- 4.8KShare sekarang!
- Email418
- Facebook4.4K
- Share
Sebelum ni dia telah didakwa di mahkamah dengan lapan tuduhan rasuah, sepuluh tuduhan pecah amanah dan DUA PULUH TUJUH tuduhan pengubahan wang haram. Dia mengaku tidak bersalah atas semua 45 tuduhan yang melibatkan jumlah RM114 JUTA secara keseluruhan. Ini merupakan kali kedua pemimpin UMNO telah didakwa di mahkamah, sebulan selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dituduh rasuah melibatkan dana 1MDB.
Mengikut laporan, Zahid telah disoal siasat oleh SPRM pada Julai lepas mengenai kes dana Yayasan Akal Budi dalam kapasitinya sebagai pengerusi yayasan tersebut. Pada masa itu, dia telah dituduh menyalahgunakan dana berjumlah kira-kira RM800,000 daripada Yayasan Akal Budi untuk membayar bil kad kredit dia dan isterinya. Katanya, bayaran itu bukan akibat penyelewengan tetapi berpunca daripada kesilapan pegawainya yang sepatutnya menggunakan akaun peribadinya untuk bayaran tersebut.
Bukan tu je, sepanjang kewujudan Yayasan Akal Budi ni sejak 1997, ia berjaya mengumpul dana sebanyak RM31 juta dan dalam banyak-banyak duit tu… sesen pun tak sampai kepada mereka yang betul-betul memerlukan!
Walau bagaimanapun, kitorang sebenarya pun sibuk nak tahu lebih pasal Yayasan Akal Budi ni. Jadi, apabila kitorang cuba cari lebih tentang kegiatan yayasan ni, kitorang mendapati bahawa…
1. Ia sebenarnya ditubuhkan dengan tujuan kebajikan Islam ?
Selepas Datuk Seri Zahid Hamidi disoal oleh SPRM untuk kali pertama, dia menjelaskan kepada sidang media yang hadir bahawa Yayasan Akal Budi itu dikendalikan oleh keluarganya untuk hal-hal yang berkaitan dengan amal jariah termasuk pendirian masjid, maahad, tahfiz, pusat hafazan Qur’an, rumah anak yatim, dan surau-surau. Selain itu, dia berkata bahawa yayasan ini juga terlibat dengan penjagaan kebajikan asnaf dan golongan fakir miskin.
Mengikut satu sumber, Yayasan Akal Budi ini digunakan oleh Zahid untuk pembangunan madrasah anak yatim di Bagan Datuk dan pembiayaan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Melaka, serta sebuah masjid yang bersebelahan dengannya. Kata sumber itu juga, yayasan ni ditubuhkan oleh Zahid bersama sahabatnya yang merupakan bekas ahli Majlis Agama Islam Wilayah. Melalui yayasan itu, diorang berjaya menghantar ratusan pelajar lepasan SPM ke Mesir untuk sambung jurusan agama, perubatan dan pergigian.
Setelah mendapat tahu semua tu, kitorang pun cuba la untuk sahkan maklumat tersebut. Tetapi kitorang kemudian mendapati…
2. Takda maklumat LANGSUNG pasal yayasan ni kat internet ?
Bila dengar je pasal Yayasan Akal Budi yang terkait dengan DS Zahid Hamidi ni, kitorang teruslah tanya Google dengan harapan dapat banyak maklumat. Masalahnya, semua yang keluar hanya berita-berita terkini pasal Zahid Hamidi dipanggil dan ditahan SPRM je. Sebagai suatu organisasi atau yayasan, laman web rasmi tak ada satu habuk pun.
Teknik seterusnya yang kitorang cuba adalah dengan mencari macam mana nak tubuhkan yayasan kat Malaysia ni. Mana lah tahu dari situ dapat maklumat terperinci pasal Yayasan Akal Budi. Kalau korang nak tahu, yayasan-yayasan yang ada kat Malaysia ni banyak berdaftar bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai persatuan yang ditubuhkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM.
Mengikut maklumat yang kitorang jumpa, setiap yayasan mesti ditubuhkan untuk tujuan agama, pendidikan, kesusasteraan, saintifik, khairat, kebajikan atau sosial seperti yang dinyatakan oleh Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952. Apa lagi, kitorang pun carilah nama Yayasan Akal Budi ni dalam laman web rasmi BHEUU. Sekali website ni pulak yang minta maaf kat kitorang.
Dengan semangat ‘kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, carian diteruskan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebab mana la tau kalau yayasan ni berdaftar sebagai syarikat kan? Sebenarnya, yayasan memang boleh ditubuhkan di bawah SSM sebagai salah satu Syarikat Berhad Dengan Jaminan (SBMJ).
Tapi, SBMJ ni bukanlah untuk berniaga cari keuntungan tetapi hanya boleh ditubuhkan semata-mata untuk tujuan kebajikan. Nak daftar sebuah SBMJ pun taklah semudah daftar syarikat printing baju. Kalau nak guna perkataan “yayasan”, kena dapatkan kelulusan menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Jadi selepas kitorang cipta akaun baru dengan SSM semata-mata untuk cari maklumat tentang Yayasan Akal Budi, kitorang letak lah nama diorang dalam carian SSM, tup, tup, keluar dokumen pasal Yayasan Akal Budi! Nak tengok penuh, kena bayar RM15. Dengan semangat ‘usaha tangga kejayaan’, kitorang bayar dan dapat dokumen yayasan ni.
Dapat-dapat je dokumen tu, kitorang pun usha la isi dalamannya. Tengok-tengok, bila kitorang bukak…
3. Pejabat Yayasan Akal Budi MEMANG mengejutkan betul ?
Sebagai rakyat Malaysia, kalau nak tengok suatu tempat sebelum pergi, kitorang mestilah guna Google Maps. Jadi kitorang pun cari la pejabat diorang kat alamat yang didaftar dalam laporan SSM tu, kot-kot nak pergi adakan lawatan sambil belajar kat Yayasan Akal Budi. Tu yang kitorang terkejut gorila bila tengok…
Kitorang pelik gak sebenarnya… mananya bangunan tersebut? Kata dekat Kampung Baru. Lagi-lagipun setahu kitorang, sumber yang kita bercakap dengan tadi kata satu projek diorang kat KL dah terbatal. Tapi semakin dalam kitorang baca laporan Yayasan ni, semakin banyak maklumat yang kita dapat tahu, seperti…
4. Yayasan ni sebenarnya dah ditubuh sejak lebih 20 tahun yang lepas! ?
Bila kitorang tengok tahun penubuhannya, kitorang dapati yang Yayasan Akal Budi ni bukan setahun jagung, tapi ditubuhkan seawal tahun 1997!
Kalau nak tahu, Zahid Hamidi pertama kalinya dipilih menjadi Ahli Parlimen pada tahun 1995 di parlimen Bagan Dato lepas berjaya mengalahkan Asha’ri Marsom dari Semangat 46 atas tiket Barisan Nasional/UMNO. Nampaknya dalam masa DUA tahun jadi MP je dah membolehkan dia untuk buat yayasan sendiri.
Ironinya setahun selepas penubuhan Yayasan Akal Budi, Zahid sempat hentam Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri, dan juga Presiden UMNO pada masa tu pasal isu KKN (Kroni, Korupsi dan Nepotisme) dalam kerajaan. Sebagai serangan balas, Tun M pula dedahkan nama-nama Melayu/Bumiputera yang dapat saham dan jawatan dalam syarikat tertentu.
Zahid Hamidi yang pada masa tu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menjadi sekutu Anwar Ibrahim, join REFORMASI, di mana dia pernah ditahan dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Tapi pada 1999, Zahid nampaknya kembali ke UMNO, dan main taichi pulak bila dia kata Anwar memperalatnya untuk menaikkan tuduhan kronisme dan nepotisme. Dia juga mendakwa Anwar menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk memberi peluang perniagaan kepada Zahid.
”Saya mengakui bahawa Anwar meminta saya membangkitkan isu nepotisme dan kronisme serta lain-lain ketidaktelusan amalan dalam pengagihan saham-saham dan kontrak-kontrak kerajaan semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.” – Zahid Hamidi, dipetik dari Utusan tahun 1999.
Selain daripada bidang kuasanya dalam politik, latar belakang Zahid Hamidi termasuklah pengalamannya sebagai pengerusi Bank Simpanan Nasional (1995–1998), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan juga pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), di mana anaknya juga pernah dilantik sebagai Ketua Komunikasi Bahagian Korporat, dan berlakunya kes bawa masuk pekerja Bangladesh kepada adiknya.
Dengan latar belakang dalam perbankan dan pemasaran, agak pelik juga bila dia tak pernah update apa-apa pasal Yayasan Akal Budi ni kerana…
5. Langsung tiada APA-APA maklumat kewangan dalam laporan yayasan ni! ?
Setelah mendapat laporan maklumat yayasan ni daripada SSM, kitorang mendapati satu benda pelik iaitu, tiada langsung maklumat kewangan dalam laporannya itu!
Sebenarnya, setiap yayasan yang didaftar dengan SSM diwajibkan melakukan tiga perkara bawah Akta Syarikat 1965 iaitu:
- Mengadakan mesyuarat agung tahunan (MAT) untuk yayasan tersebut.
- Menyiap dan membentangkan laporan akaun diaudit di MAT-nya.
- Menyerahsimpan satu laporan tahunan yayasan ke SSM.
Kegagalan yayasan mematuhi ketiga-tiga keperluan boleh menyebabkan yayasan itu dan para pemegang amanahnya didenda oleh SSM. Kemudian, jika diorang disabitkan dengan kesalahan di mahkamah pula, yayasan itu mampu dikenakan penalti yang LEBIH tinggi. Tapi apa mungkin sebabnya tiada apa-apa maklumat kewangan dalam laporan Yayasan Akal Budi yang kitorang dapat dari SSM? Adakah mungkin diorang memang takde duit je?
…tak jugak. Setelah suatu yayasan baru telah ditubuh dan didaftarkan di bawah SSM, dana permulaan RM1 JUTA perlu dimasukkan dalam akaun yayasan itu dalam bentuk WANG TUNAI! Lagi-lagi seperti yang kitorang sebut tadi, Yayasan Akal Budi ni dah wujud sejak tahun 1997. Jadi, memang mustahil la yang diorang tak pernah menyerahsimpan walaupun satu laporan kewangan diorang kepada SSM selama 21 tahun yang lalu ni.
Tambah-tambah lagi, suatu laporan syarikat minyak kelapa sawit Sime Darby Plantation telah mendedah bahawa 40 hektar tanah telah diperolehi oleh Yayasan Akal Budi daripada syarikat tersebut pada tahun lepas, yang membuktikan Yayasan ini masih mempunyai kegiatan yang aktif.
Walaupun itu, ketiadaan maklumat kewangan bukanlah bukti kesalahan oleh Zahid Hamidi. Ada kemungkinan bahawa ini hanya merupakan kesilapan kerani, seperti yang dilihat dalam kes kesilapan titik perpuluhan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Namun, ia masih merupakan suatu isu yang menghairankan dan kitorang harap lebih akan diketahui dalam masa yang akan datang.
Buat masa sekarang, Zahid Hamidi masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah ?
Sebenarnya, kes Yayasan Akal Budi ni pun hanya merupakan sebahagian daripada kesemua 45 dakwaan terhadapnya. Tuduhan-tuduhan yang melibatnya sebagai pemegang amanah Yayasan Akal Budi hanya merupakan sepuluh tuduhan pertama, iaitu dakwaan pecah amanah wang berjumlah RM20 juta.
Kemudian, tuduhan 11 hinga 18 pula berkenaan dakwaan menerima rasuah sebanyak RM21 juta semasa dia masih memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, manakala baki dakwaan terhadapnya adalah 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang jumlah RM72 juta. Kini, dia telah dilepaskan dengan jaminan RM2 juta serta syarat penyerahan pasport sehingga sebutan kesnya pada 14 Disember yang akan datang.
Sekarang ni, kitorang hanya boleh ikut berita terkini untuk dapatkan maklumat tentang kes Datuk Seri Zahid Hamidi, jadi kita tengok la dulu apa berlaku lepas ni.
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 14 Disember 2018*
- 4.8KShare sekarang!
- Email418
- Facebook4.4K
- Share