Macam mana kematian seorang juruaudit membongkar Skandal BMF

Artikel ini pada asalnya diterbitkan 17 Februari 2017

Kalau sejak beberapa tahun kebelakangan ni kita dihidangkan dengan pelbagai kisah skandal membabitkan beberapa institusi dan individu. Ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Sebabnya, lebih 30 tahun yang lalu – kita juga pernah digegarkan dengan kes skandal membabitkan Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang meletop selepas 2 tahun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri.

Isu ni menimbulkan lagi kontroversi pada 2017 – apabila dokumen dari Agensi Perisikan Pusat (CIA) didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang skandal berkenaan. Skandal BMF ni juga dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang juruaudit Malaysia, Jalil Ibrahim.

Klik imej atau sini kalau hangpa nak baca dokumen CIA tu.

Oleh tu, kali ni kami SOSCILI akan cuba terangkan sedikit sebanyak tentang kes yang melibatkan BMF ni.

BMF bagi pinjaman yang sangat besar kepada syarikat Hong Kong

Bumiputra Malaysia Finance (BMF) adalah anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) yang ditubuhkan pada 1974 dan mula beroperasi di Hong Kong pada 1977. Berganjak ke tahun 1980, BBMB dilaporkan menerima RM50 juta sebulan dari PETRONAS hasil dari perjanjian untuk meningkatkan simpanan bank tu. Mungkin kerana tu jugalah, bank ni jadi bank kedua terbesar di Asia Tenggara ketika itu.

Sekarang Bank Bumiputra dah takde tapi diganti dengan CIMB (lepas lalui banyak proses). Imej dari UM Memory.

Macam biasa, matlamat asal bank ni adalah untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu, supaya para peniaga Melayu dapat buat pinjaman dan simpanan tanpa risau dan ragu-ragu. Tapi skandal dan masalah mula timbul bila BMF yang di Hong Kong tu buat hal.

BMF didapati dah bagi pinjaman mudah dengan nilai yang sangat besar kepada beberapa buah syarikat di Hong Kong. Antaranya adalah Carrian Group dan dua syarikat berkaitan iaitu Eda Group dan Kevin Hsu Group. Carrian Group ni sebenarnya diasaskan oleh seorang jurutera awam Singapura bernama George Tan.

George Tan jugak dikatakan ada hubungan yang baik dengan beberapa orang ternama Hong Kong dan Malaysia. Imej dari emaze.com

Pada awal tahun 1980, Carrian Group terlibat dalam banyak bidang perniagaan termasuklah perkapalan, hartanah, kewangan, katering, insurans dan pelbagai lagi. Syarikat ni juga berjaya luaskan perniagaan diorang di Malaysia, Taiwan, Jepun, New Zealand, Australia dan sebagainya.

Tapi apa yang mengejutkan adalah bila George Tan beli menara Gammon House (sekarang Menara Bank of America) dengan nilai HK$1 bilion pada Januari 1980. Tapi dia jual balik bangunan tu dengan harga HK$1.6 billion pada Oktober. Disebabkan perkara tu, George Tan jadi ‘budak ajaib’ dalam dunia korporat Hong Kong secara sekelip mata je.

Imej dari Giphy.

Tapi masalah mula muncul bila pasaran hartanah Hong Kong merosot dan jatuh mendadak pada 1982. Perkara ni terjadi bila ada perbincangan antara pihak British (masih menjajah Hong Kong masa tu) dan pihak China tentang masa depan wilayah itu. Perkara ni dah buatkan Carrian Group menghadapi masalah kewangan.

Hal ni sekaligus dah buatkan BMF rugi bila peminjam tak dapat bayar balik pinjaman mereka. Perkara ni jadi lebih serius lagi bila BMF-lah yang jadi sumber utama kewangan Carrian Group masa tu. Akhirnya pada 1983, Bursa Saham Hong Kong menggantung saham Carrian Group.

Terbongkarnya skandal BMF

Imej dari Giphy.

Bila perkara ni jadi, pihak Bank Negara hantar pasukan pemeriksa ke Hong Kong pada 12 Julai 1982 untuk menyiasat perkara sebenar. Pada tahun sama, pihak BBMB juga hantar juruaudit dalaman diorang ke Hong Kong untuk menyiasat.

Hasil dari siasatan mendapati yang Carrian Group dapat sumber dana dari beberapa buah bank, tapi sumber kewangan terbesarnya datang dari BBMB melalui BMF. BMF dikatakan dah membelanjakan dana sebanyak RM2.5 bilion untuk dijadikan pinjaman kepada Carrian Group dan dua syarikat berkaitannya (Eda Group & Kevin Hsu Group).

BMF dipercayai dah bagi dana tersebut dari 3 Julai 1979 hingga 3 October 1983. Pihak Bank Negara (BNM) mendapati wujudnya kecacatan serius dalam urus tadbir BMF. Gabenor BNM juga mengaku yang BMF dah lakukan perkara yang luar dari kebiasaan sebuah bank lakukan.

Pada Julai 1983, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri akhirnya bersuara mengenai isu ini. Dr Mahathir mengakui yang tindakan BMF bagi pinjaman tu adalah langkah yang tak bijak. Beliau juga kata yang kerajaan akan lakukan tindakan kalau siasatan buktikan adanya penyelewengan dalam pengurusan.

Bukan main suka Dr Mahathir bila kena interview. Imej dari Skandal BMF: Pedih dan Memalukan.

Beberapa bulan kemudian, Dr Mahathir dalam satu sidang media beritahu yang 5 orang atasan dan pegawai BMF dah terima ‘consultancy fee’ sebanyak HK$ 3.3 juta. Beliau sifatkan perkara tu sebagai pengkhianatan.

“Ketika seorang pemberita mengemukakan nama-nama bekas Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputra, Tan Sri Kamarul Ariffin; Pengerusi BMF, Encik Lorraine Esme Osman; Pengarah Bank Bumiputra dan BMF, Datuk Hashim Shamsuddin;

___

Pengurus Besar Kanan BBMB (juga Pengarah BMF), Dr Rais Saniman dan Pengurus Besar BMF, En. Ibrahim Jaafar sebagai mereka yang turut terlibat, Datuk Seri Dr Mahathir hanya menjawab: ‘Saya tak mahu cakap ya atau tidak’.” – Utusan Malaysia, 12 Oktober 1983.

Bagaimanapun, diorang tak didakwa atas kesalahan dapat ”consultancy fee’ tu, sebabnya walaupun benda tu tak bermoral, tapi ia masih tak menyalahi undang-undang dan diorang tak boleh didakwa. Oleh itu, kerajaan tak boleh buat apa-apa melainkan diorang sedar sendiri dan berenti.

Keratan akhbar Utusan Malaysia. Imej dari Utusan Malaysia & sumber dari Perpustakaan Negara.

Juruaudit Bank Bumiputra ditemui mati dibunuh

Beberapa bulan sebelum pendedahan Dr Mahathir tentang 5 orang atasan BMF tu, sebenarnya ada tragedi buruk yang jadi kepada salah seorang juruaudit BBMB. Jalil Ibrahim yang dihantar ke Hong Kong untuk menyiasat BMF ditemui mati dibunuh. Mayatnya ditemui di sebuah kebun pisang, di New Territory, Hong Kong pada 19 Julai 1983.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tanpa dompet dan kad pengenalan diri, cuma apa yang dijumpai adalah duit syiling Malaysia dalam poketnya. Sebelum itu, Jalil dah serahkan laporan auditnya sepanjang berada di Hong Kong kepada pegawai-pegawai atasannya yang berada di KL.

Allaharyam Jalil Ibrahim. Imej dari tv14.

“Jalil ketika itu semakin bimbang dan risau tentang cara wang yang dipinjamkan kepada Carrian dan dia mahu menghentikannya.” – Philip Bowring, wartawan kewangan.

Mengikut siasatan, bila Carrian Group dalam keadaan tenat, syarikat tu ada minta pinjaman tambahan $4 juta dari BMF. Tapi Jalil tolak permintaan pinjaman tu sebab permohonan tu masih belum dapat kelulusan dari bank induk (BBMB di Kuala Lumpur). Ini kerana, Jalil adalah orang yang bertanggungjawab untuk meluluskan apa juga jenis pinjaman, disebabkan BMF tengah dalam proses diaudit ketika itu.

Hasil siasatan polis Hong Kong, diorang berjaya menangkap seorang ahli perniagaan Malaysia yang berniaga di sana bernama Mak Foon Than. Tapi bila ditangkap, Mak kata yang dia tak bunuh Jalil, tapi dia cuma orang yang masukkan mayat Jalil dalam beg dan buang mayatnya di kebun. Dia kata pembunuh sebenarnya adalah seorang lelaki Korea bernama ‘Mr Shin’.

Mak Foon Than. Imej dari Youtube.

Dia juga kaitkan pembunuhan ni dengan George Tan, pengasas Carrian Group. Bermula dari situlah, kes ni jadi perhatian dunia. Tapi ada benda pelik yang jadi masa di mahkamah. Dokumen keterangan Mak, tak sampai ke Mahkamah dan hilang begitu je sampai sekarang.

“Kenyataan 24 halaman yang dibuat oleh Mak yang mana dia memberi keterangan ke atas George Tan dan saya rasa beberapa orang lain di Malaysia hilang secara misteri dan sehingga hari ini tiada sesiapa yang tahu apa yang berlaku padanya.” – Winsome Lane, wartawan mahkamah.

Jadinya, peguambela terus kaitkan pembunuhan tu dengan ‘Mr Shin’ yang Mak kata sebelum tu. Akhirnya, pihak polis Hong Kong dengan kerjasama kerajaan Korea Selatan berjaya jumpa ‘Mr Shin’ tu dan rakam kenyataannya. Hasilnya, orang Korea tu berjaya buktikan yang dia tak berada di Hong Kong pada masa Jalil dibunuh.

Jenazah Jalil diusung keluar lepas saja tiba di Lapangan Terbang Subang. Imej dari Skandal BMF: Pedih dan Memalukan.

Mahkamah akhirnya membuat keputusan yang Mak Foon Than bersalah dan dia dijatuhi hukuman mati, tapi kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup. Bagaimanapun, kes pembunuhan Jalil sehingga sekarang masih menjadi kontroversi kerana ia pernah dikaitkan dengan skandal Carrian Group dan BMF. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Petronas ambil alih hutang BMF

Disebabkan BMF dah bagi pinjaman yang sangat besar kepada syarikat-syarikat Hong Kong, dan syarikat-syarikat tu pula tak dapat bayar bila diorang sendiri nak bankrup. Maka BMF dan BBMB lah yang menanggung kerugian. Jadinya pada Julai 1983, Permodalan Nasional Berhad (pemegang 70% saham BBMB) dah menyuntik RM600 juta kepada syarikat tu.

Lepas tu, ramai pihak cuba mendesak kerajaan supaya tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasat skandal ni. Bagaimanapun, cadangan tu ditolak kerajaan dengan alasan BMF ditubuhkan di Hong Kong dan berada luar dari perundangan Malaysia. Jadinya RCI tak boleh dilaksanakan.

RCI??? No… no…way. Imej dari Giphy.

Namun, kerajaan ada tubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan untuk siasat skandal ni. Mereka yang dilantik adalah:

  1. Tan Sri Ahmad Noordin (Ketua Audit Negara)
  2. Ramli Ibrahim (akauntan kanan dr Syarikat Peat Marwick & Mitchell)
  3. Chui Man Sor (Peguam dari Syarikat Chooi)

Bagaimanapun, laporan siasatan ni tak didedahkan kepada umum pada mulanya. Hanya setelah didesak, barulah kerajaan setuju keluarkan 2000 salinan laporan, yang setiap satunya dijual dengan harga RM250 (yang banyak beli salinan ni sebenarnya BBMB sendiri). Pada Mac 1986, kerajaan akhirnya keluarkan laporan Kertas Putih berkenaan skandal ni.

Imej dari library.perdana.org

Kertas Putih tu menyatakan kerugian kewangan BMF & BBMB, tapi tak nyatakan sebarang salah tadbir urus atau sebarang unsur rasuah.

“Menurut peguam Negara, Abu Talib Othman, hasil Jawatankuasa Siasatan tak boleh dijadikan asas untuk tindakan undang-undang kerana hanya siasatan polis yang boleh diambil kira.

___

Beliau juga kata yang beliau tidak dapat menahan atau mendakwa sesiapa kerana pesalah BMF tak boleh didakwa di Malaysia bagi kesalahan yang dilakukan di luar negara.” – Dipetik dari thesis Employee Fraud in Malaysia: A Case Study, juga tersiar di Star pada 30/11/1984.

Pada akhir tahun 1983, semua pinjaman bermasalah BMF dah diserahkan kepada BBMB yang berjumlah RM2.225 bilion. Kerajaan gunakan Petronas untuk ambil alih hutang BBMB pada September 1984. Petronas beli saham BBMB yang bernilai RM933 juta termasuk juga pinjaman bermasalah BMF sebanyak RM1.255 bilion.

Imej asal dari Auto World.

Apa jadi kepada mereka yang terlibat?

Skandal BMF ni dah jadi liputan media antarabangsa bila ia dikaitkan dengan sebuah syarikat ternama Hong Kong, Carrian Group. Kes ni bertambah hangat bila kes pembunuhan Jalil Ibrahim juga dikaitkan dengan skandal ni.

Jadi siasatan dilakukan di Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom. Mereka yang terlibat tu mula disiasat dan dibicarakan:

George Tan (Pengerusi & pengasas Carrian Group)

Syarikatnya Carrian Group jatuh bankrup pada 1983. Dia didakwa atas kesalahan menipu kewangan dan dibicarakan dua kali pada 1986 dan 1992. Akhirnya dia mengaku bersalah pada 1996 dan dijatuhi hukuman penjara 3 tahun.

Dia keluar dari penjara pada 1999. Perbicaraan kes ni antara yang terlama di Hong Kong dan menelan kos jutaan dolar Hong Kong.

George Tan (yang tak pakai kot) ditahan polis Hong Kong. Imej dari South China Morning Post.

Lorrain Esme Osman (Pengerusi BMF)

Lorrain melarikan diri ke London pada 1983 untuk elak dari diekstradisi ke Hong Kong atas tuduhan rasuah. Pada Disember 1985, polis berjaya menahannya. Dia dipenjara selama 7 tahun di England sebelum dia diekstardisi ke Hong Kong untuk jalani hukuman penjara 2 bulan.

Beliau seterusnya hidup dalam buangan di London dan meninggal dunia pada 2011. Sehingga akhir hanyatnya, Lorraine masih mempertahankan dirinya tidak bersalah.

Lorrain dalam perjalanan ke mahkamah pada 1992. Imej dari South China Morning Post.

Datuk Hashim Shamsuddin (Pengarah BBMB dan BMF)

Masa Lorrain ditangkap di London, Hashim juga ditangkap sama. Dia akhirnya mengaku terlibat dalam aktiviti penipuan BMF melibatkan HK$1.05 bilion. Dia juga mengaku dah terima rasuah sebanyak HK$15 juta.

Dia dihukum penjara 4 tahun setengah di Hong Kong pada 1987. Tapi lepas tu Mahkamah Rayuan, tambah lagi hukuman 10 tahun penjara kepadanya.

Datuk Hashim Shamsuddin (tengah). Imej dari Utusan Malaysia & sumber dari Perpustakaan Negara.

Dr Rais Saniman (Pengarah BMF)

Dr Rais melarikan diri ke Perancis untuk elakkan diri dari diekstradisi ke Hong Kong. Pada 1987, dia ditahan pihak berkuasa Perancis. Setelah melalui banyak proses undang-undang, akhirnya dia diekstradisi ke Hong Kong pada 1994. Di Hong Kong dia didakwa atas kesalahan dua kes rasuah dan dia mengaku bersalah. Dia dihukum penjara 5 tahun.

Bagaimanapun, Kamarul Ariffin (Pengerusi BBMB) dan Ibrahim Jaafar tidak didakwa. Kamarul akhirnya hanya meletak jawatan dan dia jugak mendakwa yang dia tak tahu sama sekali pasal pinjaman yang besar itu. Dia juga menafikan ada terima apa-apa ‘consultancy fee’.

Ibrahim pula tak dibicarakan walaupun dia mengaku terima rasuah. Ini kerana dia jadi ‘crown witness’ dalam kes Carrian Group dan ditawarkan kekebalan dari pendakwaan jenayah oleh pihak berkuasa Hong Kong. Lepas tu, dia masih dibenarkan mengekalkan jawatannya dalam BMF/BBMB.

Imej dari Giphy.

Kes skandal Carrian Group adalah kes jenayah paling lama dalam sejarah kehakiman Hong Kong iaitu mengambil masa 17 tahun dengan kos bernilai HK$ 210 juta.

Takde bukti nak kaitkan Dr Mahathir dengan skandal ni

Disebabkan tembelang skandal ni pecah masa zaman Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri, jadinya adalah pihak yang seolah-olah menyalahkan atau mengaitkannya dalam skandal ni. Bila difikirkan balik, rasanya Dr Mahathir masa tu pun rasa agak tercabar jugaklah, ye lah kan, baru je pegang jawatan PM 2 tahun, ada pula isu kontroversi macam ni.

Berdasarkan cerita dari Datuk Kadir Jasin (bekas Ketua Pengarang NST), skandal ni bermula sejak zaman Tun Hussain Onn sebagai Perdana Menteri dan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan lagi. Sebelum dilantik jadi Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh adalah pengerusi BBMB.

Dr Mahathir & Tengku Razaleigh, dua lagenda politik Malaysia. Imej dari bigdogdotcom.

Disebabkan skandal tu jugalah Tengku Razaleigh dah dipindahkan dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Jawatan Menteri Kewangan seterusnya diambil alih oleh Tun Daim Zainuddin.

Seorang wartawan bebas dan juga bekas wartawan The Star, M Krishnamoorthy juga kata yang Dr Mahathir sebenarnya nakkan siasatan penuh dalam skandal BMF ini. Bekas Pengerusi BMF, Lorrain Esme Osman turut kata yang dia takde bukti untuk kaitkan Dr Mahathir dalam kes ni.

Lorrain ketika ditemuramah oleh wartawan. Imej dari Malaysian Bar.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga nafikan yang dia terlibat dalam skandal ni berdasarkan dokumen CIA yang didedahkan.

“Laporan CIA sendiri mengakui Perdana Menteri tidak terlibat, secara peribadi atau secara langsung dengan isu BMF. Ini boleh didapati pada muka surat 4 laporan itu di bawah tajuk ‘Menilai Kesan Politik’, yang menyatakan:

___

‘Sehingga kini hubungan langsung antara (Dr) Mahathir dan rasuah di BMF tidak dapat dipastikan…’” – Dr Mahathir Mohammad, dipetik dari chedet.cc.

Jadi kesimpulannya, kontroversi skandal BMF ni bukanlah isu yang mudah difahami oleh kita semua. Mungkin kalau Hong Kong masa tu tak hadapi kemerosotan ekonomi, keadaan BMF juga akan berbeza. Tapi akhirnya, sejarah telah mencatatkan segala-galanya dan kita sebagai generasi sekarang akan terus belajar dan ambil iktibar darinya.

[Artikel ini banyak merujuk buku – Skandal BMF: Pedih dan Memalukan (tulisan Zakry Abadi) dan thesis – Employee Fraud in Malaysia: A Case Study (Yik Koon Teh)]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.