Pada 2008, ada cubaan ‘kerajaan pintu belakang’ oleh Anwar tapi gagal. Ni sebabnya

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 1 Mac 2020

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Kita dah pun ada kerajaan baru yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Maka, tamatlah kemelut politik yang sebelum ni nampak tak berkesudahan

Macam yang kita tahu, kes ni bermula seawal 23 Februari 2020, di mana bermulanya laporan yang menyebut kerajaan baru akan dibentuk. Beberapa ahli dari Pakatan Harapan macam Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang menyatakan sokongan terhadap Tun Mahathir.

Tapi, mereka mula membelakangi parti mereka, dan didakwa membentuk kerajaan pintu belakang bersama UMNO dan PAS yang cuba untuk menyingkirkan presiden PKR, Anwar Ibrahim dari rancangan tersebut.

Dah macam macam meme yang memenuhi media sosial kita waktu tu berkenaan kerajaan pintu belakang ni. Dan salah satunya adalah sebuah hantaran Facebook yang dibuat oleh bossku bekas Perdana Menteri kita, Najib Razak. Dalam responnya terhadap tweet dari Nga Kor Ming, dia ‘mengingatkan’ kita semua, persamaan dengan apa yang pernah berlaku pada tahun 2008.

Dan daripada kajian kitorang, kejadian yang berlaku pada 2008 tu melibatkan parti-parti seperti PKR, DAP dan PAS. Dan kerajaan pintu belakang ni dimulakan oleh…

*drumrollls*…

Anwar Ibrahim sendiri.

Buat pertama kalinya, BN cuma memenangi majoriti mudah dalam PRU12

Sebelum kita mulakan dengan apa yang berlaku pada tahun 2008, kita kena pergi ke 10 tahun yang lepas supaya korang faham dari mana datangnya idea Anwar untuk memulakan kerajaan pintu belakang ni selepas PRU ke-12.

Kalau korang lupa apa yang terjadi pada 1998, Anwar yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa tu telah mencabar Perdana Menteri, iaitu Mahathir. Anwar nakkan pembaharuan politik dan menamatkan kronisme dalam kerajaan. Tapi, lain yang dia dapat. Dia dipecat dan didakwa atas sodomi dan penyalahgunaan kuasa, menyebabkan dia dipenjarakan selama enam tahun, dan dilarang memasuki dunia politik sehingga 2008.

Walaupun dihalang daripada memasuki dunia politik, Anwar mengumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008. Bukan untuk diri sendiri, tapi isterinya, Wan Azizah yang bertanding sebagai ketua gabungan Pakatan Rakyat, yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, dalam pilihan raya tersebut.

Dan buat kali pertamanya, BN cuma memenangi majoriti mudah dengan 140 kerusi dalam pilihan raya umum, cukup untuk membentuk kerajaan pada masa tu. Ada yang percaya ni disebabkan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Abdullah Ahmad Badawi, yang merupakan Perdana Menteri pada tahun 2008, seperti pemotongan subsidi minyak dan sistem berasaskan kaum, yang nampaknya berat sebelah terhadap orang Melayu di negara ni.

Dan disinilah plot yang dikatakan membentuk kerajaan pintu belakang bermula. Walaupun memenangi 82 kerusi dalam PRU12, Anwar yakin Pakatan Rakyat mampu membentuk kerajaan persekutuan.

“Pakatan PKR-PAS-DAP telah memperoleh jumlah yang diperlukan (Ahli Parlimen), tetapi mahu membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.” – Anwar, seperti yang dipetik dari The Star.

Dan ini mampu dilakukan dengan…

… lompat parti

Anwar juga memberitahu yang kebanyakan Ahli Parlimen yang menunggu untuk lompat masuk parti ke Pakatan Rakyat adalah dari Sabah dan Sarawak, selain daripada beberapa Ahli Parlimen UMNO dari semenanjung Malaysia. Langkah ni penting untuk mendapatkan undi tak percaya terhadap Perdana Menteri. Dia juga menekankan yang TIADA Ahli Parlimen yang ‘dibeli’.

“Peluang ni ditutup kepada mereka yang nakkan duit” – Anwar, kepada The Star.

Tapi, berbeza dengan apa yang berlaku sekarang, Anwar dah menetapkan tarikh akhir untuk kerajaan persekutuan baru di bawah Pakatan Rakyat akan dibentuk. Dan nampaknya…

Anwar DAPAT sokongan cukup dari ahli parlimen BN untuk menyokongnya?!

Jadi, Anwar, yang akhirnya kembali ke Parlimen selepas memenangi pilihan raya pada Ogos 2008, menetapkan 16 September 2008 sebagai tarikh akhir untuk membentuk kerajaan persekutuan baru. Malah, dia menjanjikan pengundi yang dia boleh mengalahkan majoriti BN dengan menjemput ahli parlimen dari BN sendiri ke dalam pakatan tersebut.

Kenapa 16 September? Menurut segelintir pihak, hari itu dipilih bertepatan dengan Hari Malaysia. Walau bagaimanapun, percubaan untuk memenangi Parlimen tak berjaya pun – dan bukan sebab Ahli Parlimen BN tak join diorang.

Jadi pada 2017, Anwar ada bagitahu yang dia betul-betul berjaya mendapatkan sokongan yang cukup dari BN dengan kira-kira 30 hingga 40 Ahli Parlimen sanggup lompat masuk ke partinya. Apabila perkara ni berlaku, Anwar tulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk mendapatkan persetujuan Perdana Menteri bagi mengadakan persidangan khas Dewan Rakyat untuk mendapat undi tak percaya terhadap Perdana Menteri masa tu, Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).

“Abdullah… kebelakang sikit?” Imej dari @AICMalaysia Twitter

“Bagaimanapun, surat tu tak dijawab dan Abdullah (Badawi) menolak cadangan untuk sidang Parlimen Khas.” – Anwar, dipetik dari FMT.

Apabila perkara ni berlaku, BN menghantar 49 Ahli Parlimennya ke Taiwan untuk mengadakan seminar pertanian. Dan menurut Anwar, anggota parlimen ni tak dibenarkan pulang dari Taiwan sebelum 16 September untuk menghalangnya daripada merealisasikan rancangannya untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Malah, Lim Kit Siang menyifatkan perkara ni sebagai ‘pertarungan politik terbesar’ dalam sejarah Malaysia pada masa tu. (Kalaulah diorang ada mesin masa dan tengok apa yang jadi masa ni pula…)

Walaupun begitu, laporan dari tahun 2008 menunjukkan bagaimana Anwar cukup positif dengan hasil dari semua rancangan ni. Malah, dia dilaporkan berkata yang akan ada kejutan pada 16 September tu sendiri. Dia tak jelaskan lebih lanjut pasal benda ni, tapi kitorang tak rasa yang kejutan tu adalah… macam mana perancangannya gagal.

Bukan plot twist macam ni yang diminta. Imej dari isupolitikmalaysia-7.blogspot.com
Apa yang peliknya lagi, beberapa laporan menunjukkan yang Anwar menggesa untuk berjumpa Pak Lah bagi membincangkan peralihan kuasa yang lancar selepas 16 September. Malah, dia dilaporkan mengancam untuk mengadakan undi tak percaya terhadap Perdana Menteri selepas meluluskan tarikh akhirnya pada 16 September.
Dan, sama macam mana Azmin & co diberikan peluang menghadap YDPA, Anwar telah mengakui pada tahun 2010 yang dia dah buat rayuan dengan raja pada masa tu, Sultan Mizan Zainal Abidin, mengenai perkara tersebut.

Pak Lah bagaimanapun buat pengumuman yang dia nak lepaskan jawatan lebih awal dari yang sepatutnya kepada penggantinya, Najib Razak. Ia dilaporkan disebabkan tekanan yang meminta dia lepaskan jawatan daripada parti pembangkang, dan di mana beberapa parti lain yang meninggalkan pakatan Barisan Nasional. 

Walaupun begitu, Pak Lah masih menafikan yang Anwar cuba menggulingkan kerajaan pada hari tersebut, dan mengatakan yang Anwar sengaja nak timbulkan rasa cemas dalam kalangan orang awam.

“(Anwar adalah) ancaman bukan sahaja kepada ekonomi kita tetapi mungkin juga… keselamatan.” – Abdullah, seperti dipetik dari Guardian.

Kalau bunyinya macam familiar, sebabnya mungkin kerana Azmin & co juga telah dilabelkan sebagai pengkhianat. Dan seperti Azmin & co juga…

Anwar kemudiannya diminta supaya meletakkan jawatan sebagai pemimpin Pakatan dan bertaubat

Kemudian lepas rancangannya gagal, Anwar memutuskan untuk bekerjasama dengan kerajaan BN masa tu dengan memberi tumpuan kepada belanjawan negara, yang mana dia dakwa dah ketinggalan zaman memandangkan kegawatan ekonomi yang berlaku pada masa tu. Walaupun begitu, langkahnya yang menggalakkan lompat parti tu dikutuk keras terutamanya oleh pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh.

Dan Najib sekali lagi mengemukakan bukti tersebut dengan membuat hantaran Facebook yang menunjukkan video Karpal Singh yang meminta supaya Anwar meletakkan jawatannya sebagai pemimpin Pakatan pada tahun 2009:

“Anwar juga perlu bertaubat, supaya tak lagi mengkhianati rakyat dan amanah mereka.” – Karpal, seperti yang dipetik dari The Star.

Karpal pernah sebut benda ni sebab dia menentang idea lompat parti. Tapi nampaknya dia bukan berseorangan dalam hal ni.

Macam yang kita cakap dalam intro tadi, Najib mengatakan yang Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng adalah antara penyokong kuat kerajaan pintu belakang yang diketuai oleh Anwar dan ahli yang lompat parti ni. Malah, pada 2009 Najib mendakwa yang trend lompat parti ni dimulakan oleh Anwar.

Wah, Najib memang serba tahu dalam kes ni, yang mana dia sendiri sebenarnya merupakan orang yang bertanggungjawab disebalik krisis perlembagaan Perak pada tahun 2009, yang akhirnya menyebabkan keruntuhan kerajaan negeri. Tapi cerita ni kita sambung lain kali la.

Tapi, apa yang diberitahu Najib tu mungkin ada asasnya. Dalam sidang media yang sama dalam video di atas, Karpal menyebut yang dia tak dapat sokongan daripada pemimpin DAP seperti penasihat, Lim Kit Siang atau setiausaha agung, Lim Guan Eng.

“Apabila saya mencadangkan agar DAP serius mempertimbangkan untuk meninggalkan pakatan, terutamanya semasa isu hudud, kedua-duanya juga tidak menyokong saya. Nampaknya mereka menyokong Anwar, bukan saya. Saya pengerusi parti, jangan tolak saya terlalu jauh kerana saya masih mempunyai sokongan pangkat dan fail. ” – Karpal, kepada The Star.

Tapi dia menafikan dakwaan Najib pada tahun 2009 dengan menyatakan yang trend lompat parti (yang sebelum ni dipanggil kanggaru, dan sekarang katak) bermula seawal tahun 1969 apabila BN menerima mereka yang lompat parti dari DAP. Dan tengok gayanya, trend ni takkan berhenti dalam masa terdekat.

Sebagai contoh, kita boleh nampak macam mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang sebelum ni meninggalkan Pakatan Harapan untuk membentuk satu gabingan baru dengan UMNO dan PAS, kembali semula ke Pakatan Harapan lepas UMNO dan PAS mengisytiharkan yang mereka nakkan pilihan raya baru. Dan walaupun ada tuntutan untuk melakukan pilihan raya, PH percaya yang kita tak perlukan pilihan raya sebab mereka percaya yang mereka masih ada sokongan yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan. Kejap…

Bunyinya macam familiar… Imej dari  The Star dan NST

Disebalik pergelutan politik yang telah pun selesai. Apa yang berlaku akan menjadi sebahagian daripada sejarah. Kini, tiba masa untuk kita menumpukan perhatian terhadap apa yang akan dilakukan oleh kerajaan baru ini. Tahniah untuk semua yang begitu tenang sekalipun ahli politik kita berpencak.