Manifesto kata ahli parlimen kena isytihar harta, tapi kenapa 3 YB ni bagi alasan tak masuk akal?

Masa ahli parlimen diwajibkan untuk mengisytiharkan harta, Mat Sabu, Dr Dzulkefli Ahmad dan Salahuddin Ayub la antara orang pertama sekali yang mengisytiharkan harta selepas memenangi pilihanraya pada Mei yang lepas. Perkara ni diikuti oleh beberapa ahli Amanah yang lain tanpa banyak masalah.

Steady je Bang Mat isytihar harta. Imej dari FMT

“Setakat ini SPRM negeri tidak mempunyai maklumat mengenai perisytiharan harta oleh kepimpinan kerajaan negeri,” –  Mohd Zaki Hassan, Pengarah SPRM negeri,

Bagi korang yang dah tak ingat, ini adalah salah satu janji Pakatan Harapan di mana kesemua anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C ke atas diwajibkan membuat pengisytiharan aset dan pendapatan. Tapi nampaknya dah lepas 7 bulan pun, masih ada yang belum lagi berbuat demikian sampaikan SPRM mula bersuara baru-baru ni sejak ia dah jadi akta SPRM (pindaan 2018).

Sebabnya, (setakat artikel ni ditulis), masih ada seramai 13 Ahli Parlimen dan 24 anggota pentadbiran kerajaan termasuk setiausaha politik didapati masih belum mengisytiharkan harta, dan ada yang hanya mengisytiharkan pendapatan bulanan, dan bukan jumlah aset mereka. Dan dalam 13 orang ni, 3 antara mereka memberikan alasan yang… hampir tak masuk akal.

Mohamaddin Ketapi kata tiada harta untuk diisytiharkan kepada SPRM

Bukanlah sesuatu yang pelik pun untuk seseorang tu bagi alasan ‘terlampau sibuk’ untuk mengisytiharkan harta, malah dah common sangat bila nak lari dari sesuatu perkara tu. Cumanya alasan tu tak boleh digunapakai lepas tujuh bulan dilantik sebagai pegawai kerajaan ni.

Kes ni bunyinya macam tak masuk akal pula bila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi ada alasan yang lain dari yang lain, iaitu dengan mendakwa yang dia tak memiliki harta untuk diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jawab, jangan tak jawab! Imej dari NST

Ahli Parlimen Silam daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) tu juga mengakui dirinya sebagai ‘orang miskin’ dan tak mampu untuk memiliki aset walaupun sebuah kereta atau rumah.

“Saya dah bagi (isytihar) semua (pada SPRM). Apa nak saya isytiharkan lagi kalau tak ada harta. Awak jawab saya. Saya tak ada harta. Tak ada (kereta atau rumah). Saya orang miskin.

“Disebabkan itu, tiada apa untuk saya isytiharkan. Orang miskin mana ada harta,” – Mohammadin Ketapi, dipetik dari Berita Harian

Agak janggal untuk seorang ahli parlimen mengakui yang dia miskin, nak pula bergelar Datuk. Kalau kita tengok sejarahnya, dia masuk dalam bidang politik bermula sebagai Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Timbalan Setiausaha Agung PBS Pusat pada 1985. Perkara ni membuatkan kita tertanya-tanya, mana dia habiskan duit gaji selama dia jadi seorang ahli parlimen sebelum ni?

P Waytha Moorthy yang mengaku takde harta… sampai dikantoikan

Kalau Mohammadin dakwa dia takde harta untuk diisytiharkan, alasan yang sama juga diberikan oleh Menteri Perpaduan yang penuh kontroversi, iaitu P Waytha Moorthy.

“Siapa takde harta?”. Imej tak diedit dari comicbook.com

Alasannya, dia takde duit nak beli harta sebab hampir semua pendapatan yang diperoleh sebagai peguam sebelum ni dibelanjakan untuk membantu masyarakat India miskin di negara ni.

“Sepanjang hidup, saya seorang aktivis dan semua pendapatan dibelanjakan untuk memperjuangkan nasib masyarakat India yang miskin.

“Saya tidak ada akses wang untuk beli harta. Dalam 15 tahun ini, orang biasa yang lain mungkin ada (harta), saya pun dulu peguam tapi tak ada harta sebab semua pendapatan dah dibelanjakan seperti itu,” –  P Waytha Moorthy , dipetik dari MalaysiaKini

Senator Waytha Moorthy

Bagaimanapun baru-baru ni kecoh apabila blog pembangkang mendedahkan yang Waytha Moorthy yang mengaku tak mempunyai harta sebenarnya mempunyai dua buah kereta, iaitu Nissan Cefiro berusia 10 tahun dan Toyota Camry berusia enam tahun.

Kereta Waytha Moorthy yang didedahkan beberapa blog pembangkang. Imej dari abuleman.com

Dia tak menafikan pula pemilikan kereta-kereta tu, tapi nampaknya ni jawapan balas Waytha:

“Saya dimaklumkan bahawa SPRM tidak menganggap kereta sebagai aset, justeru ruang tersebut dibiarkan kosong,” – Waytha Moorthy, dipetik dari FMT.

Tapi lain pula jadinya bila SPRM kemudiannya menyangkal kata-kata Waytha Moorthy yang agensi antirasuah tu tak pernah pun keluarkan pandangan sebegitu kepada Waytha, mahupun mana-mana anggota parlimen yang lain. Malah, mungkin dia tersalah faham antara SPRM dan GIACC. Wah, main taichi ke?

“Ni makan dia!”

“Pada pandangan SPRM aset yang boleh diisytiharkan ialah semua harta boleh alih atau tidak, termasuk semua aset. Harta boleh alih termasuklah kereta, motosikal, motobot, helikopter dan sebagainya,”

“Justeru kalau dia dapat nasihat itu daripada pegawai GIACC, kita tak boleh kata itu pendirian SPRM,” – Shamsun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM

P/S: GIACC, atau Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional adalah badan khas yang ditubuhkan selepas PH membentuk kerajaan pusat melalui PRU ke-14 lalu, dan diketuai bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed. GIACC juga bertanggungjawab bagi memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang terdapat dalam manifesto PH diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa tertentu.

Anwar Ibrahim minta masa selama… 3 bulan?

Kembalinya Anwar Ibrahim dalam bidang politik nampaknya dah lama ditunggu-tunggu penyokongnya selama lebih dari satu dekad. Walaupun banyak kontroversi terutamanya Langkah PD yang dikatakan tak selari dengan prinsip dan proses pemilihan demokratik, dia akhirnya berjaya menempatkan dirinya kembali di gelanggang politik Malaysia.

“Act cool, act cool, jangan nampak happy sangat”. Imej dari The Star

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson yang diwar-warkan sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 juga nampaknya merupakan salah seorang daripada beberapa ahli parlimen yang belum lagi mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan aset. Alasannya pulak, dia baru je dilantik sebagai MP pada Oktober yang lepas, jadi dia cuma ada 3 bulan je selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.

“Sabarlah. Dia bagi tiga bulan. Saya baru menang PRK baru-baru ini. Saya baru masuk bulan sudah. Beri la masa sekejap,” – Anwar Ibrahim, dipetik dari Berita Harian.

Anwar merujuk kepada kata-kata Mohd Shukri Abdull, Ketua Pesuruhjaya SPRM:

“Sepatutnya selepas tiga bulan mereka mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen sudah isytihar harta dan kami masih menunggu lagi sebahagian daripada mereka (yang belum),” – Mohd Shukri Abdull, dipetik dari Bernama

Mohd Shukri Abdull,

SPRM bakal kenakan tindakan terhadap Ahli Parlimen dan menteri yang tak isytihar harta

Disebabkan keliatan beberapa MP dan menteri ni jugalah nampaknya SPRM dah bercadang untuk memasukkan seksyen baharu di bawah Akta SPRM untuk mewajibkan pengisytiharan harta kepada semua ahli parlimen, kemungkinannya akan dibentangkan di Parlimen April depan. Kalau peminjam PTPTN kena paksa bayar dengan penolakan gaji, takkanlah ahli parlimen pun tak boleh kena desak sikit, kan?

Bila menteri PH kata PTPTN kena bayar… Imej dari ktemoc.blogspot

Seksyen baru ni juga akan membolehkan SPRM mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota Parlimen atau menteri yang tak mengisytiharkan harta mereka. Malah ia akan menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang jika gagal mengisytihar harta mereka.

“Apa yang kami boleh buat sekarang adalah meminta mereka menyegerakan proses ini (isytihar harta) kerana ia merupakan janji kerajaan Pakatan Harapan untuk membersihkan negara daripada rasuah,” – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, dipetik dari Ismaweb

Kalau korang ingat, ketua pesuruhjaya SPRM ni jugalah yang pernah diberhentikan sebagai timbalan SPRM secara tiba-tiba pada tahun 2016 semasa dia menyiasat kes 1MDB. Masa tu juga, dia dah berkhidmat selama 32 tahun, mengejutkan ramai pihak. Bagaimanapun dia dilantik semula

Selain Shukri, ini adalah antara pihak yang pernah disingkirkan sebab menyiasat 1MDB. Klik untuk baca

Selepas SPRM, SPR pula masuk campur

Bukan SPRM je bising, malah beberapa hari lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masuk campur dalam hal ni di mana laporan polis dibuat terhadap 62 calon kerana gagal mengisytiharkan perbelanjaan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut pengerusinya, Azhar Azizan Harun, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menyatakan yang calon atau ejen mereka sepatutnya memfailkan pulangan 31 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan pada 31 Mei yang lepas.

“Semua calon sepatutnya memfailkan pulangan mereka pada 28 Jun tetapi 62 tidak memenuhi tarikh akhir. Empat belas yang dipertandingkan dalam kerusi parlimen manakala 48 lagi untuk kerusi untuk majlis negara, ” – Azhar Azizan Harun, Pengerusi SPR

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, atau Art Harun. Imej dari FMT

Di bawah seksyen 23 undang-undang, calon yang berjaya ke Dewan Rakyat dan majlis-majlis negeri yang gagal mengemukakan pemulangannya tepat pada masanya tidak boleh memasuki perundangan dan mengundi.

“Mereka juga tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun,” katanya, sambil menambah yang mereka juga boleh didakwa kerana tidak mematuhi undang-undang.

Susah sangat ke nak isytiharkan harta ni sebenarnya?

Kalau ikutkan, tak susah pun sebenarnya untuk mengisytiharkan harta benda ni sebab guidelines semua dah ada, di HRMIS 2.0. Sama ada guna borang ataupun isi borang secara dalam talian, sepatutnya tak lah susah sangat.

Panduan pengguna untuk perisytiharan harta. Imej dari eghrmis.gov

Lepas isi borang pengisytiharan harta ni, pesuruhjaya sumpah diperlukan supaya mereka tak menipu dalam urusan ni. Dari situ pula, semakan dan kira-kira semula, dan disahkan.

“Mereka perlu buat pengisytiharan kepada Perdana Menteri, dan Perdana Menteri akan menghantar salinan kepada kita, maka isunya sama ada mereka mahu buat atau tidak terpulang pada mereka,” – Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil, Ketua Pesuruhjaya SPRM, dipetik dari Berita Harian

Sekiranya ada penipuan yang berlaku, jadi SPRM boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menipu, dan memalsukan dokumen tersebut sebab mereka juga dah mengangkat sumpah semasa membuat pengisytiharan tu.

Dan sebenarnya kalau nak diikutkan, pengisytiharan harta pernah je dilakukan kerajaan sebelum ni menurut Shahidan Kassim. Dia mengatakan Ahli Parlimen Barisan Nasional memang dah buat pengisytiharan harta dan liabiliti kepada… Perdana Menteri pada masa tu, Najib Razak.

HEHEHEHE. Imej dari twitter

Perkara yang sama menyebabkan Ku Li mempersoalkan Najib yang merupakan perdana menteri, dan juga menteri kewangan dalam masa yang sama, menimbulkan pertelingkahan kepentingan (conflict of interest). Ku Li kemudiannya mencadangkan supaya pengisytiharan harta tu dibuat secara berkala dengan penubuhan sebuah badan bebas yang dibentuk melalui Akta Parlimen.

“Satu perkara yang ada hubung kait dengan pertelingkahan kepentingan dan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasinya ialah pengisytiharan harta dan liabiliti.” – Ku Li, dipetik dari Astro Awani, 2015.

Ku Li yang tak bersetuju dengan cara Najib Razak. Imej dari suarapakatandaily

Tapi dengan perubahan kerajaan baru, barulah mereka berjaya melaksanakan idea ni.

Isytihar harta perlu dilakukan, SPRM adalah badan bukan kerajaan yang tak bersifat politik

Oleh itu, penting sebenarnya untuk setiap ahli parlimen melakukan pengisytiharan harta untuk memerangi rasuah yang melanda seluruh dunia. Ia adalah satu wabak yang tak boleh dipandang ringan dalam kehidupan kita. Daripada perkara yang kecil macam bagi duit kopi kat polis untuk lepaskan diri, sampailah kepada memasukkan berjuta-juta ke dalam akaun sebagai imbuhan disebabkan meluluskan sesebuah projek tu, kesan rasuah boleh dilihat dalam jangka masa yang panjang.

Lagipun setakat Februari tahun ni, Malaysia berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara dalam indeks rasuah dikeluarkan oleh badan ketelusan antarabangsa, Transparency International (TI), prestasi yang terburuk sejak 5 tahun lepas. Malah Malaysia memperoleh markah 47 daripada 100 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017.

Jadi, pengisytiharan harta ni penting disebabkan tujuannya yang nakkan ketelusan pemimpin supaya kesemua perniagaan dan aktiviti komersial yang dijalankan akan berada dalam keadaan bebas rasuah macam apa yang diharapkan rakyat. Harapnya dengan pengisytiharan harta ni sedikit sebanyak mampu menampakkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan yang baru.