- 207Share sekarang!
- Email4
- Facebook203
- Share
Haritu kitorang dapat peluang untuk interview sorang imam ni dari USA. Yang menarik pasal imam ni adalah dia merupakan sorang double minority, berketurunan Pakistan dan Islam di sebuah negara yang terkenal dengan Islamophobia (takut/tak suka islam). Tapi ntah macam mana dia boleh survive dan sekarang ni merupakan antara nama-nama besar dalam Islam bukan saje di USA malah di peringkat dunia.
Khalid Latif merupakan Imam pertama untuk New York University (NYU) dan juga imam pertama dan termuda untuk Polis New York (NYPD) pada umur 24 tahun. Selain daripada tu dia ada buka bisnes jual daging organik dan halal di New York.
Sewaktu berumur 12 tahun, dia pernah ikut mak bapak dia balik kampung kat Kashmir, Pakistan. Time berjalan-jalan kat sana, dia tengah pakai seluar londeh (baggy jeans) dan topi terbalik, tiba-tiba ada sorang budak lebih kurang 4 tahun macam tu menjerit “Michael Jackson aghey” yang bermaksud Michael Jackson ada kat sini! Dia berasa pelik sebab kat USA orang taknak terima dia sebab dia keturunan Pakistan, kat Pakistan pula orang pandang dia sebagai sorang USA.
Peristiwa kat Pakistan tu telah ubah takdir Khalid selamanya bila dia amek keputusan untuk mencari identiti dia selepas tempat kelahiran dan bangsa dia ‘tak terima’ dirinya. Bila pulang ke USA balik, Khalid ponteng sekolah dan pergi ke masjid untuk mencari identiti dia dan belajar agama (agak kelakar sebab kat sini budak-budak ponteng sekolah mesti pergi shopping mall atau cc). Dari situ dia mula rapat dengan Tuhan.
So antara benda-benda yang Khalid Latif cuba terapkan termasuklah…
1. Jangan terlalu taksub kepada perbezaan antara mazhab
Khalid Latif berkata yang mentaliti extremism ni tak tertakluk kat agama je, kat politik pun ada juga. Bila ditanya pasal politik di USA, Khalid menjawab yang dorang kat sana gunakan agama sebagai strategi untuk menang undi dan salah satu point yang politik sana selalu pakai adalah “Us versus Them” atau dalam bahasa Melayu “Kita lawan Mereka”. Tapi Islam ada banyak pecahan kot, macam mana dorang bezakan antara Sunni dan Syiah?
Kitorang tanya Khalid apa pandangan dia terhadap cawangan Islam yang lain seperti Syiah. Ni jawapan dia:
“Saya taktau macam mana keadaan atau hubungan orang kat sini, tapi kalau awak tanya saya secara abstrak boleh tak saya berkawan dengan orang Syiah? Ye, sudah tentu takde masalah. Sama juga untuk orang beragama Yahudi, Buddha, Hindu…”
Sekarang ni kita tak boleh sibuk dengan perbezaan antara sesama Islam. Kita ada musuh yang nak jatuhkan kita dan dorang tak tengok kita sebagai sorang Sunni, Syiah, Wahabi, Salafi, atau apa-apa pun. Dorang pandang kita semua sebagai Islam. Nak kata kita ni sama, memang tak lah, tapi kita tak boleh biarkan tu pecah-belahkan kita. Kalau musuh Islam tak bezakan mazhab, kenapa kita perlu?
2. Elakkan daripada stereotype orang kerana kaum dan agama
Khalid cakap yang ada sorang ahli politik dari USA (Donald Trump) ni memang anti-Islam dan dia cadang untuk ban semua orang Islam kat USA kalau dia dapat jadi Presiden. Kita kesian kat Muslim satu hal la kan, malangnya yang bukan Muslim pun terkena jugak tempias racism ni:
“Saya pernah nampak budak kecil berumur 7/8 tahun yang kena kacau dengan orang dewasa di mana dorang akan tarik tudung budak tu dan jerit ISIS, dan mangsa bukan saje Islam malah Buddha, Hindu, Sikh, Kristian Protestant, Latino, Hispanic, janji kulit orang tu sawo matang”
Khalid juga sambung, dalam dunia sekarang ni kita boleh ‘tau’ banyak pasal budaya lain dan kita boleh agak atau teka pasal seseorang tu daripada apa yang kita nampak kat media. Yang sedihnya siapa yang termakan dengan stereotype tu takkan tengok seseorang macam individu tapi lebih kepada sebiji kotak. Sebelum ni, untuk kenal seseorang kita kena duduk dan bersembang dengan dia tapi sekarang kita buka tv atau internet je.
Salah satu kenapa stereotype ni terjadi adalah sebab kita terlalu malas untuk berfikir untuk diri sendiri, kata Khalid. Kita amek contoh kalau ada insiden pergaduhan antara sekumpulan orang kulit hitam dan orang kulit putih, macam mana berita tu akan disampaikan? Adakah berita tu jadi berat sebelah? Benda-benda macam ni menyumbang kepada stereotype negatif terhadap satu agama dan bangsa tu.
“Sebelum ni orang di USA tak tahu pun pasal perang saudara di Syria sampailah kisah seorang kanak-kanak berumur 3 tahun mati lemas di sebuah pantai di Turki barulah semua orang sibuk, tu pun sebulan sahaja”
3. Tingkatkan persefahaman antara satu sama lain
Khalid yang berasal dari tempat yang ada budaya dan agama telah belajar untuk menerima orang yang berlainan dari dia. Yup, dia sendiri pernah kena pulau tapi tu tak semestinya Khalid kena jadi racist. Salah satu benda yang betul-betul buatkan dia buka mata adalah bila dia terjumpa sorang mamat Indonesia ni bernama Riduan kat NYU.
Time tu ramai orang USA taktau apa-apa pasal Islam, apa yang dorang tau adalah Islam tu hanya agama dari Arab dan semua pakai jubah dan berjanggut panjang. So bila Khalid berjumpa dengan Riduan, dia langsung tak seperti apa yang disangkakan sebab Riduan ni pakai surf pants, berambut panjang, dan takde janggut. Langsung tak sama dengan stereotype yang dorang tau dulu.
Masalah yang sering timbul dengan Islam ni adalah dari mana dorang dapat fahaman tersebut. Khalid ada cerita satu kisah ni bila sorang Islam tu taktau pasal agama tapi disebabkan taknak jawab ‘tak tahu’ orang tu akan reka jawapan tu ikut sukahati dia.
4. Kesesuaian Syariah dengan kehidupan moden
Kitorang ada tanya Khalid ni pasal Syariah ni sesuai ke dengan gaya kehidupan moden. Khalid kata sistem Syariah ni bersikap terusan atau berubah, maksudnya disini undang-undang Syariah tak terikat kat satu cara saje. Sambungnya lagi, cabaran sekarang ni adalah tanggapan kita terhadap undang-undang di zaman moden ni, dan ni telah membuatkan kita ‘sesat’ daripada fungsi sebenar Syariah.
Dia kata agama tetap agama, sama juga macam politik tetap politik. Ia boleh jadi apa yang kita nak jadikannya, ada setengah orang tu gunakan agama dan politik untuk buat baik dan ada gunakannya untuk buat jahat.
“Bagi saya memang takde konflik antara Islam dan gaya hidup orang. Muslim adalah orang, dan orang kadang-kadang buat silap”
Media kat sana pula tak banyak membantu sambung Khalid, time cerita pasal undang-undang Syariah yang tengah meletup kat sana sebelum ni, semua agensi berita sibuk nak cari definition/maksud Syariah dan akhirnya dorang gunakan perkataan ni walaupun taktau maksud sebenarnya.
5. Misi melawan Islamophobia dan racism
Tahun 2014, Khalid Latif dengan best friend dia Yehuda Sarna dapat offer untuk buat satu documentary movie ilham dari sebuah insititut budaya yang di asaskan oleh dorang. Ini semua hasil dari usaha Khalid sebagai imam dan Yehuda sebagai Rabbi kat NYU. Yup, Khalid Latif punya best friend ni adalah sorang Rabbi Yahudi. Documentary yang bertajuk ‘Of Many’ tu mengisahkan persahabatan antara Khalid, Yehuda, dan student dorang yang berlainan bangsa dan agama.
Time interview haritu SOSCILI tak sempat nak tanya Khalid pasal kisah ‘Of Many’ ni sebab kesempitan masa so kitorang google movie ni. Korang kenal tak keluarga Clinton? Bill Clinton dulu pernah jadi Presiden USA pastu bini dia, Hillary Clinton sekarang ni tengah fight dengan Donald Trump untuk jadi Presiden dan anak dia pula, Chelsea Clinton selalu sibuk dengan persatuan kebajikan dan salah satu projek dia adalah movie documentary ‘Of Many’ ni la.
Setakat ni movie documentary tu telah menang beberapa anugerah sepertiOutstanding Humanitarian Award, Platinum Documentary Award, dan beberapa lagi. So kalau korang nak tengok macam mana dua orang yang ‘sepatutnya’ benci satu sama lain boleh jadi best friend boleh la korang sewa atau beli movie documentary tersebut kat sini.
Kita mewakili apa yang kita percaya
Apa yang kitorang sedar lepas interview Imam Khalid Latif ni adalah dia tukarkan kelemahan dia jadi kekuatan. Maksudnya, dulu time kecil dia sering dipulaukan sebab rupa dan agama dia lain, bukan saje kat USA tapi kat Pakistan pun sama. Tapi sekarang ni bila dia dah besar, dia gunakan perbezaan dia tu untuk menguatkan pertalian antara muslim dan non-muslim.
“Kita tak boleh hadap masalah hidup dengan dengan hanya berkata ‘oh ni adalah ujian dari Tuhan’. Kita sebagai wakil kepada Yang Maha Esa kat atas bumi ni kena laksanakan tanggungjawab tu dengan menghulurkan bantuan”
Last sekali Khalid menegaskan yang kita mewakili kepercayaan kita dan dia cuba sedaya upaya untuk layan orang lain dengan hati yang ikhlas. Ni termasuk jugalah layanan terhadap gay muslim, Syiah, mahu pun orang agama lain termasuk jugalah Yahudi. Dia kata, dia hanya mengikuti tradisi Islam iaitu melayan orang dengan hati yang baik.
- 207Share sekarang!
- Email4
- Facebook203
- Share