- 232Share sekarang!
- Email17
- Facebook215
- Share
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
Korang ada dengar lagu Sesungguhnya versi 2019 yang dinyanyikan kembali oleh kumpulan nasyid Raihan dan Alif Satar tu? Sayu betul kitorang dengar, terus terkenang zaman kecil dulu. Mana taknya, penapakan Raihan di Malaysia pada tahun 90-an tu banyak bagi impak kepada kehidupan seharian kita.
Kalau tak percaya, cuba korang namakan 25 nama rasul tanpa bernasyid lagu Raihan? Ataupun sebut satu persatu 99 nama Allah? Atau 20 sifat-Nya? Atau zikir taubat nasuha? Rasanya dah sebati sangat kita dan nasyid-nasyid Raihan ni. Tak hairanlah album mereka pernah laku habis di mana album ‘Puji Pujian’ mereka terjual lebih dua juta unit di seluruh dunia! Mana taknya, orang bukan Islam pun dilaporkan beli.
Dalam pada zaman nasyid ni popular dan dapat diterima banyak pihak, tahukah korang, ada juga lagu-lagu nasyid atau ketuhanan lain yang satu masa dulu pernah diharamkan atas beberapa sebab…
1. Selimut Putih yang diharamkan kejap sebab… menyeramkan?
Kalau korang tak pasti lagu apa, starting lagu tu macam ni,
“Bila Izrail datang memanggil, jasad terbujur di pembaringan”
Kalau korang masih tak dapat tangkap, korang dengar je la kat sini:
Selain pernah dinyanyikan oleh kumpulan Orkes Sinar Murni pada tahun 1970-an, lagu Selimut Putih ni satu ketika dulu juga pernah dipopularkan oleh Akhil Hayy, kumpulan nasyid Hijjaz, Sharifah Aini, dan bermacam lagi artis Nusantara.
Walaupun lagu ni penuh dengan kesedaran dan keinsafan, siapa tahu yang satu masa dulu, lagu ni pernah diharamkan oleh RTM (tapi buat sementara waktu je) sebab ia dianggap menakutkan.
Tak pasti la pula siapa sebenarnya yang takut dengan lagu ni, tapi bait-bait lagunya saja dah cukup membuatkan pendengar berfikir, kat mana sebenarnya kedudukan kita dimata Tuhan berbanding mata manusia?
“Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung
Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa keranda diusung”
2. Lagu Kasih-kekasih In-Team yang dilarang dinyanyikan di universiti
Kalau pada zaman 90-an tu kumpulan nasyid macam Raihan, Brothers, Hijjaz, Rabbani dan Saujana lebih kepada bersifat puji-pujian kepada Tuhan, peringatan sesama manusia, dan penuh dengan keinsafan, tapi nampaknya zaman semakin berubah.
Menjelang awal tahun 2000, lagu-lagu nasyid yang bersifat ketuhanan ni nampaknya dah bertukar arah sikit. Antaranya adalah lagu-lagu genre yang dibawakan pun ada yang rap, slow, malah hip hop yang lebih kepada bersifat percintaan. Salah satu contohnya adalah lagu Kasih Kekasih daripada In-Team.
Disebabkan genre yang dibawakan berlainan pada masa tu, jadinya kumpulan nasyid In-Team ni dilarang menyanyikan lagu tersebut di beberapa Universiti dan kolej pada zaman tersebut, mungkin disebabkan ketidaksesuaiannya pada masa tu, nak nak pula pada pelajar universiti dan kolej.
Tapi jawapan In-Team pula,
“Tujuan asal lahirnya lagu Kasih Kekasih dek kerana melihat parahnya amalan coupling/berpasangan sebelum nikah di IPT-IPT pada masa itu.” – In-Team, dalam kenyataan mereka di FB.
3. Lagu hasil penulisan Dr Maza yang diharamkan
Kalau lagu In-Team dilarang daripada dinyanyikan hanya di IPTA dan IPTS, kumpulan Kopratasa dengan lagu mereka, ‘Aku Bukan Musuh Harta’ pula nampaknya tak dapat kelulusan daripada pihak RTM untuk disiarkan, berpunca daripada liriknya, yang ditulis oleh Mufti Perlis, iaitu Dr Maza.
https://www.youtube.com/watch?v=zygUI17KFYs
“Saya hairan mengapa lirik saya ‘Aku Bukan Musuh Harta’ digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam,”
”Saya menulis lirik itu untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat. Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan.” – Dr Maza, dalam websitenya, Minda Tajdid, 2008.
Tapi lagu tu hanya tak diluluskan di RTM, dan bukannya stesen TV dan radio yang lain. Selain lagu yang dinyanyikan kumpulan Kopratasa, kumpulan nasyid Algebra yang menggunakan puisi Dr Maza macam ‘Itulah Politik Namanya’ dan ‘Salah Menduga’ juga turut tersenarai sebagai puisi dan lagu yang diharamkan kerajaan pada tahun 2008.
Manakala Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran pada masa tu, Datuk Adilah Shek Omar, berkata lagu nyanyian kumpulan Kopratasa itu tak diluluskan kerana liriknya tidak sesuai, dan bersifat kasar.
Pengharaman lagu masih lagi berlaku sehingga hari ini
Sebenarnya, banyak je lagu yang sama ada digam, atau diharamkan dari dulu, sampailah ke hari ni. Dan kesemua lagu-lagu ni mempunyai sebab tersendiri kenapa ia diharamkan oleh RTM. Sama ada sebab nyanyian, ‘vow’, merupakan lagu saduran, masalah ciptaan atau gubahan, malah ada yang disebabkan seni kata dalam lagu.
Tapi secara spesifiknya, lagu nasyid jarang sekali diharamkan dulu mungkin disebabkan isinya yang berbentuk pengajaran secara langsung, walaupun pada permulaannya kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani dan Hijaz merupakan serpihan ajaran Al-Arqam. Tapi mereka ni tak kena banned sebab pemantauan yang dilakukan JAKIM menunjukkan yang mereka bebas ajaran tersebut.
Bagaimanapun, penapisan ni penting untuk diserahkan kepada mereka yang pakar dan bertauliah dalam mengkaji supaya tak berlakunya kesalahan dari segi akidah dan niat.
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
- 232Share sekarang!
- Email17
- Facebook215
- Share