- 433Share sekarang!
- Email8
- Facebook425
- Share
(This article is a translation. For the original visit our sister site, CILISOS)
Kita mungkin tak hidup lagi masa zaman penjajahan Jepun, antara 1941-1945. Tapi, kita mungkin pernah dengar cerita daripada datuk atau nenek kita tentang segala penyeksaan mengerikan yang berlaku semasa pendudukan mereka di negara kita.
Tapi apa yang berlaku pada zaman sekarang adalah sebaliknya. Malah, Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan dua hala yang rapat, dari segi diplomatik, budaya, dan ekonomi. Pada awal tahun ni pun, Jepun pernah menghantar penasihat tentera mereka untuk melawat KL, sebagai sebahagian daripada langkah yang lebih besar untuk mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain (memandangkan pergerakan China yang lebih agresif ke Laut China Selatan).
Malaysia dan Jepun juga begitu rapat sehinggakan pada April tahun lepas, Putera Mahkota Naruhito dari Jepun telah mengadakan lawatan selama 5 hari ke Malaysia. Ini adalah lawatan rasmi pertama Putera Mahkota Jepun ke Malaysia, dan sebelum ni ramai je pegawai Malaysia dan Jepun yang melawat negara masing-masing hampir saban tahun.
Tapi, korang tak pernah terfikir ke, macam mana Malaysia yang dulunya pernah diseksa oleh Jepun boleh jadi kawan baik sekarang? Jadi, kami sendiri pergi ke perpustakaan untuk buat sedikit penyelidikan antara Malaysia dan Jepun yang berjaya memperbaiki hubungan baik antara kedua-duanya (buku – 1, Google – 0).
Secara tak langsung, China ada membantu dalam memperbaiki hubungan Malaysia dan Jepun
Sebenarnya lepas China menjadi negara komunis, Amerika Syarikat tak nak ideologi komunisme tersebar, jadi Amerika pun bagi tanggungjawab ni kepada Jepun untuk jaga rantau Asia. Sebelum tu, Jepun ni mestilah perbaiki dulu hubungan dengan setiap negara Asia yang mereka jajah dulu walaupun mereka sebenarnya berat hati.
Pada masa tu, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Yoshida, tak nak ada hubungan dengan negara-negara Asia sebab dia sukakan negara Barat, dan agak memandang rendah kepada negara-negara Timur (eh, berlagak betul!).
Tapi lepas tu, nasib baik Perdana Menteri Jepun seterusnya, Nobusuke Kishi ambil alih kuasa pada September 1957 dan nampak ada kepentingan untuk memasukkan komunisme, sebab Jepun betul-betul perlukan sumber asli dari negara-negara Asia, jadi dia pun cari kita.
Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, Jepun minta maaf kepada Malaysia
Lepas kita merdeka je, PM Jepun masa tu, Kishi buat lawatan ke Tanah Melayu dan meminta maaf secara peribadi kepada Sultan Selangor, yang pada masa tu merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Permintaan maaf tu dilakukan secara baik, tapi apa yang lebih baik adalah apa yang Tunku umumkan masa lawatan PM Kishi ke Tanah Melayu:
“Dasar kami, sebelumnya dan sekarang, adalah untuk berdamai dengan dunia, jadi apabila Encik Kishi menyatakan hasrat untuk datang ke Tanah Melayu, saya sangat mengalu-alukan idea itu.
Saya percaya masa lalu tidak seharusnya menentukan masa kini dan masa depan. Jika anda tidak boleh lupa, anda masih boleh memaafkan. Biarlah perkara lepas berlalu, dan jalan terbaik adalah dengan perdamaian.” – Tunku Abdul Rahman
Sifat pengampunan dan optimisme Tunku Abdul Rahman tanpa keraguan memberi impak kepada kemajuan dan pertumbuhan Tanah Melayu selepas tu.
Tunku kemudiannya membalas lawatan tu dengan melawat Jepun tahun selepas tu. Kedua-duanya kemudian mengeluarkan kenyataan bersama pada perjalanan akhirnya ke Jepun, dengan berkata:
“… lawatan ini yang menyusul selepas lawatan Perdana Menteri Kishi ke Kuala Lumpur memberikan peluang kepada kedua-dua pihak menjalin hubungan peribadi antara mereka. Hubungan ini membolehkan mereka bertukar-tukar pandangan secara lebih rapat dan dapat meningkatkan kerjasama antara mereka.”
Kedua-dua perjalanan ni menandakan permulaan hubungan yang lebih rapat dan mesra di antara kedua-dua negara tersebut.
Pada tahun 1960-an, Jepun menawarkan wang kepada Malaysia sebagai pampasan, tapi… kita menolaknya?
Pampasan perang – atau ‘hutang darah’ – Jepun ‘berhutang darah’ dengan Malaysia, tapi ia telah diselesaikan dengan mudah berbanding dengan negara-negara lain sekitar tahun 1960-an.
Maknanya, kita tak kacau Jepun dengan meminta-minta duit pampasan. Kita juga tak tuntut langsung jumlah yang besar macam Indonesia (288 billion¥), dan Burma (151 billion¥). Malah, Malaysia (atau, sebahagian besar dari Malaysia) tak nak diberi pampasan pun.
Pada mulanya, Chinese Chambers of Commerce nak supaya Jepun bayar RM 50 juta untuk PEMBUNUHAN (semasa peperangan, orang Cina dapat penyeksaan yang paling teruk, jadi sebab tu la mereka paling bermusuhan). Mereka masih bencikan orang Jepun dan betul-betul nak pampasan atas apa yang mereka lakukan.
Tapi, Tunku Abdul Rahman cuma nak kekalkan hubungan baik antara dua negara yang baru je berbaik ni. Malah, dia merasakan yang duit tak mampu menghidupkan orang yang dah mati, jadi perkara tu tak penting pun. Macam apa yang dia kata, “Yang lepas tu, biarkan saja berlalu”.
Dia juga merasakan yang perkhidmatan teknologi dan ekonomi Jepun akan lebih berguna daripada wang tunai semata-mata.
Bagaimanapun, Jepun memang sangat menyesal dengan apa yang mereka lakukan dulu, dan masih bersedia membayar pampasan sebagai tanda perdamaian. Pada pertengahan tahun 1960-an, Malaysia dan Jepun telah mencapai persetujuan yang bayaran RM 25 juta (2.9 bilion ¥) secara tunai akan dibuat sebagai pembayaran muhibah, dan RM 25 juta (2.9 bilion ¥) akan diberikan dalam bentuk perkhidmatan.
Ia mengambil masa selama 4 tahun untuk menyelesaikan masalah ni secara keseluruhan, tapi ia berjalan dengan lancar. Jepun dan Malaysia berjaya mengekalkan hubungan baik sampai ke hari ni.
Sayangnya, Jepun dominasi kita sekali lagi pada tahun 70-an dan menakutkan Malaysia!
Pada tahun 1970-an, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Jepun yang pesat di Malaysia mula kelihatan “menguasai” dan “eksploitatif,” jadi kita mula membenci Jepun sekali lagi kerana ia mengingatkan negara kita macam mana mereka berjaya menjajah kita dulu. Pada masa tu, ahli perniagaan Jepun di Malaysia juga kelihatan sombong, kasar dan tak berminat untuk bersosial dengan penduduk tempatan. Mereka seolah-olah memandang rendah terhadap kita.
Dalam ekonomi, Jepun juga nampaknya mengambil lebih daripada yang mereka berikan sebelum ni, dan ia dijelaskan sebagai:
“… memberi melalui tangan kanan tetapi mengambilnya semula melalui tangan kiri”
yang secara dalam konteksnya, ia bermakna Jepun meminjamkan duit pada Malaysia untuk projek-projek pembangunan tempatan, tapi Malaysia juga berhutang duit untuk perkhidmatan lain. Jadi, nampaknya Jepun cuma meminjamkan duit kepada Malaysia, dan nampaknya nak ambil balik duit tu.
Tapi nasib baiklah Jepun cepat-cepat sedar yang mereka dah mengancam Malaysia. Maka, mereka memutuskan untuk menubuhkan beberapa program pertukaran dan latihan di Malaysia sebagai cara memberi kembali.
Di samping tu juga, Tun Abdul Razak (yang menjadi PM pada 1971), menyuarakan kebimbangannya kepada PM Jepun pada masa itu, Kakuei Tanaka, dan mengingatkan yang mereka harus membantu kesejahteraan negara-negara lain, dan bukan cuma fokus pada negara sendiri semata-mata.
Masa forum Japan-ASEAN, Tun Abdul Razak juga membangkitkan isu pengeluaran getah sintetik Jepun yang menjatuhkan industri getah asli Malaysia (dan negara-negara Asia tenggara yang lain). Ambik masa juga la bagi Jepun untuk mereka mula mengurangkan eksport getah tiruan mereka tu.
Sejak tu, hubungan antara Malaysia dan Jepun juga menjadi semakin baik.
Masa Tun M jadi PM (ke-4), dia menggalakkan Dasar Pandang Ke Timur, yang membawa kepada perkara-perkara yang lebih baik
Berbanding beberapa PM sebelum yang kebanyakannya memilih British, Tun M nampaknya lebih sukakan Jepun dan mahukan Malaysia jadi macam Jepun dari segi prinsip dan tingkah laku peribadi, menjadi lebih rajin, setia dan boleh bekerjasama.
Untuk mencapai perkara tu, Tun M melaksanakan dasar baru yang dikenali sebagai Dasar Pandang Ke Timur yang menggalakkan rakyat Malaysia belajar daripada tingkah laku mereka. Jadi bila dia namakan dasar tu “Pandang Ke Timur”, dia maksudkan ‘Tengoklah Jepun,”, atau “Belajar dari Jepun”.
Dasar Pandang Ke Timur ternyata agak berjaya, dan dalam masa yang sama memperkuat ikatan antara kedua-dua negara.
Bagi sesetengah generasi tua yang hidup semasa zaman penjajahan Jepun, mereka mungkin mempunyai perasaan benci terhadap Jepun, manakala yang lain pula berjaya meneruskan hidup dan melihat Jepun dalam nafas baru. Contohnya, datuk kepada ketua editor Cilisos kami benci betul makanan Jepun, dan dia faham la sebab datuk dia dulu pernah hidup pada zaman tu. Tapi, semuanya berubah lepas dia cuba sashimi:
“Selama ni, datuk aku benci betul dengan semua makanan Jepun. Tapi ada satu hari ni kami bawa dia makan bufet, tak padan dengan umur betul. Dia pun cuba makan sashimi dekat bufet tu, dan dia suka sangat sampai setiap kali tu la dia akan request nak makan tu” – Chak, Ketua Editor Cilisos
Selain tu, golongan muda macam kita yang tak pernah hidup masa zaman Perang Dunia Kedua juga dah kenal Jepun dengan pelbagai perkara, dan boleh kata kita semua suka apa saja yang datang dari Jepun. Contohnya macam sushi, Pokémon, ramen, anime, Ajinomoto, selipar Jepun (ini dikira tak?)
Tahun ni, kita menyambut ulang tahun ke-61 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun
Terima kasih kepada rakyat Malaysia, Jepun sekarang boleh rasa Nasi Lemak, BONIA, dan Old Town White Coffee. Dalam masa yang sama, kita dan Jepun juga bersama-sama mencipta Proton, Menara Berkembar Petronas dan macam-macam lagi! Malaysia juga merupakan rakan dagang ke-4 terbesar di Jepun, dengan jumlah barang bernilai lebih RM120 bilion. Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (MJEPA) yang ditandatangani pada tahun 2005 dah membuatkan 97% barangan yang diniagakan antara kita tanpa tarif!
Tahun ni menandakan kemerdekaan negara yang ke-61, yang juga merupakan tahun yang sama hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun. Siapa yang sangka sikap Tunku Abdul Rahman yang mengenepikan dendam, dan memaafkan Jepun pada satu masa dulu membolehkan Malaysia wujud seperti apa yang kita lihat pada hari ni.
- 433Share sekarang!
- Email8
- Facebook425
- Share