- 523Share sekarang!
- Email2
- Facebook521
- Share
Di saat PKP ni, semua orang diminta duduk di rumah dan kurangkan masa untuk berada di luar rumah. Itu pun dah cukup untuk kita menyumbang sesuatu dalam situasi negara sedang cuba mengekang penularan wabak ini.
Namun, ada juga dalam kalangan orang tertentu yang ingin menyumbang lebih daripada itu mengikut kapasiti masing-masing. Kita ada para NGO yang bantu edarkan barang keperluan ke setiap pelusuk negara. Kita juga ada kisah abang-abang penghantar makanan yang turut melakukan kerja amal mereka.
Di sebalik semua ini, kami juga nak kongsi suatu kisah yang juga menarik mengenai sumbangan luar biasa rakyat Malaysia sewaktu PKP ni. Kisah ni melibatkan seorang pemilik butik Fenora Bridal dan Tailoring bernama Nor AshikinMs.
Buka kedai butik seminggu untuk jahit Personal Protection Equipment (PPE) sahaja
Kita pun tahu, Bangi ni memang syurga butik buat para wanita. Dalam keadaan negara begini, semua butik pun tak buka serta tiada pengunjung. Tapi, nampaknya Butik Fenora Bridal & Tailoring yang terletak di Plaza Paragon Joint, Bangi ni mengambil langkah yang berbeza.
Pemiliknya, Nor AshikinMs telah berbincang dan mendapat persetujuan bersama pekerja-pekerjanya untuk membuka butik bagi melakukan kerja amal – kerja menjahit PPE untuk petugas barisan hadapan. Projek ini juga adalah hasil kerjasama dengan Datuk Radzwan Radzwill
“Kerja amal yang saya buat adalah hasil persetujuan bersama pekerja-pekerja. Gaji mereka masih jalan saya tak potong walau sesen pun kerana mereka ni sendiri datang dari keluarga yang bawah lagi dari keluarga sederhana.” – kata Nor AshikinMs kepada SOSCILI
Namun, kerja amal ni juga bukanlah paksaan kepada para pekerjanya. Sebagai ganjaran para pekerja yang membantu terima duit belanja makan serta mereka boleh buat pesanan apa-apa sahaja jenis makanan yang mereka nak. Tak kiralah, KFC, Pizza Hut dan lain-lain yang terasa nak makan.
Selain tu, butik ni tetap berusaha melakukan jahitan yang berkualiti. Ini kerana butik ni biasa menjahit baju butik berbanding PPE yang kualitinya lebih kepada jahit pukal. Dan jahit pukal tak memerlukan kualiti yang hebat atau hasil yang cantik.
“Kalau pekerja saya memang tak boleh sebab selain dididik jaga kualiti jahitan, mereka diberi kebebasan rehat dan makan, tiada kawalan rehat sejam sahaja satu hari. Dia boleh makan lima kali sehari yang penting kerja ikut dateline.” – kata Nor AshikinMs kepada SOSCILI
Disebabkan kerja amal ni, butik dibuka seminggu untuk menjahit PPE yang mana sebelum ni tutup kerana PKP.
Berapa set pakaian PPE boleh disiapkan sehari di butik ni?
Untuk yang tak tahu, PPE adalah pakaian asas bagi sektor yang melibatkan kerja-kerja berisiko termasuklah pelantar minyak, pencuci bangunan, penyembur racun dan paling jelas sekarang adalah mereka yang bekerja di hospital bagi menguruskan pesakit COVID-19. PPE ni juga ada pelbagai jenis bahagian termasuklah pelindung pernafasan, pelindung badan, sarung tangan dan penutup kepala.
Untuk kerja menjahit PPE di Fenora Birdal & Tailoring, pekerjanya telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan tersebut adalah:
- Kumpulan memotong – Dalam tempoh sehari, 3 orang boleh potong 2,000 meter
- Kumpulan menjahit – Dalam tempoh sehari, 3 orang boleh menjahit 300 bahagian
Bagi kerja menjahit itu, tahap kelajuan bergantung kepada penjahit itu sendiri. Untuk pengetahun semua, set asas bagi pakaian PPE mempunyai 5 bahagian iaitu jubah, tudung, topi, sarung kaki sepasang dan kasut sepasang.
Jadi, kalau 300 bahagian bermakna, 3 orang penjahit boleh siapkan 60 set asas pakaian PPE. Fuh! Kira banyak juga tu.
Kerjasama rakyat Malaysia tak pernah mengecewakan di saat susah dan senang
Bayangkan, satu butik ni sahaja dah boleh bantu bekalan jumlah yang banyak untuk set pakaian PPE. Usaha pemilik butik dan pekerja ni adalah salah satu contoh bagaimana setiap rakyat Malaysia ada peluang tersendiri untuk membantu barisan hadapan di atas kapasiti sendiri.
Sekalipun banyak perkara negatif yang kita lalui sepanjang wabak ni, apa salahnya kita banyakkan lagi kisah macam usaha butik ni. Barulah hidup kita ni sentiasa dipenuhi maklumat positif. Kami dari SOSCILI dan rakyat Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih buat Nor AshikinMs dan pekerjanya serta para pekerja barisan hadapan lain yang tak pernah lekang menyumbang jasa dan bakti!
- 523Share sekarang!
- Email2
- Facebook521
- Share