
- Email2
- Facebook13
- Share