Jenayah & Undang-undang

Nak sampaikan dakwah Kristian, pemuda ni dibunuh penduduk pulau Sentinel

Hidup dalam zaman moden ni – macam mustahil untuk kita dengar masih ada orang tak kenal dengan teknologi. Kalau korang tak percya – cuba jalan-jalan kat mana-mana, mesti korang akan terserempak dengan orang yang macam nak cium telefon. Orang asli kat Malaysia pun dah terdedah dengan kemajuan – bahasa gempaknya; urbanisasi. Kalau tak banyak teknologi pun, sekurang-kurangnya masyarakat pedalaman dah biasa bergaul dengan orang lain.

Korang ingat tak kita pernah belajar beberapa zaman dalam era peradaban manusia? Poleolitik, Mesolitik, Neolitik dan zaman logam. Zaman-zaman ni penting untuk korang tengok macam mana perkembangan peradaban manusia berlaku. Secara logiknya – manusia yang hidup kat zaman ni dah takde, tak pun kediaman yang diorang bina dah musnah dan cuma boleh ditemui kat muzium.

Agak-agak orang ni hidup zaman bila eh? Imej dari Giphy

Hari ni kitaorang nak cerita pasal seorang pendakwah orang putih yang dibunuh lepas dia pergi kat satu pulau larangan untuk berdakwah…

Pulau Sentinel Utara yang tak terima tetamu tak diundang

Pulau Sentinel Utara ni adalah salah satu pulau di Kepulauan Andaman yang berada kat India. Kat pulau ni tinggal sekumpulan orang asli yang digelar kaum Sentinelese. Kaum ni selalunya akan berlaku ganas dengan orang yang cuba berhubung dengan diorang. Dianggarkan ada 15-500 orang kat pulau tu. Sehingga hari ni diorang tak kenal apa tu erti kemodenan.

Diorang ada bahasa sendiri yang takde kaitan dengan bahasa-bahasa di sekitar pulau tu. Oleh sebab diorang ni reject apa-apa perhubungan dengan orang luar – kerajaan India dah haramkan orang ramai untuk datang dekat dengan pulau ni bermula pada jarak 4.8 kilometer.

Korang berani tak lepak kat sini? Imej dari Imgur

Sebenarnya ada je orang cuba hubungi geng-geng kat pulau tu. Ada satu cerita ni, berlaku pada tahun 1880. Seorang pegawai British,  Maurice Vidal Portman ketuai sekumpulan orang Inggeris untuk jumpa orang-orang kat Pulau ni. Diorang berjaya tangkap 6 orang penduduk asal pulau ni – dua orang dewasa dan empat orang budak kecik. Orang dewasa tu meninggal sebelum sempat sampai ke tempat British.

Diorang pun pulangkanlah empat budak yang diorang tangkap tu sambil bagi budak-budak tu macam-macam hadiah supaya British nampak macam orang baik. Tapi usaha diorang ni gagal sebab dua orang dari puak diorang dah mati dan diorang memang agresif kat orang luar. Team National Geographic pun pernah cuba nak contact diorang, diorang adalah bagi barang-barang sikit untuk kegunaan kumpulan ni.

Beraninya mamat tu. Imej dari Youtube

Walaupun lelaki ni bawak hadiah, dia tetap dibunuh

Cerita dia macam ni – ada seorang lelaki Amerika Syarikat (USA) ni berkeras nak masuk kat pulau yang kitaorang dah ceritakan tadi. Tujuan dia nak pergi tempat tu adalah untuk sampaikan dakwah agama Krtistian. Nama lelaki USA yang malang ni – John Allen Chau. John telah masuk pulau tu dengan bawak pelbagai hadiah seperti bola sepak dan ikan.

John pergi pulau tu 15 November lepas, untuk berdakwah. Esoknya, dia beritahu nelayan yang hantar dia kat pulau tu untuk pulang dan bawak nota yang dia tulis. Sebabnya dia yakin yang dia mungkin tak pulang daripada pulau tu. Dalam nota yang John tulis, dia ada sebut gak yang masyarakat kat sana agresif gila dengan dia.

John Chau. Imej dari Sky News

“Saya fikir saya boleh menjadi lebih berguna hidup kepadamu, Tuhan. Saya memberikan semua kemuliaan kepadamu walau apa jua yang akan berlaku,” tulis Chau. Dia meminta Tuhan untuk memaafkan “mana-mana orang di pulau ini yang cuba membunuhnya, dan terutama jika mereka berjaya,” – Dipetik dari SCMP

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Kerisauan John dalam notanya terbukti berasas bila nelayan tengok mayat dia diheret kat tepi pantai sebelum ditanam di dalam pasir. Polis tengah cuba untuk bawak keluar mayat tu – tapi bukan senang nak pergi kat pulau tu sebab geng-geng Sentinelese garang nak mampus, mengalahkan guru disiplin kat sekolah. John dipercayai mati sebab terkena panah.

Antara gambar geng-geng kat pulau tu yang berjaya ditangkap. Imej dari The Sun

Polis tangkap orang yang tolong John masuk ke Pulau Sentinel

Macam kitaorang dah cerita awal-awal tadi – Pulau Sentinel adalah kawasan larangan untuk orang awam. Walaupu niat John bolehlah dikatakan baik, dia tetap langgar undang-undang sebab masuk tempat ni. Lepas kes ni dilaporkan, tujuh orang ditangkap untuk bantu siasatan. Tujuh orang tu termasuklah – nelayan yang bawak dia ke pulau tu, pemandu pelancong dan seorang kawan John.

Kalau korang nak tahu, John belajar kat Oral Roberts University dan berjaya dapat ijazah dalam bidang sains dan kesihatan dari universiti tu pada tahun 2014. Masa kat universiti dia memang dah aktif dengan program-program komuniti.

John ni terlibat jugak dengan satu pertubuhan amal yang bernama – More Than a Game. Pertubuhan ni bantu kanak-kanak yang tak bernasib baik, termasuklah pelarian daripada negara-negara yang tengah bergolak. John pernah ke Kurdistan, Iraquntuk bantuk kanak-kanak pelarian kat sana. Dia siap pernah kerja beberapa tahun kat Tulsa, Oklahoma untuk bantu pelarian dari Burma.

“Saya tidak pernah mengenali seorang lelaki dan kawan yang lebih berani, tidak mementingkan diri sendiri,” – Bobby Parks, bekas pengarah jabatan aktiviti luar Roberts University, dipetik dari SCMP

John bersama pengasas Ubuntu Football Academy Casey Prince di Afrika sebelum dia berlepas ke India. Imej dari ABC7

Keluarga John maafkan pembunuh, mintak kawan anak diorang dibebaskan

Biasanya kalau ada mana-mana ahli keluarga sesebuah keluarga tu dibunuh, mesti diorang akan marah gila. Yalah, siapa yang tak sedih kalau ahli keluarga dibunuhkan? Tapi lain pulak ceritanya dengan ahli keluarga John – diorang maafkan penduduk pulau yang dah sebabkan kematian anak diorang.

Dalam kenyataan yang dibuat oleh keluarga John – diorang kata John adalah orang yang cintakan tuhan, sayangi kehidupan dan selalu tolong orang yang tengah susah. Diorang siap minta orang yang ditahan sebab bantu anak diorang pergi pulau tu dibebaskan, sebab anak dia pergi sana tanpa paksaan sesiapa.

View this post on Instagram

John Allen Chau

A post shared by John Chau (@johnachau) on

Polis klasifikasikan kes ni sebagai kes bunuh against “unknown person”, sebab mustahil untuk diorang tahu siapa yang bunuh John. Diorang jugak terpaksa minta tolong ahli antropologi untuk bantu diorang dapatkan kembali mayat mangsa. Cuba korang bayangkan kena cari mayat yang ditanam kat dalam pasir di pulau yang orangnya ganas gila babi dan cuma ada maklumat lisan daripada nelayan.

“Kami mengekalkan jarak jauh dari pulau itu dan masih belum dapat melihat mayat itu dan memerlukan beberapa hari lagi … peninjauan kawasan itu,” – Dependra Pathak, ketua polis di Andaman dan Kepulauan Nicobar, agensi berita AFP

Hujan emas kat tempat orang, tapi kena hati-hati

Bak kata pepatah Melayu – hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang, lebih baik kat tempat sendiri. Bukan sebab nak kena hempuk dengan batu, tapi kat tempat sendiri kita tahulah adat dan peraturan. Setiap tempat ada budaya dan peraturan tersendiri, jadi kalau korang nak pergi melancong kat mana-mana lepas ni – berhati-hatilah! Terutamanya kalau tempat tu bahaya macam Pulau Sentinel.

Macam dalam kes John ni, niat dia baik je. Tapi semangat dia telah membuatkan dia terkorban. Kitaorang tertanya-tanya jugak – bilalah agaknya orang-orang kat Pulau Sentinel akan terdedah dengan kemajuan? Korang teringin tak nak nak hidup macam diorang? Jauh dari alam moden, tak ada phone, tak ada internet dan tak ada media sosial.

Korang nak bebas dari semua benda alah ni? Imej dari Giphy

Kitaorang nak tanya soalan klise, kalau korang berpeluang untuk berdakwah untuk agama korang, korang sanggup tak pergi tempat yang bahaya? Tak pun, korang berani tak cabar diri pergi tempat-tempat yang bahaya untuk cari sesuatu yang mencabar?

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend