- 482Share sekarang!
- Email14
- Facebook468
- Share
(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
Kalau sebelum ni nama-nama ahli politik macam Najib, Zahid Hamidi dan Ku Nan timbul sebab dipanggil untuk soal siasat, nampaknya ada ahli terbaru yang menyertai kelab tu. Sebabnya, ada sebuah skandal kewangan pertama Malaysia muncul pada awal tahun ni yang melibatkan bekas Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai.
Masalah tersebut nampaknya adalah berkaitan dengan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), yang pernah diumumkan semula pada tahun 2015. Dah banyak kali sebenarnya ia ditangguhkan, nanti kitorang cerita panjang. Yang menariknya sekarang, cerita, kontrak tu diberi kepada syarikat yang cuma mempunyai RM35.54 dalam akaunnya masa diorang dapat tawaran tu. Eh?
Jadi untuk memahami cerita selanjutnya, jom kita tengok apa benda sistem VEP yang menjadi skandal utama sekarang ni.
VEP sepatutnya dapat RM20 daripada setiap kereta Singapura yang masuk ke Malaysia
Kisahnya bermula pada bulan Ogos 2014, iaitu masa Singapura meningkatkan yuran kemasukan kenderaan asing yang masuk ke Singapura – yang kebanyakannya mesti la kereta Malaysia, melainkan ada rahsia laluan antara Singapura-Thailand yang kita tak tahu.
Dengan itu, pihak Malaysia pun kemudiannya bertindak balas dengan menaikkan tol Causeway, atau tambak tak lama lepas tu. Perkara ni membuatkan pihak Singapura buat benda yang sama di bahagian mereka juga. Rakyat Malaysia:
Memandangkan Malaysia tak mempunyai bayaran kemasukan untuk kereta asing yang masuk ke dalam negara kita. Ketua Pemuda UMNO pada masa tu, Khairy Jamaluddin pun kata lah yang kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan versi yuran kemasukan mereka sendiri.
Kad RFID VEP pada awalnya dirancang untuk dilaksanakan pada bulan Ogos 2015, tapi akan ditunda hingga September 2015, dan kemudian ditunda hingga Oktober 2015. Dan kemudian cuba teka apa yang jadi?
Surprise, surprise! Ia ditangguhkan sekali lagi sehingga tahun selepasnya tu, dan akhirnya dijadualkan akan dilaksanakan pada November 2016. Sistem RFID VEP masih lagi tak beroperasi meskipun caj RM20 yang berasingan dah dimulakan. Tak lama kemudian pada Oktober 2017, Liow kemudiannya mengumumkan yang kos VEP untuk kad RFID bertambah kepada RM25, dan dijadualkan untuk bermula pada tahun 2018… yang akhirnya ditangguhkan buat kesekian kalinya.
Masa ni pulak, sebab utama sistem VEP ditangguhkan lagi adalah sebab kerajaan pada masa tu nak melaksanakannya di sempadan Malaysia-Thailand. Dan sekarang pula… PRU14 dah habis dah pun di mana Liow pun dah bukan lagi Menteri Pengangkutan kita. Tapi nampaknya sistem RFID VEP pun masih lagi tak dilaksanakan.
Perkara ni yang membuatkan kitorang terfikir… kenapa projek VEP ni serabut sangat? Mungkin sebab…
Syarikat yang dapat projek tu takde pengalaman, mahupun duit sebelum perjanjian VEP tu dibuat
Pada Disember 2018, Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan, yang sebahagiannya mengetengahkan isu-isu yang teruk tentang macam mana cara sistem VEP antara Malaysia dan Singapura dilaksanakan.
Masalah pertama yang ditemui adalah projek bernilai RM149.5 juta tu diberikan kepada syarikat yang dipanggil TCSens Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka yang betul. Sebaliknya, projek VEP yang diberikan kepada mereka adalah menerusi rundingan terus.
Malah, bekas Menteri Pengangkutan tu juga didakwa dah meyakinkan bekas Perdana Menteri Najib Razak di mana kontraktor yang diberikan projek tu takkan mempunyai masalah mengendalikannya. Hakikatnya, syarikat tu berkait rapat dengan bekas timbalan menteri MCA .
Isu kedua tentang masalah tu pula adalah apabila syarikat tu langsung tak ada pengalaman, malah mereka seolah-olah tak tahu apa yang perlu dilakukan. Selain tu, sementara projek VEP memerlukan mana-mana syarikat yang mengambilnya untuk mempunyai RM2.3 juta dalam akaun mereka, pada masa kontrak tu diberikan, nampaknya TCSens Sdn Bhd hanya mempunyai RM35.54 je dalam akaun mereka!
Kalau masalah tu tak cukup besar lagi, korang kena tahu yang perbelanjaan kendalian kontrak tu sekurang-kurangnya bermula dari RM34.88 juta hingga RM104.30 juta, yang bermakna masa proses pelaksanaan projek VEP tu, bajetnya meningkat sebanyak 199%! Dan walaupun dengan pembiayaan tambahan, sistem VEP akhirnya gagal untuk mengesan 0.07 peratus plat nombor kereta, yang bermaksud ada kereta yang tak dicaj untuk memasuki negara ni!
Tambahan pula ada yuran tambahan yang misteri sebanyak RM7.82 juta hanya untuk memperbaharui lesen perisian serta pembayaran 80 orang pekerja, padahalnya cuma ada sebanyak 41 orang yang bekerja di projek tu!
Jadi… apa macam?
Liow akan disoal siasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Negara pada akhir bulan ni
Dan sebab tu la kitorang memetik daripada The Malaysian Insight yang melaporkan, Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dah memaklumkan kepada Liow mengenai isu tu, dan akan berjumpa dengan bekas Menteri Pengangkutan tu kemungkinannya dalam bulan ni juga.
“Kami akan membincangkan pemberian kontrak sistem VEP kepada sebuah syarikat yang dipanggil TCSens Sdn Bhd tanpa tender terbuka,” – Wong Kah Woh, timbalan pengerusi PAC, dipetik dari The Malaysian Insight.
Jadi buat masa ni, kita kena tunggu je la Liow Tiong Lai buat kenyataan pasal kes ni walaupun ia bukanlah kes besar macam 1MDB, Akal Budi, mahupun skandal-skandal yang lain. Tapi kalau kita tak jadikannya satu pengajaran, tak pelik pun kan kalau kesalahan ni bakal berulang?
- 482Share sekarang!
- Email14
- Facebook468
- Share