- 5.1KShare sekarang!
- Email219
- Facebook4.9K
- Share
UPDATE: Nampaknya lepas Dr Mahathir dilantik jadi Perdana Menteri ni, ramai orang yang beliau jumpa. Dari bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM sampailah ke bekas Peguam Negara. Tapi pada 17 Mei lepas, media melaporkan yang Nor Mohamed Yakcop ada datang berjumpa dengan PM. Walaupun macam tu, masih tak ada maklumat apa yang diorang bincangkan.
________________________________________________________________________
Sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian forex Bank Negara ditubuhkan, kita ada dengar nama-nama individu yang disebutkan kat dalam media. Antaranya macam Tun Daim Zainuddin (Bekas Menteri Kewangan), Tan Sri Zeti Aziz (Bekas Gabenor BNM), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Bekas Menteri Kewangan), Dr Mahathir dan sebagainya. Kesemua diorang ni dah dipanggil untuk bagi keterangan kat RCI tersebut.
Tapi dalam banyak-banyak nama itu, ada satu nama yang tak kurang juga hangat diperkatakan. Tokoh tersebut adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas Penasihat BNM dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri (Dr. Mahathir). Beberapa hari selepas dia bagi keterangan kat RCI, secara tiba-tiba kita dilaporkan yang Nor Mohamed meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad. Tapi, sebab kenapa dia letak jawatan masih lagi tak dinyatakan dengan jelas.
Sebelum tu, Dr Mahathir ada puji Nor Mohamed, yang disifatkannya sebagai penyelamat ekonomi negara. Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin pulak sejak dulu lagi kata – jasa Nor dalam menyelamatkan ekonomi negara masa krisis 1997/1998 memang satu perkara yang amat dihargai.
Oleh itu, kali ini SOSCILI nak bercerita sikit pasal peranan Nor Mohamed Yakcop dalam membantu Malaysia melepaskan diri dari Krisis Ekonomi Asia 1997/1998. Segalanya bermula bila Nor Mohamed…
Terima panggilan dari Dr Mahathir yang suruh dia datang ke Argentina
Pada Mei 1997, Krisis Kewangan Asia mengeluarkan virusnya bila ia mula menghentam mata wang baht Thailand dan virus itu mula merebak ke negara-negara ASEAN lain, termasuk juga Jepun dan Korea Selatan. Serangan ni jadi bila peniaga mata wang pinjam mata wang asing dengan banyak, tapi dengan nilai faedah rendah dari mata wang baht.
Peniaga mata wang antarabangsa yang nak cari untung pulak mula sebarkan berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan ekonomi Thailand dah tak boleh diselamatkan. Diorang pun mula jual baht dengan jumlah yang besar sampai nilainya jatuh dari dolar Amerika.
Walaupun ekonomi Malaysia masa tu dalam keadaan baik, tapi masih ada istilah ‘jangkitan kewangan’ yang kata kalau negara jiran boleh kena, kita mungkin jugak akan kena. Perkara itu terbukti bila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dah menjunam jatuh dari 1,200 mata ke 600 mata. Nilai ringgit pun merosot 50%, dari RM2.50 kepada RM4.10 sedolar.
Dalam krisis yang semakin memburuk, Malaysia di bawah pimpinan Dr Mahathir mula fikirkan cara untuk mengatasinya. Apa yang lebih penting, cara penyelesaian itu tak menjadikan negara ini sebagai negara Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Saya teringat bahawa pada satu hari, lewat 1997 ataupun awal 1998, saya pernah ternampak Nor Mohamed di jalan raya semasa saya berada di dalam kereta.” – Tun Dr Mahathir Mohamad, dipetik dari Astro Awani.
Jadinya, pada 29 September 1997 Nor Mohamed dah dapat call yang kata Dr Mahathir nak jumpa dengannya. Dr Mahathir masa itu nak melawat Cuba, Chile dan Argentina. Nor diminta untuk pergi berjumpa dengan Dr Mahathir kat Buenos Aires, Argentina, mustahak katanya.
Jumpa dengan Dr Mahathir dan terangkan segala-segalanya
Lepas dapat call tu, Nor Mohamed pun terkejut dan heran kenapa pulak Dr Mahathir nak jumpa. Tapi dalam masa sejam selepas dapat call tu, Nor Mohamed dapat satu lagi call dan kali ini dari seorang pegawai kanan di Kementerian Kewangan.
Pegawai itu nasihatkan dia supaya tak pergi ke Argentina, sebabnya pegawai tu rasa yang Dr. Mahathir cuba nak cari nasihat dari pelbagai orang untuk menangani krisis kewangan. Dalam waktu sama, tak berunding dengan Kementerian Kewangan atau Bank Pusat dan ia dianggap boleh membuatkan keadaan bertambah parah.
“Tapi Nor Mohamed menjawab: ‘Bagaimana saya boleh abaikan apa yang telah diarahkan oleh Perdana Menteri?‘ Beliau selepas itu membuat keputusan mengabaikan nasihat dari Kementerian Kewangan dan pergi berjumpa dengan Perdana Menteri.” – Dipetik dari buku: Notes to The Prime Minister.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) ada menceritakan macam mana Nor Mohamed pada mulanya agak takut atau segan nak jumpa dengan Dr Mahathir sorang-sorang. Sebab itulah, dia nak ajak Zam ikut sama.
“Saya menolak pelawaan Nor kerana saya bimbang nanti Mahathir terkejut melihat kedatangan saya sedangkan yang dipanggil hanya Nor dan keduanya saya tidak ada wang untuk tambang penerbangan dan ketiga saya tidak sanggup untuk menghadapi penerbangan jauh lebih 20 jam.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari Zamkata.
Jadinya, Nor Mohmamed pun pergi ke Argentina sorang-sorang dan lepas tu berjumpa dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir bagitau Nor yang dia dah tanya kat ramai orang pasal punca sebenar krisis kewangan, tapi tak ada seorang pun yang boleh bagi penjelasan memuaskan. Jadinya, Dr. Mahathir tanya kat Nor apa puncanya yang sebenar.
Jadinya, Nor pun terangkanlah macam mana pasaran pertukaran asing jadi, apa tu pelindungan nilai dan macam mana mata wang dibeli dan dijual. Dia juga terangkan apa beza ‘tawaran’ dan ‘penawaran’ dan macam ia boleh dipindahkan dengan hanya satu klik.
“Saya juga menjelaskan bagaimana pasaran ekuiti berlaku dan hubungan antara pasaran tukaran mata wang asing dan pasaran ekuiti. Dr Mahathir langsung tidak bercakap, kecuali bertanya satu atau dua soalan, dan mendengar penuh mendalam.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Lepas 2 jam, Dr Mahathir terpaksa tamatkan sekejap pertemuan tu sebab dia ada majlis makan malam rasmi. Tapi Dr Mahathir tanya kat Nor Mohamed, apa rancangan dia malam tu, dan Nor Mohamed kata – dia pun dijemput ke majlis yang sama. Dr Mahathir kata:
“Balik ke bilik kamu dan tulis semua yang kamu beritahu selama dua jam tadi, dan jumpa saya pada jam 7 pagi esok”. – Kata Dr Mahathir kepada Nor Mohamed Yakcop.
Jadinya, Nor pun baliklah ke biliknya, tak datang ke majlis dan tulis semuanya, dan ia hanya siap pada kira-kira jam 6 pagi! Sejam lepas tu, Nor pun serahkan laporan itu kepada Dr Mahathir.
Pada jam 2 petang, Nor sekali lagi berjumpa dengan Dr Mahathir, kali ni Dr Mahathir kata yang dia dah faham apa yang jadi dalam pasaran kewangan. Diorang pun mula berbincang macam-macam kaedah dan cara untuk mengatasi krisis kewangan. Perbincangan tu berlarutan sampailah diorang berdua balik ke Malaysia.
Nor Mohamed hantar lebih 60 nota kepada Dr Mahathir sepanjang menghadapi krisis
Disebabkan Dr. Mahathir nak faham dengan betul-betul apa yang jadi. Lepas diorang berdua balik ke Malaysia, Nor Mohamed dah bagi banyak nota kat Dr Mahathir yang menerangkan macam mana perdagangan mata wang berjalan, konsep ringgit luar persisir (offshore ringgit), kadar faedah, pasaran saham dan pelbagai isu kewangan dan ekonomi. Dianggarkan lebih 60 nota dah diberikan kepada Dr Mahathir dari Oktober 1997 sampai Oktober 1998.
Disebabkan sedar Dr Mahathir seorang yang sangat sibuk, nota-nota tu ditulis pendek, tepat dan ringkas. Kebanyakan cuma ada 3 ke 4 muka surat dan ada juga yang sampai ke 19 muka surat.
Selalunya, Nor Mohamed akan bincang dengan Dr Mahathir melalui telefon atau kadang-kadang tu kat pejabat Perdana Menteri. Tapi kalau urgent sangat, dia terus je pergi ke Sri Perdana (kediaman PM). Pada April 1998, Nor Mohamed akhirnya ambil keputusan untuk jadi penasihat ekonomi tak rasmi Dr. Mahathir.
“Saya biasanya memandu ke kediaman Perdana Menteri sebelum tengah malam dan berikan sampul surat berisi nota kepada pengawal keselamatan di Sri Perdana, kata Nor Mohamed. Apa yang mengkagumkan beliau adalah, selalunya selepas waktu subuh Perdana Menteri akan menelefonnya dan berbincang tentang nota tersebut… Saya masih tidak pasti sama ada Dr Mahathir membaca nota saya sebelum beliau masuk tidur atau sebaik sahaja beliau bangun tidur keesokan harinya!“- Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Dr Mahathir juga ada minta Nor Mohamed supaya sediakan satu kertas kerja pasal macam mana nak tamatkan dagangan saham-saham Malaysia kat CLOB (Central Limit Order Book) kat Singapura. Bagi Dr Mahathir, antara sebab penting kenapa pasaran saham jatuh adalah disebabkan jualan singkat saham Malaysia kat CLOB.
“Saya menyediakan laporan dan Dr Mahathir memahami, buat pertama kalinya, bagaimana CLOB beroperasi. Laporan itu, yang turut dilaksanakan pada 1 September 1998, telah menamatkan perdagangan saham Malaysia di CLOB.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Selain tu, Dr. Mahathir juga ada meminta Nor Mohamed teroka idea mengenakan rejim kawalan pertukaran untuk mengatasi krisis tu. Nor Mohamed dah menyediakan banyak nota pasal perkara tu dan Dr. Mahathir menelitinya dengan rapi. Sampailah akhirnya Dr. Mahathir yakin dengan konsep dan mekanisme yang dicadangkan.
“Saya perlu menyatakan bahawa langkah-langkah kawalan pertukaran telah direka sedemikian rupa untuk meminimumkan aspek-aspek kawalan dan memaksimumkan hasil…Di hampir setiap negara lain yang mengenakan langkah-langkah kawalan pertukaran dan penambatan matawang, secara definisinya, banyak kawalan birokrasi dan matawang juga ditambat pada kadar terlebih nilai.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Bagaimanapun, menurut Nor Mohamed, walaupun penambatan mata wang itu selalu dianggap sebagai penyelamat negara. Langkah tu sebenarnya masih belum cukup untuk mengatasi krisis yang ada. Tapi nampaknya, Malaysia diselamatkan bukan dengan kawalan pertukaran itu sendiri, tetapi juga oleh Dr Mahathir.
“Biar saya jelaskan. Jika mana-mana negara membangun lain, yang menghadapi krisis sama, memperkenalkan langkah yang kita perkenalkan pada September 1998, ia mungkin gagal. Langkah-langkah itu berjaya di Malaysia adalah kerana keupayaan dan watak Dr. Mahathir…Beliau memastikan ekonomi Malaysia pada asasnya kukuh. Ringgit kukuh dan stabil.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Dr Mahathir bertanya keras, bila Nor Mohamed bawa beberapa orang professional muda untuk membantunya
Pada Oktober 1998, Nor Mohamed terima panggilan Dr Mahathir yang nak jumpa. Dalam pertemuannya tu, Dr Mahathir kata yang dia perlukan seseorang yang boleh membangunkan kembali ekonomi negara dan melonjakkan lagi sektor hartanah. Orang yang dipilih tu adalah Nor Mohamed Yakcop.
Makanya, Nor Mohamed balik ke pejabat dan terus memulakan Kempen Hartanah Kebangsaan. Dia juga panggil pihak bank, syarikat kewangan, pemaju hartanah, pihak berkuasa cukai dan Majlis Peguam Malaysia untuk berbincang.
Lepas beberapa kali mesyuarat, akhirnya pemaju hartanah setuju mengurangkan harga rumah sebanyak 15%. Pihak bank pulak setuju bagi 110 peratus pinjaman (dengan 10 peratus untuk membolehkan pembeli rumah beli perabot dan kelengkapan rumah).
Pihak peguam pula setuju kurangkan yuran guaman diorang sebanyak 50%. Selain tu, warga asing juga dibenarkan untuk beli rumah, manakala pembeli yang membeli harta komersil boleh mengubahnya untuk kegunaan lain. Ternyata ia sedikit sebanyak dah membantu perkembangan sektor hartanah yang masa tu menghadapi krisis.
Selepas tu, Dr Mahathir sekali lagi gunakan khidmat Nor Mohamed dengan melantiknya jadi penasihat ekonomi pada tahun 2000 (kali ni secara rasmi). Masa dia jadi penasihat ekonomi, ekonomi Malaysia dah stabil, tapi korporat Malaysia pulak yang masih lagi dalam keadaan lemah dan tak tentu arah. Masalah tu seperti:
- Kerugian di Malaysia Airlines (MAS) dah merosakkan pemerolehan saham di syarikat tu.
- Renong / United Engineers Malaysia (UEM) seolah-olah tidak mampu menyelesaikan pinjaman korporatnya.
- Situasi yang dihadapi oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), TV3 dan New Straits Times Press (NSTP). Kumpulan MRCB-TV3-NSTP ini dah dibebani hutang lebih daripada RM4 bilion.
- Dan juga khabar angin yang mengatakan Tabung Haji dan KUB Malaysia Bhd dah menghadapi kerugian.
Maknanya, Nor Mohamed kena membaik pulihkan sektor korporat negara. Jadi, dia pun pilih beberapa orang professional muda untuk membantunya. Antara mereka adalah:
- Rahman Ahmad (Dato’)
- Shahril Ridza Ridzuan (Dato’)
- Johan Mahmood Merican
- Abdul Wahid Omar (Dato’ Seri)
- Mohd Bakke Salleh (Tan Sri)
- Azhar Abdul Hamid (Datuk)
- Zainol Anwar Jamalullail (Tan Sri)
- Syed Tamim Ansari Syed Mohamed (Datuk)
[Pembetulan 28/09/2017: Johan Mahmood sudah tidak lagi menjadi CEO Talent Corp dan jawatan itu kini disandang oleh Puan Shareen Shariza Abdul Ghani sejak Jun 2016. Kami memohon maaf atas kesilapan tersebut.]
Bagaimapun, tindakan Nor Mohamed yang ambil profesional-profesional muda ni dah membuatkan Dr Mahathir terkejut. Sampai membuatkan Dr Mahathir bertanya dengan keras:
“Bagaimana awak boleh melakukan begini?‘ dan Nor yang kebingungan bertanya: ‘Apakah yang saya lakukan?‘
Mahathir menjawab: ‘Awak telah melantik orang-orang yang sangat muda untuk menjalankan GLC’ dan Nor menjawab: Dato’ mengarahkan untuk melantik mereka yang cekap, berkerja keras, takut kepada Tuhan dan merendah diri dan Dato’ tidak menyebutkan langsung mengenai umur.‘ Mahathir diam.” – Dipetik dari Zamkata.
Salah seorang dari mereka adalah Tan Sri Wahid Omar yang sekarang ni jadi Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, ini kisahnya:
“Nor Mohamed menelefonnya. ‘Wahid kamu dah tahu yang kami dah ambil alih UEM. Saya nak kamu uruskan UEM, sebagai CEO’. Tapi nampaknya tak ada jawapan dari Wahid. ‘Wahid, kamu di sana?‘. Selepas lama tiada suara: ‘Ya, tapi saya rasa UEM sangat besar untuk saya‘. Tidak, kata Nor Mohamed, ‘awak adalah calon yang sesuai, percayakan saya‘. Wahid akhirnya terima.” – Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Bagi Nor Mohamed, kejayaan kita mengatasi krisis 1997/1998 adalah kerana Dr Mahathir sendiri
Selepas menjadi penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, dia selalu buat pertemuan dengan Dr Mahathir, 6 hari seminggu (dengan sekurang-kurangnya 2 jam sehari). Semua tu adalah untuk meneliti data ekonomi termasuk pertumbuhan pinjaman, eksport, import dan hartanah yang tak terjual.
“Saya masih ingat satu pagi, semasa kami sedang meneliti angka-angka hartanah, beliau memandang saya dan mengarahkan saya menganjurkan pameran untuk menghabiskan hartanah yang tidak terjual. Saya lakukannya, dan hartanah bernilai lebih RM3 bilion telah dijual.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Menurut Nor Mohamed lagi, tempoh antara 1997-1998 merupakan fasa masa yang buruk, tapi dalam waktu yang sama juga sebenarnya baik. Ini kerana, ketika inilah beliau nampak menyerlahnya sisi terbaik Dr Mahathir.
“Sepanjang tempoh krisis, Perdana Menteri memberi tumpuan pada usaha mengatasinya. Siang malam, tiada perkara lain difikirkannya. Beliau membaca segala yang boleh mengenai kewangan; beliau terus meminta saya menyediakan nota-nota pelbagai isu teknikal. Kadang kala, walaupun selesema, beliau tetap bekerja. Beliau sedar beliau perlu memahami isu-isu berkenaan sebelum boleh berusaha mencari penyelesaian.”
…Saya cukup mengagumi kebolehan insan hebat ini, nilai moralnya yang tinggi dan apa paling penting, keikhlasannya. Sudah tentu, seorang lelaki seperti Mahathir Mohamed tidak dilahirkan setiap hari.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Menurut Johan Mahmood Merican (bekas Pegawai Khas Nor Mohamed), apa yang dia nampak dalam diri Nor Mohamed adalah dia seorang insan yang luar biasa. Dia juga seorang yang berkebolehan memilih orang yang tepat dalam memajukan kembali ekonomi dan sektor korporat.
Kerana itulah, walaupun dah hampir 20 tahun berlalunya Krisis Kewangan Asia, Dr. Mahathir tetap mengenang Nor Mohamed sebagai penyelamat ekonomi negara. Walaupun Nor Mohamed pernah menjadi salah seorang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian Bank Negara.
“Bagi Mahathir seorang yang telah dianggap bersalah dan tidak lagi berguna belum tentu tidak berguna kepadanya. Beliau masih dapat menghargai sudut kekuatan dan kebaikan orang itu.
…Walaupun beliau (Nor Mohamed) telah menyebabkan negara kerugian lebih 30 billion kerana perdagangan mata wang yang dikendalikannya tetapi dengan pengalaman pahit inilah Nor Yakcop telah dapat membantu negara khususnya Tun Dr. Mahathir untuk keluar dari krisis kewangan 1997 dan 1998 dan menyelamatkan ratusan billion ringgit dari serangan penyangak mata wang Soros.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari Zamkata.
[Artikel ini banyak merujuk buku – Notes to The Prime Minister: The Untold Story of How Malaysia Beat the Currency Speculators (tulisan Wong Sulong)]
- 5.1KShare sekarang!
- Email219
- Facebook4.9K
- Share