- 27Share sekarang!
- Email0
- Facebook27
- Share
Lepas sekian lama kita semua berkurung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dulu macam tak ada kesudahan, sekarang kita dah mula dapat melakukan aktiviti riadah secara berperingkat. Dalam masa yang sama, kena ikut Standard Operating Prosedur (SOP) juga lah. Ini merupakan berita yang sangat baik kepada hikers di Malaysia ni.
Dah lama kot kerajaan tak benarkan hiking, jadi bila dah dapat kebenaran untuk hiking ni apa lagi kan. Oleh itu, kali ni kitorang nak kenalkan korang dengan tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang korang boleh daki! Tapi korang kena ingat, nak daki gunung ni bukan senang-senang macam korang naik Bukit Broga tu ye. Berbalik kepada gunung tu, ia digelar sebagai G7 ye guys.
Kenapa ia digelar sebagai G7? Sebenarnya banyak teori kenapa dia dinamakan G7, ada yang kata ia sempena nama Group of Seven (G7) dan ada yang kata nama tu diberi berdasarkan huruf ‘G’ daripada huruf pertama perkataan gunung. Tapi yang pasti, G7 adalah gelaran kepada tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Namun, ia tak adalah setinggi Gunung Kinabalu kat Sabah tu. Ini senarainya…
1. Gunung Tahan (G1) – 2,187 Meter
Memegang title sebagai gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia buat masa ni, Gunung Tahan merupakan antara yang paling mencabar untuk didaki. Ia terletak di persekitaran Taman Negara, Pahang. Ada yang kata mereka perlu menyeberang lebih 10 sungai yang ketinggiannya mencapai paras pinggang untuk sampai ke puncak. Itu kalau ikut trek yang jauh sikit lah.
Katanya ada banyak trek yang disediakan untuk sampai ke puncak, tapi dua yang paling popular adalah trek Merapoh-Merapoh (M2M) dan lagi juga trek Kuala Tahan-Merapoh (K2M). Dikatakan trek K2M ni yang kena redah 10 sungai tu dan ambil masa sekitar 9 hari untuk sampai ke puncak berbanding M2M yang hanya mengambil kira-kira 3 hari sahaja.
Kira korang boleh pilih sendiri lah cabaran macam mana korang nak, yang pasti, kalau nak daki Gunung Tahan ni korang tak boleh main naik je. Kena ada banyak gila preparation yang perlu dibuat, sebab korang kena camping dekat campsite yang disediakan tu tau. Kita pergi kepada gunung yang seterusnya pula…
2. Gunung Korbu (G2) – 2,183 Meter
Gunung kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia, hanya dibezakan 4 Meter je dengan Gunung Tahan. Namun, ia dapat juga gelaran sebagai gunung tertinggi bagi gunung yang berada di atas Banjaran Titiwangsa. Ini disebabkan Gunung Tahan berada di atas Banjaran Tahan. Kira okay lah, at least ada juga gelaran kan.
Gunung Korbu ni berada di negeri Perak, hanya 25KM daripada Bandar Ipoh guys. Kira lepas turun dari gunung tu, boleh lah singgah Cendol Padang Ipoh bagi segar sikit badan tu. Oh ye, suka untuk diingatkan kalau korang baru berjinak dalam aktiviti hiking ni, jangan lah masukkan Gunung Korbu dalam list korang dulu.
Ini disebabkan, untuk naik ke puncak tu, korang perlukan guide daripada profesional sebab dikatakan trek yang ada pun masih lagi tidak lengkap dan itu menyebabkan hikers senang sesat. Tahap fizikal korang pun kena betul-betul berada di tahap yang terbaik kerana dikatakan korang at least memerlukan 4 hari 3 malam untuk melengkapkan perjalanan pergi balik. Ekstrem betul tu!
3. Gunung Yong Belar (G3) – 2,181 Meter
Hanya 8KM jauh daripada Gunung Korbu, ini gunung ketiga tertinggi iaitu Gunung Yong Belar. Gunung ini juga berada di atas Banjaran Titiwangsa tau, kalau dari segi negeri pula, ia terletak di sempadan Perak dan Kelantan. So, agak-agak boleh bergaduh ni kalau nak claim gunung ni dari negeri mana kan.
Dikatakan ada dua cara yang selalu digunakan untuk naik ke puncak Yong Belar ni, yang pertama adalah dengan menaiki tangga yang dikatakan mempunyai lebih 200 anak tangga dan lagi satu melalui kebun-kebun di situ. Kebanyakan pendaki dikatakan memerlukan 2 hari 1 malam untuk melengkapkan ekspedisi Gunung Yong Belar ni, tapi kalau korang betul power, sehari pun dah cukup.
4. Gunung Gayong (G4) – 2,173 Meter
Gunung Gayong ni adalah gunung ketiga yang berada di atas Banjaran Titiwangsa, ia terletak betul-betul di sebelah Gunung Korbu dan Gunung Yong Belar. Katanya dekat puncak Gunung Gayong ni korang boleh nampak pemandangan yang sangat cantik dicampur lagi dengan keindahan Gunung Korbu.
Kalau nak naik Gunung Gayong ni pun, korang kena start antara dari Gunung Korbu atau pun Gunung Yong Belar, sebab ia memang terletak ditengah-tengah dua gunung tadi tu. Tapi kalau korang jenis yang hati kering, naik je terus 3 gunung tu sekaligus. Tapi pastikan korang memang betul-betul fit lah, kalau tak nanti menyusahkan hikers lain pula nak kena tunggu korang.
5. Gunung Chamah (G5) – 2,171 Meter
Kali ni kita masuk ke gunung kebanggaan negeri Kelantan! Gunung Chamah, dikatakan korang perlu melalui hutan yang tebal dalam proses menaiki ke puncak. Hutan tebal itu juga merupakan tempat tinggal bagi binatang-binatang liar seperti harimau dan juga gajah, ini disebabkan terdapat beberapa penemuan tapak kaki binatang liar di sepanjang trek gunung itu.
Dalam pada itu, Gunung Chamah juga berada di atas Banjaran Titiwangsa. Boleh dikatakan gunung ni agak ekstrem untuk didaki, memang kena ada mereka yang betul profesional untuk guide sampai ke puncak gunung. Jangan naik 10 orang lepas tu bila turun hanya ada 7 orang je pula.
6. Gunung Yong Yap (C6) – 2,168 Meter
Gunung kedua yang berada di antara sempadan Perak dan juga Kelantan, ia adalah Gunung Yong Yap. Gunung ini walaupun tak lah setinggi yang lain, tapi ia adalah antara yang paling susah. Ini disebabkan korang kena hadap hutan tropika yang sangat tebal untuk sampai ke puncak, ini termasuk juga dengan bentuk buminya yang sangat sangat curam.
Ada juga ura-ura yang mengatakan pernah ada kes serangan harimau pernah terjadi di Gunung Yong Yap ni, tapi kesahihannya masih lagi belum ada. Cuma kat kawasan hutan sekitar gunung ni, memang kawasan binatang liar, jadi tak mengejutkan pun kalau cerita kena serang harimau tu pernah terjadi. Kes orang hilang pun ada tau.
Gunung ni juga merupakan tempat common bagi agas dan juga pacat, jadi korang kalau boleh prepare lah pakaian yang bersesuaian untuk dipakai sepanjang pendakian tu. Kita pergi kepada gunung yang terakhir…
7. Gunung Ulu Sepat (C7) – 2,161 Meter
Gunung terakhir dalam senarai ni adalah Gunung Ulu Sepat, ia juga terletak di atas Banjaran Titiwangsa dan berada di sempadan Perak-Kelantan. Ia boleh dikatakan gunung paling senang untuk didaki dalam G7, tetapi masih tidak digalakkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam hiking.
Tapi korang kena tahu, puncak Gunung Ulu Sepat ni tak macam gunung-gunung lain tu tau. Sebab dekat puncak, dikatakan ia dilitupi oleh pokok-pokok dan tumbuhan yang tebal sehingga menghalang view kat atas tu. So, sesiapa yang menjangkakan untuk melihat view yang cantik dekat Gunung Ulu Sepat tu korang just cuba elakkan je lah. Sebab memang tak ada view pun yang kat atas tu.
Hanya mereka yang kental je dapat takluk G7
Kalau ada antara kawan korang yang betul dapat takluk ketujuh-tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia ni, pastikan korang tabik bila berjumpa dengan dorang. Sebab hanya mereka yang berjiwa kental je yang dapat takluk G7, bukan calang-calang orang dapat menghabiskan cabaran G7 ni tau.
Kalau korang bercadang untuk sama-sama menakluk tujuh gunung ni, pastikan korang membuat persiapan yang rapi sebelum melakukannya. Dalam pada itu, jangan lupa untuk menjaga alam sekitar sepanjang aktiviti korang. Sampah jangan buang merata-rata, jangan lakukan vandelisme dalam hutan, sentiasa mengikut arahan ketua. Selamat mendaki!
- 27Share sekarang!
- Email0
- Facebook27
- Share