Jenayah & Undang-undang

“Saya ditugaskan oleh ketua kongsi gelap untuk menjaga pelacur dari Uzbekistan.”- Bekas pelajar juvana

Semalam kita diviralkan dengan satu video dimana si anak yang berusia 15 tahun telah memukul ibunya sendiri hanya kerana mahukan wang belanja sekolah.

Screenshot dari Metafora Anafora

Tapi baru-baru ni Malaysia diselubungi pula dengan suasana sedih dan pilu, di mana telah berlakunya tragedi kebakaran kat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat yang telah meragut lebih 20 nyawa pelajar dan tenaga pengajar.

Imej dari Free Malaysia Today

Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah kebakaran ni sememangnya telah dirancang oleh sekumpulan remaja berusia antara 11-18 tahun, yang tidak berpuas hati dengan beberapa pelajar tahfiz tersebut. Malah, laporan ujian air kencing jugak menunjukkan enam daripada tujuh remaja tu positif dadah. Tapi siapa sebenarnya remaja tu?

Digelar ‘Budak Jahat Keramat’

Menurut Kosmo, penduduk sekitar Jalan Keramat Hujung memang kenal sangat budak-budak tu. Malah dorang turut digelar sebagai ‘Geng Budak Jahat Keramat‘ ekoran sikap dorang yang suka melepak hampir setiap malam kat Taman Tasik Datuk Keramat untuk merokok, menghidu gam dan membuat bising ikut suka hati.

Berdasarkan interview dari penduduk sekitar kawasan tersebut, salah seorang remaja tu pernah dibelasah oleh orang ramai kerana kencing atas bendera Malaysia. Bukan remaja tu je dibelasah, malah bapa kepada remaja tersebut pun turut ditampar orang ramai kerana mempertahankan tindakan biadap anaknya tu.

Sebenarnya banyak je lagi perbuatan yang dilakukan ‘budak jahat’ itu yang membuat orang ramai marah. Tapi bila ada penduduk yang tegur, dorang pasti akan mencalarkan kereta. Tak cukup dengan tu, dorang ni jugak turut melemparkan najis kat kereta penduduk.

Kalau korang nak tahu, pengawal keselamatan Taman Tasik Datuk Keramat pun tak tahan dengan perangai sekumpulan remaja ni sehingga dia ambil keputusan untuk berhenti kerja.

“Apabila saya datang untuk mengusir mereka dari kawasan taman, mereka menyorok atau lari, selepas itu mereka muncul semula untuk menghisap gam atau ganja. Sudah banyak kali saya dipermainkan oleh mereka.”- Adnan, bekas pengawal keselamatan Taman Tasik Datuk Keramat. Dipetik dari Metro.

Menurut Adnan lagi, kumpulan remaja tu memang selalu lepak kat taman pada lewat malam sehingga jam 4 pagi untuk melakukan perkara tidak berfaedah.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Imej dari Ada Selalu blogspot

Mahdzir Khalid selaku Menteri Pendidikan pun turut menyatakan bahawa dorang ni jugak turut mempunyai rekod masalah disiplin kat sekolah.

Ada remaja terbabit dibuang sekolah kerana sering ponteng dan ada yang tidak pernah ke sekolah sejak 2012 hingga tahun lalu. – Dipetik dari The Malaymail Online.

Tak cukup dengan tu, dua daripadanya jugak turut mempunyai rekod jenayah iaitu memiliki senjata dan curi kenderaan. Tak dinafikan memang ramai yang marah serta sumpah seranah kat budak-budak ni. Tapi pernah tak korang terpikir, macam mana perkara ni boleh terjadi? Dan siapa yang patut dipersalahkan?

Melentur buluh dari rebungnya

Menurut Imam al-Ghazali yang dipetik dari buku Institusi Keluarga Menghadapi Cabaran Alaf Baru, anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan.

Luangkanlah sedikit masa bersama keluarga. Imej dari lamandel.

Jadi dalam hal ni adalah tidak wajar sekiranya kita hanya menuding jari kepada anak-anak tersebut kerana ibu bapa juga berperanan dalam membimbing anaknya.

“Apa sudah jadi hari ini dengan anak muda kita? Bagaimana mereka dididik dan dibesarkan untuk mereka membezakan mana baik dan buruk?” – Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye. Dipetik dari Awani.

Jelas beliau, kegagalan insitusi keluarga menjadi punca utama mengapa kanak-kanak di bawah umur boleh melakukan kesalahan jenayah. Kegagalan membentuk jati diri yang baik menyebabkan dorang tak mampu membezakan antara baik buruk sesuatu perkara.

“Sebab itu dipesan oleh ulama, kalau kamu mendidik, didik dulu adabnya, didik dulu pekertinya, didik dulu santunnya, didik dulu akhlaknya dan didik dulu kemanusiaannya.” -Dr Robiah K.Hamzah, Pakar Motivasi dan Kaunseling. Dipetik dari ceramah motivasi Membentuk Keluarga Membangun Ummah.

Mendirikan solat berjemaah bersama-sama. Imej dari Pinterest

Pada masa sama, ibu bapa perlu mengambil tahu tentang pergerakan anak-anak bagi mengelak mereka melakukan kesalahan jenayah. Ditambah pula dengan faktor media sosial yang banyak memberi kesan negatif kat anak muda.

“Untuk membangun masyarakat, mesti bermula titik tolak dari karakter, keimanan dan kemanusiaan diri seseorang. Ia harus dimula dari wanita solehah (ibunya).” – Dr Robiah K.Hamzah, Pakar Motivasi dan Kaunseling. Ketika diinterview oleh SOSCILI.

Tambah beliau lagi, sebagai ibu bapa seharusnya, korang perlu mempunyai ilmu dan bersedia sedari awal dimana sebelum berkahwin lagi perlu ada ilmu keibu bapaan.

“Kalau kita sendiri pun sebagai ibu bapa tak pernah membaca dan Al-Quran, tak pernah nak jumpa alim-alim ulama, tak pernah nak membaca dan mencari ilmu, macam mana?

Ini ibu bapa sekarang sibuk memanjang, anak dibiarkan. Ibu bapa banyak mengejar dan mengajar anak supaya menjadi pandai dari akademiknya. Tapi rohaninya? Ilmu agamanya dimana?” -Dr Robiah K.Hamzah, Pakar Motivasi dan Kaunseling. Ketika diinterview oleh SOSCILI.

Imej dari Youtube

Jelas beliau lagi,

 “Seharusnya sebagai ibubapa, korang perlu berfikir macam mana nak didik anak-anak tu. Sebagai contoh, bila umur anak dah 3 tahun, apa yang patut dorang tahu. Bila dah 7 tahun tu, dia dah pandai apa. Didik dengan ilmu ketuhanan.” -Dr Robiah K.Hamzah, Pakar Motivasi dan Kaunseling. Ketika diinterview oleh SOSCILI.

Menurut Penceramah Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kalau nak mendidik anak ni, ibu bapa perlu ikut tahap-tahapnya seperti kat bawah :

Bagi korang yang dah ada anak tu, boleh ikut rules ni. Imej dari Suhaimi.

Walau bagaimanapun, menurut Ketua Polis Negara, ibu bapa budak-budak tu tak bersalah pun dan takde keperluan untuk pihak polis mendakwa ibu bapa. Malah ada ibu bapa ni siap dah maafkan pun apa yang dilakukan oleh budak-budak tu terhadap anak mereka (pelajar tahfiz yang terkorban).

Tapi biasanya kalau kes jenayah bawah umur ni, apa je tindakan yang dikenakan? Ada yang kata dorang ni kena hantar kat sekolah juvana. Tapi apa tu sekolah juvana?

Rupa-rupanya institusi untuk juvana ni dah ada sebelum merdeka lagi

Setiap pergerakan penghuni akan dikawal oleh warden . Imej dari Kosmo

Juvana merujuk kepada perlakuan jenayah bagi remaja. Malah golongan ini jugak dikategorikan sebagai belum matang dan masih bergantung pada ibu bapa.

Penubuhan institusi untuk juvana di Malaysia ni mula diperkenalkan pada tahun 1948. Jadi ini bermakna ia telah ditubuhkan sebelum kita merdeka lagi lah kan? Ianya ditubuhkan kat Penjara Muar, Johor dengan nama Sekolah Pemulihan Lanjutan (Advance Approved School) dengan mempunyai seramai lima puluh orang penghuni.

Kemudian ia dipindahkan ke Telok Mas, Melaka yang kini dikenali sebagai Sekolah Henry Gurney. Sekolah ini menempatkan golongan remaja yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Juvana untuk menjalani proses pemulihan sehingga berumur 21 tahun.

Sesi pembelajaran pelajar perempuan di Sekolah Henry Gurney. Imej dari Berita Harian

Kat sini, dorang disediakan dengan pelbagai aktiviti dan kelas-kelas kemahiran seperti bengkel motor mekanik, pertukangan kayu, perabot dan kraftangan, binaan, baiki paip, mengecat, membaiki elektrik dan seni taman pertanian serta kelas agama.

Selain tu, dorang jugak turut ditawarkan dengan kelas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) bagi yang buta huruf, PraSPM, SPM dan juga STPM. Tapi dorang lebih menekankan terhadap disiplin dan akhlak.

Penghuni membersihkan pinggan dan cawan selepas makan tengah hari supaya mereka hidup berdikari. Imej dari Kosmo

Penyesalan yang tiada berkesudahan

Korang ingat tak dulu pernah viral kisah seorang pelajar kat Sekolah Henry Gurney ni, dimana dia selalu kirim surat kat mak dia tapi tak pernah pun berbalas. Tapi surat tu tak berbalas sebab dia tersalah alamat.

Imej dari OhBulan!

Apa yang ditulis adik ni membuatkan hati kitorang pun turut terasa sayu…

Lagipun menurut akhbar Kosmo, penghuni Sekolah Henry Gurney memang diwajibkan menulis surat kepada keluarga dorang pada setiap minggu untuk membangunkan semula sahsiah pelajar.

Jafri (bukan nama sebenar) merupakan penghuni Henry Gurney atas kesalahan rogol dan bunuh pada usia semuda 11 tahun.

“Sebelum masuk ke sini, hidup saya terumbang-ambing. Mak dan ayah bercerai. Masing-masing kahwin lain. Mak tinggal di Kuala Lumpur, ayah di Kedah. Saya tinggal dengan nenek di Perak.

Tetapi adik-beradik mak saya tidak suka saya tinggal dengan nenek. Walaupun sayalah yang mencari nafkah (mengambil upah menebas rumput dan melakukan kerja-kerja kampung) untuk menanggung kami berdua.” – Jafri, penghuni Sekolah Henry Gurney. Dipetik dari Kosmo.

Imej dari Kosmo

Menurut Jafri lagi, oleh kerana adik beradik maknya tak suka dia tinggal dengan nenek, akhirnya dia pun pergi ke KL untuk tinggal dengan mak kandungnya sendiri. Tapi bapa tirinya pula tak suka dia tinggal sama. Oleh sebab tu, dia pergi sewa rumah bujang dan dari situlah dia mula kenal dengan pelbagai jenayah seperti merogol, membunuh serta menyembunyikan mayat kenalan perempuan. 

Tapi setelah dia masuk ke Sekolah Henry Gurney, dia telah belajar menjahit dan kini dia dah boleh menyiapkan sepasang baju uniform polis dalam masa 45 minit je. Dia juga benar-benar mengharapkan pengampunan daripada Sultan Selangor dan ingin menjaga serta menyara ibunya jika dibebaskan nanti dengan wang upahan menjahit.

Berlainan pula dengan kisah Amer Hussin (bukan nama sebenar), bekas pelajar Sekolah Henry Gurney yang mendapat pembebasan berlesen kerana menerima tawaran melanjutkan pengajian ke IPTA selepas mendapat keputusan cemerlang 8A dalam SPM.

“Sebulan sebelum SPM saya akan solat hajat setiap kali lepas waktu maghrib dan sebelum masuk waktu subuh.”- Amer, dipetik dari Berita Harian.

Imej dari Berita Harian.

Menurut Amer lagi, sepanjang dia tinggal kat SHG selama dua tahun sembilan bulan ni, dia sering menyimpan ketakutan. Dia takut andainya tak sempat nak menatap wajah ayah ibunya buat kali yang terakhir.

“Saya tak sanggup hadapi kenyataan andai mereka pergi dulu menghadap Ilahi ketika saya masih berada di sini. Ayah saya sakit, ibu yang selalu datang melawat setiap tiga bulan. Dia datang naik bas, kadang kala tidur dekat stesen bas. Saya risau jika ada sesuatu perkara berlaku, saya tidak sanggup lihat mereka derita lagi.

Setiap kali bila mak saya datang, saya akan minta maaf pada dia. Pada saya, dengan minta maaf ni pun, tak akan dapat tebus balik apa yang pernah saya buat. Saya pernah tolak mak. Tapi dia sanggup terima saya lagi.”- Amer, dipetik dari Berita Harian.

Ini pula beberapa luahan dari penghuni Sekolah Henry Gurney bila menjelang Hari Raya:

 “Kalau saya dapat balik (keluar dari sini), saya teringin sangat nak suapkan (makanan dekat) ibu. Sebelum ni saya tak pernah suapkan dia makan.” – Penghuni Henry Gurney. Dipetik dari MStar.

“Saya nak minta maaf dekat keluarga terutama dekat mak saya. Saya banyak malukan dia, maki-maki dia. Saya nak mak halalkan makan minum saya dan maafkan saya.” – Penghuni Henry Gurney. Dipetik dari MStar.

Mesti ada antara korang yang terpikir, macam mana agaknya kehidupan jadi pekas pelajar juvana ni kan? Hmm boleh berjaya ke

Dimana ada kemahuan, disitu ada kejayaan!

Janganlah sesekali korang cuba memperlekehkan budak-budak sekolah juvana ni kerana tak mustahil dorang tu nanti akan lebih berjaya dari korang.

Kalau korang nak tahu, Mohamad Rizan Hassan (bekas pelajar juvana) telah berjaya menjawat jawatan Ketua Penerangan MBM dan juga merupakan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Tekat Auto Terminal Training telah memenangi anugerah kategori Pekerja Korporat (sektor awam/swasta) dalam “Iclif Leadership Energy Awards.

Imej dari belia.org

Untuk pengetahuan korang, itulah kali pertama Malaysia memenangi anugerah Iclif-ILEA selama ia diadakan. Iclif adalah sebuah pusat antarabangsa yang berpangkalan di Asia khusus untuk pendidikan eksekutif, penyelidikan, latihan dan khidmat nasihat dalam bidang pembangunan kepimpinan dan tadbir urus korporat.

Dia yang berasal dari keluarga susah dan mempunyai ramai adik beradik ni, akhirnya memilih jalan salah dimana pada usia belasan tahun lagi dia sudah mula belajar mencuri dan mengugut orang untuk mendapatkan wang.

“Saya dikenali dengan nama toyol oleh rakan-rakan sekolah kerana licik mencuri tanpa dapat dikesan selama bertahun-tahun.” – Mohamad Rizan Hassan, dipetik dari Kosmo.

Tambah beliau lagi, selepas memasuki sekolah menengah, tabiat buruknya itu semakin menjadi-jadi.

“Saya membentuk kumpulan sendiri dengan lebih 10 orang ahli yang semuanya sebaya. Lokasi aktiviti mencuri kami ialah di Johor Bahru. Kami mengangkut semua kenderaan curi itu menggunakan van. Dalam sehari kami boleh mencuri di antara lima hingga 10 buah motosikal,” – Mohamad Rizan Hassan, dipetik dari Kosmo.

Dia jugak mengakui yang dia pernah terlibat dengan pengedaran dadah, pergaduhan dan peras ugut. Malah dia jugak sering ponteng sekolah dan tidak menduduki peperiksaan SPM pun.

Tak lama lepas tu, dia pun berpindah ke Kuala Lumpur dan mula terjebak dengan kegiatan kongsi gelap di Bukit Bintang.

“Saya ditugaskan oleh ketua kongsi gelap untuk menjaga pelacur dari Uzbekistan. Pada masa itu, aktiviti pelacuran kurang melibatkan pelacur dari China.

Pendapatan cukup mewah iaitu sehingga RM5,000 sehari. Tetapi duit haram sememangnya tidak pernah cukup apatah lagi memberi ketenangan.” – Mohamad Rizan Hassan, dipetik dari Kosmo.

Imej dari Majlis Belia Malaysia.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Dia akhirnya tertangkap oleh pihak polis selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Kampung Keramat pada usia 17 tahun. Akhirnya, dia pun dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney di Melaka.

Tekad untuk berubah menyebabkan dia bekerja bersungguh-sungguh di sebuah kilang elektronik di Johor Bahru.

“Saya bekerja 365 hari setahun tanpa bercuti dan bekerja 12 jam setiap hari. Kesungguhan dan kerajinan saya menyebabkan pengurus kilang itu menghantar saya menjalani latihan dalam bidang mekatronik di Jepun selama tiga tahun.”- Mohamad Rizan Hassan, dipetik dari Kosmo.

Lepas je dia jalani latihan tersebut, dia pun ditawarkan bekerja sebagai jurutera yang mengesan dan membaiki kerosakan sistem elektronik jentera di kilang-kilang milik usahawan Jepun di Malaysia dengan memperoleh pendapatan antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

Bukan setakat tu je, malah dia jugak turut menubuhkan Kolej Tekat di Kajang, Selangor bagi membantu remaja bermasalah supaya tak terus hanyut.

“Pelajar Kolej Tekat kebanyakannya remaja yang pernah terlibat dengan masalah juvana seperti bergaduh, mencuri dan merompak.

Syukur sebanyak 90 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan dan ada yang menjadi usahawan dengan membuka bengkel kereta sendiri.”-  Mohamad Rizan Hassan, dipetik dari Kosmo.

Rizan tengah ‘sekolahkan’ budak-budak Kolej Tekat. Imej dari Kosmo.

Juvana bukan sampah masyarakat

Jelaslah disini bahawa, kejayaan seseorang tu bukan terletak siapa dia pada masa yang lampau. Jangan kerana hanya kesilapan yang dilakukan dia tu, kita terus menghukum dan mempersendakannya.

Seperti kisah Mohamad Rizan ni, siapa sangka dia boleh berjaya sehingga ke hari ini dan siapa sangka budak juvana boleh dapat 8A dalam SPM, sedangkan kemudahan nak belajar kat dalam tu serba kekurangan.

Imej dari Awani

Namun sekiranya korang mempunyai konflik atau masalah dan takde tempat untuk mengadu, atau korang sendiri mempunyai anak-anak yang degil ataupun korang mempunyai kenalan yang masalah, korang bolehlah membantu mereka dengan:

  • Memberi dorang khidmat kaunseling yang telah disediakan oleh kerajaan kat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah/Negeri yang berhampiran. Ia menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan tak kiralah untuk individu, kerjaya mahupun kekeluargaan.
  • Korang jugak boleh join Pusat Remaja [email protected]. Ia disediakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi tujuan membantu remaja berumur 13 hingga 24 tahun melalui alam remaja dengan memperkasarkan remaja melalui bimbingan dan pendidikan.
  • Pusat Kaunseling TwinsTalk yang diterajui oleh Puan Nor Hanita Mohd Shariff di mana beliau  merupakan seorang Kaunselor Berdaftar yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang psikologi dan kaunseling. 
  • Dapatkan khidmat bimbingan kaunseling oleh Dr Robiah K Hamzah di RKH Motivation & Services kat Shah Alam atau juga boleh hubungi klinik kaunseling beliau di 03-55452005.

“Sama-sama kita bantu ummah yang dah lelah agamanya. Lemah matlamat hidup, lemah hubungan sesama manusia dan lemah keyakinan bertuhannya.” – Dr. Rokiah K.Hamzah, Pakar Motivasi dan Kaunseling.

 

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend