- 241Share sekarang!
- Email6
- Facebook235
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Korang ingat lagi tak dengan hastag #PrayForCikguAzizan yang pernah trending tu? Hastag tu adalah untuk Azizan Manap atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan. Kisah dia mula jadi viral apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret Seremban selepas dituduh mencederakan seorang murid darjah lima.
Tapi dia takde la nak tampar suka-suka, tapi sebab anak muridnya tu telah melakukan kesalahan disiplin berat berulang termasuk menghidu gam, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.
Tapi menurut bapa kepada murid tu, dia takde niat pun nak mengheret Cikgu Azizan ke mahkamah. Malah tujuan dia membuat laporan polis adalah atas nasihat pihak hospital.
“Saya dan keluarga saya telah menghadapi banyak tekanan kerana kes itu menjadi viral. Ramai orang telah menuduh kami sengaja mengambil perkara itu ke mahkamah.” – Bapa pelajar tersebut, dipetik dari The Star.
Kalau dulu, cikgu tampar pelajar, sekarang ibu bapa pelajar pulak yang tampar cikgu?
Pengalaman pahit Cikgu Azizan ni mungkin dah berakhir tapi macam mana pulak dengan nasib cikgu-cikgu lain yang akan datang nanti?
Rasanya macam makin banyak insiden di mana ibu bapa memihak kepada anak mereka daripada guru di sekolah. Atau mungkin baru sekarang kes-kes macam ini lebih mendapat perhatian media? Kami cuba cari statistik kes seperti ini yang berlaku kat Malaysia tapi takde pulak. Tapi kami ada jumpa beberapa kes yang pernah keluar berita:
Tan Seow Yen yang merupakan seorang suri rumah berusia 36 tahun telah menampar seorang guru Bahasa Melayu iaitu L. Vanitha, di SJK (C) Chong Kuang kat Sungai Bakap kerana guru tersebut telah mencubit leher anaknya yang berusia 8 tahun. Anaknya tu dicubit kerana dia lemah dalam mata pelajaran tersebut, bukan sebab masalah disiplin. Mahkamah Majistret Nibong Tebal telah menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM2,000 pada ibu tersebut.
Satu lagi kes berlaku di sebuah Sekolah Tamil kat Sungai Petani, Kedah di mana seorang guru wanita telah ditampar oleh ibu seorang pelajar. Tapi apa yang memeranjatkan, guru ni langsung takde cederakan anaknya pun. Dia hanya marah pelajar tu sebab dia tinggalkan khemah pasukan pada hari sukan sekolah. Bapak budak tu tak puas hati dan pergi one-on-one dengan cikgu, tapi kemudiannya diminta balik ke kawasan ibu-bapa. Dia datang balik dengan isteri dia yang cuba handle dengan… tangan dia sendiri. Lepas tu, 12 guru dari sekolah tu pun buat laporan polis.
Satu lagi cerita adalah di mana seorang guru wanita, Salina Daud yang bertugas di SJKC Pai Chee, Mersing telah diserang oleh bapa anak muridnya di bilik guru. Salina mendakwa bapa pelajar terbabit mencampakkan buku ke arahnya dan turut memakinya kerana dia bagi tindakan disiplin terhadap anak lelakinya yang didakwa menggunakan bahasa kesat. Dia jugak ada bagitahu yang ni bukan kali pertama benda tu terjadi dan dia turut membuat laporan polis demi keselamatan dirinya.
Ok yang terakhir ni pulak membabitkan seorang guru lelaki, Mohd Zaid Yob yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam. Dia didakwa di mahkamah kerana menarik hidung pelajarnya yang berusia 12 tahun (seksyen yang sama dalam Kanun Keseksaan yang Cikgu Azizan didakwa) sehingga menyebabkan kecederaan. Bukan setakat mengambil tindakan undang-undang, malah bapa pelajar tu jugak turut mengasarinya.
Lepas baca senarai kat atas ni, mesti ada antara korang terfikir, memang guru-guru ni selalu jadi mangsa ke? Ok untuk nampak lebih adil, kami cuba cari kes di mana pelajar telah dipukul/didera oleh guru pulak.
Korang ingat lagi tak kes pelajar tahfiz yang pernah viral kerana dipukul dengan getah paip tu? Menurut Astro Awani, Mohamad Thaqif telah disebat oleh pembantu warden sekolahnya kerana dia dan beberapa rakannya telah membuat bising di surau. Dia telah dipukul di bahagian kaki sehingga kedua-dua kakinya menjadi hitam dan terpaksa dipotong.
Jadi korang boleh nampak la kan. Ada sesetengah ibu bapa tak suka anak-anak dorang kena hukum atau kena marah oleh cikgu. So dorang ambil tindakan dengan menyerang guru dan ada jugak yang terus bawa kes ni ke mahkamah.
Adakah martabat guru kini telah tergugat?
Dulu-dulu, setakat rotan, kena baling pemadam papan hitam dan baling kapur dengan cikgu tu perkara biasalah. Belum kena tarik sideburn lagi. Tapi sekarang cikgu macam dah terancam. Ada cikgu yang takut pulak dengan pelajar gangster.
Malah, oleh kerana sekarang ni sekolah-sekolah Malaysia makin ‘berlembut’, ada yang kata ibu-bapa pulak yang membuli cikgu. Walaupun hukuman masih dibenarkan, Kementerian Pendidikan tak galakkan cikgu dera murid, siap ada garis panduan yang jelas pasal cara hukuman. Dulu-dulu bolehlah rotan kat depan perhimpunan, sekarang ni kena rotan dalam bilik.
“Hukuman rotan merupakan satu daripada cara untuk mendisiplinkan pelajar, dan bukannya mendera seperti yang diperkatakan oleh ibu bapa masa kini. Hairan juga kenapa ada sesetengah ibu bapa yang tidak boleh menerima hukuman rotan dilakukan kepada pelajar yang bermasalah disiplin sedangkan sewaktu mereka belajar dulu juga hukuman ini telah dilaksanakan, malah lebih teruk lagi.” – Satu pendapat di Sinar Harian.
Malah zaman dulu, siap ada setengah ibu bapa tu galakkan lagi guru untuk pukul anaknya kalau ada buat salah. Sebagai tanda untuk mendisiplinkan anak-anak. Zaman sekarang rasa-rasanya ada lagi tak? Hmmm ok ada! Korang boleh tengok video kat bawah ni:
Hukuman dera (rotan) boleh dikenakan (kecuali ke atas murid-murid perempuan) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959. Dijalankan sebaik-baik sahaja sesuatu salah laku itu dilakukan oleh murid. Hendaklah dibuat setelah sesuatu salah laku telah dapat disahkan. Dijalankan oleh Pengetua/Guru Besar sendiri atau oleh seorang guru yang berdaftar yang telah diberikan kuasa secara nyata atau khas iaitu mengikut keadaan [Perkara 6 Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959]. – Dipetik dari Jabatan Pendidikan.
Ada cikgu-cikgu yang kata kes Cikgu Azizan ni membuktikan ada masalah dalam mendidik budak-budak muda sekarang ni. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) risau yang para cikgu makin senang dihukum sekarang ni. Tapi para ibu-bapa pun ada yang marah bila cikgu Mohd Zaid Yob kena hukum hanya sebab tarik hidung pelajar je. NUTP pun mendedahkan yang ada ibu-bapa yang ingin menolong Cikgu Azizan.
“Nampaknya sesiapa yang ‘menyentuh’ pelajar akan berhadapan dengan tindakan mahkamah.” – Mak Chee Kin, Pengerusi Melaka Action Group for Parents in Education (Magpie). Dipetik dari Free Malaysia Today.
Jika pelajar dan guru mempunyai peraturan untuk diikuti, bagaimana pula dengan ibu bapa?
Pelajar ada macam-macam peraturan sekolah yang perlu diikut dan cikgu pun ada garis panduan dari bos dorang iaitu Kementerian Pendidikan. Oleh itu, NUTP pun mencadangkan untuk menubuhkan kod etika kat ibu-bapa sebab dorang jugak turut melakukan salah laku seperti menyerang guru.
Benda ni dah ada kat Sweden. So NUTP mencadangkan lagi agar Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membincangkan hal ni tentang apa yang perlu ibu-bapa patuhi ketika bertemu guru di sekolah bagi melindungi guru dari diserang. Tapi sekiranya guru tu dah melampaui batas, takde keperluan pun untuk dilindungi.
“Jika ianya tak dilakukan dalam tempoh setahun ini, kami terpaksa adakan perhimpunan aman bagi mengingatkan kementerian untuk berbuat demikian.” – Harry Tan Huat Hock, Setiausaha Agung NUTP, dipetik dari The Star.
Parent Action Group for Education (PAGE) turut menyatakan bahawa ibu bapa harus bersuara dan mendengar kedua-dua belah cerita (dari anak-anak mereka dan guru yang terlibat) sebelum melakukan sesuatu tindakan.
“Kami menggesa ibu bapa supaya menyelesaikan masalah disiplin yang serius dengan cara baik. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa mengheret kes-kes seperti ini ke mahkamah, hanya akan memberi kesan yang serius terhadap profesion pengajar dan ia tak dapat menyelesaikan masalah pun.” – Datuk Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pelajaran, dipetik dari The Star.
- 241Share sekarang!
- Email6
- Facebook235
- Share