- 962Share sekarang!
- Email6
- Facebook956
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
National Geographic ada keluarkan satu siri TV, Locked Up Abroad. Dokumentari bersiri ini akan memaparkan kepada kita macam mana keadaan bila seseorang itu dipenjarakan di negara asing. Ini mengingatkan rakyat Malaysia kepada nasib Marina Jamaluddin yang dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun di Nepal. Ini kerana dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan dengan 11 kg kokaine.
Waktu bapanya, Jamaluddin Abd Malik datang melawat ke sana, dia berasa sangat kecewa apabila melihat keadaan anaknya disebalik penjara. Rupanya, penjara di Nepal tak sediakan makanan secukupnya yang menyebabkan kesihatan Marina menjadi teruk dan sebahagian jarinya ada yang patah.
Ini dah menyebabkan, pihak keluarga dan lainnya cuba mendapatkan petisyen untuk merayu kepada Kedutaan Nepal di Malaysia supaya boleh mengatur proses pertukaran banduan antara dua negara. Jadinya, Marina boleh dibawa balik ke tanah air. Menurut The Star, ada beberapa kes sebelum ini berlaku pertukaran banduan antara Malaysia dengan negara lain seperti Thailand.
Memberi peluang orang Malaysia di negara asing, meneruskan hukuman di negara sendiri
Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein mendedahkan di mana ada 2,622 rakyat Malaysia dipenjarakan di luar negara. Iaitu 1,218 di Singapura, 404 di Thailand, 231 di China, 146 di Indonesia, 137 di Taiwan dan 486 di 54 negara lain. Warga asing yang ada di penjara Malaysia pula adalah seramai 1,758 orang. Cuba teka orang negara mana yang ramai? Kalau nak tahu, ada 930 orang warga Indonesia, 403 Filipina, 111 orang Burma, 82 Thailand, 56 Vietnam dan 176 orang lagi dari 26 negara lain.
Pada tahun 2012, Parlimen telah membentangkan dan menyerahkan Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan ( ITOP). Akta ini bertujuan untuk hantar balik banduan warga asing ke nagara asal bagi menghabiskan baki hukuman. Dalam masa yang sama, banduan Malaysia di negara asing akan dibawa pulang untuk menghabiskan juga baki hukuman.
“Pemindahan Antarabangsa Banduan akan dilakukan melalui hubungan dua hala antara kedua-dua negara, di mana bersetuju untuk menandatangani sebuah persetujuan dan perjanjian untuk menjalankan pemindahan banduan antara mereka.”- Hishamuddin, Menteri Dalam Negeri, petikan dari The Star.
Akta ini juga akan membantu mengurangkan kepadatan warga asing di dalam penjara. Bayangkan, pada bulan Ogos 2012 sahaja, ada 31,157 orang banduan dan 10,520 daripadanya adalah warga asing. Kiranya kalau ada 10 orang banduan, 3 orang mesti banduan warga asing. Kewujudan Akta ITOP tadi akan banyak membantu.
Parlimen tak ambil masa lama apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar umumkan yang negara bersedia untuk melaksanakan akta ini pada Jun 2015. Malaysia juga tak syok sendiri dalam hal ini sebab ada 9 negara sudah berminat untuk turut serta dalam perjanjian pemindahan banduan. Negara-negara yang terlibat adalah Iran, Latvia, Bulgaria, Azerbaijan, Filipina, Romania, Turki, Arab Saudi dan Korea Selatan.
Seterusnya, kita nak bincang banduan jenis macam mana yang layak untuk pemindahan antarabangsa ini?
Ada sebahagian yang layak dan sebahagian lagi takkan dibenarkan untuk pemindahan antarabangsa
Menurut Hishamuddin Hussein, pemindahan antarabangsa ini bukanlah ikut suka hati sahaja, tapi, hanya akan berjalan apabila beberapa syarat berjaya dipenuhi. Dalam Akta ITOP, ada beberapa proses yang diterangkan. Kami keluarkan empat daripadanya dengan ayat yang ringkas (kalau nak ayat taraf peguam baca dekat sini):
- Permohonan dibuat sekurang-kurangnya enam bulan daripada hukuman banduan itu masih belum berjalan
- Menteri dan pihak berkuasa berkenaan sudah memberikan keizinan mereka bagi pemindahan itu
- Keizinan banduan sudah diperoleh, jika perlunya keizinan dalam mana-mana perjanjian antara Malaysia dan negara asing itu
- Apa-apa kehendak lain yang dipersetujui antara Malaysia dan Negara asing yang ditetapkan sudah dipenuhi
“Orang ini mestilah mereka yang dijatuhkan hukuman bagi jenayah yang tidak serius bagi kedua-dua negara. Kami telah mengkaji kes-kes mereka dan bersetuju yang mereka boleh pulang untuk menjalani hukuman mereka.”- Zahid Hamidi, Timbalan PM, petikan dari The Star.
Disebabkan ada sebahagiam banduan yang layak untuk pemindahan antarabangsa, semestinyalah ada sebahagian lagi yang tak layak. Mereka yang tak layak ini semuanya bersebab antaranya menurut Akta ITOP:
- Banduan itu sudah dijatuhi hukuman mati
- Pemindahan itu akan menjejaskan kedaulatan, keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan awam yang perlu untuk orang Malaysia yang lain
- Pemindahan banduan itu akan mengenakan tanggungan beban yang berlebihan ke atas sumber kewangan Malaysia
- Pemindahan itu akan menghendaki langkah-langkah yang bertentangan dengan mana-mana undang-undang bertulis yang diambil
Negara yang nak banduan dia balik, kena mulakan dulu permohonan bertulis
Di dalam akta ini, negara asing yang sudah menerima banduan mereka, tidak akan dihalang untuk mengampunkan, menangguh atau mengurangkan hukuman mengikut undang-undang negara itu. Macam tu jugalah banduan Malaysia yang pulang ke tanah air. Untuk kes Marina bermakna kalau dapat ditukarkan dengan mana-mana banduan Nepal, dia bukan setakat boleh pulang ke tanah air, malah, boleh dimaafkan dari hukuman mengikut budi bicara pihak berkuasa.
Sebelum semua ini terjadi, salah satu pihak akan memulakannya dengan menghantar sepucuk surat. Menteri negara kita yang mencadangkan permohonan pemindahan banduan akan maklumkan kepada pihak belah sana melalui tulisan berserta apa-apa dokumen atau maklumat yang relevan. Proses yang sama juga perlu dibuat kalau negara asing yang memulakan permohonan. Contonya, kalau Indonesia nak mulakan pertukaran, mereka boleh mulakan dulu.
Selepas itu, banduan yang terlibat akan dimaklumkan pasal pertukaran. Macam yang disebut dalam perjanjian, permohonan pemindahan ini mesti dapat persetujuan banduan itu sendiri. Manalah tahu, kalau banduan warga asing itu rasa hidup di penjara Malaysia lebih bagus. Jadi, dia boleh pilih untuk tak bersetuju dengan proses pertukaran. Kalau banduan itu setuju dan sudah memenuhi syarat, Menteri yang buat permohonan tadi akan hantar satu waran kepada Pesuruhjaya Penjara, Dato’ Sri. Hj. Zulkifli Bin Omar.
Setakat ini, ada lebih 100 negara mempunyai undang-undang yang lebih kurang sama macam negara kita. Negara-negara lain ini tadi boleh jadi partner untuk program pemindahan antarabangsa banduan menurut Wan Junaidi. Jadinya, dalam negara kita ada 2,000 banduan warga asing yang layak untuk pemindahan, sementara lebih 1,700 banduan Malaysia di negara lain juga layak untuk proses ini.
Cara ini mendekatkan banduan dengan keluarga yang akan bantu proses pemulihan
Laporan pasal pertukaran dan pemindahan banduan yang lengkap antara Malaysia dan negara asing memang susah nak jumpa. Semuanya kenyataan umum yang dapat kami jumpa. Gambar yang berkaitan pun payah nak cari sebab itu kami guna gambar banduan dari China dekat bahagian paling atas artikel ini.
Pertukaran paling terkenal yang keluar dekat berita pun adalah waktu berlaku pembunuhan Kim Jong Nam di KLIA. Tapi bukanlah banduan dengan banduan, cuma rakyat biasa dengan rakyat biasa. Sepanjang tempoh kejadian, ada 3 rakyat Korea Utara yang sangat dikehendaki untuk disoal siasat ada pada kerajaan Malaysia. Kemudian, terjadilah pertukaran antara kedua-dua negara apabila 9 orang Malaysia yang terperangkap di Korea Utara lebih 3 minggu dihantar pulang ke tanah air. Malaysia bagi 3 orang Korea Utara tadi pula ke sana tahun lepas.
Pada tahun 2016, TPM, Zahid Hamidi mengatakan yang Malaysia ada menyusun pertukaran banduan dengan banyak negara. Antaranya Azerbaijan, Bulgaria, Iran, Iraq, Latvia, Filipina, Arab Saudi, Korea Selatan dan Turki. Zahid Hamidi juga pernah berada di India untuk mempertimbangkan perjanjian berkaitan dengan mereka. Menurutnya, ada 361 banduan warga India di negara kita serta 41 orang daripadanya layak untuk proses pemindahan dan pertukaran. Beberapa tahun sebelum itu, Hishammuddin Hussein juga pernah terlibat menandatangani satu perjanjian dengan Thailand untuk program ini.
Usaha-usaha yang sedang berjalan ini bukanlah untuk memaafkan kesalahan banduan itu. Tujuan utamanya adalah untuk mengurangkan kepadatan penjara yang juga disokong oleh pertubuhan hak asasi macam SUHAKAM. Keduanya, banduan akan kembali rapat dengan keluarga masing-masing yang akan membantu proses pemulihan diri. Bak kata pepatah, rumahku syurgaku walaupun penjara di negara sendiri sekalipun.
“Rang undang-undang ini akan memberi impak positif kepada para keluarga, sebagaimana ia memudahkan mereka untuk melawat dan membantu memulihkan banduan, kerana persekitaran yang lebih kondusif dari segi budaya, agama dan bahasa, dan dari segi praktis antarabangsa, sebagaimana 86 buah negara yang telah pun melaksanakannya.”- Hishammuddin Hussein, petikan dari The Star.
- 962Share sekarang!
- Email6
- Facebook956
- Share