Perkataan ‘Muslim’ dipadam dari batu nisan pemenang Hadiah Nobel ini

UPDATE 08/10/2019: Hadiah Nobel Fizik 2019 nampaknya dianugerahkan kepada 3 orang tokoh fizik terkemuka iaitu – James Peebles, Michel Mayor dan Didier Queloz. Anugerah berkenaan diberikan atas jasa mereka dalam memajukan pemahaman masyarakat tentang alam semesta.

Peebles dianugerahkan hadiah untuk kerjanya terhadap “theoretical discoveries in physical cosmology”, manakala Mayor dan Queloz memenangi anugerah berkenaan kerana “the discovery of an exoplanet orbiting a solar-type star”.

___________________________________________________________

Mungkin kita selalu dengar pasal Anugerah Oscar, Anugerah Grammy dan sebagainya. Tapi dalam banyak-banyak anugerah ini, ada satu anugerah yang paling berprestij di dunia, ia adalah Hadiah Nobel. Sesiapa yang dapat anugerah ni, dah pasti dia bukan calang-calang orang! Untuk maklumat, Hadiah Nobel dah diberikan sejak lebih seratus tahun dulu, dengan anugerah pertama pada tahun 1901.

Hadiah Nobel juga dibahagikan kepada beberapa kategori macam: keamanan, kesusasteraan, perubatan, fizik, kimia, dan ekonomi. Individu-individu atau organisasi-organisasi tertentu yang mendapat kejayaan tertinggi dalam bidang-bidang ini, akan diberikan perhormatan untuk menerima Hadiah Nobel.

Jacques Dubochet, Joachim Frank dan Richard Henderson adalah pemenang Hadiah Nobel Kimia untuk tahun 2017. Imej dari pbs.org

Bagaimanapun, ada juga kontroversi dan kisah-kisah di sebalik anugerah berprestij ini. Sebelum itu, mari kita berkenalan dulu dengan sejarah bagaimana munculnya Hadiah Nobel.

1. Hadiah Nobel adalah wasiat seorang ahli kimia dan pencipta bahan letupan

Pada tahun 1901, Hadiah Nobel pertama telah diberikan di Stockholm, Sweden. Majlis itu diadakan pada ulang tahun ke-5 kematian Alfred Nobel, seorang ahli kimia, pereka, jurutera dan pencipta bahan letupan. Alfred dilahirkan pada tahun 1833, di Sweden sebelum berpindah ke Rusia.

Bapanya seorang yang kaya raya dan ada kilang membuat bahan letupan lombong serta peralatan-peralatan tentera. Tapi bila tamatnya Perang Krimea, perniagaan bapanya merosot dan Alfred balik semula ke Sweden dan buat makmal menguji bahan letupan nitroglycerin. Tapi nitroglycerin tetap berbahaya, sampaikan pada tahun 1864 bahan uji ni dah meletop hingga mengorbankan adik Alfred dan beberapa orang lain.

Imej dari Edupedia World (Youtube Channel).

Tapi nampaknya, Alfred berjaya membangunkan bahan letupan itu dan dia pun buka kilang Krummel, Jerman. Kilangnya ni dah mengeksport bahan letupan ke Eropah, Amerika dan Australia. Beberapa tahun lepas tu, dia buat beberapa lagi kilang dan makmal di lebih 20 buah negara.

Sepanjang hidup Alfred, dia tak pernah berkahwin dan akhirnya dia meninggal dunia pada 10 Disember 1896 di San Remo, Itali. Tapi dalam wasiatnya, Alfred kata yang semua harta puasakanya kena digunakan sebagai “hadiah untuk sesiapa yang memberikan sumbangan terbesar kepada dunia”. 

Wasiat Alfred dan pingat Hadiah Nobel. Imej dari nobelprize.org

Jadinya selepas 5 tahun kematiannya, Hadiah Nobel mula diberikan kepada mana-mana orang atau organisasi yang telah banyak menyumbang kepada dunia. Sepanjang lebih seratus tahun hadiah ini diberikan, ada beberapa fakta-fakta menarik dan tak kurang juga kontroversi melanda anugerah berprestij ini. Antaranya ialah…

2. Walaupun terkenal sebagai pejuang kebebasan, Ghandi tak pernah terima Hadiah Nobel

Persoalan yang muncul sejak sekian lama adalah kenapa seorang pejuang kebebasan di abad ke 20 seperti Mahatma Ghandi tak dapat Hadiah Nobel? Untuk maklumat, sebenarnya dah beberapa kali nama Ghandi disenaraikan sebagai calon penerima Hadiah Nobel.

Ghandi dah dicalonkan sebanyak 5 kali iaitu pada tahun 1937, 1938, 1939, 1947 dan 1948 (beberapa hari sebelum pembunuhannya pada Januari 1948). Apabila Ghandi mula-mula dicalonkan pada tahun 1937, Penasihat Jawatankuasa Pemilihan Hadiah Nobel, Prof Jacob Worm-Muller memberikan pandangan yang kritikal terhadap Ghandi sebagai:

“Dia sudah pasti sebagai seorang yang baik, mulia dan seorang yang zuhud – seorang lelaki terkemuka yang patut dihormati dan dicintai oleh orang ramai.”

Gandhi dan Jawaharlal Nehru (PM pertama India). Imej dari The Voice of Nation.

Dalam masa yang sama, Prof Muller juga mengatakan:

“Terdapat perubahan dalam polisinya, yang tak dapat dijelaskan oleh para pegikutnya… Dia seorang pejuang kebebasan, diktator, idealis dan seorang nasionalis. Dia selalunya dianggap sebagai Christ, tapi secara tiba-tiba menjadi ahli politik biasa.”

Selain itu, Muller juga percaya yang Ghandi ni bersifat terlalu nasionalis India.

“Orang mungkin mengatakan bahawa perjuangannya yang terkenal di Afrika Selatan adalah untuk orang India sahaja, dan bukannya orang kulit hitam yang hidup dalam keadaan yang lebih teruk.” – Prof Jacob Worm-Muller.

Kerana hal-hal ini, Ghandi tak diberikan Hadiah Nobel. Namun itu bukan penamat, pada tahun berikutnya seperti 1938 dan 1939, Ghandi tetap disenarai pendek sebagai penerima Hadiah Nobel. Sehinggalah pada tahun 1947 selepas India merdeka, nama Ghandi tetap disenaraikan. Bagaimanapun, Ghandi tetap tak dapat Hadiah Nobel.

Antara gambar ikonik, Gandhi dan Charlie Chaplin. Imej dari mettacenter.org

Akhirnya untuk kali ke-5 pada tahun 1948, Ghandi dicalonkan buat kali yang terakhir. Ini kerana, pada tahun itu juga Ghandi telah dibunuh. Dikatakan Jawatankuasa Nobel pada masa tu berbincang dengan serius sama ada boleh atau tidak Ghandi diberikan anugerah walaupun selepas kematiannya.

“Oleh kerana Gandhi tidak dianugerahkan hadiah pada tahun 1948, jawatankuasa itu memutuskan untuk tidak memberi anugerah pada tahun itu dengan alasan bahawa tiada “calon hidup yang sesuai.” – Dipetik dari The Times Of India.

Babak Gandhi kena tembak dalam filem Gandhi.

Sehingga ke hari ini, Ghandi masih lagi tak menerima Hadiah Nobel. Bagaimanapun pencalonan untuknya masih lagi terbuka.

3. Hitler halang 3 orang Jerman ni dari terima Hadiah Nobel, tapi dia sendiri dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel

Siapa yang tak kenal dengan lelaki bermisai kontot dan seorang pemimpin besar ketika berlakunya Perang Dunia Ke-2. Semasa pemerintahan Hitler, ada beberapa orang rakyat negara itu yang telah dianugerahkan Hadiah Nobel. Tiga orang Jerman itu adalah:

  1. Richard Kuhn – Hadiah Nobel Kimia (1938).
  2. Adolf Butenandt – Hadiah Nobel Kimia (1939).
  3. Gerhard Domagk – Hadiah Nobel Fisiologi & Perubatan (1939).
Imej dari nobelprize.org

Menurut nobelprize.org, mereka bertiga ni dah dihalang oleh Hitler dari menerima Hadiah Nobel. Richard Kuhn adalah seorang ahli kimia yang mengkaji sifat kimia karotenoid (pigmen organik). Dia juga melakukan kajian penting terhadap vitamin B2 dan B6. Kerana itulah, dia dipilih sebagai penerima Hadiah Nobel Kimia 1938.

Adolf Butenandt pula adalah salah seorang pengkaji yang berjaya memetakan beberapa hormon secara khusus yang digunakan oleh lelaki dan wanita. Manakala, pemenang ketiga pula adalah Gerhard Domagk seorang ahli patologi. Dia berjaya menemukan sejenis ubat yang dapat melawan jangkitan bakteria.

Walaupun diorang hebat dalam bidang masing-masing, tapi nampaknya kerajaan Jerman tak benarkan mereka menerima Hadiah Nobel. Sebabnya pada tahun 1935, ada seorang penulis Jerman, bernama Carl von Ossietzky yang jadi pemenang Hadiah Nobel Keamanan.

Carl von Ossietzky ketika ditahan di kem tahanan. Imej dari BBC.

Tapi Carl von Ossietzky ni kuat mengkritik pemerintahan Hitler dan Nazi. Walaupun ditentang kerajaan, Ossietzky masih dapat menerima hadiah ini pada tahun berikutnya (1936). Pihak akhbar di Jerman selepas itu dilarang sama sekali melaporkan kejayaan Ossietzky. Seterusnya, Hitler bertindak melarang mana-mana warga Jerman dari menerima apa-apa Hadiah Nobel.

Sebab itulah, ketiga-tiga pemenang Hadiah Nobel tadi tak dibenarkan terima anugerah tersebut. Sehinggalah selepas tamatnya Perang Dunia ke-2 (kejatuhan Nazi), apabila mereka bertiga diberikan sijil dan pingat Hadiah Nobel, tanpa wang hadiah.

Tapi sebenarnya, kalau korang nak tahu Hitler juga pernah dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1939. Pencalonan tu dibuat oleh Ahli Parlimen Sweden, E.G.C Brandt. Rupa-rupanya Brandt tak bermaksud pun nak buat pencalonan betul-betul. Sebabnya, masa tu ada beberapa Ahli Parlimen Sweden yang calonkan Perdana Menteri Britain Neville Chamberlin untuk Hadiah Nobel Keamanan.

Imej dari Giphy.

Pencalonan itu nampak meragukan baginya. Jadinya, dia calonkan Hitler sebagai kritikan kepada keadaan politik Sweden ketika itu. Bagaimanapun, pencalonan itu dipandang serius oleh pihak Nobel sehingga membuatkan Brandt menarik balik pecalonan itu pada Februari 1939.

4. Majistret perintahkan perkataan ‘Muslim’ dipadam dari nisan pemenang Hadiah Nobel Fizik dari Pakistan ni!

Pada tahun 1979, Hadiah Nobel Fizik telah dianugerah kepada tiga orang cendikiawan iaitu Sheldon Lee Glashow, Abdus Salam dan Steven Weinberg. Apa yang menarik dalam tiga nama ini, ada satu nama yang menjadikannya sebagai orang Islam pertama yang menerima Hadiah Nobel Fizik.

Setahun sebelum tu pada tahun 1978, bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat diberikan Hadiah Nobel Keamanan atas perjanjian damainya dengan Israel. Ia menjadi Anwar Sadat orang Islam pertama dapat Hadiah Nobel secara umumnya. Imej dari bt.com

Abdus Salam adalah seorang pakar teori fizik yang berasal dari Pakistan. Salam dianugerahkan hadiah ini atas sumbangannya dalam membangunkan teori electroweak. Sejarahnya bermula apabila dia menerima PhD dalam bidang teori fizik dari Universiti Cambridge. Dia seterusnya menjadi Professor di Pakistan dan kemudiannya menjadi pensyarah di Cambridge.

Eaaa… admin kurang sikit fizik ni…Imej dari Daily Pakistan.

Walaupun dunia melihatnya sebagai orang Islam pertama yang dapat Hadiah Nobel Fizik, Salam tetap menjadi tokoh kontroversi di Pakistan. Ini kerana, Salam adalah sebahagian dari aliran Ahmadiah (Qadiani). Bagaimanapun, ajaran ini disepakati oleh para ulama sebagai ajaran yang salah dan sesat.

Hal ini juga berlaku di Pakistan, apabila parlimen negara itu mengisytiharkan ajaran Ahamadiah sebagai bukan Islam. Kerana itu Abdus Salam yang berasal dari aliran ini tak diterima oleh negara asalnya. Bila dia dijemput untuk buat ucapan kat Islamabad, lepas dapat Hadiah Nobel, telah berlaku bantahan besar-besaran sampai buatkan jemputan tu ditarik balik.

Imej dari reviewofreligions.org

Akhirnya Salam meninggal dunia di Oxfort pada tahun 1996, dan jenazahnya di bawa balik ke Pakistan dan dikebumikan di sana. Di batu nisannya telah tertulis: ‘Muslim Pertama Menerima Nobel’.

“Walaupun selepas kematiannya, dia tetap dianiaya apabila majistret tempatan mengarahkan  perkataan Muslim dipadam, meninggalkan ‘_____ Pertama Menerima Nobel’. Pada tahun 1998, kerajaan Pakistan mengeluarkan setem yang memaparkan wajah Abdus Salam sebagai daripada siri memperingati para ilmuan Pakistan. Bagaimanapun, setem itu dikeluarkan dari edaran selepas mendapat tekanan.” – Dipetik dari Culture Trip.

Nisan Abdus Salam yang dipadam perkataan ‘Muslim’. Imej dari BBC.

Setelah hampir 20 tahun selepas kematiannya, pada tahun 2016 Perdana Menteri Pakistan telah menamakan Pusat Fizik Universiti Quaid-i-Azam (QAU) sebagai Pusat Fizik Prof Abdus Salam. Ini merupakan salah satu penghargaan kerajaan Pakistan kepada pemenang Hadiah Nobel ini.

5. Walaupun Hadiah Nobel ni jadi anugerah paling berprestij di dunia, tapi masih ada orang yang tak nak terima

Untuk seseorang yang menerima Hadiah Nobel, sudah pasti ia adalah penghormatan terbaik yang dia pernah dapat atau mungkin satu anugerah yang diimpi-impikan. Tapi macam mana yang tak nak terima anugerah ini? Itulah yang dilakukan oleh Jean-Paul Sartre (ahli falsafah, aktivis & penulis) dan Le Duc Tho (pejuang revolusi Vietnam).

Jean-Paul Sartre (1905-1980) adalah seorang professor falsafah di Perancis. Tapi lepas Perang Dunia Ke-2 (WW2), dia mula menjadi seorang penulis bebas. Karya-karyanya banyak memperjuangkan kebebasan inividu dan maruah manusia. Lepas WW2, dia juga mula begerak aktif dalam politik Perancis, tapi menyokong gerakan kiri. Dia juga kagum dengan Soviet Union, walaupun dia tak pernah jadi ahli Parti Komunis.

Jean-Paul Sartre. Imej dari characters.gr

Walaupun begitu, dia kemudiannya mula mengkritik Soviet yang dilihat tidak mengamalkan prinsip Marxist yang sebenar. Pada tahun 1964, dia telah dinamakan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan atas ‘karyanya yang kaya dengan idea dan dipenuhi dengan semangat kebebasan dan usaha mencari kebenaran’. Tapi nampaknya dia menolak dari menerima hadiah tersebut.

“Saya sentiasa menolak penghormatan rasmi. Pada 1945, selepas perang apabila saya ditawarkan anugerah Legion of Honor, saya menolaknya, walaupun saya bersimpati dengan kerajaan. Begitu juga saya tidak pernah cuba untuk masuk ke Collège de France, sebagaimana yang rakan-rakan saya cadangkan.

Sikap ini berdasarkan pada konsep saya terhadap penulis. Seorang penulis yang menggunakan kedudukan politik, sosial, atau sastera mesti bertindak hanya dengan cara mereka sendiri. Segala penghormatan yang dia terima dapat mendedahkan pembaca dengan tekanan yang saya anggap sebagai tidak wajar. Sekiranya saya dikenali sebagai Jean-Paul Sartre, ia tidak sama dengan saya yang dikenali sebagai Jean-Paul Sartre, si pemenang Hadiah Nobel.” – Dipetik dari The New York Review of Books.

Hisap cigar dulu…Imej dari Open Culture.

Pemenang kedua yang menolak Hadiah Nobel pula adalah Le Duc Tho yang dinamakan sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 1973. Le Duc Tho adalah pejuang Vietnam yang memimpin gerakan Komunis menentang Perancis pada tahun 1930-an dan 1940-an. Lepas kekalahan Perancis, Vietnam dibahagikan kepada dua iaitu Selatan dan Utara. Selatan disokong Amerika Syarikat dan Utara di bawah Komunis.

Selepas itu terjadi pula Perang Vietnam, usaha rudingan damai antara dua kuasa ini mula diusahakan. Makanya, Le Duc Tho dilantik sebagai perunding utama Vietnam Utara yang berunding dengan Henry Kissinger (Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat). Sehinggalah kedua-dua mencapai persetujuan untuk Perjanjian Damai. Jadinya, Le Duc Tho dan Henry dah dipilih sebagai penerima Hadiah Nobel Kemanan pada tahun 1973.

Le Duc Tho dan Kissinger. Imej dari The Atlantic.

“Bagaimanpun Tho enggan menerima anugerah itu, kerana dia mendapati perjanjian-perjanjian itu telah dilanggar. Pertempuran bersambung semula di rantau itu, dan Vietnam Utara di bawah Tho telah menawan Saigon pada 1975….Hubungan Kissinger dan Tho kemudiannya menjadi musuh secara terbuka pada tahun 1980-an apabila Tho menuduh Kissinger sebagai penipu dan Kissinger menuduh Tho memanipulasi media Barat.

Tho kekal dalam kepimpinan Parti Komunis sehingga tahun 1986 apabila dia meletakkan jawatan… Dilaporkan Le Duc Tho meninggal dunia pada 13 Oktober 1990 di Hanoi kerana kanser.” – Dipetik dari biography.com.

6. Bekas Presiden Israel dan Bekas PM Israel pun pernah menang Hadiah Nobel Keamanan

Antara banyak kategori Hadiah Nobel, Hadiah Nobel Keamanan yang selalu jadi tumpuan dunia. Salah satu sebabnya, selalu orang yang menang hadiah ni memang dah popular. Antara nama-nama yang kita kenal macam Mother TeresaMartin Luther King JrNelson Mandela dan Dalai Lama semuanya pernah dapat Hadiah Nobel Keamanan.

Michael Jackson pun sayang Mandela. Imej dari Giphy.

Tapi terkejut tak kita bila tahu, bekas Presiden dan bekas Perdana Menteri Israel juga pernah dapat Hadiah Nobel? Untuk maklumat, pada tahun 1994, anugerah Hadiah Nobel Keamanan dah diberikan kepada Yasser Arafat (bekas Presiden Palestin), Shimon Peres (bekas Presiden Israel) dan Yitzhak Rabin (bekas PM Israel). 

“Untuk usaha mereka mewujudkan keamanan di Timur Tengah.” – Dipetik dari Nobelprize.org.

Itulah antara sebab kenapa Hadiah Nobel Keamanan diberikan kepada mereka bertiga. Sebenarnya, pada tahun 1993, pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dibawah pimpinan Arafat ada melakukan perjanjian dengan pihak Israel, dalam perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Oslo. Perjanjian ini adalah salah satu usaha untuk mewujudkan perdamaian di antara pihak Palestin dan Israel. (Klik sini untuk baca isi kandungan perjanjian)

Yasser Arafat, Shimon Peres dan Yitzhak Rabin. Imej dari alainelkanninterviews.com

Bagaimanapun, untuk pihak yang menentang Palestin, diorang nampak kemenangan Arafat sebagai satu perkara yang tak patut berlaku. Di pihak Palestin pula, kesediaan Arafat menerima Perjanjian Oslo dilihat sebagai hanya menguntungkan Israel. Sebabnya, ketika itu HAMAS melihat tindakan Arafat (pemimpin PLO) sebagai terburu-buru dalam mengejar kemerdekaan Palestin sampaikan sanggup menggadaikan prinsip asal perjuangan.

Selain itu, kemenangan Shimon Peres untuk Hadiah Nobel Keamanan juga boleh dipersoalkan. Ini kerana, pada 2016 seorang Ahli Parlimen Israel berketurunan Arab, Basel Ghattas telah menuduh Shimon Peres sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pertumpahan darah yang berlaku di Palestin.

“Darah kami membasahi tubuh­nya daripada hujung kepala hingga ke hujung kaki. Marilah kita ingat kembali ketika zaman pemerintahan kuku besinya dan pentadbiran jenayah secara langsung dan jenayah perang yang dilakukam terhadap hak kita.” – Basel Ghattas, dipetik dari Arab News.

Ariel Sharon dan Shimon Peres. Imej dari Times of Israel.

Selain itu, Shimon Peres juga pernah terlibat dalam perancangan Perang Suez 1956 bersama Perancis dan Britain ketika menjadi Menteri Pertahanan Israel. Shimon juga bertanggungjawab merancang pembinaan projek nuklear di Israel.

Bercakap soal Yitzhak Rabin pula, dia juga adalah orang yang terlibat secara langsung dalam Perang Arab-Israel 1948. Pada tahun 1963 pula, dia dilantik menjadi Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan kemudiannya terlibat dalam Perang Enam Hari 1967 di antara Israel dengan beberapa negara seperti Mesir, Syria dan Jordan. Israel menang dalam perang itu.

Yitzhak Rabin (tengah) masa Perang Enam Hari. Imej dari Times of Israel.

Tapi sebenarnya… lebih 70 tahun lalu, dah ada rakyat kita yang pernah dicalonkan untuk Hadiah Nobel

Pada tahun 2013, seorang rakyat Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nasarudin Mohd Yusof dan organisasinya telah berjaya mengharumkan nama negara apabila mendapat Hadiah Nobel Keamanan. Organisasi itu adalah Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) yang bertindak memantau penggunaan senjata kimia di seluruh dunia.

Leftenan Kolonel (B) Mohd Nasarudin Mohd Yusof. Imej dari says.com

Tapi sebenarnya, pada tahun 1935 ada seorang rakyat negara ini yang dah dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel Perubatan. Orang hebat itu adalah Dr Wu Lien-teh seorang doktor kelahiran Pulau Pinang.

Klik imej untuk tahu lebih lanjut.

Setelah 116 tahun Hadiah Nobel bertapak di dunia ini, masih tak ada mana-mana augerah yang setanding untuk mengatasinya. Bagaiamanapun, kontroversi masih lagi tak terlepas dari anugerah paling berprejtij ini. Seperti mana yang kita tahu, pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1991 Aung San Suu Kyi, kini dipersoalkan kelayakannya menerima anugerah tersebut atas apa yang berlaku terhadap masyarakat Rohingya di negaranya.

Klik imej kalau nak sain petisyen.

Oleh itu, walaupun Hadiah Nobel diiktiraf sebagai anugerah paling berprestij di dunia, ia bukanlah kayu ukur terbaik dalam menilai seseorang. Apa yang terjadi kepada Aung San Suu Kyi, Shimon Peres dan sebagainya membuka mata kita bahawa kadang-kala hadiah ini tidaklah terlalu bermakna. Tetapi, jika seseorang atau organisasi itu benar-benar layak, ia tidak menjadi masalah dan ia sangat-sangat boleh dibanggakan.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.