- 1.1KShare sekarang!
- Email20
- Facebook1.1K
- Share
Sekarang ni ada berita yang mengejutkan berlaku kat kawasan perkampungan Orang Asli di Kuala Koh, Kelantan apabila tiba-tiba ada penyakit misteri yang menimpa masyarakat kat situ sehingga menyebabkan kematian. Dan kes tersebut masih lagi dalam siasatan dan tinjauan pihak perubatan serta pihak yang bertanggungjawab.
Perkampungan Orang Asli kat Kuala Koh ni boleh dijumpai kat kawasan persisir dan tebing sungai. Dan, diaorang dapatkan sumber air diaorang daripada sungai yang berdekatan kat perkampungan diaorang tu. Ada siasatan dan laporan yang nyatakan punca air yang diaorang perolehi tu dah tercemar dan dah pun keruh, sebab tu lah sampai melibatkan kematian yang meragut nyawa ramai masyarakat orang asli kat perkampungan tu.
Orang asli yang menetap kat perkampungan tu sebenarnya adalah Orang Asli yang berasal daripada suku Batek. Diaorang yang tinggal dalam keadaan nomad ni memang akan pilih kawasan yang berhampiran dengan sungai ataupun kawasan yang berhampiran dengan punca air. Nak tahu kenapa, artikel ni ada ceritanya.
Baju-baju mereka digunakan sebagai langsir dan tirai
Secara geografinya, orang asli suku Batek ni boleh dijumpai dekat kawasan Semenanjung Malaysia iaitu hanya di sekitar Pantai Timur Semenanjung, Pahang, Kelantan dengan Terengganu. Dan suku Batek ni terdiri daripada Orang Asli Negrito/Semang. Kumpulan Orang Asli Negrito ni pada asalnya dari Afrika dan diaorang merupakan kumpulan manusia moden yang pertama menduduki Semenanjung Malaysia walaupun diaorang ni takde penempatan yang hakiki macam masyarakat lain.
Kalau nak kenal masyarakat Batek ni macam mana, rupa diaorang ni lebih kurang macam orang Afrika dan Negro sikit. Rambut diaorang kembang ala-ala ‘afro’ yang kerinting halus dan kembang. Berkulit hitam manis dan bentuk wajah yang bulat.
Pada asalnya, asal-usul masyarakat Batek yang berasal daripada Orang Asli Negrito ni dah lama ada kat Malaysia, iaitu sejak beribu tahun dulu. Diaorang datang dan menetap kat Malaysia melalui jalan gunung-ganang dan kawasan hutan.
“Mereka dipercayai masuk ke kawasan pedalaman melalui Thailand. Berbanding suku bangsa Melayu Proto, suku bangsa Negrito dan Senoi agak ketinggalan disebabkan cara hidup dan adat resam mereka.” – Sabri Abdullah, Pengurus Komunikasi Mutiara Taman Negara Resort, sumber dari Astro Awani.
Walaupun masyarakat Batek ni hidup dalam keadaan nomad, diaorang takkan pindah waktu musim tengkujuh iaitu dari bulan Oktober hingga Disember ataupun sampai bulan Januari. Disebabkan paras air yang tinggi dan deras, kebanyakkan masyarakat ni akan bergerak menggunakan pengangkutan air. Sebab tu lah diaorang tak pindah waktu musim tengkujuh, sebab bahaya!
Diaorang tak macam orang asli yang lain. Contohnya rata-rata orang asli yang kita jumpa rumah diaorang dah ada kelengkapan yang moden dan struktur rumah diaorang bukanlah daripada pondok-pondok kayu. Tapi, berbeza dengan orang Batek ni, cara kehidupan diaorang memang berbeza dan unik daripada orang asli yang lain.
‘Rumah’ diaorang diperbuat daripada hasil-hasil semulajadi dan hutan. Struktur atap dengan dinding ‘rumah’ diaorang adalah daripada daun langkap dan baju-baju diaorang dijadikan langsir, tirai dan pintu untuk tutup kawasan terbuka kat ‘rumah’ diaorang tu.
Dan, kalau korang nak tahu masyarakat Batek ni kegiatan utama diaorang adalah memburu binatang dengan menggunakan kaedah menyumpit. Diaorang akan keluar dari hutan untuk ke pekan berhampiran hanya sebulan sekali je. Tu pun sebab nak beli beras ataupun minyak masak. Diaorang takde masa nak tengok-tengok wayang semua ni.
Korang ada terfikir tak diaorang nak masak macam mana? Kalau orang asli yang lain, diaorang dah ada kemudahan dapur gas. Jadi kerja bertambah senang. Tapi masyarakat Batek ni, diaorang tak payah pun guna dapur gas ni sebab diaorang mampu menghasilkan api sendiri! Hah? Macam mana tu?
Okay, sebenarnya kemahiran menghasilkan api tu adalah kemahiran turun-temurun daripada nenek moyang diaorang. Diaorang guna rotan dan kayu meranti dan geseran daripada objek tu akan keluarkan api. Api tersebut jugak hasil daripada habuk kayu yang dijadikan sumber bahan bakar daripada geseran tu.
Masyarakat Batek tak suka tetamu datang tempat diaorang. Kenapa pulak?
Masyarakat Batek yang tinggal dekat kawasan perkampungan orang asli Kuala Koh tu secara anggarannya berjumlah 150 orang. Dan mereka terdiri daripada sanak-saudara sendiri. Tapi kat Malaysia, bukan kat situ je yang ada masyarakat Batek ni, ada jugak taburan kecil dia kat tempat-tempat tertentu. Tahun 2012 dulu, secara anggarannya masyarakat Batek ni ada lebih kurang 1,516 orang je kat Malaysia.
Disebabkan masyarakat Batek ni tinggal kat kawasan hutan dan tak terdedah dan bergaul dengan masyarakat luar yang lain, diaorang ni jadi pemalu dan susah untuk berinteraksi dengan orang luar. Kalau ada orang yang melawat kat kawasan penempatan diaorang, yang perempuan dengan budak-budak kecik serta-merta akan sembunyikan diri.
Masyarakat Batek kat Malaysia kebanyakannya menetap kat kawasan Taman Negara yang dah pun dilindungi. Disebabkan keunikan diaorang dan kaum ni jarang ditemui, penempatan diaorang selalu dipenuhi dengan pelancong luar. Ada yang buat dokumentari dan ada jugak nak tahu adat dan budaya masyarakat tersebut.
Bila ada pelancong luar datang melawat kawasan penempatan diaorang, diaorang akan bagi layanan yang sangat ramah dan istimewa. Dari situ, diaorang akan tunjukkan kemahiran-kemahiran tradisional diaorang yang unik kat mata orang luar. Sungguh pun macam tu, diaorang sebenarnya tak minat kalau pelancong ada lama-lama kat tempat diaorang. Sebabnya, diaorang percaya bila hari dah gelap maksudnya dah bertukar hari baru, jadinya tu masa untuk diaorang rehat. Kan atok nenek kita dah pesan jangan keluar sampai Maghrib!
Masyarakat Batek mempunyai ikatan yang kuat dengan alam semulajadi
Kita semua tahu, Orang Asli yang menetap kat Malaysia ni punyai pegangan dan kepercayaan diaorang sendiri. Dan, tak semua orang asli beragama Islam. Kepercayaan turun temurun diaorang menjadikan diaorang berpegang kepada anutan tertentu. Jadi, sama jugak macam masyarakat Batek ni. Kebanyakan daripada diaorang ni mempunyai ikatan yang kuat dengan alam semulajadi. Masyarakat Batek juga digelar sebagai kaum Batek Herb yang bermaksud orang hutan.
“Dahulu suku bangsa ini mempunyai pegangan hidup dan kepercayaan kepada keadaan sekeliling tetapi kini ramai yang telah menganut agama Islam, Buddha atau sebagainya,’’ – Sabri Abdullah, Pengurus Komunikasi Mutiara Taman Negara Resort, sumber dari Astro Awani.
Memandangkan diaorang menetap kat kawasan hutan, jadi bahasa rasmi diaorang bukanlah bahasa Melayu. Bahasa yang digunakan untuk pertuturan hanya difahami oleh masyarakat tu sendiri. Tapi, ketua kampung ataupun penghulu yang dipilih untuk mengetuai masyarakat tersebut kena tahu dan mahir berbahasa Melayu. Jadinya, kalau ada pelancong yang melawat perkampungan tu, ketua kampung tu lah yang akan jadi juru bahasa. Contohnya kalau diaorang nak cakap selamat jalan, diaorang akan cakap “Oo elah! Oo elah!”.
Selain tu, diaorang hanya bergantung pada hasil hutan dan keadaan semulajadi je. Sumber pendapatan diaorang jugak bergantung pada kekerapan pelancong yang melawat perkampungan diaorang. Sebab dari situ diaorang dapat kumpul duit dan ada jual beli yang dijalankan.
“Apabila pelancong datang kami buat demonstrasi menyalakan api tanpa gunakan mancis atau pemetik api dan juga cara menggunakan sumpitan. Wanita pula membuat gelang tangan dan rantai leher daripada rotan dan buluh untuk dijual kepada pelancong. Kadang-kadang kami dapat kira-kira RM200, yang boleh digunakan selama dua bulan,” – Sena, Tok Batin Batek, sumber dari Projek MM
Walaupun macam tu, disebabkan diaorang ni merupakan masyarakat yang primitif dan jarang berinteraksi dengan orang luar, jadinya diaorang ni tak tahu nilai duit. Dan tak tahu macam mana nak gunakan duit tu.
“Kebanyakan orang Batek tidak tahu mengira duit… ada juga yang pernah bayar dengan wang RM100 untuk seguni beras, dan tidak dikembalikan bakinya. Mereka selalu tipu tapi nak buat apa, kami tak tahu kira,” – Sena, Tok Batin Batek, sumber dari Projek MM.
Tengok struktur mayat kalau nak tahu tahap dosa dan pahala seseorang
Jalan utama bagi masyarakat Batek ni adalah jalan sungai, jadi, kenderaan diaorang secara rasminya adalah perahu, bot dan rakit. Diaorang akan gunakan kenderaan ni jugak untuk urusan pindah randah. Kalau dalam kehidupan moden sekarang, budak-budak kecik dah rasa naik kapal terbang, main kereta control, main kereta kat arked, tapi hiburan tu semua takde bagi kanak-kanak Batek. Rakitlah hiburan dan alat permainan kanak-kanak Batek.
Seperti yang kitaorang dah bagitahu sebelum ni, masyarakat Batek ni memang membesar dengan hutan dan aktiviti utama diaorang adalah menyumpit. Jadi, sebelum diaorang nak kahwin, diaorang akan diuji. Kiranya kalau diaorang lepas ujian tu baru boleh kahwin. Gittuw.
Bagi kaum lelaki yang nak berkahwin, diaorang akan diuji untuk memburu menggunakan sumpit, kalau diaorang berjaya, ketua kampung akan buat ukiran kat sumpit dia sebagai rekod kelayakan dia lah. Kalau dah banyak ukiran tu, bermakna lelaki tu dah layak untuk berkahwin. Haa korang apa cer? Kena test macam ni jugak tak?
Selain tu, ada ujian untuk pasangan jugak. Diaorang akan dibiarkan bermalam berdua dalam satu tempat, kalau salah sorang lari dari tempat tu, perkahwinan diaorang akan dibatalkan. Tujuan ujian-ujian ni dibuat untuk menguji tahap kesetiaan pasangan masing-masing. Tapi perempuan Batek ni sebenarnya sangat setia, kalau suami diaorang mati, diaorang takkan kahwin lagi.
Diaorang jugak masih mengamalkan adat dan tradisi keterunan diaorang sampai sekarang. Masyarakat Batek akan menetap kat sesuatu kawasan tu dalam tempoh 5 hingga 7 bulan. Dan, kalau ada orang yang sakit ataupun mati kat penempatan tersebut, diaorang semua akan pindah sama-sama kat tepi sungai dan akan datang semula beberapa bulan lepas tu.
“Jika terdapat kematian mereka akan berpindah terus dan tidak akan kembali ke penempatan atau perkampungan tersebut,” – Romlan Jaafar, Datuk masyarakat Batek, sumber dari Astro Awani.
Bila ada orang mati dalam masyarakat Batek ni, dia tak dikebumikan mahupun dibakar macam pegangan kepercayaan dan agama lain. Tapi sebaliknya mayat masyarakat Batek ni akan dibiarkan di dalam sebuah pondok kat atas pokok yang jauh dalam hutan dan mayat tu hanya ditutup dengan daun-daun je. Dan pondok atas pokok tersebut adalah tinggi dari tanah kira-kira 40 meter dari aras tanah. Selain tu, diaorang jugak percaya yang kalau gantung mayat boleh membuang sial ataupun benda-benda tak baik yang berlaku kat kawasan diaorang.
“Selepas beberapa tahun, kami akan kembali ke tempat itu. Jika ada tulang-tulang yang jatuh ke tanah, bermakna orang itu melakukan banyak dosa,” – Dam, penduduk Batek, sumber dari Projek MM.
Kaum Batek khazanah istimewa Malaysia, bantu jana sektor pelancongan
“Penduduk Batek diberitahu mengenai cadangan untuk jadikan lokasi perkampungan mereka sebagai tarikan pelancong.
Sesetengah daripada mereka mendapati idea itu menarik dan mengambil cabaran untuk menyediakan pondok-pondok unik mereka. Mereka dibantu oleh pelbagai agensi, ejen pelancongan dan penduduk kampung lain, “- Datuk Idros Yahya, Pengurus Besar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, sumber dari New Straits Times.
Memandangkan masyarakat Batek ni merupakan kaum Orang Asli yang masih mengamalkan gaya hidup primitif yang tak dicampur dengan faktor kemodenan, diaorang dijadikan tempat rujukan, tumpuan pelancong, dan sumber keunikan kat Malaysia. Masyarakat Batek yang masih terpelihara adat tradisinya boleh dikategorikan sebagai warisan negara yang menjadi lubuk potensi ke arah sektor pelancongan.
- 1.1KShare sekarang!
- Email20
- Facebook1.1K
- Share