Pentadbiran Trump lantik ILMUWAN SUFI ISLAM ni sebagai penasihat hak asasi manusia

Dunia Islam pernah dikejutkan apabila Presiden US, Donald Trump mengumumkan akan buat sekatan melancong ke atas beberapa negara Islam (Muslim travel ban) di awal waktu pentadbirannya. Beberapa lama lepas tu, kita dikejutkan lagi apabila dia umum untuk memindahkan keduataan Amerika di Tel Aviv ke Jerusalem. Ia dikatakan satu pengkhianatan buat rakyat Palestin dan Resolusi PBB.

Tersenyum gembira Ivanka Trump. Imej dari TRT World

Semestinya, ramai antara kita yang sangat skeptikal dengan pihak pentadbiran Trump. Nampak macam Islam tak ada tempat langsung. Tapi baru-baru ni, dunia dikejutkan apabila Setiausaha Amerika bawah pentadbiran Trump, Mike Pompeo melantik pendakwah terkenal, Hamza Yusuf sebagai salah seorang dari 10 ahli panel untuk memeriksa peranan hak asasi manusia dalam dasar luar AS.

Kali ni SOSCILI nak bawa korang mengenali insan di sebalik nama Hamza Yusuf…

Merantau ke serata dunia Islam sebelum pulang ke US belajar kejururawatan

Untuk pengetahuan korang, nama penuhnya adalah Hamza Yusuf Hanson. Dia ni memang asal AS, dah lahir pun kat Washington kan. Dia dibesarkan di California Utara oleh kedua ibu-bapanya yang merupakan ahli akademik.

Akhirnya, dia memeluk Islam pada tahun 1977 dan merantau ke sebahagian dunia Islam untuk menuntut ilmu yang memakan masa selama 10 tahun. Ini termasuklah negara seperti UAE, Arab Saudi, Afrika Utara dan Barat. Dalam perantauannya di negara Afrika macam Mauritania, Algeria dan Maghribi, dia dah bertemu dengan ramai ilmuwan Islam terkemuka termasuklah Syeikh Abdullah Bin Bayyah.

Hamza Yusuf dan gurunya, Abdullah Bin Bayyah. Imej dari Medium

Lepas lama belajar, akhirnya dia pulang ke tanah air dan terus belajar hingga mendapat ijazah kejururawatan dari Imperial Valley College dan Pengajian Agama dari Universiti San Jose. Seterusnya menjadi Imam sepenuh masa di Masjid Santa Clara. Sekalipun hidup di dunia Barat, dia mengajar Islam dengan pendekatan Tradisi Muslim Sufi.

Apa yang paling penting, dia ada jadi beberapa orang penting dalam beberapa organisasi Islam yang terkemuka di dunia. Antaranya:

 

Apa agaknya Bill Gates sembang dengan Hamza Yusuf dan Abdullah Bin Bayyah tu? Imej dari Ibnpercy

Salah seorang penandatangan bersama Anwar Ibrahim dalam surat pimpinan Islam kepada pimpinan Kristian dunia

Salah satu sumbangan besar dia bersama ilmuwan dan pimpinan Islam yang lain adalah apabila satu surat terbuka bertajuk “A Common Word Between Us and You” yang ditandatangani oleh beberapa pimpinan muslim termasuk dari Malaysia, Anwar Ibrahim dah dihantar kepada pemimpin Kristian Dunia.

Bekas TPM ada di situ. Imej dari acommonword

Antara isi surat terbuka tu adalah:

“Orang Islam dan Kritisan bersama memenuhi lebih separuh populasi dunia. Tanpa keamanan dan keadilan antara kedua-dua agama komuniti ini, di sana tidak akan ada keamanan yang bermakna di dalam dunia ini. Masa depan dunia bergantung kepada keamanan antara orang Islam dan Kristian.”- Petikan surat

Surat ni dah mendapat respon dari pemimpin dan mubaligh Kristian seluruh dunia dengan begitu positif sekali. Antaranya dari Gereja Presbyterian dari Kanada:

“Di dalam dunia yang hancur, berpecah-belah dan ganas. Rayuan daripada pemimpin Islam ini memerlukan tindakan kecemasan ke atasnya. Oleh itu, dengan nama Jesus Christ…kami memberi respon dengan semangat dan tanpa ragu terhadap seruan yang tepat pada masanya ini.“- Petikan surat balas dari Gereja Presbyterian dari Kanada

Diskusi antara ilmuwan-ilmuwan pelbagai agama selepas surat ni tersebar. Imej dari shoutsofjoyministries

Kiranya, Hamza Yusuf ni antara nama besar yang terlibat dengan benda yang bagi impak kepada hubungan antara agama.

Antara Muslim berpengaruh di dunia dengan kenyataan kontroversi

Hamza Yusuf juga termasuk salah seorang antara 500 orang Islam berpengaruh dunia. Apa yang menarik, dia juga dilihat sebagai antara orang berautoriti mengenai Islam yang berada luar dari negara dan dunia Islam.

Maka, dia juga tak terlepas dari sebarang kritikan yang penuh kontroversi. Dia dulu sangat terkenal kerana kelantangan mengkritik polisi luar AS. Begitu juga, kritikannya terhadap muslim yang ekstremis. Suatu ketika dahulu juga, dia lantang mengkritik pemimpin autokrat dunia Arab termasuk pemimpin Syria, Hafez al-Assad.

Hamza Yusuf waktu muda mudi. Imej dari FB Islam On Demand

Dia juga berubah sikap terhadap beberapa pemimpin. Contohnya, selepas kemenangan Donald Trump sebagai Presiden AS, ada beberapa protes berlaku yang tak bersetuju dengan kemenangan tu. Lagi pun, Trump terbukti mempunyai sikap yang kurang mesra dengan Islam sewaktu kempennya. Namun, Hamza Yusuf sangat tak bersetuju muslim Amerika yang turun protes terhadap Trump selepas kemenangan tu. Katanya.

“Kita ada banyak kerja yang perlu dilakukan, bukannya menyalakan api, bukan mengatakan, “Trump bukan presidenku.” Beliau dan inilah bagaimana sistem kita berfungsi: dengan menerima keputusan dan meneruskan hidup.

Sekarang kita mempunyai kerja untuk memastikan pendidikan, politik dan institusi saintifik kita, yang mana sebahagiannya terbaik di dunia, dilindungi dan disempurnakan.”- Hamza Yusuf, petikan dari Medium

Kenyataan dia ni kurang disenangi sesetengah pihak. Begitu juga dengan kenyataannya yang panas apabila dia memuji negara Arab UAE sebagai negara yang komited dengan toleransi, juara kepada masyarakat sivil serta negara yang terselamat di dunia. Kenyataan ni dikeluarkan di Abu Dhabi dalam satu forum pada tahun 2018. Ia kemudian dikritik oleh Hiba Zayadin, pengkaji Human Rights Watch.

Antara inisiatif yang dia buat adalah diskusi dengan ilmuwan agama lain. Imej dari The Maydan

Kalau korang nak tau, UAE sebenarnya adalah negara paling ramai banduan politik per kapita dalam dunia. Kempen #FREEUAE94 adalah antara bukti betapa ramai aktivis politik dipenjara apabila mengkritik kerajaan UAE. Ketika ni, 94 orang aktivis ni dalam perbicaraan yang berkemungkinan dikenakan hukuman penjara. Sebab tu lah orang pelik, kenapa Hamza Yusuf beriya sangat puji.

Setiap ilmuwan tak pernah terlepas dari sebarang kritikan

Hamza Yusuf sebenarnya ada jasanya yang tersendiri dalam penyebaran Islam di dunia Barat. Antara yang tak boleh kita lupakan semestinyalah Deen Intensives yang mengajak pemuda-pemuda Eropah menghidupkan kembali pengajian Islam tradisional di Barat. Sekarang, kebanyakan mereka dah pun menjadi guru. Buku-buku tulisannya juga masih relevan untuk dibaca, antara yang popular adalah Purification Of The Heart: Signs, Symptom and Cures of the Spiritual Diseases of The Heart. Korang jangan lupa beli.

Pernah datang Malaysia rupanya. Imej dari Shaykh Hamza Yusuf in Malaysia

Tak dapat dinafikan, langkah dan kenyataan Hamza Yusuf memang menerima kritikan lagi-lagi apabila menerima jawatan dalam pentadbiran Trump. Dalam sejarah dunia Islam, para ilmuwan juga boleh dikritik, namun ia mestilah dengan kritikan yang berdasarkan hujah dan fakta. Apa-apa pun, mari kita muhasabah dengan kata-kata pujangga dari Hamza Yusuf ni.

“Semua orang beriman sewaktu keadaan menjadi baik. Keimanan sebenar adalah sewaktu seseorang bersabar ketika dalam kesusahan.”

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT