Kubur mangsa tragedi 13 Mei yang tak ramai tahu kewujudannya

[Artikel ni asalnya ditulis pada tahun 2018.]

[KEMASKINI 23 NOV 2024: Tanah perkuburan ni telah diwartakan sebagai tanah perkuburan bukan Islam menurut Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (Pesawa).

Kumpulan itu juga dilantik sebagai ejen untuk menguruskan tapak tersebut. Mereka juga merancang untuk menaiktaraf kemudahan di tapak perkuburan tersebut dan memupuk masyarakat tentang nilai sejarah tempat tersebut. KEMASKINI TAMAT]

Kalau korang pernah tersesat kat bukit kecil belakang Hospital Sungai Buloh dan Masjid Ibnu Sina, korang mungkin pernah terserempak dengan tanah perkuburan usang yang jarang orang lawat. Walaupun saiznya tak sampai dua gelanggang badminton, kat sini ada lebih dari 100 batu nisan, tersusun rapat dalam empat barisan.

Usang dan tenggelam dalam rumput rampai, kebanyakan batu nisan ni ringkas, cuma mencatatkan nama-nama dan tarikh.

Imej dari Aliran.com.

Sesetengahnya tak ada nama pun, macam batu nisan ni yang cuma kata “Cina tak dikenalpasti (Lelaki)”.

Imej dari Aliran.com.

Tapi satu persamaan bagi setiap batu nisan ni adalah semuanya ‘atas ihsan Kerajaan Malaysia’.

Imej dari The Malaysian Insight.

Sepanjang lebih empat dekad, tak ramai yang tahu kewujudan tanah perkuburan terpencil ni. Kemudian, pada tahun 2017, timbul berita yang kubur-kubur ni akan dijadikan tempat letak kereta, dan sebahagian hutan kat sekelilingnya dah dibuka pun.

Yang menariknya, berita ni merisaukan bukan setakat keluarga mereka yang ditanam kat sana je, tapi beberapa pihak lain juga. Jadi mungkin korang tertanya-tanya…

Apa pentingnya tanah perkuburan usang ni?

Menurut saksi yang ada masa tempat ni dijadikan tanah perkuburan, yang ditanam di sini adalah mangsa-mangsa rusuhan kaum 13 Mei.

Ikut angka rasmi, sebanyak 200 orang terkorban masa rusuhan ni, tapi ada yang menyatakan jumlahnya jauh lagi tinggi. Walaupun dah banyak laman web dan berita yang cuba terangkan apa sebenarnya jadi masa rusuhan tu, generasi yang lebih muda yang lahir lepas insiden tu (macam kitorang) mungkin tak faham apa sebenarnya punca rusuhan tu. Semua yang kita tahu datang dari laporan, blog, dan cerita-cerita dari mereka yang terselamat.

Ni salah satu cerita tu.

Sebelum adanya Hospital Sungai Buloh, kawasan tu adalah tempat tinggal pesakit kusta yang dikenali sebagai Sungai Buloh Leprosy Settlement (SBLS). Sejak ditubuhkan pada tahun 1930, pesakit kusta dibawa dari serata negara untuk ditempatkan kat sini, jauh dari masyarakat, sementara diorang dirawat dan direhabilitasi.

SBLS atau Lembah Harapan sekitar 1930an. Imej dari valleyofhope.my.

Sebab kawasan ni terpencil dan pemandangannya hijau, pesakit kusta kat sini menggelarkan tempat ni dengan nama Valley of Hope (Lembah Harapan), sebab ia memberi semangat yang satu hari nanti diorang akan sembuh dan boleh jumpa orang lain semula. Tapi kehidupan diorang yang aman terganggu satu hari di tahun 1969.

Salah seorang bekas pesakit di SBLS pada masa tu ingat suatu hari di mana lori-lori datang ke tapak perkuburan tu, diiring pegawai kerajaan. Bila orang kat situ nak tahu apa jadi, diorang diarahkan untuk tengok kat tempat lain.

“Kami nampak beberapa lori masuk ke penempatan ni beberapa hari lepas tragedi, tapi kami diarahkan untuk tak tengok,”

– Lee Chor Seng, bekas pesakit di SBLS, diterjemah dari The Star.

Kemudian lagi banyak lori datang.

“Bila lori-lori terakhir sampai, kami boleh bau busuk sesuatu yang reput walaupun dari jauh,”

– Lee Chor Seng, bekas pesakit di SBLS, diterjemah dari The Star.
Lee Chor Seng, salah seorang pesakit yang dimasukkan ke SBLS sekitar 1950an, yang menjadi saksi kejadian. Imej dari poskod.my.

Pada mulanya, pesakit-pesakit kat SBLS tu tak tahu bau apa yang busuk tu, dan pegawai kerajaan yang ada masa tu macam sedang simpan rahsia. Tapi, lepas dua orang pesakit dipanggil untuk tolong diorang, tahulah bau apa sebenarnya: mayat-mayat mangsa dari tragedi 13 Mei.

Menurut seorang lagi bekas pesakit kat SBLS masa tu, mayat yang dibawa ke situ diselaputi tar hitam. Ada keterangan dari doktor-doktor yang kerja di Hospital Besar Kuala Lumpur pada tahun 1969, bahawa mayat mangsa tragedi yang dibawa ke sana disalut tar di rumah mayat sebelum dihantar keluar untuk dikebumikan, untuk menutup warna kulit dan seterusnya identiti bangsa mangsa.

Menurut rekod dari Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebanyak 103 mayat dikebumikan di sini.

Sungguhpun sesetengah keluarga mangsa berjaya cari semula kubur ahli keluarga diorang kat sini, sesetengahnya cuma jumpa lepas tahu kewujudan kubur ni melalui berita.

“Ada kes di mana ahli keluarga dapat tahu yang mangsa ditanam di sini. Tapi kebanyakannya tak tahu sebab keadaan masa tu sangat huru hara,”

– Tang Ah Chai, CEO Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall, diterjemah dari The Star.

Lepas ‘penemuan semula’ tanah perkuburan ni, orang biasa mula mencantikkan kawasan ni balik

Ahli keluarga mangsa mula menambahbaik batu nisan yang ada, dan lebih kerap menziarah tapak ni untuk membersihkan kawasan sekitar kubur. Pihak berkuasa tempatan pun tolong baiki sesetengah batu nisan yang dan rosak, buang semak samun yang ada, dan letakkan pagar di sekeliling tanah perkuburan ni.

Pada April 2017, masa musim Qing Ming orang Cina, upacara peringatan berbilang agama dijalankan untuk mangsa-mangsa yang ditanam di sini, termasuk dua orang India dan dua orang Melayu yang juga dikebumikan di sini.

Ada yang berkongsi perasaan lega apabila dapat berjumpa semula dengan kubur ahli keluarga, dan keadaan tanah perkuburan yang bertambah baik.

“Saya percaya mendiang akan rasa gembira sebab ramai pelawat dan kawasan dah dibersihkan dengan baik. Sesetengah tahun bila kami datang untuk Qing Ming, lalang tinggi sampai ke paras kepala,”

– How Swee Ling, anak kepada mangsa yang terkorban semasa insiden 13 Mei, diterjemah dari The Star.

Ada juga yang berkongsi cerita bagaimana diorang kehilangan orang tersayang kerana rusuhan kaum tersebut. Untuk sebahagian, kehilangan diorang terlalu besar untuk ditanggung macam kes pemilik garaj Tay Lian Chin. Rumahnya dibakar masa 15 ahli keluarga berkumpul bersama.

Dia kehilangan 9 ahli keluarga hari tu, termasuk atuk, adik perempuan, dan pak cik-pak cik, cuma mampu lepas dengan ibunya.

“10 tahun lepas, saya selalu bawa mak saya lawat kubur-kubur diorang. Dia akan selalu menangis bila terkenang hari tu. Walaupun dia dah meninggal dua tahun lepas, saya rasa dia akan tenteram kalau nampak upacara peringatan hari ni,”

– Tay Lian Chin, diterjemah dari eNanyang pada 2017.

Eh, jap. Tempat letak kereta tu apa cerita pulak?

Sejak keluar berita tentang tanah perkuburan ni bakal dijadikan tempat letak kereta, ahli keluarga mangsa, penyelidik-penyelidik, dan NGO-NGO dah minta supaya tanah perkuburan ni dikekalkan.

Pihak berkuasa tempatan pun dapat tahu tentang pembukaan kawasan sekitar tapak tersebut dan mendapati yang tak ada permit dimohon untuk aktiviti tu. Sebab tak sah, diorang dah keluarkan arahan henti kepada pemaju yang tak dikenalpasti tersebut.

Lebih lagi, memandangkan latar belakang mangsa yang dikebumikan di sini, R. Sivarasa, MP Subang ketika tu, cadangkan yang tanah perkuburan ni dijadikan tapak warisan oleh Jabatan Warisan Negara, dengan sokongan kerajaan negeri. Group Facebook pun dibuat untuk mengawasi keadaan tanah perkuburan tersebut.

Tanah perkuburan yang dah dibersihkan sekitar 2017. Imej dari The Malaysian Insight.

Sungguhpun insiden 13 Mei masih kekal topik yang kurang enak diperkatakan dan sering disalahgunakan, sesetengah ilmuwan merasakan yang topik ni sepatutnya dilihat dari segi yang lebih positif, dibincangkan, dikaji, dan dijadikan iktibar.

“Tanah perkuburan ni menjadi tanda sebuah tragedi menyayat hati dalam sejarah negara kita. Ia berfungsi sebagai peringatan yang keharmonian kaum yang kita nikmati hari ni tak patut dipandang mudah,”

– Tang Ah Chai, CEO Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall, diterjemah dari The Star.

Sama ada kita akui atau tidak, ada ketegangan antara kaum di Malaysia. Walaupun setakat ni masih belum ada tragedi yang seteruk 13 Mei di Malaysia, penting untuk kita ambil tahu dan ingat peristiwa bersejarah ni, agar ia tak berulang kembali.